Khamis, 16 Mei 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Apa Lagi Xavier Mahu?

Posted: 16 May 2013 04:26 AM PDT

Sumber: FreeMalaysiaToday
Oleh: Uthaya Sankar SB (Pemilik tunggal syarikat 'Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya'. Beliau kolumnis di FMT sejak Januari 2011.)

PETALING JAYA: Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Rakyat (huruf besar disengajakan) di negeri Selangor khususnya mengundi calon bukan sebagai wakil PKR, PAS atau DAP; sebaliknya sebagai wakil Pakatan Rakyat (PR). Maka, ketiga-tiga parti politik ini juga harus bekerja bagi Rakyat sebagai PR. Kesemua polisi harus menggambarkan citra dan jati diri PR; bukan mewakili parti tertentu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar Arulanandam berpendirian demikian sambil menekankan bahawa semua pihak dalam PR perlu benar-benar sedar akan hakikat bahawa Rakyat memilih PR secara kolektif tanpa berdasarkan parti.

Nama Xavier hangat diperkatakan sekarang menjelang saat genting pemilihan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor. Sudah ada kempen besar-besaran dari dalam dan luar PKR yang mendesak supaya Ketua Cabang Kota Raja dan Ahli Biro Politik PKR itu tidak dilantik bagi penggal kedua memegang portfolio Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin (Free Malaysia Today, 15 Mei 2013).

Rekod keputusan PRU-13 menunjukkan bahawa Xavier mendapat 31,491 undi berbanding calon MIC/BN, Mohan Thangarasu (15,858 undi) untuk mengekalkan kerusi DUN Seri Andalas. Majoriti 15,633 undi menunjukkan peningkatan yang amat ketara.

Lalu, mengapa ada pihak yang menentang kemungkinan beliau dilantik memegang jawatan Exco? Maklumat yang tersebar menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel daripada kumpulan yang tidak dikenali tidak boleh diterima seratus peratus; khususnya kerana tidak disertakan maklumat pengirim.

Laporan di media juga amat kurang mengenai Xavier. Maka, saya memutuskan untuk bersemuka dengan beliau bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini. Terdahulu, sejak tarikh penamaan calon (20 April 2013), saya memang sudah mula mengumpul maklum balas dan pandangan sejumlah pengundi di DUN Seri Andalas mengenai politikus ini yang lahir di ladang Tanjung Rambutan serta membesar di Langkawi, Johor dan Kelantan.

Sejak dilantik menjadi Exco pada Mac 2008, lulusan Universiti Manipal, India (1979) ini dilihat memberikan tumpuan khas terhadap isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan kuil – dua isu penting dan sensitif dalam kalangan kaum India beragama Hindu.

Selain daripada membantu SJK Cina dan Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan khas sebanyak RM4 juta bagi membantu SJKT. Rata-rata penduduk yang saya temui menyokong usaha ini kerana mereka sedar, cara terbaik bagi kaum India mencapai mobiliti sosial adalah menerusi pendidikan. Mereka juga tidak membantah tindakan menyalurkan sebahagian dana tersebut kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjalankan projek berkaitan pendidikan.

Golongan ibu bapa dan guru di beberapa kawasan sekitar Selangor juga memberitahu saya bahawa mereka berpuas hati dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh Xavier. Tumpuan beliau bukan hanya terhadap kerja-kerja membaiki kemudahan (fizikal) SJKT, tetapi juga menjana semangat dan keyakinan dalam diri murid-murid, guru dan ibu bapa menerusi pelbagai projek.

Walaupun kurang mendapat publisiti di media, kebanyakan SJKT di Selangor mengaku telah mendapat manfaat daripada usaha gigih yang dilakukan oleh Xavier sejak 2008; khususnya dalam soal pemilikan tanah bagi membina bangunan kekal. Kehebatan SJKT Midlands di Seksyen 7, Shah Alam juga menjadi kebanggaan kaum India serta bukti bahawa SJKT boleh setaraf SJKC dari segi kemudahan.

Pencapaian cemerlang sejak 2008

Apabila saya berpeluang bertemu Xavier pada pagi 16 Mei 2013, beliau turut menghuraikan mengenai isu kuil. Katanya, sejak 2008, kuil Hindu adalah antara penerima bantuan kewangan terbesar daripada kerajaan negeri; melibatkan peruntukan lebih RM6 juta. Masalah tanah melibatkan lebih 60 kuil juga berjaya diselesaikan manakala pembinaan kuil-kuil baru dipastikan memenuhi syarat ditetapkan kerajaan tempatan.
"Memanglah isu-isu berkaitan kuil Hindu sangat sensitif dan mustahil dapat diselesaikan sepenuhnya dalam sekelip mata, tetapi berkat kerjasama semua pihak terbabit, kerajaan negeri terus-menerus melakukan apa sahaja yang patut dan mampu dilakukan," kata politikus itu yang aktif di Facebook dan Twitter.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa banyak perkara yang sudah dilakukan oleh Xavier sebagai ADUN dan Exco. Malangnya beliau kurang mendapat liputan media. Selain itu, mengapa dalam perkembangan terbaru, ada pihak yang membuat kempen tidak mahu beliau kekal sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor?

"Memanglah rata-rata media cetak Bahasa Tamil dan Inggeris memboikot kami dengan tidak menyiarkan berita mengenai segala perkara positif yang dilaksanakan dalam isu-isu berkaitan kuil dan SJKT. Namun, maklumat positif yang disampaikan oleh orang ramai kepada rakan-rakan mereka (word of mouth) masih berkesan, walaupun tidak secara meluas. Merekalah kekuatan kami.

"Portal berita dalam talian menjadi media yang amat berkesan untuk menyampaikan maklumat dengan segera kepada khalayak yang lebih luas. Saya mengharapkan peluang yang adil dan seimbang turut diberikan kepada saya oleh portal berita berkenaan untuk menjawab pelbagai tuduhan yang dilemparkan pihak berkenaan serta bagi menjelaskan kedudukan sebenar," katanya dengan penuh harapan semasa pertemuan kami di Taman Sentosa, Klang.

Agak menarik bahawa dalam tinjauan lapangan serta pembacaan saya (khususnya blog Xavier dan postal Demi Rakyat), banyak perkara menarik yang sebenarnya berjaya dilakukan menerusi usaha individu ini yang pernah juga menjadi presiden Kelab Rotary Klang (2005-2006) dan setiausaha agung Malaysian Dental Association (2007-2008).

Dalam usaha memberikan sedikit "kuasa" kepada penduduk setempat, sejumlah 48 ketua komuniti daripada kalangan kaum India dilantik di seluruh negeri Selangor sejak 2008. Mereka menjalankan tugas hampir sama seperti ketua kampung, dibayar elaun dan ada peruntukan dana bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Ada banyak lagi kejayaan yang boleh dimasukkan dalam senarai pencapaian Xavier sejak 2008 tetapi beliau ternyata tidak mahu mengungkitkan kejayaan lalu semasa perbualan kami. Sebaliknya beliau lebih banyak mahu menumpukan pada perancangan, tugas dan amanah yang perlu dipikul bagi tempoh lima tahun akan datang berikutan mandat yang diberikan oleh pengundi di DUN Seri Andalas.

Saya mengambil peluang untuk mengemukakan pertanyaan mengenai "kempen" terbaru yang giat dilakukan sekumpulan 'orang dalam' PKR sendiri yang khabarnya diterajui Dr S Streram (Petaling Jaya Selatan), P Maniam (Hulu Selangor), S Murali (Puchong), Anthony Dass (Kota Raja), P Krishnasamy (Klang), Dr Neduchelian (Kapar), M Jayabalan (Lembah Pantai), S Balan (Subang) dan P Thiagarajan (OMS).

Pada mulanya, Xavier kelihatan sugul dan keberatan untuk memberikan komen berhubung isu terbaru ini. Bagaimanapun, saya menegaskan bahawa tujuan saya bertemu beliau adalah untuk mendengar sendiri penjelasan daripadanya dan kemudian menulis artikel berdasarkan pertemuan kami.

'Saya tidak gentar dengan SMS dan fitnah'

"Saya memang sedih dengan perkembangan terbaru di mana saya dituduh oleh pihak tertentu bahawa saya gagal melaksanakan tugas sebagai Exco pada penggal pertama. Sayangnya mereka tidak pula mahu melihat apa-apa yang sudah berjaya dilaksanakan dalam tempoh yang relatif singkat sejak 2008," katanya.

Siapakah kumpulan ini yang begitu bersemangat mahu menghalang perkembangan politik Xavier dalam kerajaan negeri? Adakah mereka kelompok yang berjuang bersama-sama PKR dan PR lama sebelum Xavier menyertai perjuangan reformasi pada 1998?

"Mereka boleh dikatakan orang-orang baru. Kumpulan ini memang mensasarkan saya sejak sebelum 2008. Mereka mencuba tetapi gagal mendapatkan kerusi (kuasa) dalam pemilihan parti. Mereka juga gagal mendapat tempat dalam barisan kepimpinan tertinggi parti.

"Selepas itu, mereka didapati mula bergerak secara sendirian untuk menentang saya dalam semua perkara. Punca dan alasannya hanya mereka yang tahu. Kini, apabila timbul kemungkinan saya dikekalkan dalam jawatan Exco, mungkin mereka merasakan kedudukan mereka dalam PKR tercabar," Ketua Cabang Kota Raya itu menghuraikan sedikit demi sedikit.

Jika kumpulan ini boleh mengerakkan kempen besar-besaran, pasti mereka terdiri daripada kumpulan yang besar, kuat dan berpengaruh. Malah tidak mustahil bahawa mereka ada ramai penyokong dalam kalangan ahli PKR dan orang ramai.

"Daripada apa yang saya dapat tahu, penyokong sebenar mereka tidaklah mencapai 500 orang seperti digembar-gemburkan. Kumpulan tertentu didapati menggunakan SMS untuk menghantar mesej kepada orang ramai dalam usaha mencemarkan nama dan reputasi saya. Bagaimanapun, saya menganggap semua ini sebagai cabaran positif.

"Saya tidak mahu membalas tindakan mereka dengan cara yang sama. Sebaliknya saya lebih suka jika isu ini diselesaikan secara baik dalam parti, tanpa perlu menyusahkan orang ramai, khususnya para pengundi yang sedang menunggu dengan penuh harapan untuk melihat pemimpin masyarakat (ADUN dan Ahli Parlimen) yang mereka undi melaksanakan tugas yang diamanahkan," kata bapa kepada tiga anak itu yang turut berterima kasih kepada isterinya, Sheila Devaraj yang sentiasa memberikan sokongan moral.

Xavier menyatakan bahawa perjuangan semua pihak (dalam PKR dan PR) adalah sama, iaitu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan membawa pentadbiran baru seperti diimpikan sejak dahulu.

"Sekiranya ada pihak yang cuba menimbulkan pelbagai masalah (dari dalam) seperti yang berlaku sekarang, maka ia sedikit-sebanyak akan mengganggu perjuangan PR. Kalaulah benar saya melakukan kesalahan dan penyalahgunaan kuasa seperti didakwa, maka pihak terbabit wajar membuat laporan rasmi kepada SPRM dan polis berserta bukti.

"Barulah saya juga akan berpeluang mempertahankan diri secara adil dan saksama. Kalau sekadar menghantar SMS dan e-mel tanpa nama kepada orang ramai, itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab serta tidak menyelesaikan masalah. Kalau tidak mampu membantu perjuangan membela rakyat, sekurang-kurangnya jangan menjadi batu penghalang," katanya tanpa menyebut nama sesiapa secara khusus.

Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal syarikat 'Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya'. Beliau kolumnis di FMT sejak Januari 2011.

118 NGO India Selangor Harap Dr Xavier Kekal Sebagai Exco

Posted: 15 May 2013 03:00 AM PDT

SHAH ALAM, 15 MEI: 118 Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili etnik India di Selangor berharap Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri .

118 NGO tersebut termasuklah Gabungan NGO India Malaysia, Tamil Foundation Malaysia, Child Informatioan Learning and Development Centre (CHILD) Education Welfare Research Foundation (EWRF) dan Selangor Action Team.

Gesaan tersebut dibuat berikutan prestasi cemerlang yang ditunjukkan Dr Xavier sepanjang lima tahun menerajui Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin sebelum ini.

Menurut Pengerusi Lembaga Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Midland, K Uthayasoorianee, antara kejayaan Dr Xavier, meningkatkan kemudahan serta suasana pembelajaran lebih baik di sekolah Tamil dan memperbaiki  kehidupan masyarakat India di kawasan ladang seluruh Selangor.

"Dr Xavier berjaya memastikan agar SRJK Tamil di Selangor dapat bantuan kewangan dari Kerajaan Negeri," kata K Uthayasoorianee dalam satu sidang media di Midland Convention Centre di sini.

Selain itu, Setiausaha Gabungan NGO India Malaysia, Gunaraj George berharap agar DAP turut mencalonkan seorang lagi Adun dari kaum India sebagai calon Exco sekaligus menjadikan dua Exco kesemuanya.

Bagaimanapun menurut Gunaraj, beliau menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh DAP Selangor.

Dalam PRU-13 yang berlangsung 5 Mei lalu, PR Selangor berjaya membentuk semula kerajaan apabila menang dengan majoriti dua pertiga di negeri itu.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah, Klang  berkata proses pemilihan Exco sedang dijalankan dan akan diumumkan minggu hadapan selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: