The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
BANTAH-DUDUK 3-0 KEBANGKITAN RAKYAT Posted: 29 Apr 2012 09:04 AM PDT Saya dan Kak Hendon sampai di KL jam 5.00 pagi, untuk menyenang-nyenangkan badan dan untuk kemudahan mandi dan solat Suboh, kami menyewa di sebuah hotel budget di Ampang Point, dan setelah mandi dan setelah mandi dan solat Suboh, kami menunggu hingga jam 9.00 pagi untuk mencari breakfast, kedai mamak dibawah hotel itu menyediakan juga nasi lemak dan pelbagai breakfast. Setelah mengambil breakfast, kami check out dari hotel, dan pergi ke setesyen LRT berdekatan dan meninggalkan kereta kami disana. Di setesyen LRT itu dapat bertemu dengan begitu ramai kumpulan berbaju kuning dari merata tempat. Saya bergaul dengan mereka dan sempat bergambar dengan sebahagian dari mereka. Ada yang mahu turun di Setesyen Pudu, ada yang mahu turun di Setesyen Bandaraya, dan ada yang mahu turun di Setesyen Masjid Jamek. Saya akan turun di Masjid Jamek kerana dari sana akan mengambil connection ke KLCC. Kumpulan Anti-Lynas akan mula berkumpul di KLCC dan dari sana akan berjalan ke Dataran Merdeka. Setelah tiba di Setesyen Masjid Jamek, kedapatan puluhan ribu manusia sudah berada di sana. Lautan mereka. Saya beritahu Kak Hendon untuk tidak pergi ke KLCC bimbang nanti Stesyen LRT di tutup dan sukar untuk kembali ke Masjid Jamek. Saya tidak buang masa, terus menjalankan tugas untuk membuat laungan: REFORMASI, REFORMASI, REFORMASI, HIDUP HIDUP HIDUP RAKYAT, TOLAK TOLAK TOLAK NAJIB, TOLAK TOLAK TOTAL ROSMAH, TOLAK TOLAK TOLAK UMNO, TOLAK TOLAK TOLAK BN, TAKBIR DAN FU YAU UMNO, FU YAU BN...berterusan dan saling berganti dengan pelaung-pelaung lain. Bergema hebat. Tidak kurang 70% kehadiran peserta dari semua kaum terdiri daripada anak-anak muda. Orang-orang tua pun ada, begitu ramai wanita, dan kanak-kanak juga turut hadir. Ratusan polis sudah ditempatkan di tempat-tempat strategik seolah-olah mereka sedang berhadapan dengan satu perperangan. Dan lawan mereka adalah himpunan aman yang menuntut Pilihanraya yang bersih dan adil. Saya pergi ke barisan Polis itu dan menghulurkan salam kepada mereka, dan mereka menyambut salam, dan tersenyum; dan ada diantara mereka yang berani berkata, "teruskan perjuangan," walaupun ada yang menunjukkan muka yang masam dan menampakkan kebencian. Mulai jam 2.30 petang pihak Polis menggerakkan anggotanya di mana Kumpulan Bersih tersepit di tengah-tengah dan tidak boleh ke sana ke mari lagi, dan pada waktu itu setesyen LRT sudah ditutup, maka di Bandaraya yang tidak ada teksi, tidak ada bas dan tidak ada LRT dan Monorail, tidak membolehkan peserta-peserta Bersih meninggalkan kawasan Demo mereka. Jam menghampiri 3.00 petang, saya mengajak Kak Hendon mencari makanan kerana perut sudah lapar. Kami berjalan menuju Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India kerana disana banyak warong-warong makanan. Setelah makanan sampai, sebaik saja kami mahu memulakan makan, mata terasa sakit dan pedih; semua orang tertanya-tanya apakah jenis masakan yang sedang dimasak yang menyebabkan mata terasa sakit dan mengeluarkan air mata. Tetapi apabila diikuti dengan sukar bernafas, maka setiap di warong itu menyatakan bahawa ini bukan dari kesan masakan, tetapi gas pemedih mata. Sekejap lagi satu lagi tembakan gas pemedih mata di tembak di kawasan Jalan Masjid India. Orang ramai termasuk yang sedang makan dan membeli belah mula lari berterabur. Polis jenis apakah yang sanggup melakukan perbuatan sekeji ini? Tak sempat saya menghabiskan makanan, terus membayar; dan towkay warong pun didalam keadaan yang amat tidak selesa dengan menutup mata, dan saya dan Kak Hendon membantu semua yang dekat dengan kami dengan memberikan kepada mereka garam, dan ada seorang yang bersama kami itu membeli puluhan botol air mineral untuk diberikan kepada mereka yang berada di warong itu untuk membasahkan towel masing-masing. Dengan towel basah dan menelan garam, kesan dari gas itu tidaklah begitu teruk. Bagaimana pun masih ada yang jatuh pengsan. Jam menghampiri 5.00 petang, saya bincang dengan Kak Hendon untuk keluar dari kawasan itu. Kami berjalan merentasi Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju Setesyen LRT Bandaraya. Setesyen itu diturup. Semasa kami berada di situ, satu tembakan gas pemedih mata dilepaskan sekali lagi oleh Polis. Peserta-peserta yang sudah terkepung itu tidak boleh ke mana-mana dan terpaksa berdiri di tempat mereka berada dengan berusaha mengurang kesan dari gas itu dengan membasahkan towel tekap ke mulut hidung dan mata disamping menelan garam. Semasa itulah saya mendengar berita bahawa seorang peserta telah mati dilanggar oleh kereta polis, dan beberapa orang cedera dilanggar oleh motosikal polis. Dikhabarkan juga bahawa polis itu dibelasah pula oleh peserta-peserta yang naik marah kerana rakan mereka telah dilanggar sehingga mati dan ada yang cedera. Dan didalam pada itu, ramai pula dari peserta-peserta yang memberikan bantuan kepada polis yang dibelasah itu. Di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan sekitarnya puluhan ribu peserta yang terkepong tidak boleh kemana-mana. Penangkapan telah berlaku, dikatakan 388 peserta telah ditahan dan dibawa ke Pulapol, dan lebih 100 peserta lagi telah dihantar ke Hospital. Dakwaan mengatakan peserta-peserta mengganas tidak dapat dibuktikan dengan fakta, tetapi polis yang mengganas menyebabkan beratus orang peserta yang cedera dibuktikan dengan penghantaran mereka ke Hospital. Himpunan ini adalah satu himpunan yang aman. Dari jam 5.00 pagi lagi peserta-peserta didalam bilangan puluhan ribu sudah berada di lokasi-lokasi tertentu di Kuala Lumpur, mereka berada disana dengan keadaan aman. Dan keadaan aman ini berterusan hingga jam 3.00 petang apabila pihak polis mula melepaskan gas pemdih mata. Tanpa probokasi dan tanpa gangguan polis, Himpunan ini adalah paling aman, bahkan diantara peserta-peserta sudah boleh berkomunikasi dengan baik dengan pihak polis. Banyak juga peserta-peserta memberikan bunga kepada pihak Polis. Saya akhirnya dapat berjalan menuju ke Kg Baru, dan disana sudah ada pergerakan kenderaan walaupun kurang banyak. Semua taxi yang ada walaupun berhenti tetapi memohon maaf tidak dapat mengangkut penumpang-penumpang. Semasa menunggu taxi itu, tiba-tiba sebuah taxi berhenti betul-betul di depan saya, "Oi orang Pahang, naiklah taxi ini, kau nak kemana sekali pun aku akan hantar, I'm at your service," Amboih, baik betul pemandu ni. Bila saya masuk kedalam taxi, pemandu terus berkata, "Abang Haji dan Kak Hendon, nak kemana gerangan?" Oh..oh..oh, rupa-rupanya sahabat kami semasa bekempen di dalam Pilihanraya Negeri Sarawak di Bintulu dulu, Haji Naim Haji Rahim. Dia juga memberitahu saya tentang Polis yang dibelasah oleh peserta-peserta, beliau adalah bekas Polis. Saya berkata kesian juga kepada Polis yang dibelasah tu, dia jawab, "Ah Eloklah kesian tu, yang dia langgar orang sampai mati, kita tak kesian ke dengan yang mati? Apa, dia ingat dia Polis dia boleh bunuh orang sesuka hati ke?" Kami sampai ke setesyen LRT yang dituju, kami turun disana, Haji Naim langsung tak mau ambil duit dari kami, tapi saya tetap masukkan duit ke dalam poketnya. "Kalau macam ni, lain kali aku tak mau ambil Haji dengan Kak Hendon lagi!" dia ketawa, saya dan Kak Hendon pun ketawa dan dia pun pergi dan kami mengambil kereta kami dan bertolak dari situ. Itulah kisah kebangkitan rakyat. Lebih 300,000 rakyat Malaysia telah dengan berani bangun dan bangkit, dan inilah kebangkitan rakyat yang sangat besar. Jika PRU diadakan juga dengan daftar pemilih yang tidak bersih dan tuntutan Pilihanraya Bersih dan Adil tidak dilakukan, maka BERSIH 4-0 perlu diadakan dan kali ini ia merupakan BERSIH yang tidak ada had tempohnya! |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan