Jumaat, 21 Disember 2012

PKR PENGKALAN HULU

PKR PENGKALAN HULU


Jangan dibakar jambatan sebelum menyeberang

Posted: 20 Dec 2012 09:51 PM PST

Pilihanraya kali ini adalah pilihanraya yang paling sengit bagi BN dan paling hampir kepada kuasa bagi Pakatan Rakyat. Keadaan graf kemajuan kedua belah pihak sentiasa berubah setiap waktu dan masa. Dalam satu waktu BN mendahului sedikit dan pada waktu yang lain pula Pakatan Rakyat yang mendahulu dari sokongan rakyat.

Bagi saya secara jujur, dan realistik pada hari ini keadaan memerlukan kedua-dua belah pihak berusaha keras untuk mendapatkan undi-undi di atas pagar yang agak besar dan itulah pandangan saya mengikut keadaan sekarang ini. Adalah penting bagi kedua-dua belah pihak memaparkan perjuangan yang betul dan benar. Jangan sekali-kali ada pihak yang melakukan perkara yang boleh menjejaskan sokongan dalam waktu yang kritikal ini.

Rakyat terutamanya pengundi-pengundi di atas pagar sedang menumpukan perhatian terhadap janji-janji masing-masing. Jika kedapatan janji-janji yang tidak mungkin terlaksana, kerana permainan politik peribadi, pihak itu akan hilang sokongan dari gulungan ini. Janji-janji kedua-dua belah pihak adalah dalam perhatian rapi pengundi.

Bagi BN isu-isu besar yang mereka hadapi sudah pasti menjejaskan prestasi mereka. Itulah sebabnya transformasi yang di janjikan BN itu ialah untuk mempastikan yang isu rasuah yang sudah menjadi 'stigma' kepada BN itu wajar di hapuskan serta merta. Tetapi untuk menghilangkan 'stigma' itu, bagi BN dan UMNO wajib memperlihatkan kepimpinan baru dalam parti itu yang tidak melibatkan mana-mana pemimpin atau individu yang ada di dalam MKT UMNO dan Jemaah Menteri sekarang ini.

Pimpinan BN yang ada tidak mempunyai kredibiliti untuk menunaikan janji-janji bagi memperbaiki keadaan ini kerana tidak mungkin kumpulan yang melakukan rasuah itu akan berkemampuan memperbaiki keadaan rasuah yang mereka lakukan. Dalam sekelip mata ini UMNO wajar menukar imej baik dengan menukar barisan pimpinan yang baru sebelum pilihanraya yang akan datang ini.

Bagi Pakatan Rakyat yang sedang merasakan sedikit nikmat kuasa yang rakyat akan diperhatikan ialah samada janji-janji yang menjadi umpan untuk rakyat memberikan sokongan itu betul-betul terlaksana. Bagi PAS tidak nampak apa-apa yang bermasalah kerana PAS merupakan parti yang paling berdisiplin dan oleh kerana ia berlandaskan sedikit sebanyak kepada Islam dan agama itu kita terlihat ia sudah menunjukkan dan membuktikan parti itu telah berjaya mewujudkan kepimpinan yang telah pun terbukti kesahihan dalam penepatan janji-janji selama ini.

Bagi DAP, parti ini telah berjanji untuk melaksanakan pentadbiran yang baik dan terbukti wujud di Pulau Pinang. Janji-janji parti ini untuk menonjolkan calon-calon Melayu sedang menjadi perhatian ramai khusus dari pengundi Melayu di seluruh negara. Jika janji ini tidak di tepati ia akan pasti menjejaskan keyakinan sebahagian rakyat terutamanya dari gulungan yang di atas pagar. Jika janji untuk memaparkan calon-calon Melayu ini tidak terlaksana maka itu akan menjadi tanda awal yang DAP akan tetap dengan persepsi rakyat sebagi sebuah parti yang rasis untuk kaum Cina semata-mata.

'Convention' DAP di Pulau Pinang minggu lepas juga telah membibitkan perasaan sedikit kurang senang setengah pihak, bukan sahaja dikalangan kaum Melayu tetapi juga dikalangan kaum India. Tetapi itulah demokrasi. Jika yang tidak mendapat keyakinan perwakilan maka tidak adalah yang menang di dalam pertandingan seperti itu. 

Tetapi seperti yang di sebut oleh perwakilan Sekinchan yang mana sudah ada tanda-tanda DAP telah mula di resapi oleh elemen politik wang walaupun belum jelas di lihat. Ramai yang telah memberikan komen dalam senyap-senyap yang mengatakan nampaknya DAP juga sudah mula terasa nikmat kuasa dan di harap apa yang di sebut oleh perwakilan itu tidak benar.

PKR pula, seperti DAP dan PAS telah berjaya menunjukkan prestasi kepimpinan yang jauh lebih bersih dari BN di Selangor dan kini yang perlu bagi kerajaan PKR Selangor untuk terus mentadbir dengan baik seperti yang telah terekod selama empat tahun lebih memerintah kerajaan Negeri Selangor itu.

Pendeknya jika dilakukan pilihanraya hari ini atau esok, mana-mana pihak yang melakukan kesilapan walaupun sedikit, pihak itu akan menghadapi kekalahan. Oleh itu kedua-dua pihak nampaknya terpaksa berhadapan dengan situasi yang mesti berhati-hati kerana masing-masing sudah tidak ada ruang untuk melakukan kesilapan lagi.

Jika mana-mana pihak melakukan kesilapan sekarang ini masa sudah terlalu suntuk untuk memperbetulkannya. Dalam keadaan sekarang kesilapan tambahan dari pihak BN akan mengakibatkan kehilangan kuasa. Sebaliknya jika Pakatan Rakyat melakukan kesilapan dengan menunjukkan sikap terlalu dahagakan kuasa juga akan mengakibatkan niat untuk ke Putrajaya itu terbengkalai sehingga pilihanraya yang akan datang.

Ingat, mana-mana pihak yang melakukan kesilapan akan menerima padahnya. Kita mesti ingat acapkali terjadi makanan yang sudah hampir masuk ke dalam mulut pun akan terlepas jika rakyat terlihat sikap tamak haloba dan politik peribadi yang keterlaluan. Kepada yang sedang terlalu takut kehilangan kuasa yang ada sekarang jangan bercakap besar dengan memperlekehkan pihak lain.

Kepada pihak yang ingin mengambil alih kuasa pula jangan tunjukkan sangat keghairahan yang keterlaluan untuk mendapatkan kuasa itu kerana ia akan memakan diri masing-masing. Hidung biar terletak di tempatnya, jangan di letak di dahi. Cara kita menunggu kejayaan untuk mendapatkan kuasa itu akan mudah di baca dan menjadi pertimbangan pihak yang di atas pagar untuk menentukan sikap mereka di dalam peti undi nanti.

Sebenarnya rakyat benar-benar mahu merasakan perubahan nyata dan mereka akan kecewa jika mereka masih mengalami keadaan dan situasi yang sama setelah mereka mengalih dan menganjak kuasa itu di dalam pilihanraya nanti. Sekali rakyat yang mengharap rasa tertipu, ia akan mengambil masa yang panjang untuk memulihkan keyakinan mereka.

Jangan buangkan air dalam tempayan semata-mata kerana terdengar bunyi guruh dilangit. Satu lagi perbidalan yang sangat popular dalam politik negara ialah, 'jangan membakar jambatan sebelum menyeberang'

Sumber: http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tiada ulasan: