The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Beginilah setiap tahun Hari Raya.. Posted: 23 Aug 2012 05:50 PM PDT Setiap tahun menyambut Hari Raya Aidilfitri saya akan sempurnakan semacam satu jadual yang telah disetujui oleh keluarga saya. Selepas solat Raya, saya akan berada di rumah untuk menunggu kehadiran anak-anak saudara dan cucu-cucu berhariraya. Hampir ratusan mereka sampai di rumah. Keluarga dan sanak saudara saya sangatlah besar di Temerloh ini, hampir beberapa Mukim di Temerloh ini adalah saudara mara saya, pupu-pupu (sepupu) dari keluarga ayah dan emak bertaburan di Temerloh ini. Selepas jam 8.00 malam di Hari Raya Pertama, saya akan menziarahi adik saya dan keluarganya di Kg Batu 4, dan menghabiskan masa di sana, makan nasi bersama dan selepas itu berbual-bual tentang hal keluarga. Jam 11.00 malam, kami sekeluarga pulang ke rumah. Pada hari Raya Kedua, saya ziarahi rumah Abang Tua saya di Kampong Lubok Kawah, Temerloh. Abang Tua saya sudah tiada, sudah lama meninggalkan kami, tetapi anak-anaknya dan cucu-cucunya begitu ramai, kami habiskan masa kerana bukan senang nak jumpa dengan anak-anak saudara dan cucu-cucu kepada Abang Tua saya. Selepas beraya di Rumah Abang Tua, saya pergi ke rumah Naz, iaitu anak kedua kepada Abang Din saya, di Kg Bukit Tingkat, Temerloh. Suami Naz bertugas di Shah Alam, Selangor dan Naz bertugas sebagai seorang Guru. Selepas itu akan menziarahi rumah saudara mara yang lain. Pada Hari Raya Ketiga, saya dan keluarga beraya pula di Melaka, ke rumah Kak Jam, Abang Mail, Abang Khalil dan Abang Yusof di Merlimau, Melaka. Kami habiskan beraya di Melaka hingga ke Hari Raya Kelima. Di Hari Raya Ke Lima itu, kami sekeluarga akan menziarahi pula keluarga Kak Bibab di Bangi. Suaminya, Dato Dr Nik Rashid Ismail sudah beberapa tahun meninggalkan kami. Setelah itu kami pergi pula ke Pekan Hulu Langat di Kg Melaka ke rumah Abang Mat, Abang tertua kepada Kak Hendon. Semuanya ada di sana, Abang Ibrahim dan anak-anak serta cucu-cucunya juga ada disana. Abang Ibrahim adalah Abang Ke-3 Kak Hendon. Hampir 5.30 petang, saya dan keluarga pergi pula ke Meru ke rumah adik saya, Jaenah Said. Makan malam disana, dan setelah menghampiri jam 10.00 malam, kami bertolak ke rumah adik saya Dr Nasta Mimi di Taman Permata, KL, dan oleh kerana kesuntukan masa, saya pinta adik saya yang seorang lagi, Suzelan Amir, dan keluarganya datang beraya di Rumah Mimi. Jam hampir 12.00 tengah malam kami meninggalkan rumah Mimi untuk bertemu dengan Sdr Rebin Birham di Stesyen Minyak Petronas berdekatan untuk mengambil banner dan berbincang seketika mengenai program-program Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR semasa bulan Syawal ini termasuklah Rumah Terbuka di Kuala Krau, Rumah Terbuka di Palong, dan Rumah Terbuka di Felda Sg Tengi. Dan menetapkan tarikh mesyuarat JK Biro yang kami setujui diadakan bersamaan Rumah Terbuka di Palong, NS. Dalam jam 12.30 malam, saya dan keluarga bertolak ke Temerloh, dan hampir jam 2.30 pagi sampai di Rumah kami. Hari ini Helena dan saya akan buat pemeriksaan doktor di Klinik Dr Chan, doktor pakar di Mentakab, dan jam 4.00 petang nanti, saya akan berhari raya di Rumah Sdr Ramli Lin, Felda Jengka 24. Pada 25hb Ogos 2012, Mesyuarat Jawatankuasa PKR Kuala Krau dan pada 26hb Ogos 2012, mesyuarat yang dianjurkan oleh PKR Cabang Raub bersama-sama dengan parti-parti komponen PR di Raub. Sekian, terima kasih. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan