Selasa, 14 Ogos 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Sumbangan Kurma dan Minuman Serta Ziarah Warga Emas di Sungai Kandis

Posted: 14 Aug 2012 10:46 PM PDT

Pada 13 Ogos yang lalu, Dr Xavier Jayakumar, ADUN Seri Andalas telah turun padang untuk program mengagihkan sumbangan kurma dan minuman kepada orang ramai di sebuah surau di Sungai Kandis.

Program tersebut telah dianjurkan oleh Encik Abdul Manaf, Ahli Majlis MBSA.

Setelah selesai program tersebut, YB Dr Xavier kemudiannya melakukan program ziarah tiga keluarga warga emas di dalam kawasan Sungai Kandis dan menyampaikan sedikit bantuan.










Syabas Enggan Kerjasama Tubuh Audit Bebas

Posted: 14 Aug 2012 10:00 PM PDT

PETALING JAYA 14 OGOS : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dilihat tidak berminat untuk bekerjasama dalam penubuhan audit bebas bagi mengkaji data-data terperinci untuk diberitahu umum berhubung masalah bekalan air di negeri itu.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Syabas tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung cadangan daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid itu.

Katanya, sebelum ini, Kerajaan Negeri sudah memaklumkan beberapa syarikat yang layak untuk dipertanggungjawab menjadi audit bebas.

Beliau berkata cadangan itu sudah dimaklumkan kepada Syabas sebulan yang lalu, bagaimanapun, tiada kerjasama dari pihak Syabas.

"Ia perlu dilaksanakan segera agar rakyat tidak keliru dengan perbezaan kajian yang dibuat.

"Data-data syarikat-syarikat konsesi perlu diaudit kerana ia berbeza-beza. Jadi kena perlu penjelasan.
Bukan sahaja mengenai statistik tetapi juga dari segi kewangan supaya kita dapat satu gambaran perlaksanaan penyelesaian akan datang.

"Kita harap pihak berkenaan mengakui cadangan dan kerjasama dalam usaha ini kerana data-data yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) diperolehi daripada syarikat konsesi, Syabas . Jelas beliau di Majlis Dialog Air Selangor di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya.


Sumber: Selangorku

Selamatkan Air Yang Tidak Berhasil Sebelum Buat Langat 2

Posted: 14 Aug 2012 09:30 PM PDT

PETALING JAYA, 14 OGOS : Dana berbilion ringgit yang akan digunakan untuk membina projek Langat 2 harusnya digunakan untuk membaiki sistem agih air Selangor supaya air terawat yang dibazirkan setiap hari dapat diselamatkan.

Ini kerana air yang dicuri atau hilang akibat paip yang bocor, atau dikenali sebagai NRW lebih 30 peratus dari jumlah keseluruhan air terawat yang diedarkan di Selangor.

Cadangan itu disuarakan oleh Abdullah Mohamad, seorang peserta awam pada Majlis Dialog Air Selangor 2012 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Di laporkan sebelum ini, Kerajaan Pusat ingin meneruskan projek Langat 2 yang akan menelan belanja RM 6 bilion bagi memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor.

Masalah dihadapi di logi seperti paip lama yang rosak dan sebagainya, saya rasa perlu dibaiki segera supaya masalah yang timbul dapat diatasi segera.

"Untuk tujuan itu peruntukan bagi projek Langat 2 boleh digunakan bagi kerja baik pulih.

Cara ini lebih bagus. Lagi satu jika kita menghadapi masalah bekalan air terawat maka ia bukan masalah di empangan tetapi masalah Syabas yang gagal membekalkan air kepada pengguna.

Syabas seharusnya berusaha meningkatkan bekalan air untuk disalurkan kepada semua pengguna dan bukannya memikirkan untuk melaksanakan projek Langat 2," katanya.

Majlis tersebut dipengerusikan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Ia turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Teo Yen Hua.

Bagi Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat, isu utama yang perlu diberikan keutamaan ialah bekalan air mencukupi bgi kegunaan orang ramai.

"Isunya di sini pengguna perlukan air dan pihak berkuasa perlu menyalurkan air mengikut kapasiti ditetapkan. Perancangan mesti dilakukan supaya tidak timbul masalah bekalan air.

"Usaha perlu dilakukan bagi meningkat bekalan air di empangan agar proses air terawat dapat dijalankan tanpa sebarang masalah," katanya.

Sumber: Selangorku

Projek Mitigasi 1 Dan 2 Mampu Selesai Krisis Air Selangor

Posted: 14 Aug 2012 09:00 PM PDT

PETALING JAYA 14 OGOS : Kerajaan Negeri Selangor menyangkal dakwaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung pembinaan loji Langat 2 yang dikatakan mampu menyelesaikan krisis air di Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata krisis air di negeri itu mampu diselesaikan apabila projek mitigasi 1 dan projek mitigasi 2 yang melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan LRA Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3) disiapkan.

Katanya, kedua-dua projek mitigasi itu mampu mengeluarkan air terawat sebanyak lebih 600 juta liter sehari (JLH).

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri juga akan menggunakan semula Loji Air Bukit Jelutong sebagai langkah alternatif untuk meningkatkan kapasiti air sebanyak 50 JLD untuk kegunaan pengguna di Selangor.

Xavier turut menegaskan, krisis kekurangan air untuk Selangor sebenarnya tidak berlaku seperti didakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Pusat.

"Projek mitigasi Fasa 1 sedang dijalankan dan daripada projek itu, air terawat dapat disalurkan kepada penduduk di bahagian Selatan Selangor.

"Manakala projek mitigasi 2 iaitu SSP 1 dan SSP 3, sedang dalam proses mendapatkan konsultan, tender sudah dikeluarkan. UPEN (Unit Perancangan Ekonomi Negeri) memaklumkan, projek mitigasi 2 akan disiapkan Mac 2013 atau selewat-lewatnya Jun 2013," katanya selepas Dialog Air Selangor 2012 di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya di sini.

Xavier menambah satu pelan tindakan akan dibuat selepas 2015 bagi memastikan pengeluaran air terawat dapat dikeluarkan secara berterusan kepada pengguna.

"Jika Projek Mitigasi yang dirancang ini dilaksanakan maka tidak akan ada krisis air walaupun pada 2015," katanya.

Dalam Dialog itu, Pengarah Eksekutif Jabatan Kawal Selia Air Span, Marzuki Mohammad memberitahu margin rizab simpanan air berkurangan sehingga kurang dua peratus pada masa kini.

Katanya, jumlah itu mengalami penurunan daripada tahun 2009 sebanyak 9.3 peratus, 2010 sebanyak 6.19 peratus, 2011 sebanyak 4.2 peratus dan sehingga kini kepada kurang dua peratus.

Justeru, katanya, pembinaan projek Langat 2 perlu dilaksanakan dengan segera.

Bagaimanapun, beliau mengakui simpanan air masa kini mencecah sebanyak 100 peratus dan masalah di beberapa kawasan yang mengalami gangguan air dapat diselesaikan.

Beliau berkata masalah gangguan bekalan air itu terganggu akibat corak penggunaan air pada musim panas serta hujan.


Sumber: Selangorku

Exco: SPAN, Upen Setuju Struktur Semula Bekalan Air

Posted: 14 Aug 2012 02:00 AM PDT

Exco kerajaan negeri Dr Xavier Jayakumar berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (Upen) mempersetujui rancangan Selangor untuk menstruktur semula bekalan air di negeri itu.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai hasil daripada program Dialog Air Selangor 2012 di Dewan Sivik Petaling Jaya hari ini.


Sumber: Malaysiakini

Dokumen Saman Syabas Siap Selepas Aidilfitri

Posted: 13 Aug 2012 03:00 AM PDT

SHAH ALAM, 13 OGOS : Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP) tetap akan meneruskan tindakan saman terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Berhad (Syabas) yang sehingga kini masih belum menjawab tujuh soalan tentang status industri air Selangor.

Pengerusinya, Charles Santiago berkata, tindakan saman ini tetap diteruskan meskipun Kerajaan Pusat bersetuju memberi laluan kepada Kerajaan Negeri untuk menstruktur semula industri air Selangor.

Saman ini diteruskan kerana Syabas bulan lalu mendakwa akan 'berlaku krisis air' di Selangor, kata Charles.

"Sepatutnya Rabu ini (15 Ogos) kami akan mengemukakan tuntutan saman.

"Tapi pihak peguam memaklumkan beliau masih lagi dalam proses menyediakan dokumen. Kita akan failkan selepas Aidilfitri," katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Sebelum ini, CAWP bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menghantar memorandum kepada Syabas bagi menjawab tujuh persoalan berhubung krisis air yang didakwa akan berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketujuh-tujuh isu itu ialah :

1) pengaliran air mentah dari empangan dan stesen pengepaman ke dalam loji rawatan,

2) bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke loji rawatan masing-masing bagi tempoh yang sama,

3) bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke sistem pengagihan kepada pengguna melalui Syabas,

4) buku log dan meter tentukur yang disahkan,

5) bil-bil elektrik dari 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini,

6) penggunaan kimia bagi tempoh yang sama dan

7) bil pembayaran Puncak Niaga Sdn Bhd kepada Syabas untuk air yang dijual bagi tempoh yang sama.

Syabas adalah syarikat swasta yang dilantik bagi merawat air mentah di Selangor dan mengagihkannya kepada pengguna.

Oleh kerana tidak berpuashati dengan cara pengurusan Syabas, Kerajaan Negeri telah diberi laluan untuk mengambilalih operasi syarikat itu.

Sumber: Selangorku

MB: Abbas Tidak Pernah Di Arah Kurangkan Pengeluaran Air Terawat

Posted: 13 Aug 2012 02:30 AM PDT

SHAH ALAM 13 OGOS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak dakwaan kononnya Kerajaan Negeri mengarahkan Konsortium Abbas Sdn. Bhd. (Abbas) untuk mengurangkan pengeluaran air terawat di negeri ini.

Diminta mengulas kenyataan yang dibuat Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed, beliau berkata dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

"Kita sama sekali tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menyekat pengeluaran air terawat.

"Rasanya lebih elok di bulan Ramadhan ini kita jangan buat fitnah kerana hanya akan mengurangkan pahala sahaja," sindir Abdul Khalid sewaktu sidang media di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Bukit Jelutong Lebuhraya Guthrie pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi yang juga mengetuai jawatankuasa air bagi memantau operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) turut menafikan perkara itu.

"Tidak ada arahan untuk tujuan itu, sama sekali tidak benar," ujarnya ringkas.

Dua hari lalu, Mohd Zin mendakwa tindakan Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) mengarahkan Abbas mengurangkan pengeluaran air terawat menyebabkan berlakunya krisis air di kawasan Kajang dan Balakong.

Sumber: Selangorku

PKR Sedia 40,000 Pelekat 'Turunkan Harga Kereta'

Posted: 13 Aug 2012 02:00 AM PDT

PKR meneruskan kempen menurunkan harga kereta dengan mengedar pelekat kenderaan kepada pengguna jalan raya yang pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata sebanyak 40,000 pelekat itu telah siap dicetak dan bakal diedar pada pengguna jalan raya dalam kempen itu.

Katanya, pelekat dengan slogan "Turunkan Harga Kereta" itu akan diedarkan oleh pemimpin PKR Selangor dan Wilayah Persekutuan di tiga pintu keluar utama di ibu negara - plaza tol Sungai Besi, Gombak dan Jalan Duta.

"Kita berharap apabila kita mengagih-agihkan kepada orang yang pulang ke kampung. Mungkin cuti hari raya ini, kempen turun harga kereta ini tersebar ke seluruh negara," katanya kepada Malaysiaini hari ini.

Katanya, beliau sendiri akan melancarkan kempen tersebut bersama ADUN Pantai Jerejak Sim Tze Sin pada Rabu ini di ibu pejabat PKR.

Pada majlis pelancaran itu, mereka akan meletakkan pelekat tersebut pada sebuah "kereta maskot" model Proton Tiara berusia 15 tahun sebagai satu gimik kempen, tambahnya.

"Kita juga melancarkan kereta (maskot) kempen ini. Kita juga akan gunakan untuk turun bersama-sama ke kawasan tertentu untuk mengedar risalah dan pelekat itu," katanya.

Rafizi berkata kereta itu masih berada di dalam bengkel untuk proses mengecat dan baik pulih dan dijangka siap Rabu ini.

Pakatan Rakyat sebelum ini mengumumkan bahawa rancangan untuk menurunkan harga kereta itu akan dijadikan sebahagian daripada manifesto gabungan itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Rancangan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin antara lain mendakwa ia akan memberi kesan negatif kepada pembuat kereta nasional Proton dan juga pendapatan kerajaan.

Sumber: Malaysiakini

Selangor Guna Kaedah Psikologi Kurangkan Kemalangan Jalan Raya

Posted: 13 Aug 2012 01:30 AM PDT

SHAH ALAM 13 OGOS : Kerajaan Selangor akan menaja satu kajian psikologi bagi mengurangkan kemalangan jalan raya di Malaysia.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana khas dan akan melantik badan bagi mejalankan kajian tersebut.

Menurut Abdul Khalid, kajian tersebut penting bagi menentukan bagaimana kaedah psikologi dapat mampu membantu mengurangkan kejadian kemalangan yang saban tahun meningkat.

"Contohnya sekarang pusat membeli belah juga menggunakan kaedah psikologi muzik di mana mereka akan memasang lagu yang membuat pengunjung gembira dan senang hati untuk membeli.

"Kita boleh mengambil pendekatan sama juga seperti menggunakan muzik yang mampu menenangkan pemandu dan mendorongnya untuk lebih tenang dan bersabar di jalan raya," jelas beliau sambil menambah dana yang akan diperuntukkan adalah sekitar RM 30,000.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya yang diadakan di Plaza Tol Bukit Jelutong, Lebuhraya Guthrie ke arah Shah Alam pagi tadi.

Sejurus selesai melancarkan kempen, Menteri Besar turut berkesempatan menyampaikan pek "Kit Balik Raya" kepada para pengguna lebuhraya yang antara lain berisi Edisi Khas Balik Kampung Selangor Kini.

Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi, Ketua Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Kempen yang diadakan sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor ini turut mendapat kerjasama SUK Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKJR) Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.

Agensi yang turut terlibat adalah Prolintas, Nestle (Malaysia) Berhad, Kumpulan Media Karangkraf dan Telekom Malaysia.


Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: