The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Penubuhan PKR Ranting Kg Bukit Gemuruh, Bera Posted: 17 Sep 2012 07:51 AM PDT Bob Manolan, Timbalan Ketua PKR Cabang Bera, Pahang Apabila Sdr Bob Manolan menalipon saya petang semalam samada saya boleh menghadirkan diri ke Kg Bukit Gemuruh pada 17.9.12 jam 4.00 petang bertujuan merasmikan PKR Ranting Kg Bukit Gemuruh, saya dengan senang hati menyatakan bahawa saya ada ruang masa walaupun pada tarikh itu saya sudah membuat jadual untuk melawat Kg Pasu. Saya meruangkan masa itu kerana sejak lebih 10 tahun yang lampau saya tidak lagi mendatangi Kg Bukit Gemuruh, sebuah kampung Orang Asal yang semasa saya bertanding sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Temerloh dulu, perwakilan UMNO dari kampung ini memberikan sokongan kepada saya. Saya masih ingat bahawa kampung ini sukar didatangi dengan kereta kerana jalannya amat buruk sekali. Saya telah pergi ke DARA untuk mendapatkan peruntukan bagi memperbaiki jalan yang begitu buruk. Saya juga membawa permohonan untuk memperbaiki jalan ke Kg Paya Tateh dan Kg Pasal. Kg Pasal juga adalah kampung Orang Asal tetapi kampung Paya Tateh adalah kampung Orang Melayu. Ditakdirkan ketiga-tiga permohonan yang saya kemukakan itu semuanya diluluskan oleh DARA. Tetapi jalan-jalan yang dibina itu langsung tidak berkualiti, hanya dapat menampung sekadar sementara sahaja dan selepas itu jalan-jalan itu pecah kembali; walaupun begitu usaha yang saya buat itu memberikan saya peluang mendapat sokongan dari semua perwakilan UMNO Cawangan Kg Bukit Gemjuruh, Kg Paya Tateh dan Kg Pasal; ketiga-tiga kampung ini kesemuanya berada didalam Daerah Bera. Dan pada waktu itu, Daerah Bera ini berada didalam kawasan Parlimen Temerloh. Walaupun hanya 8 buah cawangan sahaja yang mencalunkan saya sebagai calun Naib Ketua UMNO Bahagian Temerloh, saya dapat mengalahkan dua orang calun lain, iaitu calun yang ditaja oleh Ketua UMNO Bahagian Temerloh dan seorang calun lain. Calun lain itu hanya mendapat 35 undi; calun yang ditaja oleh UMNO Bahagian Temerloh itu mendapat 100 undi dan saya mendapat 106 undi. UMNO Kg Bukit Gemuruh memberikan sokongan yang kuat kepada saya, kesemua 5 orang wakil dari cawangan itu semuanya mengundi saya sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Temerloh. Apa bila saya sampai ke Kg Bukit Gemuruh jam 4.00 petang tadi, yang menunggu kedatangan saya itu adalah anak-anak muda yang saya tidak kenal kecuali seorang sahaja iaitu Cikgu Osman, adik kepada Cikgu Haji Sulaiman, Ketua UMNO Cawangan Kg Bukit Gemuruh. Tetapi Cikgu Osman balik ke rumahnya apabila melihat kanopi sedang dipasang dan akan diadakan disitu majlis penerangan PKR sebelum penubuhan rantingnya. Cikgu Osman masih menjadi ahli UMNO yang tegar. Sdr Muhammad menyerahkan Borang Permohonan Menjadi Anggota kepada saya disaksikan oleh Sdr Bob Manolan. Wakil-wakil dari Cabang Bera yang hadir di Majlis itu adalah Sdr Sarawanan Perumal, Sdr Romani Mohd, dan Sdr Cikgu Malek. Peringkat awalnya hanyalah sekadar 20 orang sahaja penduduk kampung yang hadir di Majlis itu; tetapi membawa ke jam 5.30 petang, begitu ramai penduduk yang hadir, terutamanya anak-anak muda. Mereka datang lewat kerana mereka menjangkakan Majlis pada hari itu sudah dibatalkan kerana berlaku kelewatan dinaikkan kanopi di tapak Majlis itu. Mengkagumkan saya bukan sahaja Majlis itu dihadiri oleh begitu ramai penduduk khususnya anak-anak muda, tetapi juga dihadiri oleh begitu ramai kaum wanita. Sayangnya gambar beramai-ramai setelah ranting itu dirasmikan tidak dapat masuk kedalam handphone saya kerana orang yang mengambil gambar itu telah membuat kesilapan teknikal dan gambar tidak dapat diambil. PKR Cabang Bera menyediakan sedikit minuman untuk para hadirin selepas perasmian. Makanan yang dihidangkan termasuklah mee goreng dan sedikit kuih muih sesuai dengan Majlis itu sebagai perasmian ranting, juga meraikan Hari Malaysia dan juga Hari Orang Asal. Saya menghadiahkan 35 helai baju PKR kepada anggota-anggota baru PKR Ranting itu, baju yang saya hadiahkan itu tidak mencukupi kerana lebih ramai lagi penduduk yang hadir daripada baju yang saya bawakan itu. Baju-baju itu adalah untuk anggota-anggota PKR di Cabang Kuala Krau, tetapi memandangkan semangat yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh anggota-anggota baru itu maka saya berlapang dada untuk menghadiahkan baju-baju tersebut. Sdr Bob Manolan akan memasukkan gambar anggota-anggota baru PKR dari ranting tersebut didalam facebooknya dan saya harap rakan-rakan dapat melihat gambar itu didalam fb Bob Manolan. Pada jam 6.30 petang saya dan Kak Hendon terpaksa meninggalkan Majlis itu untuk berkejar ke Masjid, Kg Kuala Triang kerana saya belum lagi mendirikan solat Asar pada waktu itu. Sampai di Masjid jam 6.45 petang, saya sempat mengerjakan Asar walaupun sudah lewat sedikit. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan