The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Posted: 25 Sep 2012 09:44 PM PDT Untuk mendapatkan hasil yang baik, bukan saja rajin dan usaha didalam berkebun. Ilmu pertanian juga perlu ada. Mengendalikan tanah bukan hanya sekadar menanam biji-biji benih atau anak-anak pokok. Cara menanamnya juga perlu ada seninya. Baja yang sesuai dengan tanahnya juga diperlukan, bukan sebarang baja untuk semua tanah. Sedikit demi sedikit saya belajar, melalui pengalaman saya dan melalui pengalaman rakan-rakan yang sudah berkecimpung di bidang ini. Saya tengok rambutan saya setiap tahun begitu lebat buahnya; dan baja yang saya gunakan adalah 15-15-15, tetapi baja ini mungkin tidak sesuai dengan pokok mangga. Saya ada 20 batang pokok mangga, saya tanam serentak dengan pokok rambutan. Rambutan sudah berbuah berpuluh kali, kadang-kadang 2 kali setahun. Tetapi mangga, kecuali mempelam, tak pernah berbuah lagi walaupun setiap tahun berbunga dengan lebatnya dan bunganya itu terus layu dan tidak berhasil. Saya lihat pokok mangga Tajudin di Taman Jaya berbuah begitu lebat. Dia hanya tanam satu pokok sahaja di sekitar rumahnya, tetapi sentiasa berbuah. Berterusan berbuah. Ada yang sudah boleh dipetik, ada yang sedang-sedang, ada yang baru berputik dan sementara itu yang berbunga tetap berbunga. Tak habis dimakan, dan Tajudin sedekahkan kepada rakan. 2 hari lepas saya bertanya kepada Tajudin akan rahsia mangganya yang bukan sahaja berbuah lebah tetapi tak henti-henti berbuah; dia mengatakan bahawa dia gunakan sejenis baja Amonia yang dibekalkan oleh sebuah kilang di Selangor. Saya tempah baja itu dari Tajudin dua guni. Pagi ini saya bajakan pokok-pokok mangga saya mengikut sukatan yang ditunjukkan oleh Tajudin dan ditaburkan jauh sedikit dari pokok. Ditaburkan jauh dari pokok kerana akar-akar kecil yang menyalurkan makanan kepada pokok itu menjalar jauh dari batangnya, dan jangan ditabur begitu banyak kerana baja ini panas dan dibimbangkan pokok yang menerima baja ini terlalu banyak akan mati. Saya akan membubuhkan baja ini sekurang-kurangnya sebulan sekali dan didalam tempoh 6 bulan ini, saya akan bajakan pokok-pokok mangga saya dengan baja ini, dan mengikut pengalaman Tajudin, beliau berbuat demikian sehinggalah pokok bajanya menghasilkan buah yang begitu lebat. Saya berdoa agar baja ini sesuai dengan tanah dan pokok yang saya tanam, dan jika elok, saya akan rekomenkan kepada semua kawan-kawan yang menanam pokok-pokok buahan sekitar rumah masing-masing. |
Posted: 25 Sep 2012 03:03 PM PDT Alhamdulillah, KEADILAN Cabang Kuala Krau berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya pada 23hb September 2012 yang lalu. Turut berjaya mengadakan MATC masing-masing ialah Wanita Keadilan Cabang Kuala Krau dan Angkatan Muda Keadilan Cabang Kuala Krau. Cabang Kuala Krau dan 2 sayapnya iaitu Wanita dan AMK telah membuat pemilihan perwakilan masing-masing ke Kongres Nasional masing-masing yang dijadualkan berlangsung pada November 2012 jika tiada aral melintang. Aral melintang yang digambarkan ialah kemungkinan PRU yang mungkin diadakan pada bulan itu. Jika PRU diadakan pada bulan November 2012 maka Kongres Nasional akan diundurkan ke tarikh yang terkemudian dan jika PRU-13 diadakan tahun hadapan maka Kongres akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada bulan November. Sdr Rabidin Kasmawi, Ketua KEADILAN Cabang Rompin berucap merasmikan MATC Cabang Kuala Krau. Kehadiran MATC tahun ini cukup menggalakkan melebihi sekali ganda dari MATC tahun lepas. Hampir keseluruhan ranting-ranting menghantarkan anggota masing-masing ke MATC kali ini dan seperkara yang sangat membanggakan ialah kehadiran wanita dan AMK yang melebihi korum yang diperlukan untuk MAT masing-masing. Kehadiran Wanita melebihi korum yang diperlukan untuk MAT Wanita Cabang. Manakala kehadiran Angkatan Muda Keadilan juga bertambah sekali ganda dan melebihi korum yang diperlukan. Dengan itu ketiga-tiga saya Parti di Cabang Kuala Krau ini dapat mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing dengan selesa. 3 buah usul telah diluluskan didalam MATC Cabang Kuala Krau tahun ini masing-masing mengenai penurunan harga getah yang begitu rendah dan menyukarkan kehidupan orang-orang kampung samada yang memiliki kebun sendiri apatah lagi yang menoreh di kebun orang lain; mengenai Felda dan Orang Asal. Usul mengenai harga getah yang rendah itu telah dipersetujukan oleh Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal supaya dijadikan Usul oleh Biro ini dan di Kongres nanti jika usul ini diterima untuk dibahaskan maka Sdr Rebin Birham, Setiausaha Biro akan menjadi pembahasnya dan jika usul ini tidak diterima untuk perbahasan maka ucapan-ucapan dari wakil-wakil Cabang yang menganggotai Biro ini akan menyentuh isu tersebut menandakan bahawa isu Orang Kampung adalah isu yang sangat penting bagi Parti Keadilan Rakyat. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan