Selasa, 9 Oktober 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


LUAS Akan Guna Pam Agih Air Ke Kawasan Padi

Posted: 09 Oct 2012 02:30 AM PDT

SHAH ALAM 9 OKT : Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menggunakan pam untuk membolehkan air diagihkan ke kawasan penanaman padi di sekitar Kuala Selangor.

Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar penurunan paras air di Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Sireh sejak seminggu lalu.

Katanya, paras kritikal muka sauk LPA Sungai Sireh adalah pada paras 0.20 meter. Buat masa ini, paras air di muka sauk berada pada paras 0.05 meter di bawah paras kritikal.

Beliau berkata, setakat ini, LPA Sungai Sireh terpaksa mengurangkan kapasiti pemprosesan air kepada tahap 40 peratus.

"Operasi biasa LPA Sungai Sireh memproses 21 juta liter sehari (JLH) air bersih dan mampu untuk memproses sehingga 27 JLH bagi membekalkan air bersih kepada penduduk di sekitar kawasan Tanjong Karang.

"Keperluan pengairan padi adalah di antara 4 hingga 9 meter padu sesaat bergantung kepada peringkat kawasan penanaman.

"Namun, rekod aliran air Sungai Bernam pada 8 Oktober(semalam) masih lagi tinggi iaitu pada jumlah 2083 JLH. Bacaan paras air di Bernam River Headworks (BRH) juga di atas paras kritikal iaitu 4.2 meter berbanding 3.5 meter.

"Akan tetapi, air tidak mencukupi di muka sauk loji dan kawasan penanaman padi.

"Justeru, kesemua enam pintu air di BRH telah dibuka untuk kemasukan air bagi meningkatkan paras air tersebut," katanya kepada TV Selangor dalam satu kenyataan media.

Khairi bagaimanapun menjelaskan paras air di LPA lain setakat ini masih berada dalam keadaan normal dan di atas paras kritikal serta operasi bagi kesemua LPA berjalan seperti biasa.

Tambahnya, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, tinjauan cuaca bagi 1 hingga 10 Oktober 2012 menunjukkan peningkatan hujan terutamanya di kawasan pertengahan Semenanjung Malaysia di antara 10 mm hingga ke 70 mm daripada kadar biasa curahan air hujan.

Peralihan musim kering (Monson Barat Daya) ke musim hujan (Monson Timur Laut) bermula pada bulan Oktober juga menunjukkan peningkatan kadar hujan yang diterima.

Manakala, mengikut ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meterologi mendapati, hujan akan berlaku di seluruh Selangor bermula 8 hingga 14 Oktober depan terutama di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Ahad lalu, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan kaedah pembenihan awan bagi mempertingkatkan penurunan hujan.

Ia akan dilaksanakan apabila kapasiti Empangan Sungai Selangor mencecah tahap 45 peratus yang mana dijangkakan di dalam tempoh 21 hari bermula daripada 2 Oktober 2012.

Sumber: Selangorku

Fenomena Astronomical Tide Penduduk Diminta Berjaga-jaga

Posted: 09 Oct 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM, 9 OKT : Penduduk di kawasan Klang diminta bersedia berikutan fenomena 'Astronomical Tide' dijangka akan berlaku bermula 15 hingga 18 Oktober ini dan dilaporkan akan membawa kadar hujan yang agak mendadak terutama di kawasan terbabit.

Pemangku Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK),Ehsan Mukri berkata, pihaknya menerima maklumat awal daripada Jabatan Laut Malaysia dan meminta orang ramai untuk berwaspada menjelang fenomena yang dijangka berlaku minggu depan itu.

Menurutnya, fenomena itu juga menyebabkan kejadian ribut dan berkemungkinan air sungai akan mencecah 5.6 meter serta menyebabkan banjir kilat di kawasan ini kelak.

"Penduduk diingatkan untuk berjaga-jaga dan membuat persiapan awal dan pada masa yang sama memberi kerjasama kepada MPK dalam menghadapi banjir kali ini.

"Antara yang perlu dilakukan ialah kebersihan perlu dijaga termasuk penyelenggaraan longkang yang sistematik di halaman masing-masing agar tidak tersumbat dengan sampah sarap akibat faktor sekeliling," katanya dalam kenyataan media.

Ehsan berkata, MPK akan membuat pemantauan dan persiapan rapi bagi menghadapi fenomena Astronomical Tide dan setiap jabatan terlibat bersedia melalui kepakaran masing-masing untuk kemungkinan yang bakal berlaku kelak.

Menurutnya, orang ramai diminta untuk segera menghubungi talian bebas tol 1 800 88 23626 atau 33716044 / 4404 untuk sebarang kes kecemasan berkaitan fenomena itu nanti.

Sumber: Selangorku

Kerajaan Pusat Tiada Kesungguhan Laksana Gaji Minima

Posted: 09 Oct 2012 01:30 AM PDT

KUALA LUMPUR, 9 OKT : Pakatan Rakyat (PR) mempersoalkan kesungguhan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan gaji minima ekoran terlalu banyak alasan yang dikemukakan seolah-olah ingin melengahkan perkara ini.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, terlalu banyak tempoh percubaan yang diumumkan oleh kerajaan serta mengulangi kenyataan bahawa cadangan gaji minima PR bakal mengakibatkan negara muflis.

Jelasnya, melihat kepada sikap acuh tidak acuh ini, beliau percaya kerajaan Umno-BN langsung tidak mempunyai kesungguhan untuk melaksanakannya.

"Dalam laporan Bank Dunia jelas disentuh bahawa perlaksanaan gaji minima tidak akan membankrapkan negara dibawah paras RM1,200 ke bawah.

"Berkata mengenai gaji minima, kita ambil pendekatan negara Korea, jika tidak dilaksanakan (gaji minima), maka tutup kedai. Kita tidak buat sebegitu," katanya di lobi Parlimen.

Pada 30 April lalu, Perdana Menteri Najib Razak mengumukan kadar gaji minima RM900 yang akan dilaksanakan.

Abdullah Sani sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa PR bersedia untuk melaksanakan gaji minima RM1,100 dengan suntikan RM2 bilion kepada Industri Kecil Sederhana (IKS) kelak.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: