The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
- Pengurus-Pengurus Felda harus ditarbiyahkan semula mengenai peranan mereka!
- Mula-mula berkenalan dengan politik
- Laman Rasmi: PKR KECEWA TINDAKAN PIHAK POLIS
Pengurus-Pengurus Felda harus ditarbiyahkan semula mengenai peranan mereka! Posted: 14 Feb 2013 08:40 PM PST Di dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini berita-berita tersiar bahawa pengurus-pengurus Felda telah mengambil tindakan yang bertentangan dengan tugasan dan kewajipan mereka sebagai pengurus Felda. Rancangan Felda diwujudkan dari tahun 1956 oleh penjajah Inggeris bertujuan antara lain adalah untuk membasmi kemiskinan luar bandar supaya penduduk luar bandar tidak terpengaruh dengan gerakan komunis yang dari segi teorinya boleh berkembang di kalangan rakyat yang miskin. Tugas ini disambung oleh Tun Razak yang mentadbirkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga bertujuan untuk membasmi kemiskinan luar bandar di kalangan petani-petani. Di peringkat awalnya, peneroka-peneroka sendiri menebas-menebang-memerun-menanam-membaja diatas tanah-tanah mereka; dan mereka juga mendirikan rumah-rumah panjang untuk mereka diami dengan pendapatan sangat kecil dan hanya mereka yang kukuh dengan semangat memperbaiki diri sahaja yang bertahan didalam rancangan-rancangan Felda peringkat awal. Pada tahun 1960, satu gerakan reformasi telah dilakukan oleh Tun Razak untuk memperbaiki kehidupan peneroka-peneroka dengan memperkenalkan undang-undang baru yang kini dikenali sebagai GSA untuk urustadbir tanah-tanah ladang didalam rancangan Felda. Tujuannya tidak berubah iaitu untuk membasmi kemiskinan di luar bandar. Tujuan GSA adalah untuk pengurusan yang lebih cekap dan peneroka-peneroka yang berjaya membayar hutang mereka dengan Felda dan bayaran perlu kepada kerajaan Negeri melalui Felda iaitu bayaran CAC, peneroka-peneroka akan diberikan geran tanah masing-masing. Dengan pemberian geran tanah untuk kebun dan kampung, peneroka-peneroka akan bebas dari Felda dan boleh mengurustadbir tanah masing-masing dan peranan Felda terhenti. Tetapi Felda mengingkari tujuan ini. Sebaik saja peneroka-peneroka habis bayar hutang Felda dan bayaran CAC kepada kerajan-kerajaan Negeri melalui Felda, mereka diminta menandatangani Perjanjian baru dengan Felda, perjanjian yang betul-betul berat sebelah dan peneroka-peneroka dibebankan dengan hutang baru sehingga ada di kalangan peneroka yang terhutang melebihi RM100,000.00. Perjanjian yang berat sebelah itu menjadikan peneroka-peneroka itu sebagai pekerja yang tidak mendapat apa-apa perlindungan dibawah Akta Pekerjaan, KWSP dan Socso. Mereka dicaknakan sebagai pekerja estet dan diberikan elaun sara hidup yang dianggap hutang sebanyak RM1200 - RM1500. Mereka tidak pernah mengetahui berapakah jumlah pendapatan yang mereka perolehi dari kebun mereka kerana penyata pendapatan tidak pernah diserahkan kepada mereka; mereka hanya diberitahu mengenai penyata hutang. Inilah penyelewengan dasar yang berlaku keatas peneroka-peneroka Felda khususnya setelah Dr Mahathir Mohamed mengambil alih sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dari tahun-tahun 1980-an lagi Felda menghalang aktivis-aktivis politik didalam rancangan-rancangan Felda dan semasa Dato Seri Rais Yatim menjadi Menteri yang bertanggungjawab keatas Felda ribuan peneroka-peneroka Felda dibuang dari rancangan-rancangan Felda kononnya mereka itu menyalahi syarat-syarat penempatan semata-mata kerana mereka menyokong Pembangkang khususnya PAS. Namun kepada mereka yang menggunakan khidmat peguam mereka berjaya mengekalkan kedudukan mereka didalam rancangan Felda setelah dipecat dari rancangan. Halangan yang didatangkan keatas Pembangkang oleh UMNO dan Pengurusan Felda berlaku berterusan tetapi keadaan itu reda sementara dan semasa keredaan itulah Pembangkang khususnya PAS dan PKR dapat menjalankan aktiviti parti masing-masing didalam rancangan Felda. Peneroka-peneroka dianggap sebagai fixed deposit kepada UMNO/BN, dan UMNO/BN cukup tergugat apabila berlaku perubahan di rancangan-rancangan Felda. Selepas tahun 2010, UMNO didalam rancangan-rancangan Felda merasakan diri mereka sangat tergugat apakala peneroka-peneroka menuntut keadilan. Mereka menuntut supaya Penyata Pendapatan bulanan mereka diserahkan kepada mereka; mereka menuntut diwujudkan penyelarasan sebenar antara Hutang dan Pendapatan mereka; mereka menuntut bayaran yang lebih tinggi kepada buah sawit dan getah yang mereka keluarkan. Mereka tidak puas hati dengan peratusan perahan yang begitu rendah iaitu serendah 17% KPG mereka walhal makmal Felda sendiri mengesahkan peratusan perahan sawit mereka boleh meningkat hingga 27% yang menyebabkan mereka kerugian hingga RM400,000 - RM500,000 didalam tempoh 5 tahun. Peneroka-peneroka juga menuntut supaya hutang mereka dimansuhkan kerana dari segi pengiraan yang dibuat sesungguhnya mereka tidak berhutang dengan Felda tetapi Feldalah yang berhutang dengan mereka. Golongan generasi kedua dan ketiga pula menuntut supaya Felda Plantation dimansuhkan dan 850,000 ekar tanah ladang di bawah Felda Plantation itu diagih-agihkan kepada mereka. Peneroka-peneroka Felda menuntut supaya diwujudkan Universiti Felda yang menawarkan pelbagai jenis pengajian untuk anak-anak peneroka Felda yang boleh mendapat pendidikan secara percuma. Tuntutan-tuntutan ini adalah adil dan munasabah menyebabkan ramai peneroka-peneroka Felda dan Generasi Kedua bertukar arah dari UMNO menyokong PAS dan PKR. Tuntutan Mahkamah yang dibuat oleh peneroka-peneroka khususnya dibidang KPG merupakan tuntutan yang popular sehingga dapat menyatukan peneroka-peneroka UMNO dengan PAS dan PKR. Saman yang bermula di Kemahang 3 berjangkit ke Felda Raja Alias di Serting, ke Gugusan Jengka, Gugusan Bera, Gugusan Keratong, Gugusan Palong, Gugusan Chini dan Gugusan Mempaga. Kini tuntutan yang sama akan dikemukakan pula oleh peserta-peserta Felcra yang menghadapi paras perahan peratusan KPG yang cukup rendah. Tujuan asal rancangan-rancangan Felda diwujudkan adalah untuk membasmi kemiskinan luar bandar dan mengatur cara hidup modern yang baru sesuai dengan perkembangan zaman dengan peneroka-peneroka dapat mengurustadbir ladang dan kehidupan mereka sendiri setelah mereka berjaya menjelaskan bayaran hutang kepada Felda; manipulasi oleh Felda menjadikan mereka itu sebagai pekerja ladang dengan elaun sara hidup bulanan yang kecil amatlah menjijikkan. Pengurus-pengurus Felda bukanlah Tuan Tanah, mereka bukan juga ketua-ketua politik; mereka hanyalah pentadbir yang dilantik untuk menguruskan ladang, bukan untuk memanipulasikan pendapatan peneroka dan bukan pula menjadi agen penipuan keatas peneroka-peneroka. Mereka tidak ada hak mengarahkan peneroka-peneroka untuk membuat pilihan politik. Mereka boleh menjadi ahli kepada mana-mana parti politik, tetapi didalam urusan pentadbiran mereka, mereka tidak boleh bertindak sebagai ahli politik dan jika mereka mahu berbuat demikian, maka mereka hendaklah melepaskan jawatan mereka sebagai pengurus Felda dan terjun ke dunia politik. Sebagai Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal bagi Parti Keadilan Rakyat Pusat saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada Pengurus-Pengurus Felda yang tahu tugas dan hak sempadan perkhidmatan mereka; dan saya juga mengikuti dan mengambil catatan bagi Pengurus-Pengurus yang menyalahgunakan kuasa mereka ini. Pastinya apabila PR mengambil alih Putrajaya nanti pengurus-pengurus jenis ini akan menjalani tarbiyah perkhidmatan, dan jika mereka enggan menjalani tarbiyah itu, mereka terpaksalah berhadapan dengan disiplin-disiplin perkhidmatan!!! |
Mula-mula berkenalan dengan politik Posted: 14 Feb 2013 02:41 AM PST Saya adalah anak orang politik. Jiwa saya adalah jiwa politik dari kecil lagi. Semasa PRU 1955, saya sentiasa dibawa oleh Aki saya ke majlis2 politik. Aki saya orang kuat UMNO. Semasa zaman pemerintahan Inggeris, Aki saya sentiasa bercerita tentang kemerdekaan. Aki saya ni faseh berbahasa Inggeris dan berbahasa Arab. Di rumahnya penuh dengan buku-buku bahasa Inggeris dan kitab-kitab bahasa Arab. Dari segi pekerjaan pula Aki saya adalah Guru Ugama mengajar di Sekolah Melayu. Tetapi dia mempunyai pendirian konserbatif. Baginya, anak lelaki sahaja yang kena belajar di sekolah. Anak perempuan kena duduk di rumah. Belajar dibawah jagaannya. Yang dia ajar hanyalah Jawi dan Quraan saja. Sebab itu emak saya tidak tahu menulis dan membaca kalau tulisan Rumi. Tetapi dia boleh membaca Jawi dan nak kata dia hafaz Quraan tu, saya tak taulah, tetapi kalau saya membaca Quraan di atas rumah manakala dia ada di bawah rumah, dan kalau dia dengar bacaan saya tak betul dia terus betulkan dari bawah rumah. Saya cukup takut belajar membaca Quraan dengan emak saya. Kalau silap jer, hah, lesai kena balun dengan rotan. Abang saya tak ada pilihan belajar dengan emak saya. Saya pulak belajar dengan Aki saya. Aki saya adalah Guru Tajwid. Dia mengajar menggunakan papan hitam, dan dia ajar ilmu tajwid yang saya kena tulis dalam buku saya. Oleh kerana itu mudahlah untuk saya membaca sendirian dengan ilmu tajwid yang Aki saya ajar. Dan kerana itu juga saya tamat Quraan lebih awal dari abang saya. Setiap malam saya akan bacakan di depan Aki saya, dan jika bacaan saya lancar, tak tersekat-sekat dan betul dengan tajwidnya, Aki saya izinkan saya membaca di depannya sehinggalah dia suruh saya berhenti. Bacaan malam esuknya beralih dari tempat berhenti itu. Bapa saudara saya bertugas sebagai Guru Besar sekolah Melayu. Dia tinggal di kampung lain. Kami tinggal di Lubok Kawah, dia tinggal di Sanggang. Oleh kerana berjauhan itu kami tidaklah rapat, tetapi setiap kali dia menghilir ke Temerloh (Kuala Semantan) dengan bot lajunya, dia akan singgah di Lubok Kawah bertanya kepada ayahnya (Aki saya) kalau-kalau ada apa-apa yang Aki saya mahu beli dari Kuala Semantan. Bapa saudara saya itu juga adalah seorang ahli UMNO peringkat awalnya. Tetapi dia tinggalkan UMNO dan menyertai Parti Negara apabila Dato Onn Jaafar meninggalkan UMNO untuk menubuhkan Parti Negara. Apabila ayah saya keluar dari tahanan ditahan oleh Penjajah Inggeris kerana ayah saya adalah anggota API, Aki saya mengajak ayah saya menyertai UMNO. Tak mahu menghampakan bapa mertuanya, ayah saya menyertai UMNO tetapi dalam pada itu dia sentiasa pergi ke Kuala Semantan untuk menghadiri perjumpaan Parti Rakyat Malaya yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Saya pun suka mengikuti ayah saya ke perjumpaan-perjumpaan Parti Rakyat walaupun pada waktu itu pengaruh Aki saya sebagai ahli UMNO cukup kuat. Saya memanglah terpesona dengan Aki saya yang faseh bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Aki saya cukup serius dengan politik. Semasa Tunku Abdul Rahman pulan dari London untuk mengumumkan keputusan Kerajaan Inggeris memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu di Melaka, Aki saya turun ke Melaka. Bila dia balik dari Melaka dia menceritakan kepada saya bahawa Tanah Melayu tak lama lagi akan Merdeka. Apa erti Merdeka, saya tanya Aki saya, dijawab mudah oleh Aki saya bahawa negara kita akan bebas dan kita akan memerintah sendiri dan tidak lagi diperintah oleh Orang Putih. Aki saya sangat gembira. Selepas Merdeka Parti Perikatan bertanding didalam Pilihanraya tahun 1959 ditentang oleh parti-parti Pembangkang seperti Fron Sosialis (gabungan PRM-Parti Boroh Malaya), PMIP (kini dikenali sebagai PAS), PPP, UDP dan parti-parti bebas. Aki saya menyokong Perikatan tetapi ayah saya dan ramai dari kaum keluarga saya di Kampong Lubok Kawah menyokong Fron Sosialis. Enkounter saya dengan Pak Sako (sudah diceritakan didalam halaman lain terdahulu didalam blog ini) memanggil saya menyokong Fron Sosialis, dan walaupun saya masih di Sekolah Menengah pada waktu itu saya sudah berjaya menyusun kanak-kanak sekolah lebih kurang 30 orang, iaitu kami mengambil tugas untuk membuat poster PRU untuk Fron Sosialis, dan kami menampal poster. Kami letak bendera pada handle basikal kami. Cukup meriah dan seronok apabila kami mengelilingi bandar Temerloh dan kampung-kampung sekitarnya dengan berbasikal yang dipasang bendera Fron Sosialis. Alhamdulillah, calon Fron Sosialis iaitu Pak Sako hanya kalah kecil iaitu lebihkurang 1000 undi saya menentang calon Perikatan pada waktu itu. Selepas itu setiap kali berlaku pilihanraya samada diperingkat Majlis Tempatan, DUN dan Parlimen (yang dibuat secara berasingan), saya membantu calon-calon dari PRM/Fron Sosialis. Saya kekal dengan PRM semasa belajar di London, dan kembali ke Malaysia, walaupun pada waktu itu saya memegang jawatan didalam Kerajaan sehinggalah pemikiran saya terseleweng oleh rakan-rakan setugas saya yang sama-sama berkhidmat di dalam perkhidmatan kerajaan. Saya merantau jauh tidak ada tempat bertapak dengan dilema pemikiran dengan menyertai UMNO dan PAS. Saya cukup sesal dengan kejadian itu, dan kini saya kembali semula dengan perjuangan rakyat, bermula dengan perjuangan didalam Parti Keadilan Nasional sebagai salah seorang yang menubuhkan parti itu di Temerloh dimana saya diberi tugas sebagai Ketua PKN Bahagian Temerloh, dan kini menjadi Ketua PKR Cabang Kuala Krau. Insya Allah, saya kekal didalam PKR dan kini diberikan peluang untuk duduk didalam Majlis Pimpinan Pusat, dan perjuangan rakyat tidak mengenal perkataan "rehat" dan "pencen", saya akan terus berjuang walaupun sebagai ahli biasa, dan saya tidak pernah meminta diri saya menjadi calon walaupun saya memegang jawatan-jawatan penting didalam parti. Dasar PKR sesuai dengan citarasa dan naluri saya. Alhamdulillah. |
Laman Rasmi: PKR KECEWA TINDAKAN PIHAK POLIS Posted: 14 Feb 2013 01:49 AM PST Laman Rasmi: PKR KECEWA TINDAKAN PIHAK POLIS: PETALING JAYA, 18 Dis — PKR kecewa dengan pihak polis kerana tidak ambil tindakan terhadap samseng yang menyerang bas Jelajah Merdeka Rak... |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan