Rabu, 20 Jun 2012

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Akaun RM3 bilion: Anwar dedah akuan bersumpah bekas Pengarah Siasatan BPR

Posted: 20 Jun 2012 12:12 AM PDT


dipetik dari Keadilan Daily
KUALA LUMPUR 19 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan surat akuan bersumpah oleh bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Idris.
Surat akuan bertarikh 10 November 2009 yang dimuat naik dalam laman blog beliau semalam memaparkan bukti bahawa siasatan terhadapnya berhubung pertuduhan menyorok RM3 bilion dalam akaun asing dan mempunyai kaitan dengan kepentingan barat telah pun ditutup kerana tiada sebarang kes.

"Siasatan telah dijalankan oleh satu Cawangan di bawah penyeliaan saya di Ibu Pejabat BPR Malaysia.
"Siasatan dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan teliti termasuk ke luar negara seperti Singapura dan United Kingdom.
"Siasatan itu menghasilkan tiada sebarang kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sesiapa berhubung dengan Akuan Bersumpah tersebut dan saya mengarahkan siasatan itu ditutup," kata Abdul Razak dalam akuan tersebut.
Menurut akuan itu lagi, selaku Pengarah Siasatan BPR pada tahun 1999, Abdul Razak telah mengarahkan siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 ke atas akuan bersumpah oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid yang diterbitkan dalam akhbar-akhbar tempatan.
Bekas Pegawai Kanan BPR itu memberi keterangan akuan bersumpah itu dalam kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan oleh Anwar terhadap News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan bekas Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Abdullah Ahmad.
Anwar memfailkan saman itu pada 4 Julai 2003.
Artikel yang didakwa berunsur fitnah itu, disiarkan pada 2 Mac 2002.
Abdul Razak membuat kesimpulan bahawa dakwaan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak berasas dan mengarahkan supaya siasatan ditutup.
Murad menandatangani akuan bersumpah itu pada 20 Oktober 1999 – kira-kira sebulan selepas Anwar ditahan selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada awal September tahun berkenaan.
Abdul Razak kemudiannya membuat akuan bersumpahnya mengenai perkara itu dan mengemukakannya kepada mahkamah.
Dalam perkembangan sama, Abdul Murad semalam dilapor menegaskan sudah memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung isu berkenaan.

Fitnah RM3 bilion: Ahli Parlimen BN menikus dicabar Anwar

Posted: 20 Jun 2012 12:11 AM PDT

dipetik dari Keadilan Daily


KUALA LUMPUR 20 Jun: Wakil-wakil rakyat Umno hanya berani membuat fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui media dan 'serang hendap' tetapi menikus apabila dicabar secara berhadapan oleh Ketua Pembangkang itu di Parlimen.
Ketika membahas Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan sebentar tadi, beliau diganggu oleh suara-suara dari beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional dengan jeritan "RM3 bilion, RM3 bilion!"
Anwar lantas memaklumkan Speaker untuk memberi laluan dan mencabar Ahli Parlimen BN itu membangkitkan isu RM3 bilion itu supaya beliau dapat menjawab di Parlimen.
"Sila-sila…Sila bangun Yang Berhormat. Bangkitkan isu ini. Saya cabar kepada Yang Berhormat semua," cabar Anwar.
Tetapi setelah dua kali diulang, tiada seorang pun berani bangun atau menyahut cabaran tersebut.
Anwar selanjutnya menjelaskan bahawa SPRM sendiri pada tahun 2009 (ketika itu BPR) menyatakan tuduhan itu tidak berasas berdasarkan pengakuan bersumpah bekas pengarah siasatan badan itu, Abdul Razak Idrus.
Akuan bersumpah itu dibuat setelah sepasukan pengawai BPR ke Singapura dan United Kingdom untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bising mencabar Anwar mendedahkan akaun mengenai isu RM3 bilion tetapi membisu apabila Anwar mencabar Timbalan Perdana Menteri itu supaya sama-sama mendedah akaun.
Parlimen sekarang sedang membahas peruntukan tambahan RM13 bilion yang dipinta oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dari jumlah itu RM360 juta diperuntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terpalit dengan penipuan daftar pemilih.
Anwar juga mengkritik pentadbiran Najib yang tidak cekap merancang dan mengendali ekonomi apabila unjuran defisit fiskal meningkat kepada 6.2 peratus berbanding 4.7 peratus semasa pembentangan belanjawan Oktober lepas.

Daftar sebelum akhir Jun layak mengundi jika PRU selepas Ogos

Posted: 20 Jun 2012 12:02 AM PDT

dipetik dari Malaysiakini.com


Kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih, masih berpeluang mengundi sekiranya mendaftar sebelum 30 Jun ini, andai pilihan raya umum (PRU) ke-13 diadakan selepas Ogos.
    
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Jun adalah detik paling sesuai untuk mereka mendaftar sebelum senarai pemilih diwartakan pada Ogos depan.
    
"Bulan ini adalah bulan terakhir suku tahun 2/2012 dan selepas itu nama-nama tersebut akan dipamerkan pada bulan berikutnya iaitu Julai selama dua minggu. Jika tiada sebarang bantahan, senarai daftar pemilih berkenaan boleh
diwartakan," katanya kepada Bernama.

Dalam setahun ada empat suku tahun iaitu suku tahun pertama (Januari-Mac), suku kedua (April-Jun), suku ketiga (Julai-September) dan suku keempat (Oktober-Disember), kini SPR dalam proses menerima permohonan pendaftaran pemilih bagi suku tahun kedua.
    
Sehingga suku 1/2012, seramai 12.9 juta yang sudah mendaftar, daripada jumlah itu pengundi Melayu (6,782,990), Cina (3,871,277), India (938,946), bumiputera Sabah (618,277), bumiputera Sarawak (519,563), Orang Asli (69,510) dan lain-lain (11,2027).

Abdul Aziz berkata selain pendaftaran baru, bulan Jun juga penting kepada mereka yang telah mendaftar membuat semakan.

"Ia bagi membolehkan pemilih mengetahui sekiranya terdapat perubahan lokaliti, tempat mengundi atau sebarang kesilapan dan ketidaktepatan maklumat, jika semakan dibuat selepas Jun mungkin sudah terlewat," katanya.
    
Beliau berkata hanya pemilih sahaja boleh memohon menukar butir-butir mengenai diri masing-masing dalam Daftar Pemilih, SPR tidak dapat membetulkan apa-apa kesilapan yang berlaku tanpa pemilih itu sendiri memaklumkan kepada SPR mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan.
    
"Tidak boleh beranggapan disebabkan telah mengundi di tempat sama sebanyak tiga kali sebelum ini, maka kita pun ambil mudah tidak mahu membuat semakan,  tidak boleh begitu adalah lebih baik buat semakan bukannya susah pun," katanya.

Bagi menggalakkan pemilih membuat semakan, kempen  bulan semakan  diadakan sejak 1 Jun lepas selama sebulan dan sehingga 11 Jun, hanya satu peratus sahaja iaitu kira-kira 138,216 pemilih telah berbuat demikian.
    
"Jumlah itu jika dibandingkan dengan jumlah pemilih berdaftar adalah terlalu kecil kerana jumlah pemilih berdaftar sehingga suku tahun 1/2012 adalah seramai 12.9 juta orang," katanya.
    
Abdul Aziz berkata diharapkan selepas ini lebih ramai yang akan mendaftar dan membuat semakan kerana pelbagai kaedah disediakan SPR untuk kemudahan orang ramai.
    
Semakan boleh dibuat melalui Call Centre di ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6565 ataupun menelefon ke pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri mulai 8.00 pagi hingga 5.00 petang, Isnin hingga Ahad tujuh (7) hari seminggu sepanjang bulan berkenaan.
    
Boleh juga dibuat menerusi Laman Sesawang SPR di  www.spr.gov.my dengan cara memasukkan nombor kad pengenalan dalam ruang semakan yang disediakan dan maklumat pendaftaran pemilih akan dipaparkan; Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.
    
Semakan di kaunter SPR boleh dibuat di Ibu Pejabat SPR Putrajaya, ataupun di pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri dan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang sepanjang bulan berkenaan.
    
- Bernama

Tiada ulasan: