Isnin, 6 Ogos 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


‘Tiada Kebebasan Punca Malapetaka Di Negara Islam’

Posted: 06 Aug 2012 12:51 AM PDT

Malaysiakini

Dengan memetik karya terbaru ulama tersohor Yusuf al-Qaradhawi bertajuk ‘Kebangkitan Rakyat’ yang ditulis selepas kejatuhan regim Hosni Mubarak , Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, punca malapetaka di negara Islam adalah disebabkan oleh tiada kebebasan diberikan kepada rakyatnya.

“Al-Qaradhawi kata mereka nak kepada Islam, maka kena hormat rakyat di bawah. Ini tidak, nak kepada Islam, tetapi perangai macam Firaun.

“Rakyat jangan jadi bodoh, (mesti) merdekakan rakyat. Tidak ada maknanya Islam itu, apabila rakyat tidak ada kebebasan.

“Ini tidak, ada kuasa apa-apa pun boleh buat… Ini yang menyebabkan malapetaka dalam negara Islam,” kata Anwar yang juga ketua umum PKR dan bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Dalam buku itu juga, Anwar berkata Al-Qaradawi juga menganggap pihak tertentu yang menyatakan demonstrasi adalah haram disebabkan mereka “tidak membaca sirah Islam”.

Jelas Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh, dalam buku itu, al-Qaradhawi berkata demonstrasi itu dibolehkan sekiranya tujuannya baik serta untuk kebajikan rakyat.

“Kalau tujuan itu jahat, maka jadilah jahat, tapi kalau baik, untuk kebajikan boleh,” katanya sambil menambah dua sahabat Nabi Muhammad SAW – Umar Al-Khattab dan Saidina Hamzah – pernah berbuat demikian sewaktu peringkat awal Islam dengan membuat demonstrasi berjalan ke Kaabah.

Sebelum itu, Anwar mengimamkan solat Isyak berjamaah di Surau Al-Rasidiyah, Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam serta bertarawih bersama dengan kira-kira 100 penduduk di situ.

Turut hadir dalam majlis tersebut ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga anak sulungnya Nurul Izzah Anwar.

Sempena bulan Ramadan ini, Anwar mengajak umat Islam menghayati kandungan Al-Quran dan mengajar rakyat mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW dan nabi terdahulu yang menunjukkan akhlak yang terbaik, gigih dan memikirkan rakyat bawahan.

“Contoh terbaik adalah para nabi dan rasul, bukan (seperti hari ini) sekat majlis kita, guna SB sekat kita… Ukurannya bukan kuasa dan kekuatan, tetapi (melihat) kepada budi pekerti.

“(Kita kena) takut kepada Allah, bukan takut hilang projek atau kerusi (DUN atau Parlimen),” katanya.

Tiada ulasan: