PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
- Tian: Saya hanya bertanggungjawab dengan petikan langsung
- Malaysia tolak gencatan senjata kecuali serah diri
- Upah penulis pro Israel burukkan Anwar, desak Najib jawab
- Najib PM pertama gagal pertahan keselamatan rakyat & negara
- Najib perlu dedah isi perjanjian beri tanah kepada tentera Sulu
- TV3, Utusan minta tangguh jawapan notis saman dari Anwar
Tian: Saya hanya bertanggungjawab dengan petikan langsung Posted: 07 Mar 2013 01:31 AM PST Naib presiden PKR Tian Chua hari ini dilihat seolah-olah menjauhkan diri dengan laporan lidah rasmi parti Keadilan Daily yang disiarkan pada 1 Mac lalu, yang memetik kenyataan beliau berhubung pencerobohan di Lahad Datu. Tian yang juga ahli parlimen Batu berkata beliau hanyabertanggungjawab terhadap petikan langsung dalam laporan tersebut. Berikut adalah kenyataan penuh Tian berhubung perkara tersebut: Sejak tanggal 1 Mac, pemimpin-pemimpin BN dan kerajaan telah melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap saya. Blog dan cybertrooper pro-BN juga menyebarkan nombor telefon saya dan menghasut penyokong BN hantar mesej ancaman kepada saya. Pada tanggal 4 Mac, Umno telah hantar surat tuntutan kepada saya bahawa saya harus memohon maaf kepada Umno. Di sini, saya tegaskan sekali lagi, saya tidak pernah keluarkan apa-apa kenyataan yang menghina mana-mana pihak. Saya akan serah kepada mahkamah untuk membersihkan nama saya. Tuduhan bahawa saya telah menghina pasukan keselamatan adalah fitnah dan pembohongan jahat oleh pemimpin-pemimpin BN. Saya ingin ulangi pendirian saya bahawa saya menghormati peranan pasukan Keselamatan dan jasa mereka dalam tugasan mempertahankan negara. Saya juga bersimpati dengan anggota-anggota keselamatan yang berkorban atau menjalankan tanggungjawab dalam keadaan yang sangat mencabar. Di sini saya ingin buat kali terakhir untuk menjelaskan kenyataan yang telah diuar-uarkan oleh pemimpin-pemimpin BN dari perdana menteri ke bekas ketua polis negara yang mendakwa saya menghina anggota keselamatan. Saya ingin terangkan kontek kenyataan saya dalam KeadilanDaily.com: Saya dihubungi wartawan untuk komen tentang pecerobohan di Lahad Datu pada pagi 1 Mac ketika ada berita antarabangsa melaporkan ada tembakan berlaku. Saya secara jelas menyatakan perkara ini belum ada kesahihan dan ada media black-out di Malaysia. Perenggan yang kemudian, sesiapa pembaca celik sudah tentu faham ia dinyatakan dalam kontek ada usaha setengah-tengah pemimpin BN dan blogger cuba kaitkan pihak pembangkang dalam pencerobohan Lahad Datu. Ia mesti dibaca bersama banyak artikel-artikel sebelum ini yang mendakwa saya dikirim oleh Datuk Seri Anwar ke Manila untuk berunding dengan MNLF. Juga ada dakwaan Anwar mendalangi peristiwa Lahad Datu. Segala ini telah disifatkan sebagai sandiwara oleh ramai pemimpin-pemimpin yang lain. Perkara ini dirumitkan lagi bila ada blogger Umno termasuk Papagomo dan lain-lain rekakan berita bahawa saya berucap di Puchong menyifatkan pengorbanan anggota keselamatan dengan ayat "Komando Mati Katak". Ini fitnah yang keterlaluan dan telah membawa ancaman terhadap keselamatan peribadi saya. Saya menasihatkan semua blogger yang menyiarkan berita palsu ini untuk berhenti dalam 24 jam, dan saya akan hantar surat saman kepada sesiapa yang meneruskan sebaran berita palsu ini. Saya amat kesal terhadap pemimpin-pemimpin BN dan juga media yang dikuasai mereka memutar-belitkan kenyataan saya sehingga menghasut kebencian orang ramai yang tidak ketahui kebenaran. Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bermotif politik. Dalam keadaan negara kita menghadap ancaman anasir-anasir ganas, keseluruhan rakyat Malaysia sepatutnya berdiri teguh memberi sokong penuh kepada pasukan keselamatan kita. Malangnya, kerajaan tidak terhenti-henti menyerang politik lawan. Sepatutnya ahli-ahli politik harus menunjukkan rasional dan kematangan untuk membina kesepakatan menghadapi krisis negara. Saya harap episod tuduh-menuduh ini boleh dihentikan serta-merta. Kepada anggota keselamatan yang mengorbankan nyawa dan kesejahteraan diri, saya sampaikan penghormatan tertinggi dan harap adu-domba politik di antara kerajaan dan pembangkang tidak melemahkan semangat. Teruskan perjuangan, rakyat Malaysia menyanjungi kamu semua. |
Malaysia tolak gencatan senjata kecuali serah diri Posted: 07 Mar 2013 01:28 AM PST Malaysia menolak gencatan senjata unilateral Sultan Jamalul Kiram III dan mahu pengikutnya menyerahkan diri, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. "Gencatan senjata satu pihak tidak diterima oleh Malaysia kecuali kalau militan menyerah diri tanpa syarat. "Jangan percaya tawaran gencatan senjata oleh Jamalul Kiram. Dalam kepentingan rakyat Sabah dan seluruh rakyat Malaysia, hapuskan dulu semua militan," tulis Ahmad Zahid dalam Twitter. 'Sultan Sulu' mengisytiharkan gencatan senjata unilateral untuk jam 12.30 tengahari dan menggesa Malaysia menerimanya, demikian kenyataan yang dibacakan oleh jurucakapnya di Manila. "Mereka tidak akan mengambil apa-apa tindakan. Mereka akan kekal di tempat di mana mereka berada sekarang. "Mereka tidak akan memperluskan operasi," jurucakap itu dipetik sebagai berkata, merujuk kepada militan, dipercayai berjumlah antara 100 dan 300, orang di negeri Sabah. Dipetik daripada Malaysiakini |
Upah penulis pro Israel burukkan Anwar, desak Najib jawab Posted: 07 Mar 2013 01:25 AM PST PETALING JAYA 6 MAC: Datuk Seri Najib Razak perlu jawab pendedahan media antarabangsa bahawa beliau membayar AS$389,724.70 (RM1.2 juta) kepada penulis upahan, Joshua Trevino untuk memburuk-burukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bayaran itu dilaporkan dibuat Perdana Menteri kepada bekas penulis ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), menerusi syarikat Israel, Apco Worldwide. Ia bagi menyerang Ketua Umum KEADILAN dan kempen mempromosi pentadbiran Najib di mata dunia. Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Najib perlu jelaskan pendedahan itu menjelang pilihan raya, apatah lagi dalam keadaan beliau berterusan membelanjakan jutaan ringgit bagi tujuan propaganda dan fitnah. "Najib juga perlu jawab berapa banyak wang rakyat dibayar kerajaan kepada konsultan perhubungan awam, khususnya luar negara untuk menulis bahan-bahan anti Pakatan Rakyat dan Anwar?" katanya pada kenyataan hari ini. Beliau merujuk pendedahan portal berita berpangkalan di Amerika, BuzzFedd 1 Mac lalu berkenaan perbuatan Najib mengupah media Amerika itu. Pada Ogos lalu, Trevino dipaksa meletak jawatan sebagai kolumnis di akhbar United Kingdom (UK) – The Guardian. Ini berikutan beliau tidak mengumumkan peranannya sebagai konsultan kepada FBC Media, yang menulis dan memuji ciri-ciri 'kesederhanaan' Najib. "Selain daripada Apco di AS dan FBC di UK (United Kongdom), di manakah lagi BN melantik konsultan untuk menyerang pembangkang?" soal Nik Nazmi. Pada 2011, Najib mengakui kerajaan membayar RM94 juta kepada FBC Mediaantara 2007 hingga 2010. FBC turut membayar AS$70,000 kepada Apco Worldwide untuk melobi kerajaan AS mewakili pentadbiran Najib. "Ironisnya, ketika Umno BN terus-menerus menyerang Anwar sebagai pro-Israel sebagai propaganda dalam negara, Trevino dan konsultan-konsultan lain bekerja keras untuk menggambarkan Anwar sebagai anti-Israel di luar negara. "Malah apabila skandal pembayaran dan pengaturan berita ini didedahkan, BBC dan CNBC menamatkan kontrak FBC kerana melanggar etika kewartawanan," kata Nik Nazmi. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu mempersoal individu atau agensi lain yang terlibat dalam perlantikan dan koordinasi konsultan tersebut. "Apakah arahan yang diberikan kepada konsultan-konsultan ini mengenai bahan-bahan berkaitan, memandangkan kebanyakan kerja yang dibuat adalah menyerang Anwar semata-mata" katanya. "Adakah kerajaan sedar bahawa ramai konsultan yang dilantik terkenal dengan pandangan ekstrim dan anti-Islam. Mereka menghina Islam, Ikhwanul Muslimin dan umat Islam di Amerika? Mereka juga adalah penyokong tegar Israel yang menentang hak rakyat Palestin?" tegas Nik Nazmi. "Najib terus berbelanja jutaan ringgit untuk tujuan fitnah tetapi berterusan menolak gesaan Anwar untuk berbahas politik bagi kepentingan rakyat," sinisnya. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=46620 |
Najib PM pertama gagal pertahan keselamatan rakyat & negara Posted: 07 Mar 2013 01:24 AM PST KUALA LUMPUR 7 MAC: Pencerobohan di Lahad Datu, Sabah bukti Najib Razak Perdana Menteri pertama gagal mempertahan keselamatan rakyat dan negara, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli. Katanya, kegagalan Najib memastikan keselamatan rakyat terjamin apabila kes jenayah semakin meningkat menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan. "Inilah bukti Najib PM pertama memperlihatkan kegagalan mempertahan keselamatan negara apabila penceroboh boleh memasuki perairan negara. Ini menjadikan keselamatan rakyat terancam dan tidak dijamin," kata Rafizi kepada Keadilan Daily. Dalam pada itu, Rafizi membidas kritikan Perdana Menteri berhubung Manifesto Pakatan Rakyat, ketika BN masih belum membentangkan manifestonya. Beliau berkata, Najib seolah-olah sudah bersedia menjadi Ketua Pembangkang apabila membiarkan Pakatan membentangkan manifesto terlebih dahulu. "Najib juga Perdana Menteri pertama yang membiarkan pakatan pembangkang membentangkan manifesto. Tapi beliau asyik kritik tawaran Pakatan. Ini sangat memalukan ketika manifesto BN belum muncul. Nampak sangat Najib sedang menyiapkan diri untuk menjadi pembangkang selepas pilihan raya," kata Rafizi ketika dihubungi. Najib dalam ucapannya di Kangar, Perlis Ahad lalu mengatakan kononnya manifesto Pakatan tidak boleh dipercayai dan menuduh Pakatan hanya pandai berjanji. "Najib sepatutnya cermin diri sebelum mengkritik Manifesto Pakatan. BN sendiri mana manifesto mereka? Sepatutnya manifesto disediakan kerajaan, dan dibangkang pula pembangkang, tapi yang berlaku sekarang sebaliknya," katanya. "Najib selalu tunjuk berani bila berucap di kalangan orang-orangnya. Kalau nak tahu tawaran mana yang boleh dipercayai, kenapa tak berdebat saja dengan Anwar (Ibrahim)? Dengan cara itu rakyat boleh tahu manifesto siapa yang bohong atau tidak," bidas Rafizi. Najib dalam ucapannya turut berkata, kononnya ekonomi berkembang sejak Dasar Transformasi Nasional dilaksanakan empat tahun lalu. "Rekod pentadbiran Najib menyaksikan ekonomi berkembang paling sedikit. Sepatutnya ekonomi boleh mencapai sehingga 7%, tetapi di bawah pentadbiran Najib, ia hanya 5%. Ini tidak seimbang dengan kekayaan sumber negara," kata Rafizi. Pakatan membentangkan manifesto dengan tema Pakatan Harapan Rakyat pada 25 Februari lalu. Pelbagai kebajikan dan penurunan kos hidup untuk segenap lapisan rakyat terutama golongan miskin dan anak muda ditawar menerusi manifesto itu. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=46645 |
Najib perlu dedah isi perjanjian beri tanah kepada tentera Sulu Posted: 07 Mar 2013 01:23 AM PST KUALA LUMPUR 7 MAC: Pihak berkuasa perlu menyiasat laporan media Filipina yang mendedahkan perbuatan Datuk Seri Najib Razak menjanjikan tanah kepada tentera Sulu hingga menyebabkan mereka menceroboh Lahad Datu, Sabah. Jika benar, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata Najib juga perlu mendedahkan kandungan perjanjian itu kerana melibatkan kedaulatan Malaysia dan tanah milik Sabah. Katanya, rakyat berhak tahu kandungan perjanjian itu, apatah lagi ia membawa kepada pencerbohan tentera Sulu yang diterajui Sultan Jamalul Kiram III hingga mengancam keselamatan rakyat Sabah. Beliau juga kesal kerana Perdana Menteri sehingga kini tidak membuat sebarang penafian terhadap pendedahan yang dibuat pengasas MNLF, Nus Misuari sebelum dipetik media Filipina. "Kita anggap perkara ini serius. Isu ini jadi masalah apabila berlaku pencerobohan wilayah," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini. Mengikut Manila Bulletin Publishing Corporation, Nur Misuari mendapat tahun kumpulan Raja Muda Agbimuddin Kiram yang mengetuai penceroboh Sulu, datang ke Sabah untuk menuntut janji dari Najib Razak sebelum kenyataan itu dipetik sebagai tajuk muka depanSuara Keadilan. Justeru itu, Shamsul berkata, AMK akan memulakan siri laporan polis terhadap Perdana Menteri dengan Ketua AMK Sabah, Serman Hassnar esok, diikuti seluruh pelusuk negeri. "Kita minta polis siasat dakwaan ini," katanya yang turut mendesak sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi penjelasan mengenai situasi semasa khususnya isu keselamatan rakyat. "Saya desak Musa Aman selaku Ketua Menteri memanggil sidang khas. Kerana boleh timbul maklumat yang membimbngkan dan apa tindakan seterusnya. "Ini kerana kerajaan negeri ada akses untuk pantau keadaan dan pembangkang di Sabah berhak mendapat penjelasan," kata Shamsul. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=46654 |
TV3, Utusan minta tangguh jawapan notis saman dari Anwar Posted: 07 Mar 2013 01:22 AM PST KUALA LUMPUR 6 MAC: Dua media kawalan Umno meminta tangguhan jawapan terhadap notis tuntutan Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan laporan fitnah yang mengaitkannya dalam tragedi Lahad Datu. Peguam, N Surendran berkata TV3 Malaysia Berhad meminta tempoh dua minggu manakala Utusan Malaysia tidak menyatakan tempoh. "Semalam, kami terima surat dari TV3 yang minta tempoh dua minggu untuk menjawab notis. Utusan juga tapi tak nyatakan tempoh. "Mereka patut boleh jawab pada kadar segera," kata Naib Presiden KEADILAN itu kepada Keadilan Daily, hari ini. Pada 4 Mac lalu, Anwar menghantar notis tuntutan saman dan memberi tempoh 24 jam untuk menarik balik tuduhan, membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi, masing-masing RM100 juta. Surendran tegas menyatakan tuntutan tetap dibuat sehingga kedua-dua media berkenaan harus menjawab semua tuntutan Ketua Umum KEADILAN itu. "Kita pandang serius tuduhan berkenaan dan menuntut permohonan maaf serta ganti rugi," katanya. Sebelum ini, muka depan Utusan bertarikh 2 Mac memapar tajuk 'Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?' manakala satu laporan di muka 10 akhbar itu bertajuk 'Tiga kumpulan jadi dalang. TV3 pula menggunakan istilah dalang ketika mengaitkan Anwar dalam insiden berkenaan. Laporan itu bertentangan dengan kenyataan Kesultanan Sulu yang menafi dakwaan kononnya pembangkang Malaysia terlibat membantu menyemarak krisis Sabah seperti tohmahan kerajaan Malaysia. "Kami tiada hubungan dengan pembangkang Malaysia. Kami tidak adakan perbincangan dengan mereka," kata Puteri Jacel Kiram, anak kepada Sultan Jamalul Kiram III. Kenyataan dibuat dalam Interaksyon.com, sebuah laman berita bagi saluran TV5, rangkaian radio dan televisyen komersil utama di Filipina, bertarikh 4 Mac lalu. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=46570 |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan