PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
- Manifesto Pakatan Harapan Rakyat dilancar, kempen tawan Putrajaya
- DAP pastikan undi Cina untuk KEADILAN & PAS
- Pakatan laksana daftar automatik, hapus PTPTN & pendidikan percuma
- Muafakat Pakatan teras utama tumbangkan Umno BN – Anwar
Manifesto Pakatan Harapan Rakyat dilancar, kempen tawan Putrajaya Posted: 25 Feb 2013 01:38 AM PST SHAH ALAM 25 FEB: Manifesto Pakatan Rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) dilancar pada Konvensyen Pakatan Rakyat hari ini. Manifesto bertema 'Pakatan Harapan Rakyat' itu dimulakan dengan pembentangan oleh Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli kira-kira jam 10.40 pagi. Kemudian disusuli pembentangan oleh Dr Dzulkefly Ahmad mewakili PAS, manakala M Kulasegaran mewakili DAP. Manifesto ini merupakan kempen awal Pakatan menawan Putrajaya. Ia juga kemuncak gabungan dasar bersama Pakatan termasuk tawaran baru. Kandungan Manifesto Pakatan Rakyat boleh KLIK INI. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=45903 |
DAP pastikan undi Cina untuk KEADILAN & PAS Posted: 25 Feb 2013 01:37 AM PST SHAH ALAM 25 FEB: Pengerusi Biro Pilihan Raya DAP, Tan Kok Wai menjamin, KEADILAN dan PAS mendapat sokongan padu pengundi Cina di semua kawasan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13). "Pengundi Cina adalah kekuatan kita (DAP). Justeru kita akan memastikan dan membantu parti gabungan Pakatan Rakyat iaitu KEADILAN dan PAS untuk mendapat hak kepercayaan pengundi Cina, tidak kira di mana-mana kawasan," kata Ahli Parlimen Cheras itu. Kok Wai menyampaikan amanatnya dalam Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-4 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, dekat sini, hari ini. Menurutnya, menjelang PRU 13, Pakatan Rakyat perlu bergerak dan berkempen sebagai satu entiti dengan semangat kerjasama dan saling membantu untuk menang. "Untuk mencapai matlamat memulakan budaya politik baru selepas PRU 13, Pakatan Rakyat perlu mengalahkan BN dan mesti mendapat kemenangan besar dan membanggakan," katanya. "Untuk itu, Pakatan mesti bersatu dalam berkempen meliputi aspek idea dan mesej, dan memastikan jentera masing-masing berkempen sebagai satu entiti," katanya. Kata Kok Wai, dengan cara itu, rakyat yakin Pakatan bersatu dan berkhidmat untuk semua kaum seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. "Kita juga perlu yakinkan rakyat bahawa 'peperangan' kali ini bukan saja perjuangan Pakatan melawan BN, tetapi untuk ke arah Malaysia yang lebih baik. "Beritahu pemimpin kerajaan sekarang bahawa undi kami tidak ternilai, dan undi rakyat bukan untuk dihina," tegasnya disambut tepukan kira-kira 1,500 perwakilan. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=45917 |
Pakatan laksana daftar automatik, hapus PTPTN & pendidikan percuma Posted: 25 Feb 2013 01:36 AM PST SHAH ALAM 25 FEB: Pendaftaran automatik anak muda berusia 18 tahun sebagai pengundi, antara enam tawaran Manifesto Pakatan Rakyat kepada anak muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-13. "Mereka tak boleh dikecualikan dari suara politik. Cukuplah era 'listen, listen, listen'. Sekarang era kerajaan untuk mendengar," kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar. Beliau berkata, Pakatan Rakyat konsisten dengan dasar pendidikan percuma yang berkualiti dan penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). "Pilihan raya kampus mesti diurus oleh pelajar. IPT (Institut Pengajian Tinggi) sepatutnya memupuk budaya belia dan warganegara yang bebas dan mansuhkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar. "Malaysia jangan membazir melalui rasuah kepada kroni dan (dana) dilabur kepada pendidikan," tegas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu. Nurul Izzah berkata, isu pengangguran, guna tenaga dan pengurusan hutang golongan muda akan diatasi melalui dasar dan peluang kerjaya yang lebih tersusun. "Kini, kadar pengangguran belia 60 peratus, 6.6 kali lebih tinggi dari orang dewasa. Ini kerana dasar yang tak dikendali dengan baik oleh 'orang dewasa' Umno BN. "Statistik menunjukkan sehingga Mei 2012, 76,200 graduan masih menggangur. Pakatan komited mencari penyelesaian kepada golongan berumur 34 ke bawah yang 47 peratus berhutang," katanya merujuk data Jabatan Insolvensi. Dalam pada itu, satu skim perintis rakyat melalui pembinaan 25 Sekolah Vokasional dan lima universiti teknikal akan ditubuhkan untuk mewujudkan anak muda berkemahiran memberi peluang kerjaya dalam sektor teknikal. Manakala satu Majlis Penasihat Belia yang dipilih oleh anak muda di peringkat Persekutuan, negeri dan tempatan turut akan ditubuhkan, kata Nurul Izzah. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=45920 |
Muafakat Pakatan teras utama tumbangkan Umno BN – Anwar Posted: 25 Feb 2013 01:34 AM PST SHAH ALAM 25 FEB: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Pakatan Rakyat supaya sedia menjawab serangan, kerana ujian terbesar pilihan raya kali ini adalah permuafakatan Pakatan yang membuatkan Umno BN iri hati dan tidak senang duduk. Anwar berkata, serangan Umno BN melibatkan isu teras politik negara terutama untuk mengkucar kacirkan orang Melayu. "Jentera Pakatan Rakyat wajib bersedia dan menjawab dengan tegas tohmah yang dilemparkan media Umno BN tanpa rasa takut. "Jangan minta maaf dan bersikap defensif. Kerana yang merompak, mengambil saham, kontrak sehingga permit teksi dan wang lembu ialah pimpinan Umno yang khianat amanah," katanya ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen Pakatan Rakyat di Pusat Konvensyen Shah Alam, hari ini. Berucap di depan hampir 2000 perwakilan, Anwar berkata, serangan Umno BN kini ditujukan terhadap PAS dan pimpinan Melayu dari KEADILAN. "Pemimpin Melayu Pakatan Rakyat bertanggunggjawab mengembalikan maruah. Dengan ini majoriti Melayu yang mendapat manfaat," katanya. "Kita terima kepelbagaian dan ini ujian terbesar. Maka, kena pastikan kita bersama dengan setiap calon, menyerang Umno BN dan kalahkan mereka kali ini," sambungnya. "Muafakat kita berbeza dari muafakat biasa. Bukan hanya untuk merebut kuasa, tapi keikhlasan yang diterjemahkan dengan janji dan amanah," kata Anwar lagi. Selanjutnya, beliau berkata, keangkuhan kuasa Umno BN melalui pemunggahan kekayaan oleh segolongan kecil elit pemerintah dijawab dengan Manifesto 'Pakatan Harapan Rakyat'. "Ini adalah asas pertembungan dua sistem yang berbeza," katanya. Mengulas kesepakatan Pakatan Rakyat pasca PRU ke-12, Anwar berkata, hubungan antara parti semakin kukuh, terutama melihat kepada usaha yang dilakukan pemimpin muda ketiga-tiga parti komponen. Beliau turut memetik kata-kata ahli falsafah Ireland, Edmund Burke – 'The arrogance of age must submit to be taught by youth' – pimpinan muda Pakatan Rakyat cekap mengatur dasar dan pandangan penting seperti yang terangkum dalam manifesto Pakatan Harapan Rakyat. "Syabas kepada hasil kerja sungguh-sungguh Sekretariat Pakatan Rakyat dan pimpinan muda jauh lebih luar biasa melakar perubahan," katanya. "Berbeza dengan harapan BN kepada generasi muda, mereka diberi pesta-pestaan…Kita dalam Pakatan Rakyat pula dapat mencungkil bakat muda dan terpuji apabila berjaya mengemukakan isu pokok dalam manifesto hari ini," katanya. "Yang berlaku dalam senario sekarang ialah kebangkitan rakyat. Kita harus sedar rakyat yang bangkit menuntut perubahan. "Manakala Pakatan Rakyat hanya pemangkin kebangkitan, bukan (semata-mata) menjadi penentu. Hilangkan keangkuhan, jangan kita fikir kita sangat penting," pesan Anwar. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=45937 |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan