Isnin, 22 Julai 2013

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


BN tabur wang RM377 juta di Kuala Besut

Posted: 21 Jul 2013 10:12 PM PDT

Umno BN menaburkan janji dan sogokan sebanyak RM377.45 juta sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, kata Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Hatta Ramli.
Katanya, jumlah itu diperolehi daripada pengumuman yang dibuat pemimpin Umno BN dan dilaporkan dalam media.
Sebagai contoh katanya, projek mendalamkan Sungai Besut yang diluluskan sebanyak RM250 juta dan penambahbaikan empangan di Pengkalan Nangka berjumlah RM35 juta.
Menurutnya, jika pilihan raya kecil itu tidak ada, rakyat di kawasan itu akan terus dipinggirkan  kerajaan negeri dan pusat. Sehubungan itu,  Hatta mempersoalkan dari sumber mana wang tersebut digunakan BN.
"Adakah perbelanjaan daripada kerajaan persekutuan, atau menggunakan dana khusus atau daripada royalti rakyat Terengganu?," katanya dipetik Malaysiakini.
Menurut Hatta, adalah penting Kuala Besut dimenangi Pakatan Rakyat bagi menentukan jumlah kerusi 16:16 di negeri itu  dan memastikan BN tidak boleh membuat keputusan sesuka hati.
Dalam sidang media juga, Dr Hatta turut mengedarkan senarai "peruntukan dan habuan" yang dilaporkan oleh media arus perdana termasuk menaiktaraf Masjid Haji Ishal, Kampung Dengir sebanyak RM343,000; projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi, Tok Saboh RM28 juta.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54454

Fitnah II: Anwar bantah rayuan diketuai peguam Umno

Posted: 21 Jul 2013 10:11 PM PDT

(Oleh: Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 22 JULAI: Pasukan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah perlantikan peguam pro Umno, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan bagi kes rayuan Fitnah II di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Menurut Anwar, notis bantahan diserahkan kepada mahkamah kerana jelas kes tersebut bermotif politik dan bertujuan menghentikan kegiatan politik beliau.
"Kita mempersoal kepentingan kerajaan dalam melantik Shafee yang jelas prejudis terhadap kes ini untuk mengetuai pendakwaan," kata Ketua Umum KEADILAN itu kepada media.
"Dengan sikap prejudis Shafee mustahil kes ini ditangani secara profesional, kita faham mungkin kerajaan kekurangan peguam profesional untuk mengetuai kes ini," sinis beliau.
Shafee sebelum ini mendapat kecaman pengguna internet kerana dikatakan merangka konspirasi dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memusnahkan imej Ketua Pembangkang itu.
Dalam pada itu, Anwar turut menyifatkan rayuan kes itu sebagai dendam kesumat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail serta Najib Razak , meskipun beliau dibuktikan tidak bersalah pada 9 Januari tahun lalu.
"Saya telah jelaskan bahawa rayuan ini adalah kerana dendam kesumat Peguam Negara dan keputusan kerajaan untuk meneruskan kes ini kerana Najib yang mahu menghalang kebebasan yang saya perolehi," katanya.
Anwar diwakil peguam, Karpal Singh dan Ramkarpal. Bagaimanapun, Karpal tidak dapat hadir kerana sakit dan dimasukkan ke hospital. Mahkamah kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga 1 Ogos 2013 untuk pengurusan kes dan menetapkan satu tarikh baru untuk perbicaraan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54471

Fitnah II: Cubaan penjarakan semula Anwar

Posted: 21 Jul 2013 10:10 PM PDT

KUALA LUMPUR 21 Julai: Rayuan terhadap keputusan kes Fitnah II adalah cubaan Umno BN untuk mengheret semula Datuk Seri Anwar Ibrahim ke penjara, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.
Menurut Surendran, Mahkamah Tinggi telah membebaskan Anwar dari tuduhan tersebut pada Januari tahun lalu dan umum mengetahui ia merupakan konspirasi politik peringkat tertinggi untuk menjatuhkan Anwar.
Malah, katanya, konspirasi itu turut melibatkan institusi seperti polis dan pejabat peguam negara  diketuai Tan Sri Abdul Gani Patail.
"Rayuan ini tak sepatutnya difailkan. Semua orang tahu Gani Patail (peguam negara) orang suruhan Umno. Mahkamah dan polis hanya digunakan untuk menindas dan memenjarakan Anwar," kata Surendran.
Beliau mengulas kes rayuan berkenaan yang akan berlangsung di Mahkamah Rayuan Putrajaya, esok, ekoran  rayuan kerajaan terhadap pembebasan  Anwar, 9 Januari tahun lalu.
Kes tersebut, yang sebelum ini dilihat sebagai konspirasi kedua mengaibkan Anwar, dijangka sekali lagi menarik perhatian media dalam dan luar negara apabila ia dibicara di peringkat rayuan.
Menurut Surendran, Umno BN kini kehabisan modal untuk melakukan apa sahaja bagi menyekat kebangkitan Pakatan Rakyat ke Putrajaya, termasuk memenjarakan semula Anwar.
"Itu cara terbaik Umno-BN mematahkan kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Mereka fikir cara terbaik untuk terus berkuasa ialah memenjarakan Anwar," kata N Surendran.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari tahun lalu membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara antara jam 3.10 dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Anwar, 65, yang juga ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh, didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54460

Tiada ulasan: