Jumaat, 14 Disember 2012

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Fitnah: Utusan diperintah bayar Karpal RM70,000

Posted: 13 Dec 2012 11:41 PM PST

dipetik dari Malaysiakini.com

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mendapati akhbar Utusan Malaysia milik Umno bersalah memfitnah Karpal Singh dan diperintah membayar gantirugi dan kos sebanyak RM70,000 kepada pengerusi DAP itu.

Ia berhubung penyiaran satu tulisan dan akhbar itu empat tahun lalu melibatkan satu acara pada malam sebelum pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Satu bahagian dalam tulisan berkenaan dipetik sebagai kenyataan Karpal walaupun peguam itu tidak hadir di acara tersebut.

Penulisnya, Zulkifli Jalil yang kini merupakan pengarang berita akhbar tersebut, membuat permohonan maaf secara terbuka ketika memberi keterangan dalam kes tersebut awal tahun ini.

Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad memutuskan bahawa permohonan maaf semata-mata tidak membebaskan Utusan daripada kesalahan fitnah.

Mahathir sindir Rosmah, ingatkan kedudukan Najib

Posted: 13 Dec 2012 06:46 PM PST


KUALA LUMPUR 13 Dis: Akibat menonjol melebihi suaminya, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi bahan sindiran mantan Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Terbaru, isteri Datuk Seri Najib Razak itu sekali lagi mengejutkan rakyat dengan penghasilan buku biografinya yang dikatakan 'menjawab secara telus' isu dakwaan kononnya fitnah ke atasnya.
Mahathir dilapor berkata, isteri PM itu berhak untuk menonjol setinggi mana sekalipun.
Beliau ditanya mengenai pandangan sama ada profil Rosmah menjadi tinggi berbanding isteri PM sebelum ini.
"Tidak ada format standard untuk dipenuhi sekiranya anda menjadi isteri kepada Perdana Menteri. Anda boleh menonjol semahunya," kata Mahathir dipetik.
Mengulas isu ini, Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aisyah Shaik Ismail berkata, kenyataan Mahathir yang memberikan 'lampu hijau' untuk Rosmah menonjol semahunya adalah sindiran jelas dan peringatan kepada Najib.
"Mahathir sebenarnya mahu ingatkan Najib bahawa tidak ada isteri PM yang lebih menonjol daripada Rosmah," kata Aisyah ketika dihubungi.
"Semua rakyat tahu kedudukan Rosmah seperti PM. Tapi perkara ini dipandang sepi oleh Umno. Sebab itu Mahathir 'membenarkan' Rosmah ke depan," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan Rosmah supaya sedar siapa dirinya sebelum rakyat menghukum kesombongannya.

"Kalau ikutkan, Rosmah baru sahaja beberapa tahun jadi isteri PM. Isteri Mahathir, (Tun) Siti Hasmah (Mohd Ali) pun tidak sepertinya yang lebih lama menjadi isteri PM.
"Akibat keangkuhan itu, rakyat akan hukum Najib yang akhirnya kalah pada pilihan raya akan datang," ujar Aisyah.

Tindakan Hishammuddin menukar status masyarakat India menyalahi undang-undang negara

Posted: 13 Dec 2012 06:44 PM PST


Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Hussein Onn dalam satu kenyataan pada 12.12.12 telah memberikan bukti bahawa wujudnya agenda kerajaan Bn untuk menukar status masyarakat India 'tanpa kerakyatan' kepada bukan warganegara.
Ini adalah amat berbahaya, tindakan Kementerian Dalam Negeri dibawah Hishamuddin ini menyalahi undang-undang dan harus dipandang serius. Hishamuddin semalam mendakwa bahawa bahawa JPN Putrajaya hanya menerima 308 permohonan, yang mana 280 adalah untuk status pemastautin tetap. Ini adalah satu pembohongan terang-terangan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab.

308 Orang India Malaysia di JPN Putrajaya semalam mengisi permohonan untuk pengeluaran MyKad biru. Mereka tidak mengisi sebarang permohonan bagi penduduk tetap. Pemohon dari masyarakat India, semuanya dilahirkan di negara ini atau ada diantara ibu bapa mereka adalah warganegara.
Oleh itu, di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, ini menjadikan mereka warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang. Kerajaan telah menyalahi undang-undang apabila menafikan MyKad biru kepada mereka.
Jadi mengapa Hishamuddin sanggup menafikan hak mereka yang selayaknya merupakan warganegara melalui kuat kuasa undang-undang sebagai penduduk tetap?
Malah, semasa perhimpunan yang dianjurkan Pakatan Rakyat pada 12.12.12, kira-kira 500 kaum India tidak bernegara hadir di JPN Putrajaya dan turut disertai oleh kira-kira 1000 penyokong. Walaupun notis terlebih dahulu telah diberikan, JPN tidak dapat untuk memenuhi jumlah besar tersebut dan hanya 308 berjaya untuk dimasukkan ke dalam permohonan mereka.
Kami mencabar Hishamuddin untuk menguruskan borang permohonan tersebut, sekaligus menunjukkan kepada mereka bahawa ianya adalah borang permohonan MyKad dan bukannya borang kewarganegaraan.
Hishamuddin dan pemimpin politik Bn terus memilih untuk mengabaikan dan memperkecilkan penderitaan rakyat Malaysia yang tidak bernegara daripada mengambil langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah, pemimpin Bn yang kebudak-budakkan kemudiannya meminta Pakatan Rakyat untuk menguruskan 300,000 warga India tidak bernegara.
Ia sepatutnya adalah tanggungjawab mereka sebagai kerajaan Persekutuan untuk mencari dan mendaftarkan rakyat Malaysia tanpa kerakyatan di seluruh negara.
Kerajaan Persekutuan yang mempunyai sumber-sumber dan tenaga manusia sepatutnya berbuat demikian. Ia adalah satu pengabaian tanggungjawab oleh kerajaan Bn untuk meminta pembangkang menyelesaikan masalah ini.
Hakikat menunjukkan bahawa masyarakat India di Malaysia yang menghadapi masalah 'tidak ada kerakyatan' dalam tahap dan jumlah yang membimbangkan, sama ada di estet, kawasan bandar atau luar bandar, ia menunjukkan dengan jelas kegagalan dahsyat sistem kerajaan Bn.
Kami di Pakatan Rakyat sekali lagi mengulangi bahawa tidak ada seorang pun rakyat yang boleh dipaksa untuk tidak mempunyai kerakyatan  di negara ini.
N Surendran
Naib Presiden KEADILAN

Chua Jui Meng ditolak, dihimpit samseng MIC dalam pejabat JPN

Posted: 13 Dec 2012 06:43 PM PST


PUTRAJAYA 12 Dis: Kira-kira 30 samseng dipercayai dari MIC mengasari Naib Presiden KEADILAN, Datuk Chua Jui Meng di ruang pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya hari ini.
Mereka yang dibenar masuk dan berkumpul dalam pejabat tersebut, ketika ribuan rakyat berhimpun di pekarangan luar bangunan dan dihalang memasuki JPN, menolak bekas Menteri Kesihatan itu semasa beliau baru keluar dari bilik mesyuarat di situ.
Jui Meng (gambar, kiri) antara pimpinan Pakatan Rakyat yang dibenarkan masuk bertemu Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said untuk rundingan permohonan kad pengenalan biru.
Pemimpin KEADILAN lain yang turut dibenar masuk adalah Naib Presiden, N Surendran; Pengarah Guaman, Latheefa Koya dan Ahli Parlimen (MP) Subang, Sivarasa Rasiah.
Selebihnya diwakili MP Klang, Charles Santiago dari DAP, sementara PAS pula oleh MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan MP Shah Alam, Khalid Samad.
"Bila keluar dari bilik mesyuarat, kami bertembung dengan kira-kira 30 pemuda yang mula agresif menjerit-jerit kuat menyerang kumpulan kami. Mereka fokus dan tuju kepada saya.
"Saya ditolak. Cara mereka bercakap seperti menyoal, tetapi berniat nak takutkan kita. Mereka himpit saya dan saya angkat tangan (isyarat) supaya mereka berundur, tapi mereka buat (himpit) juga," katanya kesal kerana polis tidak mengambil sebarang tindakan.
"Kita (peserta Duduk Bantah) dihentikan oleh polis (untuk masuk ke JPN). Sedangkan ramai pimpinan termasuk Ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat hadir nak suarakan pendapat mereka," kata Pengerusi KEADILAN Johor itu ketika ditemui Keadilan Dailyselepas diserang.
Jui Meng berkata, serangan berkenaan membuktikan 'virus' samseng politik Umno berjangkit kepada MIC.
"Sudahlah tak bela kaum India, malah bertindak ganas kepada kita yang nak perjuangkan hak kaum mereka. MIC seperti orang hilang akal.
"Kerajaan seolah-olah membenarkan tindakan agresif seperti ini," kata Jui Meng.
"Kenapa mereka (peserta himpunan) dihalang? Mengapa pula polis benarkan 30 pengacau itu masuk, tunggu dekat bilik mesyuarat dan serang. Sedangkan kita datang secara aman," sambungnya.
"Saya nak pesan pada mereka, walaupun mereka ramai tetapi kita akan teruskan (perjuangan). Di sini bukan hanya orang India sahaja, ada Melayu dan Cina. Tapi kita akui isu kad pengenalan ini isu penting orang India," katanya.
Sementara itu, Latheefa memaklumkan, video bukti serangan oleh kumpulan samseng itu ada padanya.
"Mereka datang dan berkata kepada Datuk Chua – "Tahniah apa yang Datuk buat, tapi mana 300,000 orang itu?" dengan nada kasar.
"Isunya bukan 300,000 itu ada atau tidak. Isunya ialah, tidak boleh ada rakyat yang tidak mempunyai kerakyatan," tegas
Latheefa.
Menurutnya, ekoran desakan rakyat yang berhimpun, hanya 500 borang diisi sejak meja pendaftaran dibuka pegawai JPN dengan bantuan sukarelawan KEADILAN kira-kira jam 1.30 petang tadi.
Latheefa berkata, semua borang permohonan kad pengenalan biru itu berjaya dihantar hari ini.
"Peliknya, program MyDaftar yang dianjurkan MIC boleh selesaikan 14,000 borang dalam masa lapan hari. Kalau ikut nisbah, bermakna sehari boleh selesaikan 2,000 orang.
"Tapi kenapa hari ini hanya ambil 500 borang sahaja? Ramai yang dah balik sebab kecewa," kata Latheefa.

Isu Habibie: Indonesia hantar surat bantahan pada Najib

Posted: 13 Dec 2012 06:41 PM PST


KUALA LUMPUR 13 Dis: Badan perundangan Indonesia – Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) bakal menghantar surat bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan kenyataan bekas Menteri Umno, Zainudin Maidin menggelar bekas presiden mereka, B.J. Habibie sebagai 'anjing imperialis'.
Menurut laporan akhbar bahasa Inggeris Indonesia, Jakarta Globe semalam, perwakilan MPR mengkritik dan bertegas di atas kenyataan Zainudin yang menurut mereka boleh mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua negara.
Speaker MPR, Pramono Anung dilaporkan berkata, bekas Menteri Penerangan itu perlu mengetahui kaedah berkomunikasi dengan baik dan penuh sopan.
Katanya, kenyataan sedemikian mungkin menjejaskan hubungan Kuala Lumpur-Jakarta.
"Kita akan hantar surat kepada Perdana Menteri Malaysia, kita membantah kenyataannya (Zainudin).
"Kita berharap tindakan tegas perlu diambil kepada beliau, kerana ia datang dari bekas Menteri Penerangan," katanya dipetik.
Zainudin mengkritik Habibie yang memberi syarahan umum di Universiti Industri Selangor (Unisel) dalam Utusan MalaysiaIsnin lalu, dengan memanggilnya sebagai 'sombong' dan menyamakan beliau dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum mengakhiri artikel tersebut dengan memanggil mereka 'anjing imperialis'.

"Saya tak boleh bayangkan bagaimana terseksanya penonton (di Unisel) untuk mendengar seorang lelaki yang egonya tinggi, terutama selepas dia akhirnya mendapat peluang untuk bercakap di hadapan mereka yang dia anggap sebagai bodoh, selepas sekian lama rakyat Indonesia tidak mahu mendengar atau menghormatinya," kata Zainudin pada rencananya di Utusan, menurut Jakarta Globe.
Sama membantah kenyataan Zainudin adalah Pengerusi parti pemerintah Indonesia – Parti Demokratik, Anas Urbaningrum.
"Bekas menteri dari Umno itu perlu diajar cara-cara untuk bersopan. Dia tidak harus mengheret mantan Presiden Habibie dalam persaingan politik mereka dengan menghinanya. Ini tidak patut berlaku," kata Anas dipetik.
Menurut akhbar itu lagi, beliau menyeru pemerintah Indonesia untuk menuntut maaf dari Zainudin kepada Habibie ke atas penghinaannya.
Selasa lalu, Menteri Luar, Marty Natalegawa dilapor berkata, Jakarta tidak melayan tulisan tersebut dan menganggap ia cuma 'perkara remeh'.
Marty dilapor menyifatkan kenyataan Zainudin adalah 'gila' dan tidak berminat untuk membaca rencana tersebut.
Katanya, kerajaan mempunyai banyak tugas berbanding memberi tumpuan kepada seorang bekas menteri dari Malaysia.
Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali semalam, mahu Zainudin mohon maaf atas penghinaannya ke atas Habibie dan Anwar, dan berkata, kenyataannya itu menambah ketegangan Malaysia-Indonesia.
Isu yang ditimbulkan Zainudin ini selepas Habibie memberi syarahan umum di Unisel pada 6 Disember lalu.

Lagi pendedahan Deepak: Adik Najib bayar Bala untuk tandatangan SD 2

Posted: 13 Dec 2012 06:40 PM PST


KUALA LUMPUR 13 Dis: Ahli perniagaan Deepak Jaikishan menamakan seorang adik Perdana Menteri, Datuk Nazim Razak sebagai individu yang didakwanya bertanggungjawab membayar penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk menandatangani akuan berkanun kedua (SD 2).
Deepak
Dedahnya, beliau turut bertanggungjawab mempertemukan Nazim dan Balasubramaniam, tetapi urusan pembayaran wang kepada Bala itu, dakwanya, dilakukan Nazim.
"Saya mengesahkan kenyataan saya sebelum ini bahawa Datuk Nazim menyertai pertemuan untuk memudahcara apa-apa yang perlu dilakukan.
"Penglibatan saya hanya untuk mempertemukan semua orang," dakwanya seperti dilaporMalaysiakini.
Bala pada awalnya menandatangani satu akuan berkanun mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Beliau kemudiannya menandatangani akuan berkanun kedua bagi menafikan akuan pertama yang dakwanya ditandatangani ketika keselamatan keluarganya menjadi taruhan.
Bala kemudian mendakwa dibayar tunai dan dijanjikan lebih banyak wang selepas bersetuju menandatangani akuan bersumpah kedua dan berpindah ke luar negara bersama keluarganya.
Deepak dalam wawancara semalam, mendakwa wang yang diterima Bala datang daripada "Datuk Nazim dan sumber-sumbernya".
Deepak dilapor berkata, beliau tampil mendedahkan perkara di sebalik kontroversi pembunuhan itu kerana risau "roh Altantuya tidak bersemadi dengan tenang" sehingga beliau dihantui "sumpahan Altantuya".

Retreat pemimpin KEADILAN rangka strategi terkini hadapi PRU-13

Posted: 13 Dec 2012 06:39 PM PST


KUALA LUMPUR 13 Dis: KEADILAN mengadakan retreat pemimpin tertinggi parti itu bermula hari ini dan esok di Selangor, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, program itu bertujuan merangka strategi terkini parti tersebut menjelang pilihan raya yang bakal diadakan selewat-lewatnya tahun hadapan.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, KEADILAN akan melaksanakan strategi yang diguna pakai oleh parti AK di Turki yang meletakkan anak-anak muda untuk mengetuai jentera strategik dan media baru untuk memantapkan lagi penguasaan mereka di internet.

"Dan dalam engagement saya dengan mereka, saya dapati juga keadaan tersebut boleh kita apply (laksanakan) dalam konteks Malaysia kerana anak muda ini, dia tidak berminat lagi dengan media tradisi ini, bahkan media parti pun dia dah tak berapa minat.
"Sebagai respon kepada ini, KEADILAN juga merekrut aktivis anak muda khusus untuk menangani kempen media baru ini. (Ia) masih di bawah saudara Nik Nazmi (Nik Ahmad), tetapi rekrut baru yang kita buat termasuk saudara Praba Ganesan, YB Sim (Tze Tzin) dan ada lagi beberapa recruitment terus kepada pejabat Ketua Pembangkang," katanya Saifuddin dipetik.
"Beberapa aktivis mahasiswa juga diberikan tugas khusus untuk kendalikan hal ehwal yang berkaitan kempen parti dalam menggunakan intrumen media baru," jelasnya.
Justeru, kata Saifuddin, KEADILAN akan mewajibkan semua bakal calon dan pemimpin partinya untuk menggunakan media sosial seperti facebook dan twitter dalam perjumpaan dua hari itu.
Menurutnya, langkah ini bertujuan agar pemimpin parti dapat berinteraksi dengan pengguna media sosial yang semakin meningkat, terutama di kalangan anak-anak muda.
"Pelaksanaan ini kerana, sama ada ianya pengundi bandar lebih-lebih lagi, semi urban, dan juga kawasan pendalaman, macam kawasan Machang umpamanya, 55,000 pengundi saya.
"Tetapi, pengundi Machang yang tinggal di luar, tinggal di Johor, di Pulau Pinang, mereka ini terdedah kepada segala macam maklumat," jelasnya dipetik Malaysian Insider.

Tiada ulasan: