Khamis, 7 Februari 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Perutusan YB Dr Xavier Jayakumar Sempena Tahun Baru Cina 2013

Posted: 07 Feb 2013 06:30 PM PST

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina saya ucapkan kepada semua rakyat yang berbangsa Tiong Hua di negeri Selangor khasnya dan diseluruh negara.
 
Pada 10 Februari ini tibalah tahun ular yang telah dinantikan oleh masyarakat cina sebagai permulaan kalendar tahun baru. Seperti amalan biasa, sehari sebelumnya masyarakat Tiong Hua akan mengadakan majlis makan besar bersama ahli keluarga mereka.
 
Amalan kunjung-mengunjungi diantara satu sama lain pastinya akan diteruskan bagi merapatkan hubungan bukan sahaja dikalangan masyarakat Tiong Hua malah masyarakat lain yang berbilang bangsa dan agama untuk turut meraikan bersama-sama. Ini adalah amalan yang telah kita lakukan setiap kali tibanya perayaan.

Pada tahun ini juga Pilihanraya Umum Ke-13 akan diadakan dan merupakan peluang untuk kita bersama-sama melakukan perubahan demi negara yang lebih makmur melalui perubahan pentadbiran yang akan menyaksikan keadilan dan hak saksama diperjuangkan serta pentadbiran yang serius memerangi rasuah yang pada akhirnya membawa manfaat kepada rakyat seluruhnya. Saya menyeru agar kita semua mengambil peluang ini untuk keluar mengundi dan memilih perubahan demi kebaikan kita semua dan generasi akan datang.
 
Akhir sekali, pesanan saya kepada mereka yang akan membuat perjalanan pulang ke kampung, utamakanlah aspek keselamatan dan sentiasa berhati-hati dijalanraya. Semoga selamat ke destinasi masing-masing. Bagi pihak DUN Seri Andalas saya menjemput anda semua ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina DUN Seri Andalas akan diadakan pada 24 Februari 2013 (Ahad), jam 2 hingga 5 petang bertempat di Jalan Bendahara 45, Off Jalan Jati, Taman Mewah, Klang. Datanglah beramai-ramai, kita meriahkan sambutan Tahun Baru Cina ini.

Sekali lagi bagi pihak saya dan keluarga serta warga kerja DUN Seri Andalas dan rakan-rakan pimpinan Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat, mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Xin Nian Kuaile dan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakyat Malaysia berbangsa Tiong Hua.

YB DR XAVIER JAYAKUMAR
ADUN Seri Andalas
EXCO Kerajaan Negeri Selangor

Sumbangan Sempena Tahun Baru Cina oleh PEKAWANIS di DUN Seri Andalas

Posted: 07 Feb 2013 06:00 PM PST

DUN Seri Andalas, 7 Februari 2013 - Bertempat di Pejabat Khidmat ADUN Seri Andalas, satu program menyampaikan sumbangan bersempena Tahun Baru Cina telah diadakan oleh PEKAWANIS.

Sumbangan sebanyak RM100 disampaikan kepada 30 orang wanita oleh Puan Sheila Devaraj yang merupakan penggerak PEKAWANIS yang juga merupakan isteri kepada YB Dr Xavier Jayakumar. 

Pada program hari ini penerangan ringkas dibuat berkenaan program-program yang dianjurkan PEKAWANIS. Mereka yang hadir dijamu dengan makanan yang disediakan para sukarelawan.

PEKAWANIS adalah persatuan bagi isteri-isteri ADUN dan ahli Parlimen serta ADUN dan Ahli Parlimen wanita yang berminat menyertainya. Matlamat utama PEKAWANIS adalah kebajikan dan perstuan ini juga menguruskan rumah kebajikan di Shah Alam untuk perempuan-perempuan muda yang menghadapi masalah. PEKAWANIS juga menguruskan pusat dialisis di Klang.

Untuk setiap kali perayaan, sebanyak RM3,000 diagihkan kepada wanita / keluarga miskin di kawasan mereka. Dianggarkan seramai 13,500 wanita telah mendapat manfaat daripada PEKAWANIS.














Harga Rumah Mampu Milik Pasang Siap Selangor Tidak Melebihi RM100,000

Posted: 07 Feb 2013 05:30 PM PST

SHAH ALAM 8 FEB : Pakar dari dalam dan luar negara akan dipanggil Kerajaan Negeri berhubung pembinaan projek "Rumah Mampu Milik Pasang Siap" yang mula dilaksanakan menerusi Belanjawan 2013.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pakar-pakar luar negara dari United Kingdom dan Jepun itu akan diminta memberikan pendapat dan cadangan dalam penyediaan rumah itu nanti dengan cara yang terbaik.

Katanya, hasil pembinaan itu, rakyat akan dapat menikmati dengan harga yang murah iaitu tidak melebihi RM100,000.

"Di Selangor, khusunya Shah Alam, harga tanah semasa tinggi, setiap lima tahun tanah yang berharga RM10 sekaki akan menjadi RM30 sekaki, kalau harga tanah tinggi lagi ramai yang mahu membelinya.

"Jadi untuk rakyat yang tidak mampu, itu kita akan sediakan mereka rumah mampu milik. Dan menjadi polisi Kerajaan Negeri, setiap pembangunan tanah di 10 ekar tanah, mestilah mempunyai projek pembinaan rumah mampu milik," katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Bengkel Pengurusan Tanah negeri bagi tahun 2008-2012 .

Hadir sama Pengarah PTGS, Datuk Kamarulzaman Jamil dan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail.

November lalu, dalam sidang Dewan Negeri (DNS) sejumlah RM50 juta diperuntukkan bagi tujuan pembinaan Rumah Mampu Milik melalui projek "Rumah Mampu Milik Pasang Siap" (Prefabricated Packages Home) yang bakal dikendalikan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mulai ini menerusi Belanjawan 2013.

Inisiatif itu bertujuan membantu rakyat yang terbeban dengan harga rumah yang melambung di pasaran pada ketika ini.

Projek itu diyakini mampu memberi keseimbangan terhadap harga tinggi dalam trend lonjakan harga rumah kesan daripada penawaran dan permintaan pasaran akibat pengambilan untung yang keterlaluan dikalangan pemaju.

Melalui projek itu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperbaiki kesan-kesan harga pasaran yang terjadi akibat aktiviti persaingan spekulasi dalam perniagaan hartanah.

Sumber: Selangorku

Bantuan Blueprint Selangor Bantu Peniaga Kembangkan Perniagaan

Posted: 07 Feb 2013 02:00 AM PST

KUALA KUBU BHARU 7 FEB : Peniaga kuih muih dari Hulu Bernam, Nor Anita Baharuddin, 44, menganggap bantuan Kerajaan Negeri yang diterima memberi galakan bagi dirinya untuk terus berusaha gigih memajukan perniagaan dijalankan sejak dua tahun lalu.

"Bantuan perniagaan yang saya terima ini akan membolehkan saya membuat kuih muih dengan lebih banyak kerana oven diberikan lebih besar dari yang saya gunakan sekarang.

"Dengan cara itu saya dapat mengembangkan lagi perniagaan saya ke kawasan lain dan memenuhi tempahan lebih banyak," kata peniaga Medan Selera Tanjung Malim itu selepas Majlis Pemberian Bantuan Blueprint dan Kesihatan Selangor di sini hari ini.

Nor Anita adalah salah seorang dari 46 peniaga dari daerah Hulu Selangor yang menerima bantuan perniagaan tersebut dari Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Bantuan perniagaan Blueprint adalah bantuan perniagaan dalam bentuk barangan disalurkan Kerajaan Negeri kepada golongan peniaga di Selangor sejak 2008 dengan peruntukan tahunan RM1 juta bagi memajukan perniagaan dijalankan mereka.

Saidina Hamzah Siakin, 49, yang menjalankan perniagaan memotong rumput sejak tiga tahun lalu menyambut baik pemberian mesin rumput diterimanya kerana selama ini dia tiada berkemampuan untuk memiliki mesin tersebut.

"Selama ini saya mengambil upah memotong rumput dengan cara menyewa mesin pemotong ini mengikut kadar harian RM30.

"Mesin rumput yang baik harganya antara RM1,000 ke RM1,500, ia agak mahal bagi saya. Apabila dapat bantuan dari Kerajaan Negeri, saya bersyukur sangat kerana sudah ada mesin sendiri dan tak perlu menyewa lagi," kata Saidina yang berasal dari Batang Kali.

Dr Xavieer dalam ucapannya menjelaskan Kerajaan Negeri memberikan bantuan Blueprint kepada peniaga yang menjalankan perniagaan serta membuktikan kemampuan dalam bidang itu.

Katanya, ia berbeza dengan bantuan mikrokredit kerana bantuan Blueprint tidak pelu dibayar semula oleh penerima.

"Kerajaan Negeri bagi bantuan ini kepada peniaga supaya dapat meningkatkan pendapatan dengan barangan yang diminta peniaga.

"Kita menggalakkan diwujudkan pusat komuniti supaya peniaga boleh menjalankan perniagaan mereka di situ. Apa yang saya lihat kebanyakan peniaga adalah wanita dan perniagaan diusahakan bidang jahitan. Dengan cara ini, mesin jahitan boleh ditempatkan di pusat komuniti ini," katanya.

Dr Xavier berkata, beberapa kawasan lain sudah menyediakan kemudahan pusat komuniti itu seperti Tanjung Karang, Jenjarom, Sri Andalas dan Klang.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: