R Sivarasa - Ahli Parlimen Subang |
TRIBUNAL MEMECAT PENGERUSI DAN TIMBALAN PENGERUSI SPR Posted: 08 May 2012 02:52 AM PDT KEADILAN MULAKAN TINDAKAN MENGIKUT PERLEMBAGAAN UNTUK MEWUJUDKAN TRIBUNAL MEMECAT PENGERUSI DAN TIMBALAN PENGERUSI SPR Pendedahan yang dibuat oleh Setiausaha Agong KEADILAN, Dato'Saifuddin Nasution Ismail bahawa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah ahli Umno mempunyai kesan yang besar di sisi Perlembagaan Persekutuan. Bukti yang dikemukakan oleh Dato' Saifuddin Nasution Ismail mengenai keanggotaan Tan Sri Abdul Aziz Yusof di bahagian Umno Ampang sehingga kini tidak disanggah. Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar pula mengaku secara terbuka beliau pernah menjadi ahli Umno. Sejak pendedahan dibuat dua minggu lalu, kedua-dua mereka tidak pernah menyatakan bahawa mereka telah membatalkan keanggotaan mereka. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai perlantikan dan keanggotaan SPR adalah jelas seperti termaktub di dalam Perkara 114, terutamanya Fasal 2 dan Fasal 4A seperti berikut: (2) Pada melantik anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil perhatian tentang peri mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam. (4A) Sebagai tambahan kepada apa-apa kehilangan kelayakan yang diperuntukkan di bawah Fasal (4), pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan pelantikannya ke jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersil, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya. Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan anggota itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya. Keanggotaan kedua-dua pegawai tertinggi SPR ini di dalam sebuah parti politik secara jelas melanggar Perkara 114, Fasal 2 dan Fasal 4A. Apatah lagi apabila kedua-dua mereka mengaku menjadi ahli atau tidak menafikan mereka pernah menjadi ahli. Tuntutan yang dikenakan oleh Perkara 114 adalah jelas; iaitu dalam masa tiga bulan dilantik ke jawatan Pengerusi atau Timbalan Pengerusi SPR, mereka perlu menarik diri dari semua badan yang termaktub di bawah Fasal 4A dengan membatalkan keahlian mereka. Sebagai pegawai tertinggi SPR, kecuaian mereka tidak menyemak dan membatalkan keahlian parti politik adalah satu kesalahan besar yang melanggar peruntukan Perlembagaan. Oleh yang demikian, KEADILAN akan memulakan tindakan bersesuaian dengan Perlembagaan untuk memecat kedua-dua mereka dari SPR. Mengikut peruntukan Perlembagaan, sebuah tribunal perlu ditubuhkan untuk membicarakan kecuaian dan pelanggaran peruntukan Perlembagaan seperti yang didakwa seterusnya mengambil tindakan memecat kedua-duanya jika didapati bersalah. KEADILAN akan menulis secara rasmi kepada Dato' Seri Najib Tun Razak bagi menggesa penubuhan tribunal ini. Surat rasmi ini akan diserahkan secara tangan ke Pejabat Perdana Menteri Khamis 10 Mei 2012 ini. Kebebasan pilihanraya umum akan datang bergantung kepada kredibiliti SPR. Maka, Dato' Seri Najib sewajarnya tidak melengah-lengahkan penubuhan tribunal ini. YB SIVARASA RASIAH, AHLI PARLIMEN SUBANG MOHD RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN 8 MEI 2012 |
You are subscribed to email updates from R Sivarasa - Ahli Parlimen Subang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan