Rabu, 2 Mei 2012

AMK BATU

AMK BATU


Posted: 02 May 2012 01:39 AM PDT

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

2 Mei 2012

AMK desak PM Najib Razak mohon maaf kepada rakyat Malaysia

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang berani bangkit untuk menuntut reformasi sistem pilihanraya pada 28 April yang lalu. Lebih daripada 300,000 rakyat telah merdekakan diri dari rasa takut serta mencipta sejarah penting dalam proses pendemokrasian Malaysia.  

AMK menyeru Pengerusi dan Naib Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) agar tidak mengamalkan sikap 'syndrome of denial' serta henti menuduh Gabungan Bersih 2.0 sebagai alat kepada parti pembangkang.  Pimpinan tinggi SPR perlu akur kepada kuasa rakyat dan meletakkan jawatan segera bagi membolehkan reformasi sistem pilihanraya dapat dilaksanakan dengan segera.

Di samping itu, AMK juga berpendapat bahawa Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein Onn perlu bertanggungjawab atas tragedi keganasan polis terhadap peserta himpunan duduk bantah pada 28 April.

Sebenarnya pihak penganjur dan banyak pertubuhan NGO telah menyeru PM Najib Razak agar membenarkan orang ramai untuk mengadakan duduk bantah di Dataran Merdeka sebelum 28 April, tetapi beliau telah lari daripada desakan orang ramai sebagai Perdana Menteri serta melepaskan tanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

AMK juga mengecam sekeras-kerasnya keganasan polis pada 28 April. Tindakan polis seolah-olah samseng yang berlesen. Ramai wartawan media juga dipukul dan ditembak semasa menjalankan tugas mereka. Terdapat kamera dan kad memory yang merekodkan keganasan polis yang dimiliki oleh wartawan juga dirampas oleh polis. Tindakan polis tersebut telah dilihat sebagai cubaan untuk memusnahkan bukti keganasan polis serta menghalang kebenaran ditegakkan.

Maka, penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) perlu dipercepatkan demi mereformasikan institusi polis yang kewibawaannya yang kian hilang. Jikalau tidak, kesemua Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta NKRA yang diusahakan oleh kerajaan UMNO/BN hanya tinggal slogan kosong sahaja yang tidak membawa sebarang makna kepada rakyat.

AMK menegaskan bahawa institusi penguatkuasaan kerajaan telah hilang peranan yang neutral dan professional dalam menjaga kepentingan rakyat. Polis yang sepatutnya melindungi rakyat telah mengguna kekerasan dan keganasan untuk menekan rakyat.

SPR yang sepatutnya bebas daripada campur tangan parti politik telah diperalatkan oleh UMNO/BN. Kesemua penyelewangan dan salahguna kuasa telah menyebabkan kebangkitan rakyat untuk demokrasi sebenar.

Oleh itu, AMK mendesak PM Najib Razak untuk menunjukkan keberanian serta memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia atas keganasan polis dan pilihanraya yang tidak adil dan kotor.

Sementara itu, kerajaan UMNO/BN diseru agar bertaubatdan melaksanakan 8 tuntutan Bersih 2.0 dengan segera. Rakyat akan menghukum UMNO/BN dalam Pilihanraya Umum ke-13 sekiranya tiada reformasi sistem pilihanraya secara ikhlas daripada kerajaan UMNO/BN.


LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia
012-2258607

Tiada ulasan: