Isnin, 22 Oktober 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Jelajah Merdeka Rakyat Dapati Sokongan Rakyat Kepada Pakatan Semakin Bertambah

Posted: 22 Oct 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 21 OKT: Jelajah Merdeka Rakyat di beberapa kawasan di Selangor menyaksikan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat sekaligus mencerminkan kepercayaan masyarakat negeri ini untuk terus bersama PR.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sejak beliau memulakan rombongan di Desa Air Hitam, Puchong dan Pantai Morib, Kuala Langat, kehadiran rakyat di setiap ceramah amat memberangsangkan.

Biarpun hujan lebat pada pagi dan petang, ianya tidak mematahkan semangat penduduk di setiap kawasan yang dikunjungi untuk hadir beramai-ramai bagi mendengar amanat dan mesej yang dibawa oleh pemimpin PR.

Abdul Khalid di dalam ucapannya di Ijok berkata, rakyat di Selangor kini dapat merasai perbezaan melalui perubahan yang dilakukan semasa Pilihanraya Umum 2008 yang lalu.

"Rakyat dapat menikmati pelbagai manfaat melalui pentadbiran yang telus dengan penganjuran pelbagai program dan bantuan seperti pemberian air percuma, skim bagi warga emas dan wanita dan tuisyen percuma bagi pelajar-pelajar di negeri ini.

"Cara kita mengurus negeri ini, Laporan Ketua Audit menunjukkan Selangor merupakan antara negeri-negeri yang terbaik pentadbirannya dan jika dilakukan perbandingan dengan kerajaan Umno-BN sebelum ini, kita ternyata lebih baik," katanya di hadapan penduduk Ijok.

Selain Puchong, Kuala Langat dan Ijok, rombongan semalam turut mengunjungi Pandamaran di Klang dan Kampung Assam Jawa di Kapar sebelum mengakhiri perjalanan di parkir Stadium Shah Alam.

Rombongan tersebut turut disertai Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di dalam ucapannya di Shah Alam, Anwar memuji pentadbiran Abdul Khalid sambil menyifatkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang terbaik.

"Saya akui beliau merupakan seorang yang sangat cermat dan berkira dalam menguruskan wang di negeri ini.

"Tetapi sikap inilah yang diperlukan seorang pemimpin bagi menjamin wang negeri ini dikembalikan kepada rakyat untuk menikmatinya," katanya di hadapa kira-kira 6,000 hadirin.

Katanya, integriti tinggi yang dimiliki Abdul Khalid menyebabkan negeri ini mampu mempunyai rizab simpanan sehingga RM 2.2 bilion walaupun membelanjakan wang yang banyak bagi program bantuan rakyat seperti skim air percuma, Jom Shopping, TUNAS dan Sri Kembar.

"Dahulunya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Khir Toyo mendakwa Selangor akan bankrup jika berhasrat memberikan air percuma.

"Tetapi dengan pentadbiran yang telus dibuktikan oleh Abdul Khalid, simpanan negeri meningkat daripada RM1 bilion kepada RM 2.2 bilion walaupun memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat," kata Anwar.

Sumber: Selangorku

200 Bendera PKR Dicuri Dan Dibakar di Hadapan Bilik Gerakan Parti Politik

Posted: 21 Oct 2012 03:00 AM PDT

KLANG, 21 OKT: Kira-kira 200 bendera PKR yang dipasang di sekitar tapak program Jelajah Merdeka Rakyat di kawasan letak kereta pasaraya Econsave didakwa dicuri dan kemudiannya dibakar di bilik gerakan sebuah parti politik.

Bendera-bendera itu yang merupakan antara persiapan ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Pandamarn di sini, dipercayai telah dicuri pada lewat malam tadi.

Dakwaan tersebut dibuat oleh Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri ketika mempengerusikan Program Jelajah Merdeka Rakyat di sini hari ini.

Menurut beliau, perbuatan memalukan tersebut menggambarkan ketakutan setengah pihak tentang kemaraan Pakatan Rakyat.

"Mereka tak mampu berbuat apa-apa, nak lawan hujah tak berani, jadi yang mereka boleh buat hanyalah curi dan bakar bendera PKR," kata beliau.

Azmizam juga memberitahu, AMK akan membuat laporan polis mengenai kejadian ini.

Di dalam program Jelajah Merdeka Rakyat hari ini, dianggarkan lebih seribu orang telah membanjiri program yang berlangsung dalam keadaan hujan.

Selain Ketua Umum PKR, program tersebut turut menampilkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai penceramahnya.

Sumber: Selangorku

Kerajaan Selangor Buktikan PR Mampu Tadbir Negara Lebih Baik

Posted: 21 Oct 2012 02:30 AM PDT

KLANG, 21 OKT: Rekod hampir lima tahun pentadbiran negeri Pakatan Rakyat (PR) membuktikan pakatan tersebut mampu mentadbir kerajaan negara dengan lebih baik berbanding rekod 55 tahun Umno-BN.

Antaranya termasuklah prestasi cemerlang kewangan dan kecekapan pentadbiran Kerajaan Selangor sehingga mendapat pujian Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini.

Laporan tersebut antara lain menyatakan simpanan atau kumpulan wang disatukan bagi Selangor telah meningkat sehingga mencecah RM 1.94 bilion pada 2011.

Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding mana-mana negeri yang diterajui Umno-BN.

Selain itu, amalan perbelanjaan secara berhemah oleh Kerajaan Selangor turut membolehkan kerajaan negeri itu membentangkan belanjawan berimbang semenjak tahun 2009 lagi.

Demikian menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyangkal dakwaan Umno-BN bahawa PR akan menyebabkan negara muflis sekiranya PR diberi peluang mentadbir negara ini.

"Kalau kita menang kita umumkan harga minyak turun dan nanti (Datuk Seri) Najib kata apa?

"Nanti negara bangkrap, itu sahaja yang dia tahu. Ambil duit lembu tak bangkrap, ambil tanah rakyat ratus ribu hektar tak pula dia kata bangkrap.

"Bangkrap ini boleh terjadi bila ada yang tak amanah," kata Anwar di hadapan hampir dua ribu hadirin di dalam ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Pandamaran di sini hari ini.

Beliau turut menemplak Umno-BN yang gagal membantu rakyat miskin di Sabah seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kerajaan Negeri bayar sehingga RM 400 juta untuk beri air percuma kepada rakyat Selangor.

"Ada Umno-BN berikan kepada Sabah negeri yang paling kaya tetapi rakyat paling miskin?" ujarnya lagi dalam program yang berjalan dalam keadaan dilanda hujan.

Selain Anwar turut hadir dalam program Jelajah Merdeka Rakyat kali ini adalah Abdul Khalid dan barisan exco Kerajaan Negeri Selangor.

Sumber: Selangorku

Takungan Air Selangor Mencukupi, MB Gesa Hentikan Kenyataan Kelirukan Rakyat

Posted: 21 Oct 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM, 21 OKT: Takungan air di Empangan Sungai Selangor yang meningkat sebanyak 55.43 peratus kepada 127.49 meter padu mampu menampung bekalan air kepada penduduk sekitar Lembah Klang.

Empangan yang membekalkan 60 peratus bekalan air di sekitar Lembah Klang ini membekalkan air untuk dirawat di tiga Loji Pembersihan Air (LPA) iaitu; LPA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LPA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LPA Bukit Badong (SSP3).

Bagaimanapun Umno-BN Selangor terus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat dengan dakwaan kononnya Lembah Klang bakal berdepan krisis air ekoran penurunan paras air di empangan.

"Saya mengesa semua ahli politik terutamanya pihak pembangkang di Selangor supaya berhenti membuat kenyataan-kenyataan mengelirukan mengenai isu air termasuk kedudukan paras takungan di empangan.

"Kenyataan mengelirukan dan tidak benar ini seolah-olah  memperlekehkan kerja keras kakitangan kerajaan yang selama ini bertungkus lumus untuk memastikan bekalan air mentah mencukupi," menurut Abdul Khalid dalam satu kenyataan media.

Abdul Khalid juga memberitahu usaha memastikan bekalan air sentiasa mencukupi ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan penyusunan semula industri perkhidmatan air.

Objektif ini di samping meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pegawai dan kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang bekerja keras dalam memantau status air di dalam empangan.

Sumber: Selangorku

Projek Takungan Air RM 20 juta Dijangka Atasi Masalah Banjir

Posted: 20 Oct 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM, 20 OKT : Kolam takungan air di Sri Sentosa yang dijangka siap dalam masa 18 bulan mampu mengatasi masalah banjir yang berlaku di Daerah Klang kata ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Projek RM 20 juta itu diharap dapat menampung limpahan air jika hujan lebat di kawasan Bukit Naga, Seri Gambut , Jalan Pendamar, Johan Setia, Bandar Putera dan Bandar Puteri.

"Mengikut laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Daerah Klang, projek itu akan dimulakan pada bila-bila masa sahaja," kata Shuhaimi ketika dihubungi TVSelangor.

Dalam pada itu, Shuhaimi berkata penduduk Johan Setia dan Bandar Puteri yang terjejas akibat banjir semalam sudah kembali ke rumah masing-masing selepas dipindahkan ke Dewan Al-Munirah Rumah Anak-Anak Yatim.

Mereka dipindahkan selepas air ketinggian paras paha masuk ke rumah mereka semalam.

Katanya, Pejabat Daerah Klang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menghulurkan bantuan makanan kepada mereka.

"Kita sedang merekodkan dan meninjau dari rumah ke rumah di mana ada warga emas yang tidak berupaya membersihkan rumah dan kita akan membantunya.

"Dan sekarang ini sedang berlaku proses pembersihan rumah yang mengalami masalah banjir," jelas Shuhaimi.

Kata Shuhaimi, punca berlakunya banjir itu adalah ekoran Fenomena Astromical Tide yang sudah dijangkakan akan berlaku.

Shuhaimi juga menolak tuduhan bahawa pihak Adun dan Ahli Parlimen tidak melaksanakan tugas dalam mengatasi masalah banjir itu.

"Dalam berita di TV3 ada budak-budak daripada Umno membuat tuduhan mengatakan Ahli Parlimen dan Adun berjanji untuk membawa ekskavator untuk membersihkan laluan air.

"Tuduhan itu berniat jahat kerana orang-orang itu tidak pernah berjumpa dengan pihak saya.

"Mereka hanya mengambil kesempatan politik apabila berlaku masalah banjir untuk menyalahkan kerajaan negeri, ahli parlimen dan adun," katanya.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: