Rabu, 15 Ogos 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Selangor Akan Maklum Status Bekalan Air Setiap Hari

Posted: 15 Aug 2012 02:31 AM PDT

SHAH ALAM: Jawatankuasa Pemantauan Syabas yang ditubuhkan Kerajaan Selangor akan mengeluarkan kenyataan akhbar setiap hari selepas selesai mengadakan mesyuarat harian dengan pengurusan syarikat air itu.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, langkah ini bertujuan memaklumkan perkembangan terkini tentang status pembekalan dan perkhidmatan air kepada seluruh rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Cara ini juga membuktikan Kerajaan Selangor sangat telus dalam menangani isu pembekalan air demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan setimpal dengan kadar tarif air yang dibayar.

"Kerajaan Selangor komited untuk mengambil alih syarikat konsesi menerusi kaedah penyusunan semula yang merupakan jalan terbaik untuk menguruskan industri perkhidmatan air di Selangor dan Lembah Klang," katanya.

Jawatankuasa itu diketuai Datuk Khusrin Munawi dan turut dianggotai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS), dan telah menjalankan pemantauan terhadap operasi SYABAS bermula 18 Julai lalu.

Sebelum ini pemantauan jawatankuasa ini mendapati Syabas 'beroperasi di bawah keupayaan'.


Sumber: Harakahdaily

Perutusan Salam Aidilfitri Daripada YB Dr Xavier Jayakumar

Posted: 14 Aug 2012 11:18 PM PDT

Salam sejahtera saya ucapkan kepada semua umat Islam terutamanya rakyat di negeri Selangor.

Setelah sebulan berpuasa, Aidilfitri yang ditunggu-tunggu menjelang tiba.

Seperti setiap kali munculnya musim perayaan, kita pasti sibuk membuat persiapan bagi meraikannya. Saya ingin mengingatkan, dalam membuat persiapan ini, terapkanlah sifat berjimat cermat dan amalan bersederhana dalam berbelanja.

Saya juga ingin menyeru kepada semua masyarakat berbilang kaum di negeri Selangor ini terutamanya untuk memanfaatkan musim perayaan ini untuk memupuk kesefahaman dan perpaduan melalui amalan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain.

Kepada mereka yang akan membuat perjalanan pulang ke kampung, pandulah dengan berhati-hati, ingatlah keluarga yang tersayang dan semoga anda selamat tiba dan selamat pulang kembali.

Dengan ini saya dan rakan-rakan pimpinan Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat dan kakitangan Pejabat DUN Seri Andalas serta keluarga mengucapkan kepada semua umat Islam, Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, semoga Aidilfitri ini diraikan dengan penuh kegembiraan.


YB Dr Xavier Jayakumar
EXCO Kerajaan Negeri Selangor
ADUN Seri Andalas

Tiada ulasan: