PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
- Umno guna agama untuk raih keuntungan politik – Anwar
- Sistem pengundian awal mudah dimanipulasi SPR – Fuziah
- Daftar pemilih kotor, Pakatan jumpa SPR 19 Nov
- Selangor tidak benarkan penguatkuasaan AES
Umno guna agama untuk raih keuntungan politik – Anwar Posted: 08 Nov 2012 07:12 PM PST KUALA LUMPUR 9 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Umno BN menggunakan agama untuk mencari keuntungan politik dengan kali ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah menjadi mangsa. Menyifatkan serangan fitnah terhadap anaknya itu sebagai bermotif dendam, beliau percaya perjuangan Nurul Izzah bukan terletak di tangan kerajaan sebaliknya dihakimi rakyat biasa. "Satu kerajaan datang hentam dia, tapi saya nak kata bukan kerajaan penentunya, tapi rakyat yang akan menghakimi segala-galanya. "Mereka nak kalahkan Izzah, nak angkat Raja Nong Chik. Apa mereka lupa isu tanah di Kampung Baru pun tak selesai, anak dia pula dapat kontrak tender berbilion ringgit. "Saya pesan dekat Izzah, ini ujian. Kita kena hadapi," kata Ketua Pembangkang itu. Pada pilihan raya umum lalu, Nurul Izzah membuat kejutan apabila menewas Datuk Seri Shahrizat Jalil bagi menawan kerusi Parlimen Lembah Pantai. Kini, ada ura-ura kerusi itu bakal ditandingi Raja Nong Chik sekalipun terpalit dengan isu rampasan tanah Kampung Baru dan skandal anaknya. "Perlawanan ini antara rakyat dengan kerajaan yang korup. Inilah masanya untuk rakyat mengatakan tidak, kepada mereka," katanya depan 700 orang pada ceramah perdana Jelajah Merdeka Rakyat di Bulatan Little India, Brickfields, di sini malam tadi. Depan 2,000 orang di padang Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak dalam Jelajah Merdeka Rakyat pada malam samapula, Anwar berkata tidak ada maknanya Islam seseorang itu jika agama diperalat untuk kezaliman dan menindas. "Walkaramah itu keadilan, kita sebagai umat Islam dituntut memberi keadilan untuk semua dan angkat darjat manusia. "Ini disebut Ketua Ulama SeDunia, Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam buku terbarunya (Kebangkitan Rakyat). "Di Mesir, ada minoriti Kristian. Semasa berlaku serangan ke atas gereja oleh pelampau Mesir, anak-anak muda Islam bina benteng pertahankan penganut Kristian. "Kerana apa? Kerana mereka mahu pertahankan umat manusia dari kezaliman. Semasa serangan gereja di Petaling Jaya dulu, Ustaz Haji Hadi Awang juga tolak kekerasan terhadap agama lain dan minta gereja tidak dirosakkan. "Kalau orang Melayu dengan Cina bergaduh, yang untung Umno. Islam dengan Kristian gaduh, yang untung Umno," katanya. |
Sistem pengundian awal mudah dimanipulasi SPR – Fuziah Posted: 08 Nov 2012 07:11 PM PST KUALA LUMPUR 8 Nov: Pelaksanaan sistem pengundian awal yang menggantikan sistem undi polis, tidak kemas dan mudah dimanipulasi untuk memenangkan Umno BN, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh. Beliau berkata, ia berikutan pengundian awal sepatutnya dibuat sehari sebelum hari mengundi, bukan tiga hari seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). "Pasangan (pengundi awal seperti tentera dan polis) juga automatik undi awal, walaupun mereka tidak perlu buat demikian. "Kita juga tidak dibenarkan lekatkan 'seal' (penanda) pada peti undi. Ini menyusahkan kita untuk jaga (peti undi) selama tiga hari sebelum dikira. "Pengumuman terbaru SPR mengatakan kertas undi tidak lagi ditebuk (khas) sebagai tanda ia asli, sebaliknya guna rubber stamp. Sesiapa pun boleh (tiru)," kata Naib Presiden KEADILAN itu. Mengikut laporan Bernama 14 Mac lalu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memperkenal sistem undi awal menggantikan undi pos bermula Pilihan Raya umum (PRU) ke-13. Ia bermakna, semua 242,294 pengundi pos dengan automatik menjadi pengundi awal. Pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini, Fuziah berkata, SPR bukan sahaja tidak menambah baik proses pilihan raya, malah menambah lagi kesulitan dan memudahkan penipuan. "Isu pengundian awal penting dan tidak harus dibiar sebegini. Ia antara isu yang tidak dipandang serius oleh SPR untuk menjamin pilihan raya yang adil dan bersih," katanya. Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Tian Chua mengecam SPR kerana tidak pernah memberi jawapan wajar tentang isu yang dibangkitkan. "Yang ada hanyalah had bendera (ketika berkempen) dan had kehadiran semasa penamaan calon. Semua ini tiada kaitan," katanya. Beliau tidak menolak rakyat akan bangkit untuk meneruskan tuntutan pilihan raya adil dan bersih jika SPR enggan membaiki sistem sedia ada. "Harapan rakyat pada PRU 13 sangat tinggi. Kerajaan tidak mampu lagi untuk kecewakan rakyat," katanya. Pada 5 November lalu, Himpunan Kebangkitan Rakyat dilancar di Seremban untuk meneruskan tuntutan pilihan raya bersih dan adil. Ia akan disusuli dengan siri program seluruh negara sebelum kemuncaknya di Stadium Nasional Bukit Jalil 12 Januari ini. |
Daftar pemilih kotor, Pakatan jumpa SPR 19 Nov Posted: 08 Nov 2012 06:57 PM PST KUALA LUMPUR 9 November: Pakatan Rakyat (Pakatan) akan bertemu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 19 November ini bagi menyelesaikan isu daftar pemilih yang belum bersih, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar. Menurut beliau, hasil analisa jentera pilihan raya yang dibuat pihaknya mendapati, terdapat empat masalah utama berjaya dikesan melibatkan alamat pengundi, pengundi pos, pengundi didaftar belum cukup 21 tahun dan pemindahan pengundi. "SPR memberi daftar yang tidak lengkap. Sehingga suku 1 tahun 2012, saya dapati dari 70,136 pengundi dalam daftar pengundi, hampir 45 peratus tidak diberi alamat lengkap. "Seramai 2,661 pengundi tiada nombor rumah ataupun nama jalan, tetapi ada lokaliti dan daerah mengundi. Manakala 28,883 pengundi ada nombor rumah, tetapi tiada alamat lain kecuali lokaliti dan daerah mengundi," katanya pada kenyataan. Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, masalah undi pos juga menjadi penyumbang kerana peningkatan 1,500 peratus daripada 154 pada 2008 kepada 2,227 pada suku ke-3 2012. "Sekitar awal 2011, saya dapati Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil, yang 12 kilometer jauhnya di luar kawasan Lembah Pantai dan pada 2008 terletak dalam Parlimen Bandar Tun Razak, kini termasuk sebagai satu pusat pengundi pos di Lembah Pantai. "Saya dikejutkan dengan data terkini, di mana 383 pengundi pos dipindah keluar dari Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil ke Balai Polis Travers," jelasnya. Tambah beliau, persoalan lain pula muncul apabila 772 pengundi didaftarkan sebelum genap umur 21 tahun sebagai pengundi di Lembah Pantai. "Sebagai contoh, seorang pengundi dengan tarikh lahir 19 Jun 1990 telah mendaftar sebagai pengundi pada 2 Mac 2011, iaitu pada usia 20 tahun 8 bulan. "Jika benar analisa ini, saya menggesa pihak SPR untuk membuat penjelasan: Adakah seseorang yang belum cukup 21 tahun boleh mendaftar sebagai pengundi?" ujarnya. Beliau turut keliru dan mempersoal apabila berlaku pemindahan pengundi kepada alamat yang sama hanya bagi tempoh empat hari. "Contohnya, saya dapati seramai 31 pengundi pindah masuk ke tujuh alamat yang sama di PPR Kg Limau. Yang ganjilnya, hampir semua dipindahkan sekitar tarikh yang sama, iaitu 28 hingga 31 Mac 2011. Bertambah ganjil adalah 22 dari pengundi ini dipindahkan dari Parlimen Seputeh," kata Nurul Izzah. Menurutnya lagi, beliau akan menyerahkan bukti dan kepincangan tersebut sebelum sesi pertemuan di antara SPR dan Ahli Parlimen yang akan diadakan pada tarikh berkenaan. "Saya akan menyerahkan senarai penuh alamat-alamat dan nama-nama pengundi kepada pihak SPR, dan meminta SPR menjelaskan sama ada perkara ini benar-benar berlaku," katanya. |
Selangor tidak benarkan penguatkuasaan AES Posted: 08 Nov 2012 06:54 PM PST dipetik dari Malaysiakini.com Kerajaan Selangor tidak akan membenarkan penguatkuasaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang telah dipasang di negeri ini kerana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) gagal membuktikan AES adalah cara terbaik untuk mengatasi peningkatan kadar kemalangan jalan raya, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Rahim Ibrahim. "Dari pembentangan tersebut, kerajaan negeri juga mendapati Kementerian Pengangkutan telah gagal mendapatkan kebenaran untuk pembinaan struktur bagi sistem AES daripada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Justeru, tegasnya, kerajaan negeri mengarahkan semua PBT untuk memaklumkan kepada kementerian menyatakan bahawa pemasangan AES telah tidak mematuhi undang-undang dan tidak boleh dilaksanakan sehingga perkara ini dipatuhi. "Kerajaan negeri merasakan perjanjian di antara Kerajaan Pusat dan syarikat konsesi perlu dikaji semula sebelum sistem AES dapat dikuatkuasakan. "Kerajaan negeri juga dimaklumkan bahawa syarikat konsesi akan mendapat keuntungan 17 peratus di mana kerajaan negeri berpendapat jumlah keuntungan itu tidak wajar. "Kerajaan negeri juga mengesyorkan kutipan sama dimasukkan dalam Akaun Amanah berbanding Akaun Yang Disatukan untuk membiayai program kesedaran keselamatan jalan raya," tegasnya. Dengan cara ini, tegasnya, rakyat yang membayar saman akan menyumbang kepada negara bukan membantu menambah kekayaan golongan peniaga. Menerusi akaun amanah ini, tambahnya, syarikat konsesi hanya dibenarkan mengutip keuntungan wajar bagi menampung kos pemasangan kamera AES. "Dengan cara ini juga, syarikat konsesi lebih berhati-hati untuk memasang AES dengan memilih kawasan-kawasan strategik untuk mengelak menanggung kos pemasangan yang tinggi. "Kerajaan negeri tidak bertolak ansur sekiranya syarikat konsesi mahu mengaut keuntungan melampau hasil penswastaan saman kerana akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban," tambahnya. |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan