Rabu, 13 Jun 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Penstrukturan Semula Industri Air Selangor Akan Menggunakan Model Holistik

Posted: 13 Jun 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM, 13 JUN : Kerajaan Selangor akan menggunakan model holistik dalam penstrukturan semula industri air jika berjaya dilaksanakan.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Noordin Sulaiman berkata, matlamat penstrukturan air ini adalah mempraktikkan model holistik dimana rawatan dan agihan air dilakukan oleh satu operator sahaja.

"Kos operasi melalui model holistik ini tidak membebankan iaitu kurang daripada RM0.36 per unit di mana Operator Rawatan dan Agihan (SPV) tidak akan dibebani dengan terma pembelian minima atau caj kapasiti yang tinggi," katanya ketika membentangkan model tersebut di Forum Air Selangor di Shah Alam Convention Centre (SACC).

Beliau berkata, model ini melalui syarikat SPV yang memiliki majoriti atau dikawal kerajaan negeri dimana operator tersebut dilesenkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Katanya, semakan awal terhadap bayaran jualan pukal serta bayaran kapasiti yang dituntut oleh pemegang konsesi sedia ada menunjukkan pemegang konsesi mengaut pulangan tinggi berbanding kos pembangunan, cukai dan faedah institusi kewangan.

"Syarikat SPV yang baru akan dipantau bagi memastikan keuntungan yang tidak melampau iaitu sehingga satu peratus sahaja seterusnya dapat menjamin kadar tarif yang munasabah iaitu tidak lebih dari 12 peratus setiap tiga tahun sekali," katanya.

Sementara itu, syarikat SPV tidak dibebani dengan Kos Pembangunan (CAPEX) kerana ia akan diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan syarikat SPV hanya akan membayar pajakan kepada PAAB atas aset-aset yang digunakan.

Sehubungan itu, Noordin turut menekankan kerajaan negeri menitik beratkan faktor kepentingan pengguna dan nilai pasaran semasa yang akan ditawarkan kepada Syarikat Konsesi Air supaya penstrukturan ini tidak membebankan pengguna atau merugikan mana-mana pihak.

"Tiga tawaran telah dikemukakan sejak tahun 2008 oleh kerajaan negeri bagi mengambil alih syarikat konsesi air namun tidak dipersetujui atas alasan nilai yang ditawarkan adalah rendah dan tidak cukup menampung hutang pemegang konsesi," katanya.

Selain itu, katanya, penstrukturan semula industri perkhidmatan air ini adalah kesan struktur kawal selia yang lemah, pengembalian kos yang perlahan serta menggunakan modal yang tinggi dan perkhidmatan kepada pengguna tidak cekap.

"Terdapat pelbagai kelemahan dalam industri perkhidmatan air semasa yang mendorong kerajaan negeri untuk bercadang mempraktikkan model holistik ini supaya masalah-masalah ini dapat dikawal," katanya.


Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: