Jumaat, 12 Julai 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Menguruskan isu setinggan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Posted: 12 Jul 2013 09:01 PM PDT

Kuala Lumpur adalah sebuah Bandaraya yang cepat membangun.  Tan Sri Yaakob Latiff adalah arkitek pembangunan Bandaraya ini.  Sebelum Yaakob Latiff mengambil alih sebagai Dato Bandar, Kuala Lumpur ditadbirkan sebagai Bandaraya yang biasa; bahagian-bahagian di Dewan Bandaraya menguruskan perkara biasa, seperti pengursan jalan, api elektrik untuk jalan-jalan, traffic light, round about, pemunggahan sampah, dan mengambil tindakan saman kepada jenis-jenis kesalahan samalah seperti bandar-bandar lain ditadbirkan.

Jabatan-jabatanya hanya ada sedikit, seperti pengurusan, engineering, arkitek, kesihatan dan jabatan-jabatan pengurusan bandar seperti bandar-bandar lain.

Tetapi apabila Dato Bandar mengambil alih Dewan Bandaraya beliau membawa reformasi kepada pembangunan Kuala Lumpur.  Jabatan-jabatan di Dewan Bandaraya ditambah, jabatan-jabatan yang sedia ada diperbesarkan, dan setiap jabatan diberikan semacam otonomi untuk pembangunan Kota Raya ini.

Didalam tempoh yang singkat, Jabatan-Jabatan baru bertambah merangkumi semua keperluan sesuai dengan sebuah pengurusan Ibu Kota dan golongan professional diambil bagi mengendalikan Jabatan-Jabatan itu.

Kalau sebelum ini hanya ada beberapa Jabatan sahaja yang nampak penting seperti engineering, arkitek, kesihatan dan Bendahari.

Kali ini semua Jabatan menjadi penting dan masing-masing Jabatan membangunkan Jabatan masing-masing mengikut keperluan Kuala Lumpur.

Kalau dulu Kuala Lumpur dipenuhi dengan kakitangan Kesihatan yang mengambil alih tugas-tugas membersihkan sampah sarap di Kuala Lumpur dan pekerja-pekerjanya terdiri daripada kakitangan India yang ramai.

Reformasi yang dijalankan oleh Datuk Bandar menjemput kakitangan berbilang kaum dengan tugas-tugas yang mencabar.

Sebagai sebuah pentadbiran badan berkanun, Dewan Bandaraya tidak terikat dengan syarat-syarat employment yang dijalankan di jabatan-jabatan kerajaan.  Ia boleh mengadakan scale gaji tersendiri dan kenaikan pangkat tidak ditentukan semata-mata oleh ijazah tetapi oleh pengalaman, kecekapan dan kemampuan kakitangan.  Kelulusan adalah penting tetapi kemampuan dan kecekapan bekerja juga diutamakan.

Di dalam kepesatan pembangunan yang begitu mendadak, Kuala Lumpur juga menjadi tempat tumpuan manusia dari seluruh negara untuk mencari pekerjaan, dan kehadiran mereka dengan cara yang tidak terancang itu, menjemput sebahagian besar dari tanah-tanah kosong di Kuala Lumpur dijadikan kawasan-kawasan setinggan.

Kebanyakan mereka tidak mampu untuk menyewa rumah-rumah di Kuala Lumpur untuk kediaman, walaupun tidak dinafikan ada juga manusia-manusia yang mengambil kesempatan untuk membina rumah-rumah setinggan untuk disewakan kepada pendatang-pendatang baru dari luar bandar.

Pekerjaan di Kuala Lumpur adalah pelbagai tetapi sebahagian besar dari pendatang-pendatang luar bandar ini bekerja kilang dengan gaji yang tidaklah sebesar mana tetapi melebihi apa yang mereka boleh dapat semasa mereka tinggal di kampung masing-masing.

Pembinaan rumah setinggan ini memang tidak dijalankan dengan baik, kadang-kadang di kawasan rumah setinggan itu tidak ada air dan elektrik, tidak ada jalan yang sempurna; dan jika berlaku sesuatu melapetaka, bantuan dari jenis apa pun sukar sampai ke kawasan-kawasan ini.

Pembinaan rumah-rumah setinggan ini memang sukar dihalang.  Pembinaannya berlaku seperti tumbuhnya cendawan busut, semalam tak ada sekarang dah penuh.  Dan apabila sudah dihuni, amat sukar untuk diambil tindakan.

Dengan pertumbuhan kawasan setinggan yang begitu besar dan intensif menyebabkan pembangunan Kuala Lumpur terhalang, kawasan-kawasan yang boleh dijadikan kawasan pembangunan sudah digunakan oleh setinggan-setinggan.

Unit Penguatkuasa DBKL sentiasa bertindak merobohkan rumah-rumah setinggan tetapi tidak sepadan dengan kepesatan pembinaan rumah-rumah itu.

Dato Bandar mengangkat saya mengetuai operasi merobohkan rumah-rumah setinggan ini.  Saya amat berat hati untuk menerima tugas ini tetapi jika saya tidak menerimanya maka saya terpaksalah berhenti kerja, sedangkan kerja sebagai Pegawai Undang-Undang Dewan Bandaraya dan merangkap Superintendent Traffic Warden bergaji RM3750.00 adalah besar bagi saya.  Gaji itu sebenarnya sudah sampai ke ceiling, dan saya tidak akan naik gaji lagi melainkan satu jawatan baru dipangku oleh saya.  Ketua-Ketua Jabatan yang lain pun mempunyai gaji seperti itu juga.

Saya terimalah tugas yang tidak selesa  ini.  Kenapa tidak selesa?  Ingat mudah ke mahu merobohkan rumah-rumah orang sedang penghuni rumah-rumah itu adalah orang-orang miskin yang datang dari kampung-kampung.  Terasa sangat perbuatan itu menzalimi orang ramai.

Suka tak suka, saya laksanakan tugas itu.  Target saya adalah meruntuhkan rumah-rumah setinggan yang baru dibina.  Yang lama dikekalkan.  Berpuluh rumah setinggan yang saya robohkan setiap hari.  Tetapi esuknya rumah-rumah setinggan baru dinaikkan semula di kawasan itu dibina pada waktu malam.

Suatu kejadian yang merubah tindakan saya ialah semasa saya merobohkan sebuah rumah setinggan di kawasan yang sekarang ini dikenali sebagai Pandan Perdana.

Setelah rantai besi diikatkan kepada 4 tiang rumah setinggan itu dan 4 mesin digunakan menarik serentak.
Apabila rumah itu menyembah bumi tiba-tiba berlari menuju kepada saya ibu, ayah, anak-anak merebahkan diri dikaki saya, menangis meraung-raung.  Saya tidak tahan melihat ini.  Dan saya serta merta mengarahkan Unit Penguatkuasa saya supaya menaikkan semula rumah itu.  Apa-apa keperluan dapur yang sudah rosak, seperti pinggan-mangkuk yang pecah, saya belikan sebagai ganti.  Dan untuk makan minum keluarga itu untuk tengah hari itu saya belikan makanan.  Dan saya bertekad untuk tidak lagi merobohkan rumah-rumah setinggan; saya pertaruhkan jawatan saya, biarlah saya berhenti kerja dari menjalankan kerja yang saya sendiri anggap sebagai zalim.

Setelah selesai kerja-kerja membina semula rumah itu dan pembelian barang-barang keperluan keluarga itu, saya terus pergi ke Pejabat Dato Bandar.  Saya berjumpa dengan Dato Bandar dan memberitahu beliau bahawa saya tidak lagi sanggup menjalankan kerja merobohkan rumah setinggan.  Dato Bandar kelihatan marah dengan mengatakan bahawa, "Jika kamu tak sanggup, tak ada jalan lain tetapi kamu terpaksa diberhentikan dari perkhidmatan DBKL."

Saya sudah bersedia untuk meletak jawatan atau diberhentikan dari perkhidmatan DBKL.  Tetapi Datuk Bandar memberitahu saya, "Suhaimi, you have a good record with us, and I want you to take over the administration of this Organisation when En Zainul goes back to government job."

Saya terus memberitahu Datuk Bandar bahawa jika saya terpaksa melakukan juga kerja merobohkan rumah-rumah setinggan, saya akan meletakkan jawatan saya, dan saya tidak sedar pada waktu itu saya mengalirkan airmata saya.  Saya tengok Datuk Bandar pun menarik muka yang sedih.

"Alright Suhaimi, I give you one month, apa yang kamu boleh buat untuk mengatasi masalah setinggan di Kuala Lumpur ni.  Selepas sebulan kamu kena bawa ke Heads Meeting, bentangkan kertas kerja kamu, jika Ketua-Ketua Jabatan lain bersetuju dengan pandangan kamu, Pentadbiran ini akan melaksanakan pandangan kamu, dan jika tidak kamu terpaksalah berhenti dari Pentadbiran ini," kata Datuk Bandar.

Ini adalah satu tall order.  Semua pegawai-pegawai lain yang gagal sebelum ini tidak pula dikenakan syarat begini dan tidak pula kena berhenti kerja.  Tetapi tak apa.  Ini mungkin menjadi satu cabaran yang besar kepada saya dan saya yakin jika saya berjaya bukan sahaja saya boleh menyelematkan setinggan-setinggan itu bahkan nama harum Kuala Lumpur dapat ditebus.

Saya memberhentikan semua kerja-kerja lain tetapi di dalam masa satu bulan itu memusatkan tumpuan saya bagaimana mahu mengatasi masalah setinggan di DBKL.

Semua kakitangan di Jabatan saya diarahkan oleh saya buat kerja ini.  Semua anggota-anggota unit penguatkuasa yang diletakkan dibawah saya didalam kerja perobohan ini saya ambil untuk melaksanakan tugas-tugas yang akan saya arahkan.

Tugas ini saya bahagikan kepada beberapa peringkat.  Peringkat pertama ialah untuk membuat survey kawasan-kawasan yang dipenuhi oleh rumah-rumah setinggan.  Peringkat yang kedua menentukan kawasan-kawasan yang sesuai untuk dibangunkan dengan rumah-rumah flat dan di sana terdapat rumah-rumah setinggan.

Peringkat ketiga saya mahu tentukan kemudahan-kemudahan yang ada di kawasan rumah-rumah setinggan ini.

Setelah survey ini berjalan dalam tempoh 3 minggu, saya sudah bersedia untuk menyediakan satu kertas kerja.  Didalam kertas kerja saya itu saya mencadangkan supaya di semua kawasan rumah setinggan ini dimasukkan kemudahan-kemudan seperti bekalan air, elektrik dan jalan, sagar setinggan-setinggan itu dapat hidup lebih selesa sesuai dengan kehidupan orang di bandar.

Kawasan-kawasan yang masih kosong, saya cadangkan supaya dibinakan rumah-rumah panjang untuk menempatkan hingga 800 orang setinggan.  Setinggan-setinggan yang mendiami kawasan yang diear-markedkan untuk pembinaan flat-flat dipindahkan ke rumah-rumah panjang itu, dan rumah-rumah setinggan di kawasan itu dirobohkan untuk memberi laluan kepada rumah-rumah flat.  Apabila rumah-rumah flat itu siap, maka dipindahkan penghuni-penghuni rumah panjang ke flat-flat itu dengan syarat mereka membayar sewa-beli RM50.00 sebulan, satu jumlah yang memang mereka sanggup membayarnya; dan rumah panjang itu mengambil penghuni baru.

Beberapa kawasan telah dibina rumah panjang untuk pemindahan setinggan-setinggan dan proses perpindahan ini telah berjaya mengatasi setinggan-setinggan.

Cadangan saya itu mendapat reaksi yang berbeza dari kalangan Ketua-Ketua Jabatan.  Ada yang bersetuju dan ada yang tidak.  Tetapi Datuk Bandar mengambil tindakan yang sangat tegas.  Dia mencabar mana-mana Ketua Jabatan yang tidak setuju mengemukakan cadangan lain untuk dilaksanakan.  Tidak ada sesiapa yang berani menerima cabaran Datuk Bandar itu, tetapi mereka menentang kerana mereka kurang berkenan kerana cadangan ini datangnya dari saya.  Ada diantara Ketua-Ketua Jabatan itu sudah melahirkan beberapa sikap cemburu kepada saya kerana semua arahan berat dari Datuk Bandar telah dapat saya jayakan.

Mulai dari saat itu, DBKL melaksanakan cadangan itu dan hinggalah kini, kita dapati bahawa DBKL dapat membersihkan kawasan setinggan di kawasannya dan di serta-rata Kuala Lumpur terpacak rumah-rumah flat yang didiami dengan cara sewa-beli.  Alangkah teraturnya pembangunan DBKL dan tidak lagi dikelamkabutkan dengan rumah-rumah setinggan.

(...Kisah di DBKL akan saya ceritakan di dalam lambaran yang lain..)

(...Bersambung...)

Melebarkan Jalan Ipoh berhadapan dengan gangster

Posted: 12 Jul 2013 01:21 PM PDT

(Sebelum saya melakarkan kisah ini, saya mahu mengambil peluang untuk berpesan kepada isteri, anak-anak, menantu dan cucu-cucu saya, saya baru kembali dari masjid untuk solat Jumaat, dan rasanya tidak ada pesanan yang lebih afdhal daripada menyuruh keluarga saya khususnya anak-anak, menantu dan cucu saya mengerjakan solat 5 waktu sehari semalam, dan apabila saya dan ibu kamu sudah tiada, kamu hendaklah sentiasa berdoa untuk roh Abah dan Emak, sempurnakanlah pesanan Abah ini).
========================================================================
MELEBARKAN JALAN IPOH

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diperuntukkan dengan peruntukan yang besar untuk melebarkan jalan-jalan di Kuala Lumpur, dan memang sudah amat perlu agar dibina viaduct (jambatan-jambatan khususnya di kawasan-kawasan simpang-simpang yang sesak kerana Traffic Light tidak lagi dapat menampung keperluan lalulintas di Kuala Lumpur, bahkan round-about menjadi sistem jalanraya yang sudah usang yang kadang-kadang menjadi sebab kepada jam yang tenat di Kuala Lumpur.

Tugas yang sudah selesai adalah mengujudkan Unit Terkandas dan Unit Traffic Warden, dan tugas yang lebih besar yang memerlukan peruntukan yang besar adalah untuk melebarkan jalan dan membina viaduct.  Aliran Traffic Light di mana masih diperlukan hendaklah mengurangkan kereta-kereta dari masuk ke Kuala Lumpur dan mempercepatakan aliran menghala keluar daripada Bandaraya.

Tugas yang seterusnya ialah untuk mengadakan Hov dan Lov, High Occupancy Vehicles dan Low Occupancy Vehicles (dan bahagian ini diserahkan kepada Bahagian engineering DBKL), dan bagaimana pun, kami membuat lawatan ke Bandaraya Singapura untuk mengkaji pengalaman dan tindakan Bandaraya itu bagaimana mahu mengurangkan kesesakan traffic di Pulau itu.

Kami kembali ke Kuala Lumpur dengan idea melaksanakan HOV dan LOV.  Mana-mana kenderaan yang membawa minima 4 penumpang boleh memasuki Kuala Lumpur dengan percuma tetapi kenderaan yang membawa kurang dari jumlah penumpang itu terpaksa membayar tol apatah lagi kalau kenderaan itu hanya digunakan oleh seorang sahaja umpamanya pemandunya sahaja.

Sistem jalanraya di Kuala Lumpur juga perlu mengambil kira mengenai pelaksanaan sistem HOV dan LOV ini.  Untuk mengelakkan kenderaan-kenderaan yang tak perlu masuk ke dalam Bandaraya, jalan-jalan perkeliling perlu diperkemaskan.  Umpamanya, kenderaan dari Ipoh yang perlu pergi ke Seremban, tidak perlu masuk ke Bandaraya tetapi mengikuti jalan Pekeliling.  Kenderaan dari Pantai Timur yang perlu pergi ke Shah Alam atau Kelang atau Seremban tidak perlu masuk ke Bandaraya tetapi mengikuti jalan pekeliling.

Dari segi dasar, telah dipersetujukan bahawa di pintu-pintu masuk ke Kuala Lumpur akan didirikan kompleks parkir yang cukup besar dan luas supaya semua kenderaan dari luar tidak perlu masuk ke Bandaraya tetapi hendaklah parkir kenderaan masing-masing di kompleks parkir ini.  Maka akan ada kompleks ini di suatu kawasan dari Ipoh, dari Pahang, dari Kelang dan dari Seremban.  Dari kempleks-kompleks ini, orang ramai hendaklah menggunakan public transport untuk memferikan mereka ke Bandaraya; maka dipersetujukan agar public transport itu hendaklah efficient, mampu membawa penumpang-penumpang ke Bandaraya; dan mana-mana kenderaan yang perlu juga masuk ke Bandaraya hendaklah dikenakan TOL yang tinggi.

Kesemua itu tidak dilaksanakan.  Tidak ada kompleks parkir dibina, tidak ada efficient public transport.  Yang ada hanyalah TOL.  Rupa-rupanya Kerajaan hanya mahu kutip wang daripada pemilik-pemilik kenderaan dan Kuala Lumpur akan tetap menjadi sebuah bandaraya yang penuh sesak dengan kenderaan-kenderaan.  Lantaklah, kerana kita ada kerajaan yang hanya berminat mendapatkan duit tapi tak berminat nak mengatasi masalah kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur.

Untuk peruntukan besar bagi melebarkan jalan, menukarkan traffic system supaya lebih banyak jalan sehala, dan membina viaduct, DBKL diarahkan supaya diadakan unit kenderaan terkandas dan unit traffic warden.

Traffic Warden memerlukan AP, iaitu kebenaran untuk Auxiliary Police atau Polis Tambahan.  Untuk itu Kementerian Dalam Negeri yang pada waktu itu dibawah jagaan Tan Sri Ghazali Shafei, telah menjemput DBKL, Polis Negara dan juga Polis Kuala Lumpur untuk bermesyuarat bagi membolehkan AP diberikan kepada Unit Traffik Warden.

Tan Sri Yaakub Latiff, Datuk Bandar, telah meminta saya mewakili DBKL walaupun saya tidak senang kerana saya sangat kenal dengan perangai Tan Sri Ghazali.  Beliau tidak akan suka pegawai rendah hadir di mesyuarat di Kementeriannya sedangkan wakil-wakil dari Jabatan lain dihadiri oleh Pegawai-Pegawai Tinggi.  Walaupun saya sudah sampai awal di Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali tidak memanggil mesyuarat itu to order kerana dia masih mahukan Datuk Bandar sendiri hadir.  Saya talipon kepada Datuk Bandar tetapi dia mengatakan bahawa sayalah orang yang patut berunding kerana Unit Traffic Warden itu berada dibawah jagaan saya.

Mesyuarat itu dibatalkan oleh Tan Sri Ghazali dengan pesanan kesat kepada Datuk Bandar.  Saya kembali ke DBKL menyampai pesanan kesat Tan Sri Ghazali.  Datuk Bandar betul-betul marah dan dia berkata, "Puki Mak dan celaka Ghazali ni, dia ingat dia besar sangat?"  Datuk Bandar terus menalipon kepada Tun Razak dengan aduannya.  Tun Razak terus memberikan kebenaran untuk AP kepada Unit Traffic Warden kerana pinjaman Bank Dunia itu tergantung jika salah satu daripada keperluan Bank itu tidak dipatuhi.  Tak hendaklah saya mengatakan, Padan Muka Tan Sri Ghazali, tetapi saya berasa puas hati.

Di suatu seksyen di Jalan Ipoh ada beberapa buah kedai yang terjuntai memakan jalan menyebabkan jalan itu sempit di kawasan itu dan sentiasa berlaku kesesakan lalulintas yang melampau-lampau.  Sudah 10 tahun DBKL menghantar notis supaya pemilik-pemilik kedai itu mengosongkan kedai masing-masing, dengan janji dari DBKL bahawa bayaran compensation yang agak besar akan diberikan dan tanah bagi tapak kedai itu akan dibesarkan menghala ke sebelah belakang, dan pemilik-pemilik akan mendapat kawasan kedai yang lebih besar.

Tetapi pemilik-pemilik itu enggan menerima tawaran dari Datuk Bandar.  Saya dipanggil oleh Datuk Bandar untuk menguruskan isu yang sensitif ini.  Saya menghantar sekali lagi Notis yang diperlukan dengan tawaran compensation dan di samping itu pemilik-pemilik kedai itu akan diberikan rumah-rumah flat untuk perpindahan sementara sehingga kedai-kedai mereka dapat dibina semula.

Setelah tamat notis itu tiada sebarang respon dari pemilik-pemilik kedai.  Dan saya cukup tidak selesa kerana ada parti-parti didalam Barisan Nasional yang memihak kepada pekedai-pekedai itu.  Dan saya sendiri mendapat berbagai ugutan, dan ugutan-ugutan seperti inilah yang menyebabkan perobohan kedai-kedai itu sudah tertangguh selama 10 tahun.

Saya berjumpa Datuk Bandar dan meminta jaminan daripadanya agar saya diberikan perlindungan keselamatan, dan beliau tidak akan menarik diri jika parti-parti didalam BN menentang akan tindakan DBKL.  Memang Datuk Bandar memberikan jaminan itu dan beliau sendiri telah menalipon kepada Polis agar pegawai-pegawai DBKL diberikan perlindungan keselamatan.

Saya memanggil satu mesyuarat besar iaitu dari Jabatan LLN, JKR yang pada masa itu mengendalikan air, Polis dan Unit Penguatkuasa DBKL.  Saya telah letakkan jadual-jadual tindakan akan diambil.

Mula-mula pihak LLN mengambil tindakan dengan memutuskan semua sambungan elektrik ke bangunan-bangunan kedai itu.  Pemilik-pemilik kedai itu masih berdegil.  Kemudian bekalan air diputuskan.  Mereka masih juga berdegil.

Kemudian, Unit Penguatkuasa DBKL meruntuhkan sebelah dapur kedai-kedai itu.  Sampai ke peringkat ini, barulah pemilik-pemilik kedai datang bertemu saya dan membincangkan isu gantirugi, isu perpindahan sementara, dan isu geran baru yang membesarkan kawasan kedai mereka.

Setelah penyelesaian dapat dicarikan, maka bangunan kedai-kedai itu dirobohkan, kerja-kerja ini dibuat dengan cepat supaya Jalan Ipoh di kawasan itu dapat dilebarkan dan supaya kedai-kedai baru dapat dibina.

Persetujuan dengan pemilik-pemilik kedai itu adalah supaya kedai-kedai itu melalui bayaran gantirugi, dapat dibina dalam tempoh 4 tahun untuk mendnapat developement order dan lain-lain keperluan undang-undang.  Tetapi akhirnya bangunan itu dapat dibina jauh lebih singkat dan pemilik-pemilik kedai itu dapat berniaga dengan selesa semula.

Isu yang timbul selepas itu ialah isu setinggan dibeberapa buah kampung sekitar Kuala Lumpur.  Dan saya akan ceritakan masalah ini didalam lambaran yang lain.

(...bersambung...)  

Tiada ulasan: