Rabu, 18 Julai 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


KUMPULAN PROFESIONAL TELITI OPERASI HARIAN SYABAS

Posted: 18 Jul 2012 01:02 AM PDT


KUMPULAN PROFESIONAL TELITI OPERASI HARIAN SYABAS

Kerajaan Negeri akan menghantar satu kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) bagi mengenal pasti keadaan semasa air terawat di Selangor.

Kumpulan profesional ini dianggotai oleh Suhaimi Kamaruzaman (Ketua Pengawai Eksekutif KDEB), Ir Abas Abdullah (Pengarah ABASS), Karim Endut, (Pengurus Besar Pengurusan Air, Kumpulan Perangsang Selangor) dan Kevin Lee (Ketua Perancangan Strategik dan Pelaburan, Perangsang Selangor).

Kumpulan profesional ini dihantar kerana SYABAS gagal memberi penjelasan terperinci dan memuaskan dalam beberapa isu ketika syarikat tersebut memberi taklimat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi tadi.

Kerajaan Negeri Selangor yakin kumpulan ini akan dapat bekerjasama dengan SYABAS kerana semua anggotanya berpengalaman luas dalam operasi dan pengurusan air.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga sudah menyediakan surat untuk memaklumkan hasrat kerajaan Selangor untuk 'step in' dalam pengurusan SYABAS kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. 

Ahli EXCO Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok akan mengetuai delegasi untuk menghantar surat ini ke Putrajaya pada petang ini secara peribadi kepada KETTHA kerana Kerajaan Negeri berpendirian bahawa isu ini penting diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kita berharap SYABAS dan Kerajaan Pusat tidak menyalahgunakan isu air untuk menyusahkan rakyat terutama kepada umat Islam yang akan mula berpuasa hujung minggu ini.

Kerajaan Selangor konsisten dengan pendirian bahawa penstrukturan semula industri air merupakan penyelesaian holistik serta menguntungkan rakyat seperti yang dihasratkan dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.

TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Semua Kakitangan Syabas Dikekalkan Kecuali Pengurusan Kanan Syabas Dalam Proses ‘Step-In’ Kerajaan Negeri Selangor

Posted: 18 Jul 2012 12:11 AM PDT

KENYATAAN MEDIA
18 Julai 2012

Kerajaan Negeri membidas  saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana agar  Kerajaan Negeri Selangor perlu mengemukakan rancangan dan pelan mereka untuk menguruskan bekalan air di negeri itu, jika berhasrat mahu mengambil alih peranan itu daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) seperti yang disiarkan oleh beberapa media perdana pada hari ini.

Kerajaan Negeri curiga dengan tindakan beliau sebagai orang nombor dua Negara dan juga seorang  penjawat awam yang bercakap menyebelahi Syabas sebuah syarikat yang  berpaksikan  keuntungan komersial, mendahului kepentingan syarikat dan pemegang-pemegang sahamnya sahaja.

Dalam kata lain Muhyuddin lebih mengutamakan keuntungan sebuah syarikat melebihi kepentingan lebih 5.7 juta orang rakyat Selangor yang menggunakan air untuk keperluan harian mereka.

Sepatutnya Muhyiddin menyokong usaha-usaha Kerajaan Negeri yang dipilih oleh majoriti rakyat Selangor dan bukannya kepentingan sebuah syarikat semata-mata.

Kita juga ingin menegaskan disini bahawa Syabas tidak mempunyai sebarang kuasa (authority) untuk mencadang atau mengumumkan sebarang bentuk program catuan air (water ration) kerana Syabas tidak diperuntukan kuasa tersebut di dalam perjanjian konsesi air tersebut mahupun dari segi obligasi moralkepada rakyat Selangor.

Hanya Kerajaan Negeri diberikan kuasa mengumumkan catuan air,  itupun hanya dibenarkan dalam situasi kecemasan dan darurat setelah dibawa dalam mesyuarat Majlis Gerakan Negeri (Mageran)

Kita juga menyarankan Syabas agar berhenti membuat kenyataan mengenai apa-apa catuan air kerana Syabas dilihat berlagak umpama sebuah parti politik.

Lanjutan kepada pengumuman oleh YAB Tan Sri Menteri Besar Selangor yang menggunakan kuasa di bawah klausa 32 perjanjian konsesi air untuk 'step in' dalam memantau perkhidmatan operasi Syabas baru-baru ini.

Lantaran itu , Kerajaan Negeri ingin mengumumkan  di sini bahawa :

Semua kakitangan Syabas dibawah kategori teknikal dan kakitangan serta pegawai pengurusan dan pentadbiran peringkat pertengahan akan dikekalkan manakala pegawai-pegawai di peringkat pengurusan kanan akan dirombak semula.

Jadi kita harap kakitangan Syabas yang banyak pengalaman serta  berdedikasi kepada syarikat agar tidak berasa cemas terhadap masadepan mereka dalam proses 'step-in' Kerajaan Negeri tidak berapa lama lagi.
YB Dr. Xavier Jayakumar
EXCO Kerajaan Negeri Selangor

Tiada ulasan: