Anwar Ibrahim |
Trend Keganasan & Politik Tak Jantan Posted: 02 Jun 2012 02:20 AM PDT Malaysiakini Insiden ganas di Lembah Pantai baru-baru ini membimbangkan. Dalam sebuah ceramah anjuran PKR, Lembah Pantai, seorang lelaki tua dan anak kecil cedera akibat daripada dilempar dengan objek keras. Ketua Cabang Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut dilempar dengan objek ketika sedang berceramah. Ceramah yang bertentang antara dua parti politik yang berlawan tidak seharusnya dibenarkan kerana ia mengundang pergaduhan, kata bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan. “Ini tidak seharusnya dibenarkan, Untuk saya ini seperti percubaan untuk bergaduh. Jangan buat berdekatan, jika buat juga, pergaduhan pasti terjadi,” kata beliau dalam wawancara khas dengan Malaysiakini sebelum ini. Kejadian di Lembah Pantai bukanlah yang pertama. Bulan lalu saja ada beberapa insiden. Datuk S Ambiga sewaktu berceramah di Melaka turut mengalami nasib sama. Trend ini amat membimbangkan apatah lagi dalam keadaan politik Malaysia yang bergelora kini. Dari perbincangan dengan rakan-rakan penganalisis politik, jika trend keganasan politik ini tidak dibendung dengan segera oleh polis, ia akan melarat sehingga hari pilihan raya. Insiden di Lembah Pantai tidak akan berlaku jika polis mengambil langkah pencegahan yang lebih awal. Ini terbukti boleh dilakukan. Polis seringkali mengambil perintah dari mahkamah untuk menghalang sesuatu demonstrasi dengan alasan menjaga keselamatan negara. Jika dicegah dengan lebih awal seperti memindahkan lokasi ceramah salah satu parti pada malam tersebut, insiden keganasan ini pasti dapat dihentikan. “Kita tidak mahu satu hari nanti polis perlu mengawal ceramah…. Macam mana nak kata negara kita aman jika ceramah pun perlukan kawalan polis?” kata Musa Hassan lagi. Apabila bertanding dalam pilihan raya, seseorang calon atau parti politik mempunyai cita-cita untuk menang. Ini perkara biasa. Itulah cita-cita sesiapa sahaja yang mansuh ke kancah politik pilihan raya. Akan tetapi, apa yang perlu difikirkan juga pada calon atau parti politik adalah fikiran tentang kemungkinan untuk kalah. Ini lebih penting agar calon atau parti politik belajar menerima kekalahan. Syed Shahir Syed Mohamud, mantan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sering berkata kepada saya: “Dalam berpolitik, kita harus mempunyai semangat kesukanan yang tinggi. Kita akan mudah berlapang dada jika kalah dalam sesuatu pertandingan.” Lihat sendiri sejarah perjuangan Syed Shahir dalam MTUC. Sebelum menang pada tahun 2004, beliau telah kalah berkali-kali. Malahan dalam pemilihan lalu, beliau kalah kepada Khalid Atan. Namun ini tidak melemahkan semangat anak kelahiran Raub (Syed Shahir) untuk terus membela nasib pekerja. Semangat ini jika dipegang akan menyebabkan Malaysia aman dan makmur. Ertinya, jika kalah sekalipun dalam pilihan raya, tidaklah menjadi punca kepada berlakunya kekacauan. Menurut seorang penulis blog Umno, Anuar Mohd Nor, satu laporan dari perisikan tentera telah dihantar kepada Majlis Tertinggi Umno mengenai kekalahan BN dalam PRU 13. Jika sesebuah parti politik itu matang dan berjiwa besar, mereka akan bekerja keras untuk memenangi hati rakyat agar laporan BN tumbang tidak menjadi kenyataan. Kalah pilihan raya bukan pengakhiran kepada segala-galanya. Hidup ini bukan hanya kuasa dan pilihan raya. Ada lebih banyak lagi sisi-sisi indah yang mungkin tidak sempat dirasa kerana terlalu sibuk mengejar kuasa. |
You are subscribed to email updates from Anwar Ibrahim To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan