Rabu, 26 Jun 2013

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Hakim: Tubuhkan IPCMC segera

Posted: 26 Jun 2013 12:37 AM PDT

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk VT Singham menyokong cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera bagi menangani peningkatan kes kematian dalam tahanan.


Katanya, saranan oleh suruhajaya siasatan diraja untuk menubuhkan IPCMC tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.

"Ia perlu diaktifkan secepat mungkin untuk memberi keyakinan kepada semua pihak terbabit, termasuk anggota keluarga individu yang meninggal dunia, bahawa satu agensi bebas sedang meneliti perkara itu tanpa apa-apa pengaruh dari pegawai polis tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penghakimannya dalam kes saman ke atas polis dan kerajaan yang dikemukakan oleh keluarga seorang tahanan yang meninggal dunia, A Kugan.

Pemerhatian berkenaan bagaimanapun tidak terikat kepada undang-undang.

Anwar dilantik semula sebagai ketua pembangkang Parlimen

Posted: 26 Jun 2013 12:10 AM PDT

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-13.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengumumkan perkara itu, berkata pelantikan Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 4A(3).
"Mengikut maklum balas yang saya terima, saya berpuas hati bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebulat suara mendapat sokongan daripada anggota parlimen pembangkang di Parlimen untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Anwar pertama kali dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada sidang Parlimen ke-12 selepas menang pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 2008.
Sehari selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lalu, Penasihat DAP Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) dilapor menyatakan pembangkang bersetuju mengekalkan Anwar untuk mengetuai pakatan pembangkang di Parlimen, walaupun DAP memenangi lebih banyak kerusi parlimen berbanding parti sekutunya.
Selepas PRU13 pakatan pembangkang menduduki 89 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat iaitu DAP 38, PKR 30 dan PAS 21 kerusi. - Bernama, 26 Jun, 2013.

Sekitar Himpunan Blackout 505 di Padang Merbok

Posted: 26 Jun 2013 12:06 AM PDT





ADUN Kuala Besut meninggal dunia

Posted: 25 Jun 2013 10:57 PM PDT

dipetik dari Malaysiakini.com


Seorang anggota Exco kerajaan negeri Terengganu Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia hari ini, tujuh hari selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Laporan Bernama menyebut, A Rahman, 55, meninggal dunia pada jan 10.18 pagi ini akibat kanser paru-paru di hospital berkenaan di Kuala Terengganu.

azlan
Laporan itu memetik kenyataan Pengarah Kesihatan Terengganu Datuk Dr Anwa Sulaiman yang mengesahkan perkara itu.

"Pagi ini keadaannya semakin kritikal sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan dan disahkan meninggal pukul 10.18 pagi ini di HSNZ," katanya Anwa seperti dipetik Bernama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat negeri Terengganu itu meninggalkan seorang balu dan empat anak.

Jenazah dijangka  dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Teluk Bayu Kuala Besut selepas solat Zohor hari ini, lapor agensi berkenaan. 

Satu pilihan raya kecil dijangka akan diadakan ekoran kematian ADUN Kuala Besut itu, yang meninggal dunia hanya beberapa minggu selepas pilihan raya umum 5 Mei.

Dalam pilihan raya tersebut, A Rahman menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Kawasan berkenaan terdiri daripada lebih 17,000 pengundi, yang mana 99 peratus daripadanya terdiri dari pengundi Melayu.

BN berjaya membentuk kerajaan negeri apabila berjaya meraih 17 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.

Tiada ulasan: