Rabu, 19 September 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Rundingan Untuk Ambilalih Operasi Air Dalam Tempoh Tujuh Hari

Posted: 19 Sep 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM, 19 SEPT : Kerajaan Negeri akan memulakan proses penstrukturan semula industri air Selangor dan mengambilalih operasi air terawat dalam tempoh tujuh hari.

Proses ini termasuk memulakan rundingan dengan syarikat konsensi seperti Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk membeli balik saham di dalam syarikat tersebut.

Justeru itu, Kerajaan Pusat diberikan tempoh tujuh hari untuk mengemukan bantahan terhadap proses itu.

Sekiranya Kerajaan Pusat tidak membuat apa-apa bantahan, Kerajaan Negeri akan memulakan proses penstrukturan semula, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada kerajaan pusat menerusi surat rasmi kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Sept.

"Dalam surat ini, saya telah nyatakan kekecewaan kerajaan Selangor dengan sikap kerajaan Pusat yang tidak pernah menyokong dan membantu memulakan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi

Walaupun peruntukan itu jelas dinyatakan di bawah Akta Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA).

"Saya juga menyatakan keengganan Menteri dan kementeriannya untuk memulakan rundingan menunjukkan Kerajaan Pusat memang sengaja mahu mengingkari tanggungjawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) WSIA," kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat exco di sini hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga komited bahawa penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasabah.

Sumber: Selangorku

Kerajaan Perlu Nilai Semula Mahu Mansuh Kelas Peralihan

Posted: 19 Sep 2012 01:30 AM PDT

SHAH ALAM,19 SEPT : Kementerian Pendidikan didesak untuk membuat penilaian semula terhadap cadangan memansuhkan kelas peralihan di dalam sekolah menengah.

Exco Kanan Selangor Teresa Kok berkata kelas peralihan ini adalah untuk memastikan pelajar daripada sekolah rendah jenis kebangsaan dapat menyesuaikan diri apabila melangkah ke peringkat awal menengah.

Cadangan tersebut terkandung di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Kebangsaan 2013- 2025 yang dibentangkan Kementerian Pelajaran baru-baru ini.

Kementerian tersebut mencadangkan agar murid darjah empat di sekolah jenis Cina dan Tamil mempelajari silibus pelajaran yang sama dengan Sekolah Kebangsaan.

"Cadangan ini pastinya tidak rasional dan akan membebankan pelajar yang berumur 10 tahun untuk menguasai tiga jenis bahasa dengan baik dalam satu-satu masa," kata Teresa di dalam satu kenyataan media.

Ujar beliau lagi,masalah akan timbul untuk melaksanakan dasar ini kerana ianya akan memerlukan lebih banyak guru dan akan berlaku kekurangan waktu pelajaran di kelas.

"Ia tidak dapat diterima bahawa Kementerian Pelajaran terus selalu membuat perubahan dasar, dan lebih teruk lagi, polisi itu sering bertentangan antara satu sama lain," katanya.

Tambah Teresa, para guru dan pelajar akan terus dalam keadaan keliru dan ketidaktentuaan apabila perubahan mendadak dilakukan dalam sistem pendidikan negara.

"Kementerian Pelajaran digesa untuk memberikan tumpuan kepada isu keciciran pelajar yang tinggi di sekolah menengah rendah terutama di sekolah-sekolah yang Bahasa Melayu bukan sebagai bahasa penghantar utama," katanya.

Sumber: Selangorku

MPK Akan Terus Serbu Rumah Urut Tanpa Beri Notis

Posted: 18 Sep 2012 02:00 AM PDT

KLANG, 19 SEPT : Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan membuat serbuan tanpa notis pemberitahuan terhadap premis rumah urut yang melanggar peraturan.

Ahli Majlis MPK, Azmizam Zaman Huri berkata, perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Penuh MPK memandangkan kebanyakkan premis yang beroperasi kini gagal mengikut syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perlesenan.

Sebagai contoh katanya, terdapat premis yang memohon lesen perniagaan refleksologi tetapi menjalankan kegiatan urut badan.

Sebelum ini katanya, notis akan dihantar dan premis tersebut diberikan tempoh 14 hari untuk menurunkan papan tanda dan menutup operasi mereka. Namun notis tersebut tidak diendahkan.

"MPK menghantar notis kedua juga tidak diendahkan. Maka, mulai hari ini MPK akan terus lakukan operasi tanpa beri notis.

Antara kesalahan yang dilakukakan adalah papan tanda besar yang tidak mempunyai lesen iklan dan tidak ada lesen perniagaan," katanya apabila ditemui dalam operasi hari ini Taman Botani, Bukit Tinggi.

MPK menurunkan papan tanda premis refleksologi yang tidak mengikut spesifikasi yang dtetapkan pihak PBT.

Operasi ini juga melibatkan premis tidak berlesen yang masih beroperasi sedangkan sebelum ini mereka telah diberikan surat supaya menghentikan perniagaan.

Dalam operasi hari ini, MPK menyita peralatan premis Winter Refleksologi yang sebelum ini pernah diserbu sebanyak lima kali.

Jelas Azmiam, kerajaan negeri sedang mengkaji undang-undang yang sesuai bagi membendung kegiatan haram ini.

"SUK sedang mengkaji undang-undang dan mengambil tidakan terhadap tuan punya premis yang menyewakan kedai mereka kepada pengusaha rumah urut.

Sekiranya mereka tidak mahu menghentikan operasi, premis berkenaan akan dirampas," ujarnya.

Tegas beliau, pihak MPK tidak pernah meluluskan mana-mana lesen rumah urut sejak tahun 2008 dan pihaknya masih lagi memantau beberapa premis di kawasan Bukit Tinggi, Meru dan Bayu Perdana yang beroperasi secara tidak sah sebelum tindakan tegas bakal diambil.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: