Selasa, 16 Julai 2013

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Soalan Parlimen 11 Julai 2013 -YB Telok Kemang -Dato' Kamarul Baharin Abbas

Posted: 15 Jul 2013 11:54 PM PDT

Dato' Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang) - Minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan:-

(a) Setakatmana TNB dapat mengurangkan kos operasinya dengan langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan kecekapan operasi; dan

(b) Adakah langkah menaikkan kadar kegunaan elektrik dipengaruhi oleh kenaikan tanggungan kepada penjana-penjana bebas (IPP).

Jawapan

Tuan Yang Dipertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

1. Kementerian ini mengambil perhatian serius keatas keperluan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) meningkatkan tahap kecekapannya bagi mengurangkan kos operasi. Sehubungan dengan ini, Kementerian bersama Suruhanjaya Tenaga akan mempertingkatkan pemantauan ke atas TNB melalui pelaksanaan Regulatori Berdasarkan insentif atau Incentive-Based Regulation (IBR), dengan izin. IBR merupakan rangka kawalselia ekonomi untuk menggalakkan kecekapan dari segi prestasi, operasi dan kewangan untuk syarikat utiliti elektrik.

2. Di bawah mekanisme IBR, tarif elektrik yang dikenakan oleh TNB kepada pelanggan adalah berdasarkan kos yang efisyen. Mekanisme IBR ini juga dapat memberi insentif kepada TNB untuk sentiasa meningkatkan kecekapan operasi dan meningkatkan pelaburan terhadap infrastruktur bekalan elektrik untuk memastikan bekalan tenaga elektrik yang berdaya harap demi memenuhi permintaan oleh pelanggan. Hasil penjimatan daripada kecekapan operasi TNB juga akan dikongsi sebahagiannya dengan pengguna.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

3. Keputusan Kerajaan untuk menyemak semula kadar tarif elektrik mengambil kira faktor-faktor seperti berikut:-

a. Kos pembayaran kapasiti dan tenaga kepada IPP.
b. Kos operasi dan senggaraan yang turut dipengaruhi oleh kadar inflasi.
c. Perbelanjaan modal untuk pembangunan infrastruktur penjanaan, penghantaran dan pembahagian elektrik.
d. Pencapaian TNB dalam meningkatkan kecekapan dan tahap daya harap pembekalan elektrik sebagaimana yang terkandung dalam prestasi sasaran.

4. Ingin saya jelaskan di sini bahawa secara umumnya, pelarasan tarif elektrik TNB akan dilakukan apabila terdapat perubahan dalam kos menyediakan bekalan elektrik terutamanya jika terdapat perubahan kepada kos bahan api terutamanya gas dan arang batu kerana kos bahan api ini merupakan komponen utama dalam kos pembekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

___________________________________________________________

Rakyat boleh menilai pendirian Kerajaan dalam soal kenaikan tarif elektrik dan kaitannya dengan IPP. Maka jawapan ini jelas memberikan kita makna dan sikap Kerajaan dalam menangani masalah kenaikan tarif elektrik.

Anwar baca SMS Jusuf Kalla dalam Dewan Rakyat

Posted: 15 Jul 2013 11:11 PM PDT

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan menyaman akhbar Berita Harian kerana memfitnahnya berhubung dakwaan Pakatan Rakyat menerima wang dana asing untuk perhimpunan Black 505.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) bertanya soalan tambahan kepada Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat tentang laporan memetik bekas naib presiden Indonesia Jussuf Kalla, yang menyebut Anwar menerima dana asing bagi perhimpunan itu.

NONE
"Saya memutuskan untuk menyaman Berita Harian kerana fitnah jahat ini. Penjelasan telah diberi oleh Jusuf di dalam media, tetapi kenapa Kementerian Dalam Negeri mengambil masa berbulan untuk selesaikan perkara ini?" kata Anwar (kanan).

Anwar berkata demikian ketika bangun selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjawab soalan daripada Reezal.

Selain itu, Anwar turut membacakan SMS yang diterimanya daripada Jusuf kepada Dewan Rakyat bagi menafikan laporan akhbar harian tersebut.


Edaran bubur lambuk oleh Adun Sikamat di Masjid Sikamat

Posted: 15 Jul 2013 09:33 PM PDT

Ahad lepas bertempat di kawasan bazar Ramadhan berhadapan Masjid Sikamat, Taman Desa Rhu telah berlangsung program edaran bubur lambuk kepada orang ramai. Turut sama dalam program ini Adun Sikamat YB Aminuddin Harun. Program anjuran Pejabat ADUN Sikamat ini menjadi acara tahunan tiap kali bulan Ramadhan.

 



Aliran tersumbat, jalan digenangi air di Persimpangan Lukut-Sepang

Posted: 15 Jul 2013 09:24 PM PDT


Setiap kali hujan, Persimpangan Lukut-Sepang di Pekan Lukut akan ditakungi air akibat aliran yang tersumbat atau tidak diselenggara oleh pihak bertanggungjawab.

Keadaan tersebut akan mendatangkan kesukaran kepada para penunggang motosikal dan kereta kerana paras air yang bertakung di persimpangan itu agak tinggi sukar dilalui berbanding kenderaan besar dan tinggi seperti pacuan empat roda atau lori/bas.

Sekali lagi peranan Ahli Majlis yang bertanggungjawab di kawasan terbabit gagal melaksanakan tugas dan peranan mereka. 


Longkang tersumbat, Ahli Majlis PBT gagal menjalankan tugas

Posted: 15 Jul 2013 09:17 PM PDT


Baru-baru ini, Adun Chuah YB Chai Tong Chai telah menerima aduan daripada penduduk-penduduk di Taman Bukit Pelandok, Chuah mengenai longkang yang tersumbat yang menyebabkan aliran air tersekat.


Menurut YB Chai lagi, penduduk memaklumkan kepada beliau keadaan longkang yang tersumbat itu telah menyebabkan bau busuk dan menjadi tempat pembiakan nyamuk.


Laporan telah dibuat kepada Majlis Daerah Port Dickson (MDPD) dan South Waste Management (SWM) untuk tindakan segera. 

Sepatutnya Ahli Majlis yang bertugas menjaga kawasan tersebut menjalankan tanggungjawabnya dalam menanggani masalah longkang tersumbat seperti ini. Namun, agak mengecewakan mereka masih gagal melaksanakan peranan yang bukan menjadi tanggungjawab wakil rakyat! 

Jika 16:16, Speaker DUN Terengganu tiada kuasa penentu

Posted: 15 Jul 2013 08:54 PM PDT

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak lagi mempunyai kuasa penentu (casting vote) apabila Pas memenangi pilihan raya kecil (PRK) N01 Kuala Besut.
Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berrkata, senario itu terjadi berikutan kedudukan 16 : 16 antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.
Dr Dzul
"Speaker DUN Terengganu tidak ada kuasa (undi) penentu (casting vote) kerana bukan dipilih oleh rakyat.
"Dia dilantik oleh kerajaan Terengganu," katanya dalam ceramah kelompok di Kampung Tok Saboh, 13 Julai lalu.
Bekas calon BN parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Zubir Embong yang tewas kepada calon Pas, Raja Kamarul Baharin dengan majoriti 10,785 undi dilantik sebagai Speaker DUN  Terengganu 16 Jun lalu.
Justeru kata Dr Dzulkefly, BN dilihat begitu terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat kemenangan dalam PRK Kuala Besut bagi mengekalkan majoriti dalam DUN Terengganu.
Sebelum ini, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari berpendapat, Sultan Terengganu boleh membubarkan DUN sekiranya baginda tidak boleh memutuskan menteri besar yang sesuai  di negeri itu.
Katanya, Sultan boleh membuat keputusan itu sekiranya BN dan Pakatan Rakyat menguasai  jumlah kerusi sama banyak.
Dalam keadaan seperti itu, pelantikan menteri besar boleh diputuskan Sultan yang boleh menggunakan pertimbangannya sendiri.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54295

Pakatan fail saman cabar keputusan PRU-13

Posted: 15 Jul 2013 08:52 PM PDT

Pakatan Rakyat memfailkan saman ke atas tujuh individu yang menjadi panel Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berhubung isu penggunaan dakwat kekal pada 15 Julai lalu.
Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata tindakan saman itu adalah simbolik bagi menyalahkan sepenuhnya Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof serta enam ahli panel lainnya yang didakwa berniat menipu PRU-13 melalui kaedah tersebut.
"Kita bawa ke mahkamah isu ini (dakwat kekal) kerana kita anggap satu penipuan, ia bukan soal kecuaian mahupun kekurangan pengalaman dalam mengendalikan dakwat kekal, tetapi mereka memang berniat untuk menyeleweng PRU-13 dengan mengadakan dakwat tidak kekal," katanya.
Saman_SPR
Jelas Sivarasa, tidak ada pihak lain yang bertanggungjawab mengendalikan pilihan raya kecuali SPR. Katanya, selain mengemukakan petisyen, saman adalah jalan spesifik untuk mendedahkan penyelewengan.

"Kita mahu satu pengisytiharan dari badan kehakiman bahawa SPR gagal melaksanakan tanggungjawab dengan menggunakan dakwat tidak kekal, melalui pengisytiharan itu juga kita mahu keputusan PRU-13 di 222 kawasan dibatalkan dan pilihan raya diadakan semula," katanya.
Menurut beliau lagi, saman tidak difailkan kepada institusi tetapi individu kerana mahu mereka bertanggugjawab sepenuhnya atas penyelewengan yang dilakukan. Pakatan juga, katanya, tidak mahu individu sama mengetuai SPR dan menuntut gantirugi atas penipuan mereka.
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar pula menyifatkan tindakan itu sebagai cara terbaik untuk memastikan ketujuh-tujuh individu tersebut bertanggungjawab di atas tindakan mereka.
"Isu dakwat tidak kekal adalah isu pokok dalam memastikan pilihan raya berjalan dengan bersih. Mahkamah adalah cara terbaik bagi kesemua ahli SPR yang terlibat menjawab," katanya.
Saman Pakatan diwakili calon parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (KEADILAN), calon parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (PAS) dan calon parlimen Cameron Highlands M. Manogaran (DAP) serta dua pengundi lain.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54307

PAS yakin dapat MB jika situasi 16:16 di Terengganu

Posted: 15 Jul 2013 08:50 PM PDT


Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub percaya PAS dapat memperoleh kedudukan sebagai menteri besar Terengganu jika Dewan Undangan Negeri (DUN) mencapai anggota 16:16 antara Pakatan Rakyat dan BN.

Katanya, jika itu berlaku, PAS akan dapat menyelesaikan masalah tanah di negeri Pantai Timur itu.

NONE
"Jika kita dapat capai 16:16, Insya-Allah jika ia benar-benar berlaku, PAS akan menjadi menteri besar dan menyelesaikan masalah tanah di negeri ini," katanya dalam ceramah di Seberang Barat Luar, Kuala Besut malam tadi.

Menurut bekas anggota Parlimen Kubang Kerian itu, PAS ketika memimpin Terengganu pada 1999 berjaya menyelesaikan 75 peratus masalah itu.

BN sekarang mempunyai penguasaan 17 kerusi DUN di Terengganu manakala Pakatan pula 15 kerusi.

Jika PAS berjaya merampas kerusi itu, jumlah kedua-dua pihak akan sama banyak, yang kemungkinan besar mewujudkan keadaan DUN 'tergantung'.

Pakar undang-undang berpendapat, jika itu berlaku, ia bergantung kepada sultan Terengganu untuk menentukan menteri besar atau membubarkan DUN supaya pilihan raya semula dapat dilangsungkan.

'Bayangkan PAS tak masuk pilihan raya'

Sementara itu, Salahuddin juga menegaskan, parti Islam itu akan terus mengambil bahagian dalam proses pilihan raya walaupun berhadapan situasi padang tidak sama rata.

NONE
Katanya, ia "sumbangan besar demi negara" daripada aspek keselamatan negara kerana mereka tidak mahu Malaysia menjadi sebuah lagi negara Amerika Latin yang rakyatnya menggulingkan kerajaan bukan melalui proses pilihan raya.

"Pasukan keselamatan patut berterima kasih kepada PAS... 

"Boleh kamu bayangkan, apa yang akan berlaku sekiranya PAS memutuskan tidak mengambil bahagian dalam proses pilihan raya," katanya sambil menambah parti itu mempunyai 1.3 juga anggota di seluruh negara.

Pantau harga barang, bukan saran rakyat tukar selera

Posted: 15 Jul 2013 08:49 PM PDT

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) sepatutnya membantu menyelesaikan krisis kenaikan harga ayam, bukan mencadangkan rakyat bertukar selera ke sumber protein lain seperti disaran menterinya, Datuk Hasan Malek.
Ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, fungsi asas kewujudan KPDNKK untuk memastikan harga-harga barang terkawal mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan.
"Hasan patut sedar fungsi KPDNKK, sama ada rakyat perlu bertukar selera atau tidak bukan dia yang tentukan.
johari-abdul
"Bila berlaku kenaikan harga, tanggungjawab menteri memantau dan menghukum peniaga yang menaikkan harga sesuka hati,
"Bukan melepaskan tanggungjawab dengan saranan dangkal," kata Johari kepada Keadilandaily.
Semalam, Datuk Hasan Malek mengajak orang ramai 'menukar' selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.
Johari menambah, KPDNKK sewajarnya meningkatkan kepekaan dan tanggungjawab untuk membantu rakyat agar boleh membeli barang keperluan pada harga berpatutan.
"Tingkatkan kualiti penyeliaan dan pemantauan. Babitkan lebih banyak pihak di setiap peringkat, dari kementerian hingga pengguna.
"Penghulu, ketua kampung, pegawai terlibat dan pengguna mesti digesa menjadi mata dan telinga kerajaan agar sebarang penyelewengan harga boleh dibanteras segera," katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54315

Tiga Menteri Pertanian perlu didakwa – Fariz

Posted: 15 Jul 2013 08:48 PM PDT

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Kesemua Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang terlibat melulus dan meneruskan aliran dana kepada syarikat NFC perlu bertanggungjwab terhadap kes penyelewengan wang kerajaan itu.
Pengerusi Jingga 13, Fariz Musa berkata, dana berkenaan diluluskan ketika Muhyiddin Yasin menjadi Menteri Pertanian kemudian penggantinya Mustafa Muhamad dan seterusnya diganti oleh Noh Omar.
shahrizat_nfc
(Gambar hiasan)
Beliau berkata, ketiga-tiga menteri itu perlu disoalsiasat dan dihadapkan ke mahkamah memandangkan kesemua kerugian dana yang diselewengkan itu perlu dipikul oleh kerajaan Malaysia.
"Wang tersebut adalah dari dana kerajaan, ketiga-tiga menteri ini bertanggungjawab menyalurkan wang dari kementerian mereka untuk kegunaan rakyat, bukan kegunaan kroni," katanya
Fariz turut menyatakan rasa kesalnya apabila dua dari menteri yang terlibat dengan skandal itu masih dilantik menjadi menteri kabinet baru selepas prestasi buruk mereka sepanjang menjadi Menteri Pertanian dahulu.
"Amat menyedihkan apabila dua menteri (Muhyiddin Yasin dan Mustafa Mohamad) masih dikekalkan dalam kabinet sedangkan mereka bertanggungjawab 'melesapkan' dana kerajaan
"Adakah kerajaan Malaysia mengizinkan 'jenayah' dilakukan secara terang oleh menteri-menteri itu?" soal Fariz.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54334

Harga ayam melambung: Menteri tak bertanggungjawab

Posted: 15 Jul 2013 08:44 PM PDT

KUALA LUMPUR 16 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) sepatutnya membantu rakyat menyelesaikan krisis kenaikan harga ayam bukannya memberi cadangan supaya rakyat bertukar selera kepada sumber protein yang lain seperti disaran Menterinya, Datuk Hasan Malek.
Johari Abdul
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Datuk Johari Abdul berkata, fungsi asas kewujudan KPDNKK itu sendiri adalah untuk memastikan harga-harga barang terkawal mengikut harga yang ditetapkan kerajaan.

"Hasan patut sedar fungsi KPDNKK mengawal harga, sama ada rakyat perlu bertukar selera atau tidak bukan dia yang tentukan.
"Apabila berlaku kenaikan harga, tanggungjawab menteri memantau harga itu dan menghukum peniaga yang menaikkan harga sesuka hati, bukan melepaskan tanggungjawab dengan saranan yang dangkal," ujar Ahli Parlimen Sungai Petani itu ketika ditemui.
Johari menambah, KPDNKK sewajarnya meningkatkan kepekaan dan tanggungjawab untuk membantu rakyat agar boleh membeli barang keperluan pada harga yang berpatutan.
"Tingkatkan kualiti penyeliaan dan pemantauan. Babitkan lebih banyak lagi pihak di setiap peringkat dari kementerian hinggalah kepada penghulu, ketua kampung dan sebagainya. Para pengguna mesti digesa menjadi mata dan telinga kerajaan agar sebarang kenaikan harga boleh dibanteras segera," katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54343

Tiada ulasan: