PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
- Exco: SPAN, Upen setuju struktur semula bekalan air
- KEADILAN sokong kempen protes pindaan Akta Keterangan
- BN cemas rakyat Sabah sokong Pakatan
- Tiga lagi Ahli Parlimen BN akan keluar parti – Lajim
Exco: SPAN, Upen setuju struktur semula bekalan air Posted: 14 Aug 2012 01:25 AM PDT dipetik dari Malaysiakini.com Exco kerajaan negeri Dr Xavier Jayakumar berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (Upen) mempersetujui rancangan Selangor untuk menstruktur semula bekalan air di negeri itu. Beliau berkata, persetujuan itu dicapai hasil daripada program Dialog Air Selangor 2012 di Dewan Sivik Petaling Jaya hari ini. "Upen, SPAN dan orang ramai semuanya bersetuju dengan rancangan penstrukturan semula hasil daripada dialog ini," katanya. Selain itu, Xavier berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk membuka semula loji rawatan air di Bukit Jelutong sebagai salah satu tindakan mengatasi masalah air di Selangor. Loji berkenaan akan dibuka semula dalam tempoh dua hingga tiga bulan," katanya kepada pemberita selepas program dialog yang berlangsung selama kira-kira tiga jam itu. Dalam perkembangan sama, Xavier berkata, kerajaan negeri tidak menolak seratus peratus projek pembinaan loji Langat 2 memandangkan sebahagian daripada pembinaannya telahpun dimulakan. ''Banyak kekeliruan yang ada bagi Langat 2. Kita perlu kaji dulu. Tidak menolak sebab terowong telah dibina. "Tetapi apa yang penting ialah kita perlu penstrukturan terlebih dahulu. Kemudian baru kita bincang bagaimana untuk Langat 2," katanya lagi. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Teo Yen Hua yang turut hadir ke dialog hari ini berkata suruhanjaya itu bersetuju dengan penstrukturan semula bekalan air Selangor, namun mengharapkan agar projek Loji Rawatan Air Langat 2 tetap diteruskan. Beliau yang ditemui pemberita selepas dialog tersebut, berkata loji rawatan Langat 2 itu penting bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga tahun 2015. "Langat 2 perlu diteruskan. Jika tidak, pada 2015 air akan berkurang. Kita perlu lakukan sesuatu. Industri berharap agar kita dapat bekerja bersama dengan kerajaan negeri untuk pembangunan negara," katanya. Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memuktamadkan pengambilalihan syarikat terbabit selewat-lewatnya pada September. Langkah itu demi mempercepatkan proses penstrukturan semula perkhidmatan air di negeri itu, kata Khalid. |
KEADILAN sokong kempen protes pindaan Akta Keterangan Posted: 14 Aug 2012 01:19 AM PDT KUALA LUMPUR 14 Ogos: Pindaan kepada Sekysen 114A Akta Keterangan 1950 menerima banyak tentangan pelbagai sudut masyarakat, termasuk dari Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sendiri. Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, pindaan ini akan meletakkan beban membuktikan kesalahan pada pihak dituduh, bukannya kepada pihak yang menuduh, dan ia jelas bercanggah dengan dasar dan prinsip keadilan. Katanya, secara khusus, pengguna laman sosial seperti facebook, twitter, blog dan lain-lain akan dipertanggungjawabkan dengan setiap isi kandungan dalam laman-laman mereka, walaupun komen dan artikel itu ditulis oleh pihak lain. "Pembekal perkhidmatan wifi juga akan dikenakan tindakan sekiranya ada pihak yang menyalahguna perkhidmatan tersebut – jika rangkaian wifi rumah anda dicuri, di bawah pindaan ini anda dipertanggungjawabkan. "Dan jika ada sesiapa yang mencipta akaun facebook, twitter atau emel mengguna nama anda, pindaan ini akan menganggap anda pemilik sebenar akaun tersebut," katanya dalam kenyataan. Ekoran itu, KEADILAN menggesa kerajaan untuk menarik balik pindaan 114A Akta Keterangan 1950 dalam sesi Parlimen akan datang. KEADILAN turut menggesa setiap anggotanya untuk turut serta dalam protes ini dengan menukar "avatar" atau gambar facebook, twitter, dan lain-lain ke logo #STOP114A, dan bagi yang mempunyai laman web untuk memasukkan kod "pop-up" #STOP114A yang disediakan. Maklumat lanjut di sini. "Semoga keadilan bagi semua pengguna internet terjamin demi seluruh rakyat Malaysia," kata Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak. Dalam pada itu, beberapa pengendali laman web terkemuka menyatakan sokongan mereka ke atas kempen "Stop 114A" ini. Pengunjung ke laman berkenaan akan menemui imej berwarna hitam dengan maklumat kempen oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengenai seksyen 114A Akta Keterangan. Imej ini mula dipaparkan bermula tengah malam tadi. Sementara itu, Pengarah Eksekutif CIJ, Masjaliza Hamza berkata, kempen Hari Tegah Siar Internet itu kini disokong oleh laman web terkemuka, ahli politik dan juga warga maya. Kempen ini juga katanya mendapat perhatian global apabila disebarkan melalui tulisan di twitter oleh laman antarabangsa seperti WikiLeaks. Kempen itu juga disertai portal berita Free Malaysia Today, Keadilan Daily,Harakah Daily, Roketkini, Media Selangorku, Digital News Asia, The Nut Graph dan Merdeka Review. Turut menyokong Majlis Peguam, Suaram, Pertubuhan Pertolongan Wanita, Aliran, Kajian Politik untuk Perubahan, Research for Social Advancement, Relevant Facts, Sparkling Analysis (Refsa), Sinar Project, SEACeM, Tindak Malaysia, Islamic Renaissance Front (IRF), Lawyers for Liberty, Perak Women for Women, Empower, Women's Centre for Change, All Women's Action Society (Awam) dan Sisters in Islam. |
BN cemas rakyat Sabah sokong Pakatan Posted: 14 Aug 2012 01:16 AM PDT (Oleh Aisha Geoffrey) BEAUFORT 14 Ogos: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, BN cemas terhadap perubahan politik di Sabah terutama selepas kemasukan beliau dan beberapa pimpinan parti itu ke dalam Pakatan Rakyat (Pakatan). Katanya, rakyat sekarang semakin bijak untuk menilai sama ada manisfesto yang diutarakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah 'gula-gula' politik atau sebaliknya. "Rakyat sekarang bukan seperti zaman 60-an atau 80-an dulu, mereka sudah sedar dan bijak," kata peneraju Pakatan Perubahan Sabah (PPS) itu ketika dihubungi. Beliau mengulas laporan kononnya kedatangan Anwar di Sabah hanya untuk menabur 'gula-gula' kepada rakyat di sana. "Anwar bukan pemimpin kampung yang hanya tahu menabur janji, beliau merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri yang tahu bagaimana untuk memerintah sebuah negara, beliau tahu formula untuk merealisasikan manifesto Pakatan Rakyat," jelasnya. Lajim turut menyifatkan laporan tersebut sebagai gimik BN yang sebenarnya semakin tidak senang duduk dengan perubahan angin politik di negeri itu. "Rakyat di Sabah sekarang sudah berkobar-kobar untuk menukar kerajaan, dan kami PPS akan terus menyumbang kepada kekuatan Pakatan yang sedia ada," yakin beliau. Lajim sebelum ini mengisytihar keluar BN, malah meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Umno BN Beaufort dan menubuhkan PPS yang menyokong Pakatan. Pada 30 Julai lalu, Lajim digugur dari jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala keahliannya dalam Umno akan ditentukan kemudian. Selain beliau, Ahli Parlimen BN-Tuaran, Wilfred Bumburing turut keluar BN dan menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang menyokong Pakatan. Ini menjadikan gerakan menukar kerajaan negeri digerakkan dua komuniti terbesar di Sabah iaitu Melayu-Islam melalui PPS dan Kadazan-Dusun-Murut melalui APS. |
Tiga lagi Ahli Parlimen BN akan keluar parti – Lajim Posted: 14 Aug 2012 01:15 AM PDT (Oleh Masdar Wahid) BEAUFORT 14 Ogos: Barisan Nasional (BN) Sabah bakal menghadapi situasi lebih getir selepas sambutan Aidilfitri berikutan tiga lagi wakil rakyatnya akan meninggalkan parti itu. Ahli Parlimen BN Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin menegaskan, mereka akan berbuat demikian secara berperingkat-peringkat dalam beberapa bulan lagi. "Ini (keluar parti) bukan spekulasi atau desas-desus tetapi sesuatu yang benar. Bagaimanapun kita tidak akan dedahkan secara terperinci identiti mereka. "Mereka akan umum keluar parti dan sokong Pakatan secara berperingkat-peringkat selepas sambutan Aidilfitri sehingga Parlimen dibubar," katanya kepada Keadilan Daily. Kata Lajim, seramai 18 daripada 35 Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Umno Beaufort turut menuruti langkahnya meletak jawatan dan mempromosi Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang menyokong Pakatan. "Beberapa lagi Ketua Cawangan Umno Sabah, bekas wakil rakyat dan pemimpin yang pernah menjadi menteri juga akan keluar parti . "Pengumuman itu akan dilakukan pada masa sesuai," katanya. Lajim sebelum ini mengisytihar keluar BN, malah meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Umno BN Beaufort dan menubuhkan PPS yang menyokong Pakatan. Pada 30 Julai lalu, Lajim digugur dari jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala keahliannya dalam Umno akan ditentukan kemudian. Selain beliau, Ahli Parlimen BN-Tuaran, Wilfred Bumburing turut keluar BN dan menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang menyokong Pakatan. Ini menjadikan gerakan menukar kerajaan negeri digerakkan dua komuniti terbesar di Sabah iaitu Melayu-Islam melalui PPS dan Kadazan-Dusun-Murut melalui APS. |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan