Isnin, 25 Jun 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Pasukan Khas Siasat Dakwaan SYABAS Loji Kurang Air

Posted: 25 Jun 2012 01:45 AM PDT

BATU CAVES 25 JUN : Satu pasukan khas yang terdiri daripada panel pakar akan dihantar ke loji rawatan air bagi menyiasat menyebaran kenyataan yang dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung tahap penurunan paras air di empangan Semenyih dan Langat sejak minggu lalu.

Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hal itu perlu disiasat kerana mendapati penggunaan dan pengurusan air di loji itu agak tidak konsisten daripada jumlah keluaran air.

"Mengapa terdapat kekurangan dalam loji rawatan itu? Loji rawatan mempunyai loji untuk menyimpan air jadi kenapa terdapat penurunan?.

"Jumlah air mentah di negeri antara ukuran yang boleh diukur ialah melalui jumlah air di empangan. Jumlah air itu kalau melimpah maknanya empangan itu mempunyai lebih daripada 100 peratus jumlah air.

"Jadi maknanya kalau itu berlaku jumlah air mentah di negeri ini bukan sahaja cukup tetapi ia juga melimpah.

"Oleh sebab itu pada kita, jumlah loji yang ada sesuai untuk jumlah air mentah yang kita ada," katanya selepas Majlis Sambutan 43 tahun Kampung Melayu Batu Caves Selatan di Dataran Hijau Al-Khadra, Balairaya JKKK, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari, Pegawai Daerah dan Tanah Gombak Ahmad Zaharin Saad, YDP MDS Datuk Zainal Abidin Aala dan Pengurus Besar Yayasan Selangor Ilham Marzuki.

Abdul Khalid menambah sebanyak 100 meter padu air sepatutnya disalurkan, bagaimanapun 30 peratus daripada jumlah itu tidak disampaikan kepada pengguna.

"Mungkin air bocor di mana-mana sebab itu tidak sampai kepada pengguna. Jadi dua perkara itu mesti kita lakukan iaitu jumlah air terawat mesti dipertingkatkan dan 'non revenue water' itu mestilah berkurangan daripada 30 peratus kepada 15 peratus," katanya.

Lanjutan kepada laporan The Star, atas tajuk "There is no shortage of water in Selangor, says Luas" bertarikh 19 Jun, 2012.

Abdul Khalid turut bersetuju dengan kenyataan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar yang menyelar kenyataan Syabas itu.

Dr Xavier mengesa Syabas agar jangan terus bermain api dengan rakyat Selangor.

Malah katanya, Kerajaan Negeri Selangor tidak teragak-agak untuk mengambil alih semua loji-loji air yang dikendalikan oleh Syabas atau Puncak Niaga bagi menjamin rakyat Selangor terus mendapat bekalan air yang mencukupi untuk keperluan harian mereka.


Sumber: Selangorku

Peter Chin Perlu Tegas Struktur Semula Industri Air

Posted: 22 Jun 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 22 JUN : Kerajaan Negeri menyeru Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui supaya berhenti berlindung di sebalik kenyataan politik dan mengambil langkah tegas dalam rundingan penstrukturan semula industri air Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebagai menteri yang diberi kuasa di bawah Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA), Peter sepatutnya mampu membantu Kerajaan Negeri mengambilalih perkhidmatan air.

"Kerajaan Negeri juga hairan mengapa menteri kerap meminta model yang baharu daripada Selangor sedangkan model yang terakhir yang dibentangkan selari dengan kehendak WSIA.

"Tambah pula, model holistik telah menjamin tarif air tidak akan dinaikkan pada tiga tahun pertama dan tidak lebih dari 12 peratus.

"Berbanding kenaikan 75 peratus dalam perjanjian konsesi yang ternyata memberi keuntungan kepada konsesi sementara rakyat pula menanggung kosnya," jelas Abdul Khalid dalam satu kenyataan medianya.

Beliau menambah, Kerajaan Negeri juga akan berusaha untuk menurunkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang tinggi di samping mencari sumber air alternatif sebagaimana yang dinyatakan dalam forum air dua minggu lalu.

"Ini membuktikan model Kerajaan Negeri adalah holistik kerana ia menyentuh semua perkara yang berkaitan dengan kecekapan perkhidmatan air," tegasnya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mempersoalkan sejauh mana kesediaan dan kemampuan Kerajaan Pusat untuk menyediakan dana tambahan sekiranya Projek Langat 2 masih tidak berjaya menurunkan peratusan NRW pada tahap sepatutnya.

"Menteri tersebut menyatakan kos untuk menurunkan peratusan Air Tidak berhasil (NRW) lebih mahal iaitu RM 7.2 billion berbanding pembinaan Langat 2 iaitu sebanyak RM 5 billion.

"Tetapi andai Langat 2 tidak berjaya menurunkan peratusan NRW pada tahap sepatutnya, adakah Kerajaan Pusat sanggup membelanjakan berbillion wang rakyat untuk membina terowong lain bagi merentasi Banjaran Titiwangsa?," soal beliau.

Abdul Khalid juga sekali lagi menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri untuk berunding dan berbincang dengan Kerajaan Pusat serta agensi berkaitan bagi menyelesaikan penstrukturan ini.


Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: