Anwar Ibrahim |
Posted: 18 Dec 2012 12:58 PM PST Malaysiakini Pada 2001, Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Malaysiakini sebagai “pengkhianat” negara. Waktu itu portal berita ini dituduh mengambil dana hartawan George Soros, spekulator yang dituduh dalang perosak ekonomi Asia susulan “kesan tom yam” keruntuhan mata wang bath. Lima tahun kemudian, mantan perdana menteri tidak semena-mena menerima penjelasan Soros bahawa beliau tidak terlibat meranapkan ekonomi negara dalam krisis 1997 selepas satu pertemuan di Kuala Lumpur. Padahal Soros dan Mahathir pernah menjalin permusuhan senyap sejak awal 1990-an. Dalam tempoh berbaik-baik dengan Soros itu, Dr Mahathir memberikan wawancara kepada Malaysiakini, media dalam talian yang didakwa “pengkhianat” sewaktu di puncak kuasanya. Mahathir mempergunakan Malaysiakini – seperti juga taktiknya berbaik-baik dengan Soros – waktu itu kerana beliau sedang berperang besar dengan pengganti pilihannya sendiri, Abdullah Ahmad Badawi, sehingga parti dan media arus perdana membelakangkannya. Hanya Malaysiakini satu-satunya media alternatif yang sepadan dengan media besar arus perdana. Maka, beliau memilih Malaysiakini, selain pentas-pentas ceramahnya di serata negara. Tujuan rasmi (siapa tahu tujuan tidak rasmi pertemuan Soros-Mahathir?) berbaik-baik itu dilaporkan untuk bersama-sama menentang presiden George Bush yang mengamalkan dasar perang demi petroleum. Dana gelap kepada Abramoff Padahal, kemunculan awal Bush ini disambut positif oleh Umno dan media arus perdana atas kejayaannya menewaskan calon Demokrat, Al Gore pada tahun 2000. Mereka bergembira atas kenaikan Bush semata-mata dendam mereka pada Gore – sewaktu itu, 1998, naib presiden Amerika Syarikat – yang pernah melemparkan percikan sokongan pada Gerakan Reformasi dalam ucapannya di Kuala Lumpur. Susulan kemenangan Bush, Dr Mahathir secara senyap-senyap mengatur pula pertemuan dengan presiden Amerika Syarikat itu di Rumah Putih pada 2002. Maka tersebarlah foto kedua-dua pemimpin ini berjabat tangan sambil tersenyum ke serata dunia. Namun, kehebatan Dr Mahathir ini terbongkar apabila beliau dituduh menggunakan AS$1.2 juta (RM4.56 juta) kepada pelobi Jack Abramoff untuk membeli janji temu dengan Bush. Dana yang disalurkan secara gelap kepada Abramoff – bersama taktik gelap pelobi itu sendiri – menyebabkan Senat Amerika menyiasatnya. Abramoff akhirnya mengaku bersalah, dan pada waktu yang sama mendedahkan tembelang di sebalik makna jabat tangan Mahathir-Bush, empat tahun sebelum Mahathir-Soros berbaik-baik untuk menentang presiden tersebut. [Dr Mahathir akhirnya mengakui kewujudan dana ini tetapi menafikan ia dibayar oleh kerajaan Malaysia.] Bolak-balik perseteruan Dr M Seperti hubungan mesra Mahathir-Anwar Ibrahim dan Mahathir-Abdullah, semua imej indah beliau dengan Soros dan Bush berakhir dengan sikap perseteruan. Abdullah diangkat sebagai pengganti Anwar sewaktu bekas “anak didiknya” menjadi musuh nombor satunya. Kemudian Abdullah menjadi musuhnya pula. Di saat itulah, Mahathir mempergunakan Malaysiakini dalam empat wawancaranya, termasuk menjelang pilihan raya umum 2008, untuk menentang Abdullah. Selepas itu beliau tidak berminat lagi ditemubual akhbar portal ini. Sikap sebegini – berbolak-balik dalam persahabatan dan perseteruan – sudah lama mendarah daging dalam kelicikan politik Mahathir, seperti dilihat sejak 1980-an. Musa Hitam, seorang lagi bekas timbalannya, diangkat menjadi regu kuatnya sewaktu perlunya tokoh Johor itu dipergunakan untuk menentang kemaraan Tengku Razaleigh Hamzah. Musa akhirnya tersungkur dan sekali gus tersingkir dengan beban sejarah yang ditanggungnya hingga saat ini. Jadi tidaklah menghairankan apabila Mahathir menyerang Soros dan sekali gus Malaysiakini semula dalam artikelnya di New Sunday Times baru-baru ini. Padahal akhbar itu pernah juga menjadi kecaman utama beliau dan sekutu-sekutunya sewaktu berperang dengan Abdullah. Lidah orang politik Cuma, beliau mungkin terasa sasarannya (Malaysiakini) terlalu kecil dalam skema analisisnya dan tidak pula sepadan dengan status besarnya sebagai perdana menteri selama 22 tahun. Lalu, bagi menampakkan artikelnya itu besar setaraf dengan kenegarawanannya, maka diolah pula slogan “undi untuk pembangkang bermakna undi untuk Soros”! Dalam wawancara terakhirnya di Malaysiakini, hanya tiga hari sebelum 8 Mac 2008, Dr Mahathir menyokong penuh barisan pembangkang – perlunya pembangkang yang menunjukkan sisi-sisi hodoh wajah politik kerajaan. Orang kerajaan dan orang parti pemerintah hanya tahu membodek, tambahnya ketika berperang dengan Abdullah dan dengan New Straits Times empat tahun lalu. Negara kita akan jahanam jika pembangkang lembik seperti politik Singapura, katanya lagi, merujuk negara yang tidak pernah disenanginya itu. Tanpa sebarang perubahan, barisan pembangkang yang sama – dan “NGO seperti Malaysiakini” itu juga – kini dianggapnya “ejen Soros” untuk “menukar rejim” BN. Kita boleh faham lidah bercabang orang politik; hal itu tidak perlu dihairankan. Namun kita tidak pernah melihat mata pena bercabang-cabang seperti digunakan Dr Mahathir di dada akhbar pada Ahad itu. FATHI ARIS OMAR ketua pengarang Malaysiakini. |
Zainudin Maidin Memalukan Bangsa dan Negara Posted: 17 Dec 2012 06:43 PM PST Tulisan Zainudin bertajuk ‘Persamaan BJ Habibie dengan Anwar Ibrahim’ (UM 10 Disember 2012) selayaknya dibakulsampahkan jika Editor UM wartawan yang berintegriti, peka dan tajam pemikirannya. Bukan saja faktanya salah, malah tulisannya juga tidak beretika, berniat jahat dan sarat dengan fitnah. Lebih memalukan lagi, Zainuddin adalah bekas Ketua Pengarang Utusan dan Mantan Menteri Penerangan. Belum pun badai yang melanda Menteri Penerangan Rais Yatim dengan pembantu rumah Indonesia reda, Zainudin pula mengundang ribut taufan sehingga Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia membuat bantahanm rasmi dan memohon Zainudin memohon maaf. Habibie menjadi Presiden Indonesia pada bulan Mac 1998 bukannya 20 Oktober 1999 seperti yang Zainudin tulis (Nampak benar Editor Utusan tidak teliti). Beliau menjadi Presiden selama satu tahun enam bulan dan mengundur diri dengan rela hati selepas membina asas reformasi dan transformasi Indonesia daripada sistem autoritarian kepada demokrasi. Beliau tidak pernah menjadi gunting dalam lipatan Soeharto sebaliknya beliaulah pendukung utama yang memacu perkembangan teknologi, khususnya Industri Pesawat Terbang Indonersia (IPTN). Kejayaan beliau ini menyebabkan negara Barat bimbang akan kemungkinan Indonesia di satu hari nanti bisa menghasilkan jet pejuang dan kelengkapan perang yang lain. Antara sayarat yang dikenakan IMF kepada Indonesia ialah melarang IPTN membuat pinjaman untuk Penyelidikan dan Pembangunan. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1981 ketika seluruh dunia mendapat tempias kebangkitan Islam selepas Revolusi Islam Iran 1980. Pertama kalinya seluruh dunia menyaksikan kemunculan pelabagai NGO Islam. Di Amerika dan Eropah, pelajar Islam dari Malaysia, Timur Tengah, India, Pakistan, Indonesia dan benua Afrika berganding bahu menubuhkan persatuan dan pertubuhan yang berorientasikan Islam. Mahathir yang dibesarkan dalam keluarga bangsawan tidak memiliki imej Islam untuk berdepan dengan gelombang kebangkitan semula Islam. Parti Islam SeMalaysia (Pas) mendapat manfaatnya apabila pelajar yang ditaja oleh kerajaan pulang menyertai Pas. Penyertaan golongan profesional – peguam, jurutera, doktor, ahli ekonomi dan sebagainya dalam Pas telah melonjak naik pengaruh Pas sebagai parti yang dinamik untuk mencabar hegemony politik Umno. Mahathir sedar kekurangan beliau lantas memujuk Anwar yang ketika itu sebagai Presiden Abim menyertai Umno. Anwar pada mulanya tidak berminat menyertai Umno kerana dirinya lebih rapat dengan Pas. Hubungan persahabatannya dengan Ustaz Fadzil Noor Presiden Pas amat intim sehinggalah ke akhir hayatnya. Janji Mahathir untuk melaksanakan Islam dalam pentadbirannya berjaya memikat Anwar. Mahathir sedar sekiranya Anwar menyertai Pas, jangka hayat Umno mungkin tidak panjang. Keenganan Anwar menuruti telunjuk Mahathir dalam mengurus ekonomi ketika dunia dilanda kemelesetan adalah punca sebenar mengapa beliau dipecat. Anwar tidak berganjak mempertahankan Tabung Wang Kumpulan Simpanan Pekerja daripada digunakan untuk menyelamatkan syarikat kroni Mahathir dan Daim. Anwar tidak mahu wang Petronas dibelanja sewenangan untuk menyelamatkan syarikat anak Mahathir. Anwar menentang hasrat Mahathir hendak mengisytiharkan darurat ekonomi kerana langkah ini bermakna menggantikan demokrasi berparlimen dengan pentadbiran ala diktator. Untuk membunuh karier politik seorang tokoh seperti Anwar bukanlah mudah. Menyedari betapa sukarnya Mahathir menangani krisis Umno 1987 sehingga Umno diharamkan, maka Mahathir perlu mengatur strategi yang lebih detail untuk membunuh karier politik Anwar. Apakah kekuatan Anwar? Kekuatan Anwar terletak kepada imej dan maruah Islamnya. Beliau dilihat sebagai jambatan yang menghubungkan pemimpin dan tokoh Islam sedunia dengan Barat. Latarbelakang Islamnya yang mantap diadun dengan pemikiran dan falsafah Barat yang dikuasainya , menjadikan Anwar seorang pemimpin Islam yang hebat. Justeru itu tidak hairanlah seluruh dunia Islam prihatin bila beliau dipenjarakan oleh Mahathir. Dari tahun 1998 hingga kini media arus perdana milik Barisan Nasional tidak pernah berasa letih mengodam, mencemar dan megaibkan Anwar dan keluarganya. Untuk mendapat projek, jawatan ataupun upah lumayan kutuk dan caci Anwar. Alhamdulillah semakin Anwar digodam dan dicaci beliau semakin popular dan diminati. Mungkin dengan membelasah Habibie dan Anwar sedemikian rupa nama Zainudin Maidin kembali menjadi sebutan. Sebagai penyokong totok Mahathir, Zainudin berharap penulisannya itu akan membantu Umno mengekalkan kuasa dalam PRU 13 nanti. Zainudin lupa jutaan pengundi asal keturunan Indonesia terguris hati dan marah. Penjelasan Zainudin dalam blognya menyerlahkan lagi sikap bodoh sombongnya. Beliau berbangga kerana namanya kembali menjadi sebutan jutaan rakyat Indonesia. Beliau menuduh rakyat Indonesia sedang mengalami euporia demokrasi sedangkan Malaysia sudah lama mengamalkan ‘Manchester democracy’. Ini bukan kesilapan ejaan. Mungkin kerana panik, bimbang atau sememangnya beliau tidak tahu asal usul istilah Westminster democracy. |
You are subscribed to email updates from Anwar Ibrahim To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan