Suara Sri Andalas |
Penduduk Flat Taman Medan ‘Diperalat’ Fitnah Kerajaan Negeri Posted: 19 Oct 2012 03:00 AM PDT PETALING JAYA, 19 OKT: Penduduk Flat Taman Medan Cahaya kesal sikap dengan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa didalangi Umno menggunakan pangsapuri mereka untuk memfitnah Kerajaan Negeri kononnya gagal memberikan air percuma kepada penduduk taman terbabit. Sedangkan menurut penduduk yang ditemui, mereka mula menikmati 20 meter padu air percuma sejak tahun 2011 lagi seperti yang dibuktikan dalam bil air yang ditunjukkan kepada Selangor Kini. Menurut A Ramlee Yahaya,48, yang mendiami Blok H memberitahu majoriti peserta demontrasi tersebut merupakan ahli-ahli Umno dan orang-orang luar yang tidak beliau kenal. "Saya tahu sebab banyak muka yang saya tak pernah tengok pun dan ada juga yang saya dapat cam orang luar seperti bekas calon PRU-12 dari Umno, Munaliza Hamzah(bekas calon Umno Taman Medan) bukan penduduk kami. "Selain itu orang-orang Umno seperti Ruslan Baba memang main peranan penting dalam demontrasi itu, tetapi orang sini sendiri memang tak ramai yang sertai," ujar Ramlee. Menurut Ramlee lagi, beberapa jawatan penting dalam Persatuan Penduduk Blok H juga dimonopoli beberapa pemimpin Umno peringkat akar umbi sekaligus menyebabkan kepentingan politik dibawa ke dalam persatuan itu. Ramlee yang berada di lokasi ketika demontrasi itu diadakan, menganggarkan seramai kira-kira 150 orang yang menyertai demontrasi tersebut, bukannya sehingga 3,000 yang disebut oleh media perdana. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Blok B, Mohamad Fuad Jam Jam memberitahu sebelum demontrasi 'menuntut air percuma' itu diadakan, persatuannya dimaklumkan tujuan utama demontrasi diadakan adalah untuk memprotes filem yang menghina Nabi Muhammad SAW. "Bila demo berlangsung, filem hina Nabi tak disentuh langsung, tetapi tuntutan air percuma pula yang dilaungkan, sedangkan kami dah terima air percuma," kata Fuad yang kesal tindakan Umno menipu penduduk dengan menggunakan isu filem hina Nabi. Terdahulu, media arus perdana menyiarkan laporan penduduk Taman Flat Medan Cahaya mengadakan demontrasi menuntut bekalan air percuma dari Kerajaan Negeri. Bagaimanapun menurut Adun Taman Medan, Haniza Talha, penduduk di situ mula menikmati air percuma apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengemukakan permohonan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk membolehkan pemberian tersebut disalurkan kepada unit-unit kediaman di situ. Sumber: Selangorku |
Loji Pembersihan Air Sungai Sireh Kini Beroperasi 100 Peratus Posted: 19 Oct 2012 02:30 AM PDT SHAH ALAM, 19 OKT : Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Sireh di Tanjong Karang kini beroperasi 100 peratus untuk memproses air bagi bekalan air bersih kepada kira-kira 30,000 penduduk di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan. Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md Khairi Selamat berkata, LPA Sungai Sireh kini mampu memproses air bersih sebanyak 21 juta liter sehari (JLH). "Paras air di muka sauk LPA Sungai Sireh pada 18 Oktober 2012 adalah pada bacaan 1.1 meter berbanding paras kritikal 0.20 meter. "Rekod aliran air Sungai Bernam melalui pemantauan aliran air di Jambatan Sungai Bernam SKC adalah tinggi iaitu pada jumlah 141.95 meter padu sesaat," kata Khairi dalam kenyataan medianya. Jelas beliau lagi, bacaan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam (BRH) juga tinggi pada paras 10.20 meter dengan kesemua Kawasan Pengairan Berperingkat (ISA) penanaman padi menerima bekalan penuh. Katanya, ban sungai yang pecah yang dipercayai menyebabkan aliran Sungai Bernam tidak sepenuhnya melalui Bernam River Headworks (BRH) sedang dalam pembaikan. "Pihak IADA Barat Laut memaklumkan kerja-kerja pembaikan ban sungai tersebut sedang dijalankan dan akan dipercepatkan," katanya. Sebelum ini, lebih 30,000 pengguna air terutamanya pesawah di Tanjong Karang dan Sekinchan dikhuatiri terjejas kerana LPA Sungai Sireh di sini berdepan penyusutan lebih 50 peratus di terusan utama Sungai Sireh sejak beberapa minggu lalu. Penurunan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam (BRH) yang menempatkan loji pembersihan Sungai Sireh itu disebabkan oleh ban sungai yang pecah berhampiran Jambatan Sungai Bernam SKC. Ia menjadi antara punca penurunan paras air untuk loji pembersihan Sungai Sireh yang membekalkan air bersih dan kegunaan sawah padi di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan Kerajaan Negeri mengarahkan pihak Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor untuk menyegerakan pembaikan ban Sungai Bernam SKC yang pecah itu bagi memastikan aliran air ke sawah-sawah dan Loji Pembersihan Air Sungai Sireh tidak terjejas. Sumber: Selangorku |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan