The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Posted: 28 Jun 2013 08:22 PM PDT KEHIDUPAN SEMAKIN SUSAH Selepas ayah saya ditahan oleh Penjahat Inggeris, keluarga saya tidak lagi dibenarkan tinggal di Kg Darat Lubok Kawah, kawasan itu mula-mula sekali diisytiharkan kawasan "hitam". Aki sayalah pada waktu itu menjadi ketua keluarga menggantikan ayah saya. Aki membawa kami berpindah ke Kg Lubok Kawah diatas tanahnya (yang kini berpindah kepada bekas kakak ipar saya setelah abang saya Cikgu Din meninggal dunia). Tinggallah kami di Kg Lubok Kawah, berdekatan dengan Masjid Kg Lubok Kawah dan ramailah penduduk-penduduk Kg itu dengan rumah-rumah kampung hampir bertemu tangga. Tetapi tidak lama kami di Kg Lubok Kawah, penduduk kampung itu diarah berpindah ke lain-lain kampung kerana Kg Lubok Kawah diisytiharkan kawasan hitam juga. Aki membawa keluarga kami berpindah ke Kg Berhala Gantang iaitu kampong asalnya. Aki mempunyai tanah pusaka di kampung itu tetapi tanah itu telah diserahkan oleh Aki kepada adik perempuannya apabila Aki berpindah ke Kg Lubok Kawah. Kami menumpang diatas tanah milik anak saudara Aki yang dikenali dengan nama Pak Ngah Tafa. Tetapi di Kg Berhala Gantang itu tidak ada sumber pendapatan. Seorang keluarga jauh dari Aki iaitu Penghulu Mat Seh dari Kg Bangau menjemput Aki dan keluarga kami berpindah ke Kg Bangau dimana Aki dapat menoreh getah di kampung itu dan keluarga kami ditempat di bahagian belakang rumah Penghulu Mat Seh yang saya panggilnya sebagai Aki Mat Seh. Tak lama kemudian abang kepada emak saya bernama Pak Awa Hasan yang tinggal di Kg Chatin, Mentakab menjemput Aki dan keluarga kami berpindah ke Kg Chatin, maka berpindahlah kami ke sana dan Aki dan emak menoreh getah di Kg Penak, iaitu di kebun Pak Lang Mat Zain, seorang yang bersaudara juga dengan Aki. Orangnya baik dan selalu membantu keluarga kami. Di Kg Penak itu terdapat abang kepada ayah saya bernama Pokde Yahya. Beliau adalah anak ketiga dari Aki saya sebelah ayah. Dia mengajak Aki dan keluarga kami berpindah ke Kg Penak supaya taklah jauh sangat untuk Aki dan emak datang menoreh getah; manakala Paklang Mat Zain pula mempunyai sebuah rumah kosong dan beliau mengizinkan keluarga kami tinggal di sana. Beliau membantu membaiki rumah itu yang sudah agak usang kerana tidak didiami. Pokde Yahya dan keluarga sentiasa datang membantu keluarga kami yang terkadang-kadang terputus bekalan beras. Pokde Yahya dan keluarganya membuat/menanam padi diatas payanya yang luas. Aki, Wan dan Emak membantu juga Pokde Yahya mengerjakan paya itu, dan sebahagian hasilnya diberikan kepada Aki dan keluarga saya. BERPINDAH RANDAH Walaupun berpindah randah dari kampung ke kampung itu seakan-akan perkara yang mudah, tetapi sebenarnya amat menyukarkan. Kami berpindah ke Kg Berhala Gantang di kalangan saudara mara Aki yang begitu ramai, hampir satu kampung itu adalah saudara mara Aki; tetapi sejak kami berada di kampung itu, askar-askar upahan Penjajah Inggeris sentiasa datang mengacau orang-orang kampung bertanyakan perkhabaran samada pejuang-pejuang rakyat yang terdiri daripada anggota-anggota API dan Awas mendatangi kampung itu dan samada keluarga saya ada membekalkan makanan kepada mereka itu. Didalam perjuangan gerila menentang penjajah itu terdapat ramai ahli-ahli keluarga kami seperti Pokde Uda, adik kepada ayah saya, Ayahcik Tar (Mokhtar) adik kepada emak saya; anak Pakwe Hasan, Pak Itam dan Mak Itam, Mak Ngah Minah dan anaknya Embong Miah, Abang Hashim, Abang Yaakob, Abang Kadir, Abang Manap, Ngah Hawa dan Embong Mariam, abang Omar dan Abang Samah - ini semua sepupu saya (my first cousins) tak termasuklah saudara mara dua pupu atau tiga pupu. Dizaman itu, sepupu itu semacam adik beradik, dan begitu juga dua atau tiga pupu. Keadaan ini berlaku semasa kami berada di Kg Bangau dan Kg Chatin. Orang-orang kampung meminta kami meninggalkan kampung-kampung mereka agar mereka tidak terus diganggu oleh mata-mata gelap upahan Penjajah Inggeris. Hanya apabila kami berpindah ke Kg Penak, kami tidak diganggu oleh mata-mata gelap jahat ini kerana Paklang Mat Zain mempunyai pengaruh yang kuat dan beliau yang melindungi kami. Aki dan emak menoreh getah di kebun Paklang Mat Zain. AKI MEMPUNYAI PENCEN Aki saya bernama Haji Ibrahim bin Haji Ahmad atau lebih dikenali sebagai Paklang Hj Berahim bukanlah calang-calang juga ilmunya. Entah bagaimana di zaman Penjajah Inggeris itu, Aki saya belajar di sekolah Inggeris. Kelulusannya tidaklah tinggi sangat tetapi membolehkan dia bekerja di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh di zaman mudanya. Aki saya tidaklah disukai sangat oleh ahli keluarganya kerana berpendidikan Inggeris yang dikatakan berpendidikan Kristian. Untuk menamatkan zaman remajanya, maka ayahnya Haji Ahmad berhajat untuk menjodohkan Aki saya itu dengan seorang pupunya di Kg Berhala Gantang. Namun pinangan itu ditolak kononnya Aki saya tidak ada pelajaran Ugama Islam. Anak muda di zaman itu cukup mudah tawar hati, dia terasa hati kerana pinangannya ditolak, dia terus meninggalkan Temerloh, peringkat awalnya tidak diketahui kepergiannya. Akhirnya dia juga mengutus surat kepada ayahandanya bahawa dia sedang berpondok di Kelantan. Dia berpondok selama hampir 15 tahun di Kelantan sehingga dia faseh berbahasa Arab dan faseh pula berbahasa Inggeris. Semasa kami tinggal di Kg Lubok Kawah itu, Aki saya mempynyai bertong-tong buku Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, tetapi oleh kerana perpindahan yang tak henti-henti buku-buku itu habis rosak, terkena air dan dimakan anai-anai. Aki saya kembali ke Pahang berbekalkan ilmu Ugama Islam. Dia "pakar" di bidang tajwid dan pada waktu malam baik semasa di Kg Lubok Kawah atau di mana-mana kami berpindah, dia mengajar membaca Al-Quraan kepada penduduk kampung. Oleh kerana beliau yang berpengetahuan di bidang ugama, beliau telah menjadi Guru Ugama di Sekolah Melayu pada waktu itu sehinggalah beliau berpencen. Pencennya tidaklah besar sekadar 20 Ringgit sahaja satu bulan, dan pencennya itulah dapat digunakan untuk menyara keluarga kami selain dari pendapatan menoreh getah. ORANG KELANTAN PERTAMA DI TEMERLOH Selepas Aki saya menamatkan pengajian pondoknya, dia bekerja di Kelantan. Dengan kelayakan Bahasa Inggeris yang ada padanya tidaklah sukar untuk dia mendapat kerja di sana. Beliau bertugas sebagai seorang Pembantu Pengurus di sebuah estet getah. Pada masa itulah beliau terpikat dengan seorang wanita yang bertugas di Estet itu, bernama Fatimah. Fatimah adalah seorang janda anak satu. Anaknya itulah yang menjadi abang kepada emak saya, namanya Pakwe Hasan. Selang beberapa lama, emak saya dilahirkan di Kg Lemal, Pasir Mas, Kelantan. Dan setelah emak saya lahir, Aki membawa Wan, Emak dan Pakwe Hasan ke Temerloh. Tidak lama kemudian berlaku banjir air kuning, iaitu banjir terbesar di Pahang pada waktu itu. Banyaklah cerita-cerita banjir itu diceritakan oleh Aki, Wan dan Emak saya dengan pelbagai kisah suka-duka dan sedih. Aki saya dan keluarganya tinggal di Kg Berhala Gantang di dalam kalangan keluarganya di kampung itu sehinggalah Aki saya turut berpindah ke Kg Lubok Kawah menyertai Aki sebelah ayah saya, Haji Ismail yang pada waktu itu sedang meneroka Kg Lubok Kawah dari hutan belantara menjadi kampung yang besar penuh dengan tempat pengajian ugama di bawah bimbingan Tok Ayah yang dijemput oleh Aki supaya menyertainya untuk sama-sama membuka Kg Lubok Kawah. Tok Ayah adalah seorang alim ulama. Beliau berhijrah dari kampungnya di Kelantan ke Kg Bintang, Temerloh iaitu kampung Aki saya itu. Dari urutan kisah orang Kelantan berhijrah ke Pahang, Wan saya mendahului orang-orang Kelantan yang lain. Bahasa Kelantannya yang pekat itu kadang-kadang menjadi keseronokan kepada orang-orang kampung yang lain yang tidak tahu pelat Kelantan mendengarnya, tetapi mengikut ceritanya, Wan saya cukup peramah dan senang bermesra dengan saudara-mara sebelah Aki saya. KEMBALI KE BERHALA GANTANG Didalam tahun 1952 Aki saya pulang ke Kg Berhala Gantang dari Kg Penak kerana dikhabarkan bahawa Kg Lubok Kawah sudah boleh didatangi pada waktu siang tetapi menjadi kawasan hitam di waktu malam. Maka pada siang hari, Aki, Wan, Emak dan Abang Dol saya akan berperahu dari Berhala Gantang ke Lubok Kawah, dan dapat menoreh getah di kebunnya sendiri. Menoreh di kebun sendiri berbeza dengan menoreh di kebun orang lain, hasil getah tidak perlu dibahagi dua. Kebun Aki saya memang luas dan hasil jualan getah mencukupilah untuk keperluan keluarga. Tetapi semasa menoreh di kebun orang lain, pendapatan keluarga kami tidaklah mencukupi. Tetapi kami semua membuat tugasan untuk keluarga. Saya dan abang Din dan abang Saidal Khadri mencari pucuk paku di dalam kebun getah untuk sayur-sayuran. Kami juga memasang tajur diumpan dengan ikan laga-laga yang dipanggil ikan karin, maka ada masanya dapat juga dua tiga ekor ikan haruan untuk lauk waktu tengah hari dan malam. Bila waktu terdesak, kami mengutip buah getah. Buah getah ini dibuat sambal rong, sedap juga dimakan dengan nasi. WAN DITIMPA KEMALANGAN JALANRAYA Semasa kami tinggal di Kg Penak, Wan saya membawa saya dan Abang Ri (Saidal Khadri) ke kedai di Batu Tiga, Jalan Mentakab untuk membeli bahan-bahan dapur seperti bawang. Malang tidak berbau. Semasa kami melintasi jalanraya, tiba-tiba sebuah lori yang dipandu laju menuju ke arah kami. Wan telah menolak saya dan abang Ri ke tepi tetapi Wan tidak berjaya menyelamatkan diri. Beliau telah dilanggar oleh lori itu, dan saya jangkakan bahawa Wan saya sudah tidak ada lagi kerana setelah dilanggar itu, Wan saya sudah tidak bergerak lagi. Tetapi ramai orang datang menolong. Ada orang mengangkat Wan untuk dihantar ke Hospital Mentakab, dan saya dan abang Ri, berlari ke Kg Penak untuk memberitahu Emak dan Aki tentang kejadian itu. Dengan segeranya Aki dan Emak bersiap dan terus berjalan kaki dari Kg Penak ke Hospital Mentakab, di perjalanan dapat menaiki sebuah kereta yang sanggup menghantar Aki, Emak dan sekeluarga kami ke Hospital; dan orang yang baik hati itu tidak mahu bayaran sewa keretanya. Maka berkampunglah kami di Hospital Mentakab sementara Wan saya dirawat. Wan patah tulang kakinya di sebelah kanan; dan pihak Hospital mengambil keputusan untuk memasukkan besi. Selang beberapa minggu Wan sudah boleh kembali ke rumah, tetapi masih tidak boleh berjalan. Semasa kami berada di Kg Berhala Gantang, Wan hanya berehat sahaja di rumah. Walaupun Wan mempunyai lima orang anak, hanya emak saya sahaja yang memeliharanya. Ayahde Choh, seorang guru besar sekolah lulusan SITC, dia dan keluarganya tinggal berjauhan. Sekali sekala semasa Ayahde di Kuala Semantan dan didalam perjalanan pulangnya dia membawakan bekalan dapur untuk Aki dan Wan seperti ikan basah, bawah, minyak masak dan sebagainya. Ayahde mempnyai boat laju yang dia gunakan untuk ke Kuala Semantan. Anak-anak kepada Ayahde saya ini ramai, tatapi oleh kerana saya tidak begitu rapat dengan keluarga itu, saya hanya mengenali Abang Medan, Abang Nuar dan Makri. Abang Medan berpencen sebagai seorang Penghulu, pernah bertugas di Mukim Sanggang dan juga Mukim Kerdau; Abang Nuar pernah bertugas sebagai seorang Pengurus di sebuah Estet di Johor dan Makri pernah bertugas sebagai kakitangan Jabatan Hutan di Temerloh. Setiap hari kalau tidak hujan, Aki, emak dan Abang Dol saya menyeberang sungai dengan perahu ke Kg Lubok Kawah untuk menoreh getah. Selang tidak berapa lama Kg Lubok Kawah diisytiharkan kawasan putih semula dan Aki saya membawa keluarga kami berpindah ke Kg Lubok Kawah, kampung sendiri dan diatas tanah sendiri. Di Kg Lubok Kawah, saya mengambil peluang untuk memungut "getah tarik dan getah beku". Saya pungut dari Kg Tanah Merah membawa ke Kg Lubok Kawah. Masa itu penoreh-penoreh getah tidak memperdulikan langsung getah tarik dan getah beku di dalam cawan-cawan kerana harga getah agak tinggi dan pendapatan mereka selesa. Saya pungut getah tarik dan getah beku dan saya letakkan ke dalam tong besar berisi air. Apabila kulit pada getah tarik itu mula berkembang, saya akan irik getah tarik itu supaya terpisah antara getah tarik itu dari kulit getah. Saya tidak jual. Saya simpan hingga berbulan-bulan sehingga apabila sudah betul-betul banyak berguni-guni, saya janji pakat dengan tauke boat perahu, dan saratkan boat itu dengan getah tarik dan getah beku saya, dan saya jula di kedai Meng Kong Temerloh. Kadang-kadang saya dapat hingga enam pulu ringgit. Dapatlah saya beli baju, seluar dan kasut; dan saya belikan juga untuk abang Din dan abang Ri saya. Pada penghujung tahun 1952 itu, setelah saya menjual getah beku dan ada duit ditangan lebih dari lima puluh ringgit, semasa saya mahu membeli baju, seluar dan kasut untuk saya dan abang Din dan abang Ri, datang seorang abang pupu saya, Abang Md Ali. Dia juga seorang bekas tahanan Inggeris. Dia sudah dewasa. "Mi, moh ikut abang, abang nok bawok oak jumpa ayoh oak," katanya. Abang Md Ali pegang dan tarik tangan saya. Sampai di Restoran International, kedai makan Haji Mat Amin, abang Md Ali tolak saya kepada seorang yang kacak juga orangnya, macam saya pernah jumpa atau terlihat dalam gambar. Tetapi orang itu tidak membuang masa, terus menyambar saya, dipeluk puas-puas, diciumnya saya. "Oak dah besor rupenya, ye Mi?" katanya dan saya rasakan lelehan air matanya menimpa muka dan baju saya. Ya, dialah ayah saya. Dialah Said bin Haji Ismail. Dialah wira pejuang Api, wira perjuangan kemerdekaan tanah air. "Mi, oak balik cepat. Beritau mok dan aki, ayoh dah balik. Ayoh tak boleh balik kampung kerana ada perintah tahanan rumah di Temerloh. Ayoh kerja sebagai tukang masok di kedai Haji Mat Amin. Balik cepat yer?" Saya tidak membeli apa-apa kain baju hari itu, saya terus menyeberangi Sungai Semantan dengan boat sewa, dan dari Tanjung Keramat saya terus berlari anak sehingga sampai ke Kg Lubok Kawah. Mujurlah Aki, Wan, Emak, Abang Dol, Abang Din dan Abang Saidal Khadri semuanya ada di rumah sedang bersedia untuk makan tengah hari. Saya tak sabar-sabar nak beritahu berita kepulangan ayah, tapi Aki berkata supaya bersabar dulu dan mengajak kami semua makan dulu. Kami pun makanlah bersama-sama. Selepas makan tengah hari, tak sabar lagi saya beritahu bahawa ayah sudah bebas dan sekarang ada dikedai restoran Mat Amin. Mendengar itu Aki saya mengucap syukur, tetapi emak saya menangis teresak-esak. "Moh kita semua pergi ke Temerloh sekarang," kata Aki saya. Keluarga saya semua dah bersiap dan kami terus berjalan kaki ke Temerloh (menugas, kata orang Temerloh). Sampai di Temerloh sudah petang, antara Kg Lubok Kawah ke Temerloh itu lebih kurang tiga batu jauhnya. Aki saya membawa basikal tetapi dia hanya meletakkan abang Ri diatas basikal itu, dia tidak menunggang kerana abang Ri saya itu kena penyakit folio dan tidak boleh berjalan laju. \ Tak dapat saya nak ceritakan semasa ayah bertemu emak, Aki, Wan, Abang Dol, Abang Din, Abang Ri, suasana yang sangat menyayat hati, hanya tumpahan air mata. Malam itu Pak Cik Mat Amin membenarkan beberapa bilik diatas loteng kedainya untuk digunakan oleh keluarga kami. Esuk paginya Ayah dan Aki mengambil keputusan bahawa kami sekeluarga akan berpindah ke Temerloh, dan ayah membeli sebuah rumah rakit di Kuala Semantan untuk tempat tinggal kami. Rumah rakit itu diperkemaskan dengan ikatan buluh yang lebih besar, supaya ia betul-betul timbul dan tidak menyusahkan keluarga kami nanti. BERPINDAH KE BANDAR TEMERLOH DI RUMAH RAKIT KUALA SEMANTAN (Bersambung....) |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan