Aminuddin Harun |
Posted: 14 Oct 2012 06:39 PM PDT Agenda BN mainkan isu Soros-Pakatan Projek memburuk-burukkan pembangkang dengan jutawan George Soros -- seperti yang dilaporkan meluas oleh media sekarang -- telah dirancang oleh sebuah jabatan khas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak pertengahan tahun ini. Melalui sebuah buku tebal Panduan Penjelasan Isu Semasa terbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim didakwa mendapat dana spekulator mata wang dunia itu bagi menghadapi pilihan raya umum. Dengan menonjolkan beliau sebagai ejen Yahudi Zionis, Soros melalui Institut Masyarakat Terbuka (OSI) didakwa mendanai Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) yang disertai Anwar. "... Anwar merupakan antara ahli majlis eksekutif ICG ... sebahagian besar (pemimpin) dalam ICG adalah berbangsa Yahudi," buku setebal 322 halaman itu dipetik. "Soros mengkritik tindakan kerajaan Malaysia dan membela Anwar semasa beliau didakwa atas (tuduhan) salah guna kuasa." Hubungan Soros-Anwar ini dimuatkan dalam bab "Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) dan hubungan Zionis", satu daripada 22 bab yang disusun bagi menjawab isu dan program yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat sehingga Jun lalu. Bagi menggambarkan perhimpunan "BERSIH 3.0 itu kotor" pula, Anwar didakwa memulakan huru-hara pada 28 April lalu dan beliau sendiri disokong oleh ahli parlimen Australia yang pro-hubungan seks sejenis. Soros (kanan) menjadi perhatian semula sejak awal bulan lalu apabila kerajaan mempertikaikan dana NGO hak asasi Suaram yang dikaitkan dengan jutawan tersebut. Ia disusuli laporan konsisten media-media pro-kerajaan yang mengaitkan dana Soros dengan sejumlah NGO lain termasuk pendesak pilihan raya bebas BERSIH dan portal beritaMalaysiakini. Dana berjumlah ratusan juta ringgit itu kononnya untuk "menggugat" kerajaan. Ekoran itu, kumpulan NGO berkenaan mengugut untuk menyaman New Straits Times yang memuatkan laporan tersebut di muka depannya. Baru-baru ini pula, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan "undi untuk Pakatan Rakyat bermakna undi untuk Soros" dengan alasan beliau mendalangi usaha "pertukaran regim" di negara ini dalam pilihan raya umum nanti. Isu-isu lain yang dimuatkan dalam buku panduan ini termasuklah kontroversi Pusat Fidlot Nasional, himpunan BERSIH 3.0, pemerolehan Scorpene, loji pemprosesan nadir bumi Lynas, program Buku Jingga, kematian Teoh Beng Hock, durian runtuh Felda dan penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGV), tuntutan pelobi pendidikan Cina Dong Zong dan kritikan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Buku yang ditulis dalam bentuk soal jawab ringkas ini turut memberikan perhatian khusus kepada Kelantan dan Sabah. Sumpah PM tentang Altantuya Isu-isu utama berkaitan negeri pimpinan PAS itu dimuatkan dalam tiga bab khas: tuntutan royalti petroleum, pencemaran air paip dan projek ladang rakyat. Tiga bab lagi ditujukan bagi menjawab isu di Sabah: kebanjiran pendatang asing, tanah adat dan kempen "Sabah for Sabahans". Bagaimanapun bab terakhir "tuduhan pembunuhan Altantuya (Shaariibuu)" tidak memakai format soal jawab atau penjelasan lengkap seperti bab-bab lain. Ia hanya memuatkan sepenuhnya sumpah Perdana Menteri Najib Abdul Razak sewaktu menafikan pembabitannya dengan wanita Mongolia itu bersempena kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 2008. Sementara 22 bab lagi disusun bagi menjelaskan dasar-dasar kerajaan dan senarai program yang dimajukannya. Dibahagikan kepada tiga, bahagian pertama 'dasar-dasar negara' dimulakan dengan bab-bab berikut: Wawasan 2020, gagasan 1Malaysia, Rancangan Malaysia ke-10 dan program transformasi kerajaan (GTP). Ia juga menjelaskan tentang Bajet 2012, skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kempen kerajaan mengurangkan rasuah dan kadar jenayah serta langkah mengawal kenaikan harga dan program meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah. Satu halaman diperuntukkan untuk menyenaraikan 20 tokoh paling kaya di Malaysia dengan kesimpulan: " ... orang Melayu hanya tiga orang (15 peratus) manakala Cina 16 orang (80 peratus) dan India seorang (5 peratus)." Ia juga memuatkan statistik-statistik lain yang menunjukkan kemunduran Melayu dalam bidang ikhtisas (profesional), pemilikan ekuiti dan premis perniagaan. Bab-bab ini diikuti dengan program memajukan bumiputera seperti Teraju sebelum melakarkan "kejayaan negara" di mata dunia. 50,000 naskhah dicetak Malaysia digambarkan aman makmur walaupun penduduknya berbilang-bilang kaum dan agama; tidak seperti hura-hara yang dialami dalam krisis Asia Barat beberapa bulan kebelakangan. Buku panduan berbahasa Melayu ini disediakan sebagai rujukan pegawai kempen JASA -- satu daripada beberapa badan utama gerak saraf kerajaan -- dan ia dibuka dengan petikan kata-kata Najib. "Kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian." Dalam kata pengantarnya, ketua pengarah JASA, yang juga pemimpin lama Umno, Fuad Hassan berkata buku ini disediakan bagi menjawab sebaran maklumat pantas melalui media Internet. Pada Mac lalu, menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan Rais Yatim dilaporkan berkata sebanyak 50,000 naskhah akan dicetak, termasuk untuk rujukan orang awam di luar bandar. Selain JASA, menurut beliau lagi, agensi-agensi yang merujuk buku panduan itu termasuklah Jabatan Penerangan, agensi berita rasmiBernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Satu salinan buku ini diperolehi oleh Malaysiakini bulan lalu sewaktu menghadiri siri penjelasan JASA di Kuala Lumpur berhubung bantahan pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan. Edisi digital buku ini boleh juga diperolehi di laman web rasmi Jasa. Walaupun bahan-bahan ini disediakan di antara selepas perhimpunan BERSIH pada hujung April lalu dan menjelang penyenaraian FGV akhir Jun, tidak dapat dipastikan bila ia mula dicetak dan diedarkan. |
You are subscribed to email updates from Aminuddin Harun To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan