Jumaat, 15 Jun 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Masa berseronok dengan durian runtuh sudah berakhir

Posted: 15 Jun 2012 06:33 AM PDT

Keseronokan peneroka-peneroka menerima perkhabaran durian runtuh dengan pemberian RM15,000.00 yang diberikan saecara berasing dan berperingkat-peringkat iaitu dengan RM5,000.00 kepada peneroka, RM5,000.00 kepada isteri peneroka dan RM5,000.00 kepada anak peneroka sudah berakhir.

Pemberian durian runtuh ini tidak mengambil kira masalah kekeluargaan yang bakal dihadapi oleh peneroka dan keluarganya.

Pemberian RM5,000.00 untuk peneroka-peneroka sehingga kini pun masih belum selesai kerana dari kalangan hampir 113,000 peneroka itu sebahagian besarnya sudah meninggal dunia, begitu juga dengan isteri-isteri peneroka.  Pemberian ini belum dapat diselesaikan dan penyelesaianya akan mengambil masa yang panjang.  Jika mahu diambil kira bahawa penerimanya perlu mendapat perintah daripada Mahkamah Syariah atau pembahagian harta pesaka kecil, proses itu mengambil masa yang agak panjang juga didalam kes keluarga yang tidak bermasalah tetapi bagi keluarga yang bermasalah masa penyelesaiannya akan mengambil masa yang jauh lebih panjang.

Begitu juga pemberian kepada isteri-isteri peneroka yang telah meninggal dunia.

Kepada peneroka yang masih hidup, pemberian itu tidaklah bermasalah tetapi jika peneroka-peneroka itu beristeri dua atau tiga, timbul isu kekecuhan keluarga.  Apatah lagi jika peneroka itu dan isterinya yang bersama-sama menjayakan tanah rancangan itu sudah berpisah dan peneroka itu mempunyai isteri yang baru dikahwininya.  Siapakah yang layak menerima pemberian RM5,000.00 tersebut.

Pemberian untuk anak-anak menimbulkan masalah yang paling sukar untuk diatasi.  Adakah RM5,000.00 itu akan diberikan secara membelakangkan undang-undang dengan hanya memberikan kepada salah seorang daripada anak-anak peneroka.  Keluarga peneroka biasanya mempunyai lebih dari 5 orang anak.

Kekecuhan akan berlaku dan kini kekecuhan itu sudah pun mula berlaku.  Anak-anak ini sudah mulai bertemu peguam-peguam dengan menyatakan hasrat mereka mahu mencabar pemberian itu kepada hanya seorang daripada anak-anak peneroka.

Akhirnya durian runtuh yang pada peringkat awalnya memberikan sedikit kesenangan berakhir dengan pergaduan yang tidak berkesudahan didalam keluarga, dengan anak-anak masing-masing bermusuhan sesama sendiri.

Ramai daripada peneroka-peneroka mempersoalkan cara pemberian durian runtuh itu.  Kenapa tidak RM15,000.00 itu diberikan terus kepada Peneroka, dan terserah kepada budibicara dan kebijaksanaan Peneroka itu untuk membahagi-bahagikan wang itu kepada isteri (atau isteri-isteri atau jandanya) dan kepada anak-anaknya.  Pemberi sebegini dianggap lebih afdhal kerana Peneroka selaku Ketua Isi Rumah yang melindungi isteri dan anak-anak tentu lebih arif dari segi pemberian kepada ahli keluarganya.

Bagaimana pun pemberian seperti itu tidak berlaku, Kerajaan dan Felda telah membuat kesilapan dan pergaduhan didalam keluarga akan belaku hasil dari pemberian yang tidak mengambil kira sensitiviti didalam keluarga.

Tiada ulasan: