Ahad, 27 Mei 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Kerajaan Selangor Bantu Warganegara Yang Masih Tiada Mykad

Posted: 27 May 2012 10:39 PM PDT

KLANG 28 Mei : Merah, biru "campur" merah dan kembali kepada merah. Itulah pengalaman luar biasa Valiamah Adika ketika memohon MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Saya lahir di negara ini, surat beranak ada, cuma masalahnya masa saya kanak-kanak, bapa saya tak daftar untuk dapatkan kad pengenalan biru.

"Kemudiannya bila saya dah umur dekat 40 saya daftar. Tetapi cuma dapat kad pengenalan merah," kata ibu yang berumur 54 ini yang ditemui di satu majlis pendaftaran MyKad oleh Kerajaan Selangor.

"Dengan bantuan anak-anak, saya cuba mohon untuk dapatkan Mykad biru. Saya dapat Mykad biru, tetapi ada tanda merah pada Mykad saya."

Apabila Valiamah pergi untuk memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk kali ketiga bagi mendapatkan MyKad biru, perkara yang pelik berlaku.

"Saya memohon semula untuk Mykad yang biru sepenuhnya tetapi apa yang saya dapat adalah Mykad merah semuanya."

Valiamah antara 1,000 individu keturunan India yang hadir pada majlis pendaftaran MyKad tersebut yang diadakan di Dewan Dato Hamzah, di sini semalam.

Beberapa kaunter telah dibuka bagi memudahkan pemegang MyKad merah untuk memohon MyKad biru.

Majlis tersebut dianjurkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar.

Turut hadir Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim dan MP Kapar S Manikavasagam.

Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor telah memperuntukan RM500,000 dari Geran Selangorku bagi membiayai kempen pendaftaran tersebut.

Bagi Rani Muruthai pula, beliau masih gagal memperolehi Mykad walaupun sudah 26 tahun memohon bagi dokumen tersebut.

"Selalunya tidak dapat jawapan dari JPN. Bila saya daftar untuk mohon Mykad mereka suruh saya datang semula minggu depan tetapi tak ada apa-apa pun.

"Saya lahir di sini tetapi tak ada Mykad buat saya susah nak buat apa-apa urusan rasmi dengan pejabat kerajaan," ujar Rani, yang sudah mencecah 54 tahun.

Abdul Khalid dalam ucapannya berkata sesiapa yang dilahirkan di negara ini mempunyai hak yang sama bagi memiliki Mykad biru.

"Ini adalah hak rakyat, tanpa memiliki Mykad menjadikan seseorang tertinggal dalam banyak hal, sukar menjalankan urusan rasmi, nak bersekolah dan malah hak untuk memilih siapa yang patut jadi kerajaan juga dinafikan.

"Kita tak boleh bergembira sebab ramai lagi yang tak dapat Mykad walaupun dilahirkan di sini," ujar Abdul Khalid.


Sumber: Selangorku

Air Selangor Buat Kroni Umno Kenyang

Posted: 27 May 2012 10:10 PM PDT

PETALING JAYA: Kenyataan seorang pemimpin Umno Selangor bahawa jika Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula negeri itu maka masalah air akan diselesaikan adalah muslihatnya untuk memberi 'makan' kepada kroni dan dirinya sendiri.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Faekah Husin berkata, kenyataan ini merupakan amaran awal BN akan meneruskan projek pembinaan loji Langat 2.

Beliau merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor dan juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berhubung masalah bekalan air yang bakal dihadapi negeri itu menjelang tahun 2014.

"Rakyat akan tahu bahawa projek ini sebenarnya untuk kepentingan kroni dan Umno malah Noh sendiri, bukannya untuk kesenangan rakyat," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau menegaskan, "jika Noh gagal memahami isu ini, kita tidak hairan bagaimana kementerian beliau gagal menangani isu penyelewengan dana NFC (National Feedlot Corporation) yang memalukan seluruh menteri kabinet.

"Kita telah tegaskan masalah air di Selangor berpunca dari pengurusan yang lemah dan pengetahuan yang cetek.  Disebabkan kelemahan-kelemahan ini, rakyat terpaksa menanggung kos pembinaan Langat 2 yang sangat mahal.

'Sedia payung sebelum hujan'

Jika ini berlaku katanya, tiada guna rakyat menyesal kerana nasi sudah menjadi bubur. Adalah lebih baik rakyat 'menyediakan payung sebelum hujan' dengan menolak Umno-BN yang jelas hanya berjuang untuk menambah kekayaan keluarga dan kroni.

"Kos RM12 bilion untuk membina Langat 2 mungkin ditanggung rakyat Selangor hingga ke cucu cicit dengan kenaikan tarif air yang melampau dan membebankan," tegas beliau.

Faekah menempelak cabaran Noh menyarankan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya minum air empangan sebagai benar-benar kurang bijak yang hanya menggambarkan betapa ceteknya akal beliau.

"Air empangan hanya selamat diminum selepas dirawat di loji pembersihan. Di negara-negara maju, air paip selamat diminum terus dari paip tetapi di Selangor sebaliknya berlaku.

"Pengguna terpaksa mengeluarkan lagi perbelanjaan untuk membeli penapis air kerana air berkeladak dan berbau klorin.

Ujar beliau, "inilah hasilnya apabila pengurusan air diberikan kepada syarikat kroni yang tidak mengutamakan kualiti tetapi mengejar keuntungan semata-mata untuk menambah kekayaan kroni dan keluarga.

"Oleh sebab itu, kerajaan negeri akan membina loji pembersihan sendiri tanpa perlu menebuk Banjaran Tiiwangsa yang kosnya dianggarkan RM12 billion.


Sumber: FreeMalaysiaToday

Air Mentah Isu Pokok Selesai Masalah Air Selangor, Kata Khalid

Posted: 27 May 2012 10:06 PM PDT

SHAH ALAM, 27 Mei — Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini bertegas mempertahankan pendirian kerajaan negeri bahawa bekalan air mentah adalah lebih penting daripada bekalan air terawat sebagai persiapan Selangor menghadapi masalah kekurangan air pada masa hadapan.

Abdul Khalid (gambar) turut mencadangkan agar air mentah yang disalurkan di Selangor diambil dari Tasik Kenyir di Terengganu yang mempunyai kedalaman melebihi 100 meter dan mempunyai kapasiti menyimpan air terbanyak di seluruh Semenanjung.

Katanya penyaluran air mentah dari Tasik Kenyir adalah lebih rendah kosnya daripada menyalurkan air dari Sungai Pahang yang memerlukan pemasangan paip melalui Banjaran Titiwangsa dengan kos dianggarkan mencecah RM5 bilion.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan Surat Lanjutan Pajakan Tanah untuk 183 penduduk Shah Alam dan Surat Hak Milik Tanah untuk 27 peneroka tanah dari Bukit Cherakah, dekat sini.

Abdul Khalid mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar pada Jumaat yang mendakwa masalah kekurangan rizab air terawat di Selangor tinggal 2.4 peratus berbanding kadar sepatutnya pada 20 peratus serta bukannya kapasiti air mentah di semua empangan di Selangor.

Abdul Khalid berkata kos memasang paip daripada Tasik Kenyir dianggarkan sekitar RM700 juta dengan memasang paip air bersebelahan dengan rangkaian paip saluran gas dari Terengganu ke Selangor, Pahang dan Johor yang sedia ada.

Tasik Kenyir seluas 369 km persegi mampu menakung 13.6 bilion meter padu air dibina bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik menerusi tenaga hidro. Stesen Janakuasa di Empangan Tasik Kenyir mampu menjana 400 megawatt tenaga untuk keperluan negara. — Bernama

Kelas Menjahit Untuk Wanita DUN Seri Andalas Bantu Tingkat Pendapatan Keluarga

Posted: 27 May 2012 09:57 PM PDT

Atas keprihatinan terhadap peranan wanita dalam sesebuah keluarga, Pejabat ADUN Seri Andalas telah memulakan kelas menjahit untuk wanita bagi membantu mereka pelajari kemahiran menjahit yang dapat digunakan untuk menjana pendapatan dari rumah.

Tiga kumpulan pertama telah pun menamatkan kelas menjahit dan kini kumpulan keempat baru sahaja menamatkan pelajaran kedua asas menjahit. Kumpulan keempat ini terdiri daripada 10 peserta wanita yang dikoordinasi oleh dua orang tenaga pengajar.

Kelas-kelas menjahit untuk para wanita DUN Seri Andalas diadakan pada hari Sabtu dan Ahad.

Pada hari Sabtu, dua kelas menjahit blaus sari dan pakaian Punjabi diadakan untuk mereka yang telah boleh menjahit, manakala pada hari Ahad kelas jahitan asas dan langsir diadakan.

Tujuan utama kelas menjahit ini diadakan adalah untuk mengajar kemahiran yang bukan sahaja boleh digunakan dirumah malah boleh menjana pendapatan pada masa akan datang.

Para peserta yang telah menamatkan kelas menjahit diberikan sijil tamat latihan.




Tiada ulasan: