PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
- Majlis Iftar MPN Negeri Sembilan
- Salam Aidilfitri 1433H oleh Pengerusi KEADILAN NS
- Pakatan Pulau Pinang tabur kebajikan, BN semarak sentimen kaum, agama
- Cetus ketegangan kaum, Pakatan tolak filem Tanda Putera
- Negeri Pakatan sebulat suara guna ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’
- Kempen ‘Saya Pilih Mengundi’ mesej k’jaan ajak rakyat undi BN
- Lagi pemimpin Sabah keluar BN, sertai APS
- Anwar ahli politik pertama Malaysia terokai Google Hangout
- DAP: Dokumen tunjuk Noh Omar terlibat projek udang
Majlis Iftar MPN Negeri Sembilan Posted: 08 Aug 2012 02:52 AM PDT |
Salam Aidilfitri 1433H oleh Pengerusi KEADILAN NS Posted: 08 Aug 2012 02:27 AM PDT Dalam tempoh 2 minggu lagi kita akan menyambut Aidilfitri, namun masa berbaki 2 minggu dalam Ramadhan harus kita lebih mempertingkatkan amal ibadah di bulan yang mulia ini. Ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dalam Ramadhan wajar direbut oleh seluruh ummat Islam. Perjuangan kebenaran dan keadilan seharusnya lebih diperkukuh sepanjang kita menjalani ibadah puasa Ramadhan. Kita doakan bersama agar keluarnya kita daripada Ramadhan dengan semangat kefahaman agama yang lebih jitu dan kukuh. Carilah malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Mudah-mudahan amal ibadah kita di bulan Ramadhan diterima oleh Allah SWT dan dimurahkan rezeki buat kita semua dengan panduan & hidayahNya. Banyakkan kerja-kerja amal & kebajikan membantu sahabat-handai, jiran-tetangga, saudara-mara, orang miskin, anak yatim dan golongan yang memerlukan dalam bulan Ramadhan ini dan diteruskan dalam bulan-bulan yang lain. Kamarul Baharin Abbas MP Telok Kemang Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan |
Pakatan Pulau Pinang tabur kebajikan, BN semarak sentimen kaum, agama Posted: 08 Aug 2012 02:24 AM PDT BN telah menimbulkan perasaan benci dan permusuhan di kalangan rakyat Pulau Pinang dengan permainan politik perkauman ekstremis yang menyemarakkan sentimen perkauman dan agama. BN menuduh PR anti-Islam walaupun peruntukan hal ehwal Islam ditambah berlipat ganda berbanding dengan kerajaan dahulu dan juga bahawa PR anti-bukan Islam bila hanya di bawah kuasa BN, kuil Hindu atau tokong Cina dirobohkan. Kini disusuli dengan fitnah terhadap dasar kerajaan negeri dan juga serangan peribadi ke atas pemimpin PR dan juga ahli keluarga mereka. Bukan sahaja Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli keluarganya termasuk anak 15 tahun difitnah malah keselamatan peribadi Ketua Menteri juga terancam tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang bertanggungjawab. Terbaru muncul pula serangan peribadi Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow terhadap Ketua Menteri, Ahli-ahli EXCO Chow Kon Yeow, Wong Hon Wai, Phee Boon Poh, Danny Law dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Ng Wei Aik dituduh mempunyai kepentingan peribadi kerana mempertahankan keputusan kerajaan negeri membina hospital di Jalan Zainal Abidin. Kita mencabar Teng menunjukkan bukti dan beliau tidak boleh bertindak macam budak-budak yang baling batu sembunyi tangan, Fitnah sebegini adalah satu perbuatan jahat,tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral kerana pemimpin PR tidak ada kepentingan peribadi dalam hospital tersebut dan meluluskannya semata-mata mahu mengembangkan industri pelancongan perubatan di Pulau Pinang. Dalam isu ini Teng juga membuat fitnah lain bahawa:- - Lesen hospital swasta penuh telah diluluskan kepada pemohon di Jalan Zainal Abidin sebenarnya hanya surat tanpa halangan diterima pada 12.7.2012 dan bukanlah lesen. - Bangunan 30 tingkat diluluskan sebaliknya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) tidak pernah meluluskannya - Kerajaan BN memperuntukkan tapak Jalan Zainal Abidin seluas 0.4 hektar untuk perumahan padahal tidak ada suatu pengumuman dalam suratkhabar oleh kerajaan BN sebelum ini. Sebaliknya kerajaan PR memperuntukkan tanah lebih luas sebanyak 4.2 hektar di Jalan S.P. Chelliah iaitu hampir 10 kali ganda lebih besar untuk perumahan mampu milik. Sebelum ini Teng membuat fitnah bahawa kerajaan negeri akan membantah pengswastaan Pelabuhan Pulau Pinang tetapi projek masih ingin diteruskan. Teng juga berjanji lesen penjaja dimansuhkan tetapi hakikatnya BN tak pernah kurangkan satu sen semasa berkuasa berbanding dengan pengurangan 50% lesen penjaja di bawah PR. Malah pemansuhan lesen penjaja tidak pun dilaksanakan baik dalam negeri di bawah pemerintahan BN mahupun oleh kerajaan persekutuan. Mengapa pula Teng tidak pula mencadangkan cukai individu dihapuskan sama sekali. Yang lebih memalukan adalah kenyataan bahawa kerajaan negeri boleh membatalkan projek bukit yang diluluskan kerajaan negeri dan beliau bersedia melihat Pulau Pinang jadi bankrap semata-mata untuk memelihara bukit dan alam sekitar. Adakah BN mahu paksa PR bankrapkan negeri Pulau Pinang sekiranya BN tidak berupaya menang balik Pulau Pinang dengan fitnah, politik ekstremis kaum dan agama? Sehingga kini Teng bersikap mengelak,membisu dan enggan menjawab skendal keuntungan besar 2 pemimpin tertinggi UMNO Pulau Pinang sebanyak RM5 juta hasil penjualan 10 ekar tanah milikan 31 tuanpunya Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau. Biasanya komisen tanah broker adalah 2% tetapi telah jadi 57% dalam kes ini. Keuntungan RM 5 juta dalam 3 bulan setengah mempertikaikan kesungguhan BN membela rakyat bila pemimpin UMNO lebih berminat untung besar atas jadi broker penjualan tanah orang kampung Melayu. *** Kenyataan Akhbar Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dato Mansor Othman Di Komtar, George Town Pada 7.8.2012. |
Cetus ketegangan kaum, Pakatan tolak filem Tanda Putera Posted: 08 Aug 2012 02:21 AM PDT dipetik daripada Keadilan Daily (Oleh Mohd Martin Kahar) KUALA LUMPUR 8 Ogos: Pakatan Rakyat (Pakatan) sebulat suara menolak filem Tanda Putera yang bakal ditayangkan pada 13 September ini. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, penolakan itu disebabkan filem tersebut bakal menyemarakkan api perkauman di negara ini. "Filem ini tiada usaha untuk menyatukan rakyat (berbilang bangsa)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya semalam. Hadir sama, Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah; Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Anthony Loke dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad. Justeru Mustafa mendesak kerajaan menayangkan keseluruhan filem itu kepada Pakatan Rakyat untuk dikaji sebelum ditayangkan kepada umum. Filem ini bakal mencetuskan kontroversi kerana memaparkan tragedi 13 Mei 1969. Tanda Putera memfokuskan tentang kepimpinan Perdana Menteri kedua, Tun Razak Hussein dan Timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman. Difahamkan, filem arahan Datuk Shuhaimi Baba itu turut memuatkan adegan pemimpin popular DAP, Lim Kit Siang kencing di bawah tiang bendera Selangor pada ketika itu. Bagaimanapun perkara itu dinafikan Kit Siang dan berkata, beliau berada di luar Kuala Lumpur. Sementara itu, Anthony menyatakan Umno BN menggunakan skrip lama untuk memburuk-burukkan DAP bertujuan menakut-nakutkan pengundi Melayu. "Mereka berharap tindakan tersebut akan memberi kesan undi kepada PAS dan KEADILAN kerana pengundi Melayu akan beralih kepada mereka," katanya. Menurut beliau, bagi mengatasi tohmahan tidak berasas itu, Pakatan akan terus menfokuskan agenda rakyat yang dipersetujui bersama. "Apa yang kita harapkan nanti, rakyat akan tertumpu kepada agenda yang kita akan bawa untuk kebaikan seluruh rakyat," katanya. |
Negeri Pakatan sebulat suara guna ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ Posted: 08 Aug 2012 02:19 AM PDT KUALA LUMPUR 8 Ogos: Kesemua empat negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) akan menggunakan tema yang sama iaitu 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke 55 pada tahun ini. Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sepakat menggunakan tema tersebut secara bersama dan tidak lagi menggunakan tema pilihan bagi negeri masing-masing sebagaimana yang diputuskan sebelum ini. Menurut beliau, keputusan Pakatan menggunakan tema tersebut kerana menentang tema '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati' yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan. Sebelum ini, Pakatan mendesak Kerajaan Persekutuan menukar tema berkenaan kerana dijadikan kempen Umno BN Mustafa berkata, pemilihan tema oleh Pakatan lebih inklusif, ada semangat kebersamaan, merangkumi sentimen dan jiwa seluruh rakyat Malaysia. Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco petang tadi berkata, Kerajaan Selangor memutuskan untuk menggunakan tema rasmi Pakatan Rakyat itu. |
Kempen ‘Saya Pilih Mengundi’ mesej k’jaan ajak rakyat undi BN Posted: 08 Aug 2012 12:39 AM PDT (Oleh Aisya Geoffrey) Kempen iklan 'Saya Pilih Mengundi' menampilkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan artis tempatan melambangkan begitu terdesaknya Umno BN meraih undi rakyat pada pilihan raya umum nanti, kata Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Sim Tze Tzin. "Iklan itu walau tidak secara langsung berkempen untuk BN, tapi mesejnya jelas, dengan warna biru BN, menggunakan pula Mahathir dan blogger Umno sebagai jurucakap, mengajak rakyat untuk mengundi BN," katanya ketika dihubungi. "Ini menandakan BN makin terdesak, sampai terpaksa buat iklan yang menelan jutaan ringgit untuk berkempen. Persoalannya dari mana datang duit untuk buat iklan itu?" tegas beliau. Bermula bulan lepas, iklan tersebut muncul dalam semua akhbar arus perdana, serta pada waktu perdana di semua saluran televisyen utama. Sim turut mempersoal individu atau organisasi yang bertanggungjawab dalam pembikinan iklan tersebut. "Sampai sekarang tiada siapa mengaku bertanggungjawab atas pembikinan iklan itu, termasuk Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim sendiri," katanya. "Jika benar kerajaan yang bertanggungjawab membuat iklan tersebut, mereka juga boleh dikira telah melanggar undang-undang kerana berkempen sebelum pilihan raya diumumkan," jelas Sim. "Justeru saya menyeru artis dan atlet yang terlibat agar jangan jadi alat Umno untuk berkempen, anda adalah artis Malaysia, bukan artis Umno," katanya. Selain iklan di televisyen, kempen turut berjalan di laman peminta facebook 'Saya Pilih Malaysia' oleh Media Umno Malaysia yang jelas menunjukkan kempen itu ada kaitan dengan kerajaan. Bagaimanapun, kempen iklan itu berakhir dengan 'Saya Pilih Malaysia'. |
Lagi pemimpin Sabah keluar BN, sertai APS Posted: 08 Aug 2012 12:37 AM PDT (Oleh Masdar Wahid) KUALA LUMPUR 8 Ogos: Sokongan rakyat Sabah terhadap Angkatan Perubahan Sabah (APS) pimpinan Datuk Seri Wilfred Bumburing terus menggegarkan politik negeri itu apabila ramai lagi pemimpin BN mengikut jejaknya menyokong Pakatan Rakyat. Terbaru, John Hussein meletak semua jawatan sebagai ahli Parti Bersatu Sabah (PBS-BN) dan ketua kampung bagi kawasan Kiulu dalam Parlimen Tuaran. Menurut beliau, notis 30 hari diserah kepada partinya dan kerajaan negeri sejak 1 Ogos lalu. John turut meletak jawatan Ketua PBS Cawangan Kampung Simpangan Lama dan Naib Pengerusi PBS Bahagian Kiulu dan kini menyertai APS. "Saya bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Wilfred bahawa sistem penyampaian BN gagal memenuhi matlamat yang dikehendaki rakyat. "Sebagai contoh, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu mengambil masa yang sangat lama untuk dilaksanakan dan kini pembinaannya terus terhenti tanpa penjelasan munabasabah," kata John dalam satu kenyataan. Beliau akan bekerjasama dengan dua bekas pemimpin Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Bahagian Tuaran, Lesaya Lopog Sorudim dan Daukim Gilu untuk membentuk dan menggerakkan APS Bahagian Kiulu. Sebelum ini, Naib Presiden Upko yang juga Senator Datuk Maijol Mahap; Pengerusi Tetap, Datuk Herman Tiongsoh serta Ahli Majlis Tertinggi, Denis Gimpah dan Petrus Guriting turut mengisytihar keluar BN bersama Wilfred pada 29 Julai lalu. Wilfred merupakan Ahli Parlimen Tuaran, bekas Timbalan Presiden Upko, Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka dan bekas Pengerusi BN Tuaran. APS adalah pertubuhan bukan kerajaan yang memfokus pengundi Bumiputera Bukan Islam Sabah bagi menyokong Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia. Wilfred memulakan jelajahnya sejak 1 Ogos lalu dengan menggempur Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Parlimen Keningau yang diwakili Presiden PBS, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan. Pairin mewakili kedua-dua kawasan itu sejak 1976 hingga kini dengan beliau ketika ini turut menjawat Timbalan Ketua Menteri Sabah. |
Anwar ahli politik pertama Malaysia terokai Google Hangout Posted: 08 Aug 2012 12:36 AM PDT (Oleh Aisha Geoffrey) KUALA LUMPUR 8 Ogos: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi ahli politik Malaysia yang pertama menjadi tuan rumah kepada Google Hangout selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melalui program 'Borak Bersama Anwar'. Program yang berkonsepkan chat secara langsung di YouTube itu ditetapkan pada 17 Ogos, jam 10.30 malam. Menurut Penyelaras Program Pejabat Ketua Umum itu, Najwan Halimi, program tersebut merupakan sesi untuk Anwar berborak secara santai melalui media sosial, dalam usaha mendekati rakyat terutama anak muda. "Tercetusnyanya idea ini juga kerana kepayahan Anwar untuk mendapat akses kepada media arus perdana, jadi kita ambil jalan alternatif agar beliau dapat berinteraksi bersama golongan muda," jelasnya. "Google Hangout ini merupakan program yang membolehkan Anwar bersama 9 lagi panel beinteraksi melalui Youtube dan disaksikan penonton seluruh dunia," kata Najwan ketika dihubungi. Orang ramai digalakkan untuk menghantar soalan video mereka melalui YouTube dan berkongsi pautan pada facebook atau laman acara Google Plus. Soalan dan nota yang dihantar akan diteliti untuk menentukan topik pada malam itu. Individu yang mengutarakan soalan menarik juga akan dijemput menjadi panel dan bersiaran secara langsung bersama Anwar pada malam itu. Mereka yang berminat boleh menghantar soalan melalui laman acara Google Plus 'Borak bersama Anwar'; laman Youtube 'anwarhangout' atau facebook 'Borak Bersama Anwar'. |
DAP: Dokumen tunjuk Noh Omar terlibat projek udang Posted: 08 Aug 2012 12:34 AM PDT dipetik daripada Malaysiakini.com DAP mendedahkan dokumen yang didakwa membuktikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar terlibat dalam satu perusahaan kolam ternakan udang di Tanjung Karang, Selangor. ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim hari ini menunjukkan satu salinan akuan sumpah bertarikh 11 Januari 2011 dan satu dokumen permohonan kaveat bertarikh sama ke atas tanah yang disewa syarikat itu daripada Noh Omar. "Saya ada dokumen Syarikat Pristine Agrofood yang dalam akuan sumpahnya menyatakan syarikatnya ada usaha sama dengan Noh bin Omar. "Surat kaveat yang saya ada, syarikat ini (juga) bersetuju mengusahakan tanah itu bersama Noh Omar. "Ini (adalah) usaha sama. Beliau tak nafikan akuan sumpah ini," kata Ng selepas mengetuai satu demonstrasi di hadapan tapak projek tersebut pagi ini. Menurut Ng, kaveat berkenaan bertujuan untuk menghalang Noh daripada menjual tanah berkenaan selama perjanjian itu berkuatkuasa. Ng mendakwa surat akuan sumpah yang menyebut "syarikat telah bersetuju mengusahakan hartanah bersama dengan Noh bin Omar...." membuktikan Noh Omar terlibat dalam projek itu lebih daripada sebagai pemilik tanah yang menyewakan tanahnya. "Syarikat tersebut telah bersetuju mengusahakan hartanah bersama dengan Noh bin Omar [nombor kad pengenalan dan alamat disertakan] dengan jaminan harga sekurang-kurangnya RM25,200 sahaja setahun. Sesalinan perjanjian usahasama bertarikh 5 Januari 2011 dilampirkan di sini," surat itu dipetik. Katanya, "usahasama" yang disebut dalam dokumen itu menimbulkan "keraguan yang munasabah" dan definisi istilah itu juga sangat luas. "Jadi kita mahu pihak berkuasa siasat. Sama ada (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak), polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya. Beliau memberi contoh, seorang menteri perumahan boleh membeli rumah tetapi menteri berkenaan tidak boleh terlibat dalam mana-mana syarikat perumahan. Justeru, prinsip yang sama katanya diguna pakai dalam kes projek udang yang membabitkan Noh Omar. "Noh Omar boleh makan udang termasuk otak udangnya tetapi dia tak boleh ternak udang. Ini salah guna kuasa. "Orang yg kononnya nak jadi menteri besar Selangor ini wajib tampil ke depan dan jawab (dakwaan ini)," kata Ng lagi. Pengarah syarikat Pristine Agrofood, Chu Bak Teck ketika dihubungi hari ini menegaskan sekali lagi bahawa Noh Omar hanyalah tuan tanah dan tidak terlibat dalam operasi kolam udang itu. Lindungi kepentingan Chu juga mengakui bahawa beliau menggunakan istilah "usahasama" dalam surat tersebut, namun beliau menjelaskan bahawa tindakan itu hanyalah untuk melindungi kepentingan syarikatnya. "Perjanjian itu sebenarnya satu perjanjian penyewaan, tapi kita tulis seperti satu perjanjian usahasama. Ini untuk melindungi kedua-dua pihak. "Kita mahu ikat Noh Omar (kiri), supaya dia tidak jual tanah ini dan menyebabkan kerugian kepada kita," katanya kepadaMalaysiakini. Noh pula pada 14 Julai lalu dilaporkan mengakui mempunyai pegangan dalam satu perniagaan penternakan udang di Tanjong Karang, dan menegaskan tidak ada salahnya berbuat demikian. Akhbar Sin Chew Daily pada hari itu melaporkan, Noh mendakwa masih belum dilantik sebagai menteri ketika tanah seluas 30 ekar di Bagan Tengkorak itu dimilikinya. Bagaimanapun, dua hari kemudian beliau menafikan mempunyai sebarang pegangan kewangan dalam projek penternakan udang di Tanjung Karang yang diuruskan oleh Pristine Agrofood Sdn Bhd. "Pegangan" yang dimaksudkannya, seperti dilaporkanSin Chew, jelas Noh, tidak lebih daripada bermaksud tanah yang dipajakkannya kepada syarikat. Isu berhubung projek ternakan udang tersebut pertama kali dibangkitkan Ng ketika membentangkan satu usul di DUN Selangor bagi menyekat wakil rakyat Selangor dan ahli majlis di negeri tersebut daripada membeli tanah semasa tempoh khidmat mereka. Malaysiakini sedang mendapatkan komen susulan daripada Noh. |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan