R Sivarasa - Ahli Parlimen Subang |
Kerajaan Selangor Sumbang RM10 Ribu Pada Bali PI Bala Posted: 13 Jun 2013 09:08 AM PDT Kerajaan Selangor hari ini memberi sumbangan RM10,000 kepada balu penyiasat persendirian P Balasubramaniam, A Santamilselvi, 46, bagi meringankan perbelanjaan selepas kematian suaminya pada 15 Mac lalu. Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Rodziah Ismail berkata kerajaan Selangor juga berjanji akan membantu Santamilselvi menyekolahkan tiga anaknya yang berumur 11 hingga 16 tahun yang sudah dua bulan tidak bersekolah sejak tiba di Malaysia dari India sejak Mac lalu. Selain itu, Rodziah juga berkata pihaknya turut akan membantu menyediakan tempat dan modal kepada balu mendiang untuk membuka kedai makan. "(Ini) sumbangan RM10,000 dari kerajaan Selangor. Kita akan buat apa yang perlu, yang boleh membantu ringankan beban balu mendiang seperti (memberikan) skim-skim yang disediakan oleh kerajaan Selangor. "Memandangkan keluarga mendiang dah duduk di India selama lima tahun dan tak dapat mengikuti pendidikan di sini, kita akan sediakan alternatif yang terbaik untuk anak-anak Bala. "Selain sumbangan, kita juga akan pastikan beliau akan dapat pendapatan bulanan berterusan. Dan kita akan bantu untuk bincang dengan pihak berkuasa tempatan tentang modal dan tempat untuk bantuan memulakan perniagaan," katanya. Rodziah yang juga ADUN Batu Tiga berkata demikian dalam sidang media ketika membuat lawatan ke rumah balu mendiang Bala di Rawang hari ini. Turut hadir dalam lawatan tersebut, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa dan ADUN Rawang Gan Pei Nei. Pada 15 Mac lalu, Bala meninggal dunia selepas disahkan akibat serangan jantung. Beliau memainkan peranan dalam dua akuan bersumpah berhubung kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu - yang dikaitkan dengan pemimpin tertinggi politik. Kematian Bala secara tiba-tiba itu mengejutkan banyak pihak kerana beliau pada ketika itu baru sahaja pulang dari India. Sementara itu, Selvi yang kini tidak bekerja selepas pulang dari India tidak dapat menahan sebak ketika diminta mengulas bantuan yang diberikan kerajaan Selangor itu. "Saya ucapkan terima kasih pada kerajaan Selangor," katanya yang kemudiannya mengalirkan air mata dan ditenangkan oleh Rodziah.~ Mkini . |
Isu Altantuya: Jawapan menteri tiada makna - Sivarasa Posted: 13 Jun 2013 08:47 AM PDT Anggota Parlimen Subang R Sivarasa berkata, kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim bahawa kes kematian warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu sudah "ditangani" tidak memberi sebarang makna. Bekas naib presiden PKR itu berkata, ini kerana kes itu masih berjalan dan pembunuh sebenar bagi kes itu masih lagi belum diketahui hingga hari ini. "Bila Rohani kata bahawa kes pembunuhan Altantuya telah diselesaikan, bagi saya perkataan itu tidak memberi apa-apa makna bagi majoriti rakyat Malaysia kerana keadilan masih belum dicapai dalam kes ini. "Saya harap ini satu peringatan pada kerajaan Umno/BN supaya fikir lebih mendalam tentang hal ini. Mereka perlu faham ini boleh ditangguhkan tapi tak boleh lari dari isu. "Satu hari nanti akan ada keadilan untuk Altantuya," katanya dalam sidang media ketika membuat lawatan ke rumah balu penyiasat persendirian, P Balasubramaniam. Sivarasa berkata demikian bagi mengulas kenyataan Rohani Selasa lalu yang mengatakan bahawa kes Altantuya telah ditangani. Rohani yang enggan mengulas ketika ditanya mengenai kes tersebut juga berkata, beliau tidak menerima apa-apa memorandum dari delegasi Mongolia ketika persidangan kemuncak wanita global 7 Jun lalu yang menuntut jawapan berhubung kematian Altantuya. ~ Mkini . |
You are subscribed to email updates from R Sivarasa - Ahli Parlimen Subang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan