Khamis, 30 Mei 2013

R Sivarasa - Ahli Parlimen Subang

R Sivarasa - Ahli Parlimen Subang


KDN Jangan Peralat Polis

Posted: 30 May 2013 10:44 AM PDT


PETALING JAYA 30 MEI : Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta tidak terus memperalatkan pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk tujuan politik, gesa Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.

Tegas beliau, KDN yang diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid seharusnya memberi ruang dan kebebasan kepada polis untuk menumpukan perhatian terhadap skop tugas mereka yang sebenar.

"Saya tidak menyalahkan polis-polis ini kerana mereka terpaksa akur dengan arahan bos-bos mereka untuk menyiasat perkara seperti perhimpunan aman yang jelas bukan satu jenayah.

"Saya yakin polis juga sebenarnya tidak mahu membuang masa menyiasat dan menahan rakyat yang berhimpun secara aman.

"KDN khususnya Zahid Hamidi mesti bertanggungjawab terhadap penyelewengan ini, sepatutnya KDN perlu biar PDRM fokus dengan kerja membendung kejadian jenayah yang makin meningkat dan merunsingkan rakyat, bukan sebaliknya," ujarnya di depan Balai Polis Tropicana di sini.

Ditemani peguam, G. Sivamalar, beliau hadir untuk disoal siasat di bawah Akta Pehimpunan Aman 2012 berhubung kehadirannya dalam himpunan solidariti Adam Adli pada 22 Mei lalu.

Pada malam tersebut, seramai 18 orang, termasuk pembantu peribadi beliau, Peter Chong ditahan ketika berhimpun di hadapan lokap Balai Polis Jinjang.

"Saya tidak faham mengapa saya dipanggil untuk soal siasat sedangkan segala yang berlaku pada malam itu disaksikan puluhan anggota polis, malah sudah pasti ada rakaman video mengenainya, semua ini polis sudah sedia maklum.

"Saya ditanya soalan yang mereka sudah tahu jawapannya, nampak sangat polis terpaksa buang masa untuk tindakan politik," ujarnya kesal.

Beliau bagaimanapun berkata tidak diberitahu samada akan dipanggil semula untuk soal siasat atau akan ditahan selepas ini.

Siasatan bermula pada jam 10.50 pagi tadi dan tamat kira-kira 55 minit kemudian. ~ SelangorKu


.

Tiada ulasan: