Selasa, 22 Mei 2012

ANGKATAN MUDA keADILan CABANG PARIT SULONG

ANGKATAN MUDA keADILan CABANG PARIT SULONG


BIAR PATAH HUJAH, JANGAN PATAH HATI.

Posted: 21 May 2012 09:26 PM PDT


Akal membezakan antara manusia dan haiwan, berfungsi untuk berfikir dan menilai sesuatu secara logik. Hati pula tempat letaknya perasaan dan penilaian menggunakan emosi hati nurani. Pun begitu, jika akal tidak digunakan secara optimum dan berkesan, kita boleh saja dipermainkan oleh perasaan, jatuh ke dalam kancah emosi tidak terkawal. Sering kita berdepan hujah-hujah intelektual untuk menjustifikasikan sesuatu yang batil seperti fahaman-fahaman palsu. Ini berlaku pada zaman feudal, Nazi, komunis, Aparteid dan nasionalisme jingoistik apabila hujah-hujah logikal dihasilkan bertujuan mengagung, mempertahan mahupun mempromosikan fahaman-fahaman palsu ini. Ramai juga termakan dan telah membuka pintu hati menerima hujah-hujah fahaman palsu ini sebagai akidah mereka. Lihat sahaja di Bukit Jalil minggu lepas, liputan merah amarah dengan pemimpin berhujah lesu menghasut emosi sehingga kebolehan mengira pun tak masuk akal di mana 40,000 dikatakan 100,000 pula. Justeru, sudah tiba masanya untuk kita menilai empat hujah pokok politik yang mencorak masa depan bangsa dengan akal cerdas dan hati terbuka. Elok benar kita gunakan akal untuk patahkan hujah palsu agar kita tidak 'patah hati' nanti selepas PRU13. Pertama, hujah hak Melayu terancam jika BN kalah pilihan raya bukan sahaja tidak masuk akal tapi dijadikan bahan api membakar emosi. Mana logiknya apabila kedudukan istimewa Melayu sudah terpahat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang hanya boleh diubah dengan undi dua pertiga Parlimen dan restu Majlis Raja-Raja. Mana masuk akal apabila jumlah pengundi Melayu melebihi 60 peratus dan masih kekal sebagai majoriti di bumi sendiri. Penjawat awam pula hampir 80 peratus juga berbangsa Melayu. Bermaksud hak Melayu terpelihara tidak kira pihak mana membentuk kerajaan. Kedua, hujah negara akan bankrap jika pembangkang memerintah juga tidak masuk akal dan menutup hati daripada hakikat bahawa majoriti rakyat masih miskin manakala majoriti menteri Kabinet, keluarga dan kroni adalah jutawan belaka. Ketika ini iklim ekonomi dengan hutang negara 53 peratus KDNK apabila ditambah dengan hutang isi rumah 70 peratus KDNK menjadikan jumlah RM1.1 trilion - ketirisan ekonomi yang dianggarkan juga melebihi RM1 trilion dan keperluan pelaburan RM1.4 trilion untuk menjayakan program-program ETP kerajaan - memperlihatkan kita sudah melangkau 'krisis ekonomi bertrilion' - di mana kos sara hidup meningkat tetapi tangga gaji hanya meningkat 2.6 peratus secara purata setahun dengan jurang kemiskinan tertinggi di Asia Tenggara pada 0.46 mengikut indeks GINI - membuktikan BN dan bukan Pakatan Rakyat yang akan membankrapkan negara. Ketiga, hujah hanya BN membawa pembangunan dengan membina sekolah, perumahan kos rendah, jalan raya dan memberikan perkhidmatan pendidikan, perubatan dan sebagainya memang langsung tidak masuk akal. Bukankah British membina prasarana dan memberikan perkhidmatan asas hasil daripada sumber asli negara ini sendiri? Dan bukankah BN juga menggunakan sumber cukai dan pendapatan hasil bumi dan keringat rakyat juga? Ini yang dikatakan lembu punya susu, sapi dapat nama. Keempat, hujah bahawa pilihan raya kita adalah bebas dan adil atau 'bersih' lagi tidak masuk akal. Perkara paling utama menentukan negara terus maju dan makmur adalah jaminan pilihan raya bebas dan adil. Hanya dengan ini kita dapat memilih kerajaan yang 'sah' untuk mewakili suara, kuasa dan kepentingan rakyat. Adakah pilihan raya kita bebas dan adil jika: daftar pemilih masih pincang; warga asing diberikan kewarganegaraan untuk mengundi; undi pos digandakan kategori dan bilangannya; beratus orang pengundi tinggal di satu alamat sahaja; tv, radio dan surat khabar hanya untuk sebelah pihak sahaja; waktu berkempen terlalu pendek; kerusi-kerusi Parlimen ditetapkan melalui persempadanan tidak adil di mana hanya 20 peratus pengundi menentukan majoriti mudah 112 kerusi; dan jentera kerajaan digunakan habis-habisan? Akhir kata, demi masa depan anak-anak kita jangan pula kita menjadi buta hati dan buta perut serta terus hilang akal daripada mematahkan hujah-hujah palsu dan membersihkan apa yang sudah kotor.

Y.B. Nurul Izzah Anwar.

PENTAS ANAK MUDA

Posted: 21 May 2012 07:36 AM PDT


Kami AMK Cabang Parit Sulong sekali lagi menjemput Kakak-kakak, abang-abang, tuan-tuan, puan-puan dan adik-adik untuk hadir ke Pentas Anak Muda "FAKTA VS AUTA" yang akan diadakan pada 29-5-12 jam 9-00 malam bertempat di Kampung Peserai Lama Mukim 3, 83000 Batu Pahat Johor. Penceramah yang kami jemput adalah terdiri daripada YB Nurul Izzah Anwar ( Ahli Parlimen Lembah Pantas dan Puan Normala Sudirman ( Dewan Muslimat Pas Negeri Johor ).

Tiada ulasan: