Selasa, 26 Jun 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Kader vs Pemimpin/Anggota

Posted: 26 Jun 2012 08:23 AM PDT

Dari mula saya mengenali parti politik, saya terlibat menjadi aktivis.  Masa itu adalah tahun 1959, saya berada di dalam Form 2 di Abu Bakar (Secondary) School, Temerloh.  Pada tahun itu berlangsung Pilihanraya Umum.  Di pihak Perikatan menjadi calon bagi kawasan Parlimennya adalah En. Mahmud dan dipihak Pembangkang pula adalah En Ishak Haji Muammad dari Socialist Front dan seorang calon PMIP, saya kurang pasti samada calon PMIP itu adalah En Md Yassin atau Dato Abu Samah.  PMIP kini dikenali sebagai PAS.

Setelah saya dapat berkenalan dengan Pak Sako (Ishak Haji Muhammad), saya mengikuti kempen Pak Sako sebagai petugas, kadang-kadang memikul bateri untuk PA system, dan kadang-kadang membawakan bekalan makanan, jika tempat yang dituju pada hari itu berjauhan dan tidak sempat pulang ke Temerloh.

Kawasan Parlimen Temerloh pada waktu itu amatlah besar merangkumi seluruh Daerah Temerloh yang ada kini, seluruh Daerah Bera, sebahagian besar Daerah Maran.  Kawasan itu mempunyai keluasan hampir sebesar Negeri Sembilan.

Perjalanan untuk kempen (atau campaign trail) menggunakan basikal, boat dan perahu.  Semasa itu belum ada jambatan samada untuk merentangi Sungai Pahang atau Sungai Semantan.

Oleh kerana saya sangat berminat dengan Pak Sako, saya menyertai team kempennya setiap hari, walaupun Pak Sako sendiri menyuruh saya menghadiri ke Sekolah.   Pada masa itu kempen Pilihanraya amatlah panjang sehingga 3 bulan lamanya.  Dan Pilihanraya pula berlangsung three-tier, iaitu bermula dengan Pilihanraya untuk Kerajaan Tempatan, diikuti untuk Dewan Undangan Negeri dan kemudiannya untuk Dewan Rakyat.

Berkempen pula tidak memerlukan permit polis hanya sekadar memberitahu Polis sahaja.  Semua parti politik boleh menggunakan tempat awam seperti balai raya dan padang  bola, tidak ada halangan.

Dan saya diasuh dan diajar menjadi aktivis parti, iaitu Partai Rakyat Malaya yang pada waktu itu bergabung dengan Parti Boroh Malaya dikenali sebagai Socialist Front.  Socialist Front mempunyai kekuatan tertentu di bandar-bandar besar seperti Pulau Pinang dan Melaka dan gabungan itu banyak memenangi kerusi-kerusi diperingkat Kerajaan Tempatan dan menguasai Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Melaka.

Keputusan Pilihanraya itu walaupun memihak kepada Perikatan, Pak Sako kalah dengan majoriti Perikatan yang sangat tipis.

Selepas Pilihanraya itu, saya menyertai kelas perkadiran parti.  Dari peringkat itu lagi saya sudah diajarkan prinsip-prinsip berorganisasi, perbezaan antara ideologi-ideologi sosialis, komunis, dan kapitalis dan perbezaan antara kapitalis komprador dan kapitalis nasional, dan perbezaan antara kolonialisme, imperialisme,  dan neo-kolonialisme, peranan organisasi dan peranan individu.

Saya dilatih menjadi kader parti, dan sebagai kader parti, saya dilatih untuk memahami ideologi, prinsip-prinsip perjuangan rakyat, marhaenisme dan sosialisme, disamping menjalani latihan dari segi praktikal.  Dari waktu itu lagi saya dilatih untuk menjalankan kerja-kerja yang perlu dilalui jika kita mahu menjadi pejuang rakyat, seperti bersikap sentiasa memihak kepada rakyat, membantu rakyat, dan menggerakkan parti bersama-sama rakyat.  Senitasa mengidentifykan diri dengan perjuangan rakyat dan penderitaan rakyat.

Sebagai kader, seseorang itu mesti memahami ideologi dan politik, boleh memberikan penerangan kepada massa (justeru kena menghadiri kursus-kursus perkaderan, kursus-kursus penerangan, kursus-kursus pentadbiran termasuk kursus-kursus organisasi dan kesetiausahaan), boleh menjadi pemimpin, boleh dipimpin, boleh bertindak sebagai penampal poster, boleh pula bertugas sebagai pemimpin, tidak kekuk memberi arahan bila diperlukan dan tidak kekuk menerima arahan.  Seseorang kader ia bukan hanya sekadar menjadi ahli parti, ia lelbih dari itu, bukan sekadar menjadi pemimpin parti, ia lebih dari itu.

Ia mampu mengenal pasti mereka yang menyeleweng ke kiri atau ke kanan.  Ia dapat membezakan antara taktik dengan strategy.  Taktik adalah permainan cara yang berbentuk sementara manakala strategi adalah untuk mencari pencapaian jangka panjang.

Ia juga mampu mengenali musuh, antara musuh besar dengan musuh kecil, antara musuh sementara dengan musuh yang berterusan.  Ia juga boleh membezakan antara kawan dan lawan, kawan sejati, kawan sementara dengan lawan sejati dengan lawan sementara.  Dan sikap-sikap terhadap mereka.

Juga ia mengetahui bahawa ada musuh yang antagonistik dan musuh yang non-antagonistik.

Yang penting, seorang kader boleh menjalankan tugas sebagai seorang aktivis parti dan seorang ahli biasa parti dengan menjalankan tugas dan tanggungjawab; dan jika keadaan memerlukan dia boleh menjadi pemimpin.

Didalam ujian untuk menjadi kader parti, saya diminta menyusun seberapa ramai dari kalangan mereka yang sebaya dengan saya untuk menjalankan kegiatan parti khususnya didalam Pilihanraya.  Pada waktu itu saya berjaya menyusun tidak kurang dari 10 orang rakan-rakan sekolah saya yang memiliki basikal.  Saya berikan bendera Socialist Front kepada mereka, dan kami berbasikal dari kampong ke kampong dengan memasang bendera diatas handle basikal kami.

Saya juga diasuh untuk mengambil inisiatif sendiri bagimana mahu membantu pengaruh parti.  Saya memilih untuk memanjat Pasar Besar di tengah-tengah Bandar Temerloh dan melekatkan poster-poster Socialist Front dengan perkataan Vote Socialist Front, bayangkan poster Socialist Fron yang berwarna merah itu dapat dilihat dari berbagai sudut di Bandar Temerloh.

Dengan rakan-rakan berbasikal, kami pergi ke kampong-kampong dan menampal poster untuk calon Socialist Front.

Kami diasuh hidup berdikari dengan cara yang paling mudah.  Markas Socialist Front pada waktu itu terdapat di kedai Lentang (Jalan Ibrahim) Temerloh yang buka 24 jam.  Disana sentiasa ada nasi.  Kami makanlah dengan apa yang ada, nasi sejuk dan ikan kering.  Dan di waktu malam pula kami beramai-ramai tidur diatas kedai-kedai lesen yang berderetan di Bandar Temerloh pada waktu itu.  Cukup simple hidup kami, tidak ada keperluan kepada duit dan tidak ada keperluan kepada bimbingan berterusan (boleh mengambil inisiatif sendiri).

Sehingga ke hari ini, walaupun sudah menjadi seorang peguam, hidup mudah dan simple ini adalah amalan saya, dan bukan sahaja mudah mengendalikan kehidupan seharian saya, juga saya mudah bergaul dan bermesra dengan golongan rakyat.

Training sebagai kader ini amatlah penting didalam perjuangan pro-rakyat.  Seseorang pemimpin tidak boleh dikatakan seorang kader jika kerenah-kerenah individualistiknya masih menebal, ia boleh bercakap tentang perjuangan rakyat tetapi tidak sanggup menjalani kehidupan yang dilalui oleh rakyat, dia boleh memberi arahan tetapi tidak sanggup menerima arahan, dia boleh menegur tetapi tidak boleh ditegur, dia boleh memberikan ilmu tetapi tidak sanggup menerima ilmu (khususnya ilmu praktikal dari rakyat), ia boleh bercakap bahawa dia berpihak kepada rakyat tetapi dengan individualismenya yang menebal, dia tetap bersifat dan bersikap sombong dengan rakyat, dia boleh memimpin tetapi tidak sanggup dipimpin.

Saya nak ucapkan ribuan terima kasih saya kepada pemimpin-pemimpin yang mengajar saya didalam kelas-kelas kursus seperti Allahyarham Pak Sako, Allahyarham Abu Samad Mat Amin, Allahyarham Jaafar Hussain, dan Allahyarham Abdul Rahman Md Nor (kesemuanya pemimpin-pemimpin Socialist Front di Temerloh sewaktu saya mula-mula terlibat dengan perjuangan parti kiri itu); dan apabila saya mulai masuk belajar di Universiti Malaya sebelum belajar di London, saya ucapkan terima kasih kepada guru-guru saya seperti Syed Husin Ali, Sanusi Osman, Kassim Ahmad dan akhirnya semasa berada di London, kepada rakan-rakan ideologist seperti Rahman Embong, dan Mr Bala.

Terima kasih.






























Kedahkini: MAKLUMAT BOCOR ; DOKUMEN SKANDAL SCORPENE TERDEDAH!!!!

Posted: 26 Jun 2012 06:35 AM PDT

Tiada ulasan: