Khamis, 3 Januari 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Hormati Sumbangan Keng Yaik, Benarkan Penstrukturan Semula Industri Air

Posted: 03 Jan 2013 01:30 AM PST

SHAH ALAM 3 JAN : Kerajaan Pusat seharusnya menghormati usaha mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik sebagai pemimpin yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara dengan membenarkan penstrukturan semula industri air di Selangor.

Tambahan pula, mendiang Keng Yaik memainkan peranan penting dengan mengkaji semula dasar penswastaan perkhidmatan air Kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak menyebelahi kepentingan rakyat.

"Kerajaan Negeri komited dan berusaha keras untuk meneruskan usaha mendiang yang ingin membetulkan industri perkhidmatan air dengan melaksanakan kehendak WSIA sepertimana diperjuangkan mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik."

Demikian menurut satu kenyataan daripada Sekretariat Akhbar Menteri Besar Selangor.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mendesak Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan serius bagi melaksanakan penstrukturan semula industri air.

"Kerajaan Persekutuan perlu menghormati usaha mendiang dengan mengembalikan hak air kepada rakyat dan membenarkan kerajaan Selangor menguruskan perkhidmatan air untuk kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Datuk Seri Peter Chin Kah Fui perlu memikul tanggungjawab ini selaras dengan kuasa yang ada padanya mengikut WSIA," ujar kenyataan itu lagi.

Mendiang Keng Yaik merupakan Menteri Kabinet yang bertanggungjawab memperkenalkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) yang mengembalikan hak air kepada kerajaan negeri.

"Beliau pernah mengetuai kementerian yang berlainan seperti kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

"Namun beliau sentiasa berusaha gigih membuat kajian dan persediaan supaya setiap keputusan yang dibuat relevan dengan perubahan semasa," kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak berpeluang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang kerana berada di luar negara.

Bagaimanapun, Menteri Besar berkesempatan menziarahi keluarga mendiang Keng Yaik sebagai tanda penghormatan terakhir.

Sumber: Selangorku

Kerajaan Negeri Sedia Pelan Bantuan Atasi Gangguan Air

Posted: 03 Jan 2013 01:15 AM PST

SHAH ALAM, 2 JAN : Kerajaan Negeri menyediakan pelan bantuan dengan meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor bersiap sedia bagi mengatasi gangguan bekalan air dibeberapa kawasan di negeri ini.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin, Kerajaan Negeri meminta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk menghantar lori-lori tangki air ke kawasan terlibat di Bandar Tun Razak, Hulu Langat dan Ampang.

Sehingga kini, sebanyak tujuh lori tangki air dihantar oleh PBT-PBT di Selangor ke Wilayah Persekutuan khusus ke kawasan yang terjejas teruk akibat kegagalan Syabas menyelenggara rumah pam air dan membuat pemeriksaan berkala.

"Menteri Besar juga meminta Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Selangor untuk memantau pembekalan air di seluruh negeri dan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur serta Putrajaya.

"Pelan bantuan juga disediakan termasuk menghantar lori-lori tangki air ke kawasan yang bermasalah," katanya.

Gangguan bekalan air ini juga menurut Faekah membuktikan bahawa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak mampu untuk menguruskan pembekalan air kepada seluruh negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Ini juga akibat projek penswastaan industri air yang tidak dilakukan secara berhemah oleh kerajaan BN Selangor.

"Konsesi air bukan diberikan kepada syarikat yang mampu dari segi pengalaman mengurus dan kemampuan kewangan tetapi atas dasar mahu mengkayakan kroni.

"Rakyat yang akhirnya menanggung beban, beban membayar harga yang tinggi dan risiko catuan air yang tidak menentu," kata Faekah dalam kenyataan medianya.

Ujar beliau, ini menguatkan azam Kerajaan Negeri untuk terus mendesak Kerajaan Pusat melaksanakan tanggungjawab mereka di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Setakat ini, Kerajaan Pusat sengaja melambat-lambatkan proses penstrukturan semula industri air yang dicadangkan Kerajaan Negeri.

Jelas Faekah, gangguan bekalan air dijangka berlarutan dan menjejaskan lebih 100,000 akaun pengguna.

Sumber: Selangorku

Kerajaan Pusat Gagal Tunai Janji Bina Hospital

Posted: 03 Jan 2013 01:00 AM PST

PETALING JAYA 2 DIS : Kementerian Kesihatan didakwa gagal menunaikan janji dalam melaksanakan pembinaan hospital dan klinik yang mencukupi mengikut jumlah penduduk.

Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri berkata, selepas dianalisa Umno-BN hanya mampu menyediakan pembinaan hospital kira-kira hanya 58 peratus.

Sebelum ini, kementerian terbabit menjanjikan menyediakan hospital dengan nisbah dua katil bagi setiap penduduk yang mana dianggarkan sebanyak 60,000 buah katil.

Namun, hasil analisa, setakat ini hanya terdapat 34,794 buah katil daripada 125 buah hospital di negara ini.

Manakala, lebih 10 buah hospital masih dikategori sebagai projek sakit selain masih tidak dibangunkan sedangkan majlis pecah tanah sudah dijalankan.

"Daripada penelitian pihak kami juga, lebih 50 peratus bangunan sudah usang yang mana usianya sudah mencecah lebih 50 tahun.

"Banyak hospital yang dijanjikan dengan perkhabaran baik untuk dibangunkan, ditukar menjadi kompleks hospital baru, namun hakikatnya tiada. Janji ini dilafazkan ketika ingin meraih undi setiap kali pilihan raya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Antara projek hospital yang dijanjikan untuk dinaik taraf ialah Hospital Tanjung Karang, Hospital Parit Buntar, Hospital Sri Aman dan Hospital Lawas, Sarawak.

Manakala, antara projek pembinaan yang masih belum didirikan ialah Hospital Shah Alam, Hospital Dungun, Hospital Pendang, hospital Bandar Baru, Hospital Petra Jaya, Hospital Bera dan Hospital Rembau.

Yahya menambah biro kepenggunaan menyimpulkan bahawa punca kegagalan pembinaan hospital adalah disebabkan terlalu banyak penyelewengan, salah guna dan ketirisan wang rakyat.

"Jika dihitung, jumlah penyelewengan dan salah guna wang rakyat bernilai lebih RM153 bilion.

"Antaranya, skandal PKFZ, komisyen kapal selam, 'bailout' konsortium perkapalan milik Mirzan Mahathir, kerugian pembelian aset oleh Sime Darby, pembelian Eurocopter dan sebagainya," katanya.

Jelasnya, dengan menganggarkan sebuah hospital berkapasiti 100 buah katil dengan nilai projek RM100 juta setiap satu, kekurangan kapasiti katil berjumlah 25,000 itu hanya memerlukan 250 buah hospital.

"Daripada jumlah itu, jumlah anggaran kos pembinaan bernilai RM25 bilion sahaja yang mana sekitar 15 peratus daripada jumlah kehilangan wang rakyat sebanyak RM153 bilion itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yahya mendakwa Kementerian Kesihatan akan menukar skim rawatan pesakit yang mana hospital atau klinik kerajaan akan hanya memberi rawatan sahaja manakala ubat tidak akan dibekalkan kepada pesakit.

"Ia kerana kos ubat yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dianggarkan lebih RM1.2 bilion setiap tahun.

"Perbelanjaan itu dikatakan tinggi dan meningkat sebanyak 10 peratus setiap tahun, maka sistem baru itu akan diperkenalkan di mana pesakit terpaksa menanggung kos ubatan itu sendiri," katanya.


Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: