The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Jika tiada aral melintang, DUN Jenderak akan jatuh ke tangan PKR Posted: 30 May 2012 05:19 PM PDT Pada bulan November 2007 saya telah membawa satu misi untuk menubuhkan sebuah cabang baru Parti Keadilan Rakyat di Kuala Krau. Sebelum itu tidak ada Cabang disana dan juga tidak ada seorang anggota pun di sana. Misi itu agak berat kerana Kuala Krau khususnya DUN Jenderak adalah sebuah kawasan pedalaman yang sangat mundur, mungkin termundur di Negeri Pahang. Di sana tidak ada media alternatif, dan sumber maklumat hanyalah dari Utusan Malaysia, Berita Harian, Kosmo, dan di bidang elektroniknya hanyalah TV3 dan RTM dan TV1. Semua sumber berita adalah yang bertentangan dengan PKR. Kedudukan pengundinya pula adalah hampir 97% terdiri daripada kaum Melayu dan Orang Asal luar bandar, dan golongan terbesar daripada mereka berhadapan dengan keadaan kemiskinan yang berat dan di perkampongan Orang Asal, kemiskinan yang tegar. Didalam keadaan saya tercari-cari punca untuk bergerak, saya ditemani oleh Sdr Suhaimi Abdullah, beliau sendiri tidak pernah menjadi anggota mana-mana parti politik, dan pekerjaannya adalah menjadi peraih menjual sayur dikalangan Orang Asal. Kemudian, Sdr Razak Hussain, yang pernah bertugas dengan rangkaian kedai Felda, menyertai saya dengan menjadi anggota PKR. Dihadapan kami amatlah gelap kerana tidak ada penyokong yang boleh membantu kami. Pada waktu itulah saya mengambil peluang untuk mencetak ribuan risalah parti dan kami bertiga edarkan dari rumah ke rumah. Setiap minggu kami edarkan ke setiap buah rumah di DUN Jenderak. Setiap edaran untuk sampai ke setiap buah rumah mengambil masa tidak kurang dari 3 hari. Didalam tempoh yang pendek ramai penduduk Kuala Krau menawarkan diri untuk menyertai keanggotaan PKR. Didalam tempoh beberapa minggu hampir 50 orang menjadi anggota baru dan dengan itu kami telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Penaja. Maka pada 27hb November 2007 sebuahg Jawatankuasa Penaja PKR Cabang Kuala Krau telah berjaya ditubuhkan. Sdr Dr Syed Husin Ali, Timbalan Presiden PKR pada waktu itu telah hadir merasmikan penubuhan Jawatankuasa Penaja di sebuah rumah penyokong parti di Kg Paya Luas, Kuala Krau. Pada sebelah malamnya telah diadakan Ceramah Umum di tempat yang sama dengan kehadiran beberapa orang pimpinan PKR, DAP dan PAS sebagai penceramah. Kehadiran ceramah itu amatlah memuaskan dan memberikan satu galakan kepada kami untuk meneruskan perjuangan. Usaha terus dilakukan. Rakan-rakan dari Kuala Lipis dan Lanchang turut membantu kami. Setiap hari kami membuat edaran rumah ke rumah dan semakin lama semakin ramai penduduk DUN Jenderak menawarkan diri menjadi anggota, dan dengan penambahan anggota itu kami berjaya menubuhkan sebuah ranting di Pekan Kuala Krau dengan semua anggota yang ada bersama kami tanpa mengira tempat menjadi anggota Ranting itu. Kemudian dengan sedikit sokongan daripada Estet Kuala Tekal dan Kg Jenderak, kami menubuhkan Ranting kedua untuk PKR Kuala Krau. Kami telah menjemput Manickavasagam dan rakan-rakannya untuk berceramah di pinggir Estet Kuala Tekal itu, dan tanpa sangkaan kami, Setiausaha Parti Gerakan Kuala Krau yang mendiami di Estet tersebut serta ahli-ahli Gerakan telah keluar parti mereka dan menyertai PKR. Dengan perkembangan itu, kami berusaha untuk menyewa sebuah kedai untuk dijadikan Markas. Amat sukar untuk mendapatkan tempat kerana apabila pemilik kedai itu mengetahui bahawa kami ingin menjadikan kedai sewa tersebut sebagai Markas parti, pemiliknya dengan lidah yang lembut mengatakan bahawa sudah ada orang lain menjelaskan deposit untuk menyewa kedainya. Didalam pada itu kami sudah mulai bergerak di kalangan masyarakat Orang Asal di semua perkampongan OA di DUN Jenderak. Approach kami di perkampongan itu agak berbeza dengan perkampongan Orang Melayu. Orang Asal tidak menampakkan sikap kasar membenci parti pembangkang tetapi mereka adalah sangat ikhlas dan jujur. Secara terbuka mereka menyatakan bahawa mereka tidak suka kepada PKR dan mereka adalah ahli-ahli UMNO. Namun, mereka tidaklah memboikot kami. Saya mengambil masa untuk mendekati mereka, saya mendekati tokoh-tokoh tertentu dikalangan mereka. Dan untuk menunjukkan keikhlasan saya, saya belajar bahasa mereka, iaitu bahasa Jahut, dan didalam pendekatan inilah saya mengkaji isu dan masalah yang menghantui masyarakat Orang Asal di sini. Isu utama mereka pada waktu itu adalah isu tanah. Tanah mereka sentiasa diceroboh oleh orang-orang luar khususnya mereka yang mempunyai akses kepada pimpinan UMNO setempat dan di peringkat Negeri. Juga menjadi isu dikalangan mereka ialah masalah kemudahan awam. Tidak ada bekalan elektrik, air dan perkhidmatan talipon. Jalan yang merentangi kampong-kampong mereka ke Damak, Jerantut adalah didalam keadaan yang tidak baik. Mereka juga dihantui oleh isu penangkapan keatas mereka jika mereka menyeberangi Sungai Krau untuk mencari kayu dan mencari rezeki yang lain kerana kawasan di seberang Sungai Krau itu telah digazetkan sebagai kawasan Perhilitan untuk kehidupan binatang liar, dan beberapa orang dari mereka sudah ditangkap dan dihadapkan di Mahkamah manakala alat-alat mesin seperti chain saw serta parang dan kapak mereka dirampas. PKR Kuala Krau berdiri teguh di belakang mereka dan didalam beberapa demo yang mereka adakan, kami dipinta turut hadir dan melahirkan solidariti kami dengan mereka. Dengan tuntutan-tuntutan yang kami kemukakan kepada pihak-pihak jabatan berkenaan, kemudahan-kemudahan untuk perkampongan mereka telah diperolehi. Wakil Rakyat UMNO kawasan itu amat jarang melawat perkampongan mereka. Lawatan-lawatan yang dibuat hanyalah semasa PRU sahaja. Kini keadaan itu sudah berubah. Wakil Rakyat itu sudah cukup rajin melawat perkampongan Orang Asal kerana cuba membendung pengaruh PKR yang semakin kehadapan. Dengan usaha-usaha itu dan hubungan silaturrahim yang semakin rapat dan percaya mempercayai, ramai dari kalangan Orang Asal menyertai PKR. Dengan itu kami berjaya menubuhkan Ranting PKR pertama diperkampongan Orang Asal DUN Jenderak di Kg Lubok Wong. Orang-Orang Asal dari Kg Pian dan Kg Pasu juga menganggotai PKR Ranting Kg Lubok Wong. Sokongan daripada kaum Jahut kepada PKR menjadi semakin merebak bukan sahaja untuk DUN Jenderak tetapi juga melewati perbatasan Daerah Temerloh dan Jerantut apabila penduduk kaum Jahut di Temerloh dan Jerantut mengambil kesempatan untuk menubuhkan ranting-ranting PKR di kampong-kampong mereka. Perkembangan ini berlangsung selepas lawatan Dato Seri Anwar Ibrahim ke Kg Pasu sebelum beliau mengadakan ceramah di Felda Jenderak Utara. Perkhabaran pergerakan dikalangan Orang Asal Lubok Wong diterima baik oleh rakan-rakan mereka di Kg Pian, Kg Galung/Terbol, Kg Pasu, Kg Penderas, Kg Paya Mendoi, Kg Seboi, Kg Beredut, Kg Rekoh dan Kg Paya Pelong, dengan setiap kampong itu mempunyai Ranting PKR yang sentiasa bergerak. Keanggotaan PKR dari kalangan Orang Asal di DUN Jenderak kini sudah mengampiri 700 orang anggota. Di kampong-kampong Melayu pula, PKR berjaya menubuhkan ranting-ranting di Kg Gong Halt, Kg Dato Shariff Ahmad (yang melibatkan keanggotaan dari Kg Dato Shariff Ahmad, Kg Gajah Mati, dan Kg Jenderak), Kg Paya Luas, Felda Jenderak Utara dan Felda Jenderak Selatan. Bererti di semua perkampongan di DUN Jenderak sudah pun tertubuh ranting-ranting PKR. Semasa menghadapai PRU ke-12 dulu, PKR Kuala Krau berada didalam keadaan yang kecil dengan hanya sebilangan kecil keanggotaan. Pada waktu itu, PKR Kuala Krau tersangat dhaif dari sudut organisasi dan logistik. Selepas PRU-12, PKR Kuala Krau telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pertamanya dengan pemilihan jawatankuasa parti mengikut keperluan Perlembagaannya. Kini dihampir kesemua kampong sudah tertubuh ranting-ranting dan keanggotaannya semakin membesar. Dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua anggota-anggota parti di DUN Jenderak sekarang ini, saya berpendirian positif bahawa jika PRU ini dijalankan dengan bersih dan adil, DUN Jenderak akan jatuh ke tangan Parti Keadilan Rakyat. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan