Khamis, 6 Disember 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Penghargaan atas kunjungan Mantan Presiden Indonesia, Prof Dr Ing B.J Habibie

Posted: 06 Dec 2012 04:46 AM PST

Habibie dan Almarhum Ainun dua nama yang cukup rapat dengan saya dan Azizah. Berkenalan semasa saya masih di dalam kerajaan, Habibie telah memainkan peranan besar sebagai Presiden Indonesia, mengecam kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan ke atas saya dan keluarga lebih 14 tahun lalu. Seumur hidup, saya dan keluarga terhutang budi pada beliau.

Minggu ini, Habibie hadir di Malaysia sebagai tetamu kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor. Amat bertuah apabila kita dapat menimba ilmu berharga daripada sosok ini – yang bilamana di saat genting Reformasi 1998 di Indonesia, Habibie telah berjaya menjernihkan suasana dan menjayakan transisi demokrasi. Keamanan dikembalikan dan pendemokrasian Indonesia itu terlaksana tanpa perlunya campurtangan kuasa asing.

Saya baru – baru ini di atas undangan Habibie Center telah meluncurkan buku terbaru; Democracy Takeoff : The B.J Habibie Period – merupakan satu koleksi penulisan yang mengamati perkembangan politik, ekonomi dan sosial ketika kepimpinan Habibie sebagai Presiden (pasca Reformasi 1998). Beliau selaku pemimpin yang berjiwa besar dan punya kesedaran tinggi akan aspirasi rakyat ketika itu – tuntas telah melakukan reformasi menyeluruh ke atas asas – asas demokrasi pasca pemerintahan Suharto; menghapuskan segala hambatan demi menegakkan prinsip keadilan, kebebasan dan dasar kepeduliaan kepada rakyat. Hari ini, Indonesia, mara sebagai negara di rantau ini yang unggul, bebas, demokratik dan pesat membangun.

Pengalaman Habibie harus menjadi pedoman kepada kita semua – untuk negara kita maju ke hadapan – pastinya segala hambatan harus direbahkan dan Reformasi wajib ditegakkan.

Terima kasih buat Habibie.  

ANWAR IBRAHIM
4 petang, Kuala Lumpur – Permatang Pauh

Habibie Guru Demokrasi Rantau Ini

Posted: 05 Dec 2012 08:44 PM PST

Harakah
Oleh Abd Shuku Harun

Presiden Ketiga Indonesia, B.J. Habibie yang kini berada di Malaysia memenuhi beberapa undangan untuk menyampaikan ceramah adalah antara tokoh pemimpin terhebat di rantau ini.

Beberapa hari lalu, beliau menyampaikan ceramah di Pulau Pinang dan esok (Khamis) akan menyampaikan pidatonya di Dewan Pro Canselor Unisel, Shah Alam.

Beliau memberi fokus ceramahnya mengenai transisi Indonesia ke dunia demokrasi iaitu sesuai dengan peranan beliau mengubah Indonesia menjadi negara demokrasi.

Nama penuhnya Bacharuddin Jusuf Habibie adalah presiden ketiga Republik Indonesia. Lahir di Pare-Pare, Sulawesi Selatan, pada 25 Jun 1936.

Bayangkan, dalam tempoh singkat memegang jawatan Presiden Indonesia – 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999 – beliau telah berjaya membuka gerbang demokrasi seluas-luasnya di negara 240 juta rakyat itu.

Ini tentunya sangat luar biasa, justru beliau digelar sebagai Guru Demokrasi di rantau ini.

Walaupun dalam masa yang singkat sebagai presiden, namun B.J. Habibie telah:

1) Memberi kebebasan pada rakyat untuk menyalurkan aspirasi mereka sehingga banyak bermunculan partai-partai politik baru yakni sebanyak 48 partai politik.

2) Membebaskan tahanan politik dari NGO (Napol) seperti Sri Bintang Pamungkas dan Mochtar Pakpahan.

3) Mencabut larangan berdirinya pertubuhan buruh independen.

4) Membentuk tiga undang-undang yang demokratik iaitu:

1. UU No. 2 tahun 1999 tentang Partai Politik

2. UU No. 3 tahun 1999 tentang Pemilu

3. UU No. 4 tahun 1999 mengenai Susunan Kedudukan DPR/MPR.

Di bawah kepemimpinan Habibie, Indonesia memilih demokrasi sebagai jalan hidup berbangsa dan bernegara.

Habibie sebagai pembuka sejarah perjalanan bangsa Indonesia pada era reformasi dengan melakukan sejumlah perubahan mendasar bagi penegakan demokrasi dan keterbukaan politik.
Pilihan raya umum tahun 1999 tercatat sebagai pilihan raya umum paling demokratik yang pertama setelah pilihan raya umum 1955.

Media

Presiden Habibie juga membuka seluas-luasnya kebebasan bersuara, khususnya media.

Keterbukaan politik di masa pemerintahan BJ Habibie juga diiringi dengan sejumlah usaha pemulihan (recovery) ekonomi.

Pemerintahannya berhasil menekan laju turunnya inflasi dan krisis kewangan dunia berbanding saat awal krisis ekonomi muncul.

Kejayaan Habibie yang juga terserlah ialah menempatkan Bank Indonesia dalam kedudukan yang bebas dari kawalan pemerintah.

Sikap beliau sangat terbuka dalam berbicara, mesra dalam bergaul dan ia seorang liberal kerana kehidupan dan pendidikannya yang lama di dunia Barat.

Beliau mendapat pendidikan awal hingga menengah atas di tanah airnya dan kemudian melanjurkan pelajaran di bidang kejuruteraan kapalterbang di Jerman dan lama beliau menetap di sana.

B.J. Habibie berundur dari kerusi presiden setelah Ucapan Pertanggungjawabannya ditolak oleh MPR (Majlis Perunding Rakyat Sementara – Parlimen).

Kesilapan beliau, kalau boleh dikatakan kesilapan, ialah semasa pemerintahannya, beliau telah 'membebaskan' Irian Jaya dari wilayah Indonesia, tetapi tentu Habibie mempunyai sebab tertentu mengapa beliau berbuat demikian.

Bagaimanapun, jiwa besar dan keterbukaan Habibie terlihat jelas di mana beliau masih boleh tersenyum dan mesra dengan ahli-ahli politik MPR yang tidak menyokong Ucapan Pertanggungjawabannya itu menyebabkan beliau meletakkan jawatan.

Dalam buku memoernya 'Detik-Detik Yang Menentukan – Jalan Panjang Indonesia menuju demokrasi, bekas pemimpin Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Hidayat Nur Wahid menyebut:

"Tokoh ini yang dengan reformasi berubah dari wakil presiden menjadi presiden dan kemudian meninggalkan kerusi keperisedenannya dengan bibir tersenyum dan kepala tegak. Semuanya berlaku secara damai, tanpa setitis darahpun yang tumpah. Kemudian beliau membuka pintu seluas-luasnya untuk para pemimpin menerusnya agar dapat mengisi momentum yang ada lebih berjaya."

Buku memoer B.J. Habibie itu ditulis berdasarkan catatan harian beliau dengan ulasan pelbagai media dan tokoh. Bukunya itu seolah-olah sebagai rakaman ulang sebuah realiti politik yang amat gawat di saat itu.

Meskipun demikian kelembutan dan di tengah ketegasan sikapnya, seorang putera bangsa terbaik bernama B.J. Habibie itu sangat jelas tergambar dalam bukunya itu.

Khamis ini tokoh besar demokrasi di nusantara itu dijangka akan bercakap di Shah Alam mengenai demokrasi dan bagaimana rakyat Indonesia bertuah menikmatinya.

Umpamanya dalam Pemilu (Pilihan Raya Presiden) 2004, 2009 di mana saya turut menyaksikannya terlihat jelas bahawa pilihan raya itu benar-benar sebagai pesta demokrasi.

Tidak ada kekerasan, fitnah dan tuduhan melalu, elemen-elemen rasis dan seumpamanya. Ia berjalan lancar, telus, ceria dan penuh demokratik.

Bagi rakyat Indonesia, semuanya ini adalah hasil usaha B.J. Habibie justru beliaulah yang membuka pintu gerbang demokrasi seluas-luasnya di negaranya. Dalam masa yang sama beliau mengembalikan semula harga diri dan hak asasi anak bangsanya.

Negara-negara yang belum menikmati erti demokrasi sepenuhnya, terutama di rantau ini, sewajarnyalah meneladani kepimpinan B.J. Habibie.

Nik Aziz: ‘Apa Untung Serang Ceramah Pakatan’

Posted: 05 Dec 2012 08:39 PM PST

Sinar Harian

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa insiden serangan ketika ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak, Selangor malam tadi membuktikan akan timbul huru hara apabila ada pihak tidak boleh menerima kekalahan jika Pakatan Rakyat (PR) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu soal beliau, apakah faedah diperoleh oleh musuh politik dengan menyerang ceramah-ceramah anjuran PR.

“Sudah jelas dan nyata siapa yang akan buat huru hara apabila kalah pada PRU13 nanti. Ada keuntungankah menyerang ceramah Pakatan Rakyat?” kata beliau mesej dipaparkan pada laman sosial Facebooknya petang ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, “moga ALLAH berbuat apa yang sepatutnya sama ada memberi hidayah ataupun turunkan bala setimpal apa yang telah dilakukan mereka beserta dengan sekutu-sekutu mereka.”

Dalam pada itu, Bernama melaporkan polis akan memanggil saksi bagi mendapatkan keterangan berhubung pergaduhan penyokong dua parti politik semasa ceramah umum pemimpin pembangkang di tanah lapang di Batu 8 1/2, Gombak malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Rosly Hassan berkata polis mempunyai rakaman video berhubung kejadian itu yang berlaku pada pukul 9.30 malam yang menyebabkan dua lelaki berusia 37 tahun cedera di dahi dan bahu dipercayai akibat terkena objek yang dibaling seperti batu dan botol air.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata bahaya dalam rusuhan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kekecohan dikatakan berlaku apabila kira-kira 250 lelaki tidak berpuas hati kerana ceramah yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di kawasan berhampiran kediaman mereka.

“Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur sebagai pesakit luar dan polis telah merakamkan keterangan kedua-dua mangsa bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengenai notis untuk mengadakan ceramah, Rosly berkata pihak penganjur gagal mematuhi Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman yang mensyaratkan notis diberi dalam tempoh 10 hari kepada polis dan bukan hanya lapan hari.

Sementara itu Pemuda Umno Gombak menafikan mereka memulakan provokasi sehingga menyebabkan kedua-dua pihak saling membaling objek seperti botol dan batu ke arah satu sama lain.

Ketua Pemudanya Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, penduduk membantah secara aman ceramah itu kerana ia diadakan di kawasan mereka, tanpa berniat mencetuskan pergaduhan.

Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika dihubungi melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu dan mengalu-alukan siasatan polis.

Tiada ulasan: