Selasa, 25 September 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Reformasi Ekonomi untuk Malaysia

Posted: 25 Sep 2012 04:41 AM PDT

Petang tadi di Kelab Diraja Selangor — di hadapan lebih 350 tetamu — terdiri daripada tokoh korporat dan elit perniagaan negara, saya mengulangi keyakinan bahawa Agenda Ekonomi Malaysia merupakan model ekonomi masa depan untuk negara ini. Hari ini, pemerintah UMNO-BN mewarisi amalan ekonomi lapuk yang parah dengan amalan kronisme, nepotisme dan rasuah yang membarah. Kebejatan ini harus dihentikan, bukan dengan retorik transformasi, tetapi dengan reformasi ekonomi yang konsisten.

Reformasi ekonomi yang ditawarkan Pakatan Rakyat bukan hanya berkisar soal menggantikan rejim lama dengan pemerintahan baru, tetapi adalah satu suntikan kebangkitan baru kepada sektor ekonomi negara. Saya ulangi iltizam untuk memerangi rasuah, kronisme dan nepotisme dan dalam masa sama memastikan pengagihan semula kekayaan secara adil, seimbang dan sama rata untuk semua rakyat. Pemerintah yang tidak mampu untuk membela golongan miskin dan tertindas, tiada guna dipertahankan lagi.

Dasar afirmatif yang ditawarkan juga tak harus lagi berdasarkan merit kaum semata-mata apatah lagi tatkala yang memanfaat itu adalah mereka yang rapat dengan elit pemerintah. Sudah tiba masanya kita kembali kepada matlamat asal untuk membantu mereka yang benar–benar memerlukan dan layak.

Sistem tender terbuka yang diamalkan di negeri–negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat — seperti di dalam pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor dan Saudara Lim Guan Eng di Pulau Pinang — tak hanya memastikan perjalanan proses lebih telus dan adil, tetapi juga mampu mengurangkan kos projek lantas merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan. Ini adalah bukti kejayaan Pakatan Rakyat dalam mentadbir negeri secara adil, telus dan wibawa.

Saya sekali lagi mengulangi tekad bahawa Pakatan Rakyat komited dalam usaha memerangi rasuah dan ketidakadilan, kerana demi rakyat, Reformasi akan kita laksanakan tatkala Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya kelak.

ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan: