Rabu, 31 Oktober 2012

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Tarif air: Selangor selamatkan RM500 juta duit rakyat

Posted: 31 Oct 2012 01:08 AM PDT


KUALA LUMPUR 30 Oktober: Meskipun baru empat tahun Pakatan Rakyat (Pakatan) mentadbir Selangor, negeri itu berjaya menyelamatkan RM500 juta wang rakyat daripada 'diratah' Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Pusat dalam pengurusan industri air.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kejayaan itu hasil daripada tindakan kerajaan negeri menyekat perjanjian yang ditandatangani antara Kerajaan Pusat dengan Syabas.

"Kita lakukan penyusunan semula (industri air) ini untuk (kenaikan) tarif air yang akan dikenakan oleh Syabas. Hingga empat tahun ini, menerusi penyusunan semula tersebut, sekurang-kurangnya rakyat Selangor sudah tidak perlu bayar hampir RM500 juta.
"Kalau ikut kenaikan tarif, kami telah selamatkan RM500 juta duit rakyat di tiga kawasan iaitu Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Ekoran itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu bertegas untuk membangunkan teknologi membran bagi meningkatkan jumlah penghasilan air di loji rawatan walaupun Kerajaan Pusat berdegil mahu meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).
"Dari keluaran 4.8 juta liter sehari, kita dapati 33 peratus atau lebih 1.5 juta sehari air terawat tidak digunakan (NRW).
"Kalau kita selesaikan masalah air terawat, kita tidak memerlukan loji Langat 2. Memandangkan kos teknologi membran lagi murah iaitu RM800 juta dan kos Langat 2 adalah RM300,000 juta," katanya.
Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali yang turut sama dalam sidang media itu berkata, kerajaan Umno zalim dalam perjanjian air bersama Syabas yang hanya 'membunuh' rakyat.
"Saya nak rujuk data rasmi yang terkandung dalam perjanjian konsesi sedia ada di mana Syabas ada kelulusan daripada Kerajaan Pusat untuk naikkan tarif air kepada 37 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012," kata Pengerusi KEADILAN Selangor itu.
"Kalau Kerajaan Pakatan tidak menyekat kenaikan ini, bermakna pada 2012, ada pertambahan sebanyak 25 peratus menjadikan harga air di Selangor, sebanyak RM2.38 per meter padu.
"Kemudian dalam perjanjian sama, kenaikan tambahan daripada 20 peratus pada 2015, dan 10 peratus pada 2018, dan bermakna pada 2018, rakyat Selangor perlu bayar RM3.15 per meter padu dan harga ini akan melonjak naik kepada RM3.83 pada 2030," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu.

Pembalakan haram: Mohamad Hassan bohong, KEADILAN ada bukti

Posted: 31 Oct 2012 01:04 AM PDT


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan berbohong berhubung skandal tanah yang mengaitkannya, sedangkan KEADILAN ada bukti kukuh, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
Beliau mengulas jawapan Mohamad bahawa tanah hutan simpan di negeri itu di bawah seliaan Yayasan Negeri Sembilan dan hanya dipajak untuk tanaman kelapa sawit.
"Menteri Besar bohong apabila dakwa tanah itu milik kerajaan negeri. Kita juga akan buktikan skim pajakan yang digunakan sangat tidak menguntungkan (kerajaan negeri) dan tidak beri apa-apa hasil kepada rakyat," katanya.

Rafizi berkata, KEADILAN mempunyai cukup bukti kukuh menunjukkan Yayasan Negeri Sembilan digunakan pimpinan politik Umno BN negeri itu untuk mendapatkan kawasan hutan berkenaan.
Katanya lagi, penerokaan hutan simpan dibuat secara berperingkat, dimulai dengan penebangan balak dan diikuti dengan tanaman kelapa sawit.
"Di Hutan Simpan Jeram Padang Selatan, sebahagian besar balak habis (ditebang)…bukit sudah botak," katanya sambil menegaskan akan mengemuka bukti dari masa ke semasa.
KEADILAN Selasa lalu mendedahkan mengenai pengambilan hutan simpan untuk aktiviti pembalakan haram oleh Mohammad membabitkan 487.3 hektar hutan yang diwarta sebagai hutan simpan sejak 1918.

KEADILAN lapor polis, desak siasatan pembalakan haram MB N Sembilan

Posted: 31 Oct 2012 01:03 AM PDT


KUALA LUMPUR 30 Oktober: KEADILAN akan membuat laporan polis Khamis ini mendesak siasatan terhadap pengambilan hutan simpan untuk aktiviti pembalakan haram yang dilakukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hassan.
"Sehingga kini Mohammad masih belum memberi sebarang jawapan mengenai perkara ini dan hanya mendiamkan diri. Oleh itu, saya dan pimpinan Pakatan Rakyat serta aktivis NGO akan membuat laporan polis di Seremban pada 1 November ini jam 3 petang agar siatan dapat dimulakan segera," kata Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, Mohammad perlu mendedahkan segera semua maklumat skandal konsesi pembalakan di negeri itu melibatkan kuota 4,800 hektar.
"Rakyat berhak tahu siapa yang mendapat konsesi balak ini, berapa hasilnya kepada kerajaan negeri dan status hak milik tanah-tanah ini setelah diterokai.
"Sebaliknya jika keadaan ini tidak berlaku, KEADILAN akan terus mendedahkan individu-individu yang mendapat 'durian runtuh' dari kegiatan pembalakan di atas tanah hutan simpan ini dan kaitan mereka dengan pimpinan Umno BN," kata Rafizi.

8,616 hektar hutan simpan dibatalkan status  
Menurut Rafizi, pendedahan tersebut berdasarkan Laporan Audit 2010 yang menegur kerajaan negeri berhubung penggantian kawasan hutan simpan.
"KEADILAN menyemak dokumen-dokumen rasmi secara jelas menunjukkan Kerajaan Negeri Sembilan, mempunyai rekod paling buruk dari segi kegagalan menggantikan hutan simpan yang diambil untuk kegunaan lain.
"Walaupun ada sedikit penggantian sebanyak 2,400 hektar seperti yang disebut oleh Mohammad, jumlah keluasan hutan simpan di Hutan Simpan Jeram Padang Selatan yang dibatalkan statusnya bagi tujuan pembalakan adalah jauh lebih besar, yang mencatat 8,616 hektar tanah hutan hilang," katanya.
Rafizi berkata, jika kegiatan pembalakan dan penerokaan hutan di negeri itu berterusan dan di luar kawalan akibat tidak dapat menggantikan hutan simpan yang dibatalkan, Negeri Sembilan bakal kepupusan tanah hutan.
"Pada kadar kehilangan hutan simpan lima peratus setiap lima tahun, KEADILAN menjangkakan kawasan hutan dan tadahan hujan di Negeri Sembilan boleh pupus sepenuhnya dalam tempoh 50 tahun, terutamanya apabila semakin tahun hutan simpan makin berkurangan," katanya.

Tiada ulasan: