Sabtu, 24 Mac 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


PBT Selangor Yang Terbaik - Sistem Star Rating

Posted: 24 Mar 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM, 24 Mac: Negeri Selangor mendahului negeri-negeri lain di Malaysia apabila dua majlis bandaraya dan enam majlis perbandaran mendapat empat bintang dalam "Sistem Star Rating" bagi Pihak Berkuasa Tempatan pada 2010/2011.

Majlis bandaraya dan majlis perbandaran di Negeri Selangor yang mendapat empat bintang ialah  Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Manakala empat majlis daerah di Selangor mendapat taraf tiga bintang iaitu Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Keputusan ini satu peningkatan drastik dan memberangsangkan bagi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan di Negeri Selangor.

Ia juga membuktikan kerjasama baik antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Sehingga kini difahamkan Kementerian yang berkenaan tidak mahu mengisytiharkan keputusan ini ekoran kejayaan utama negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat khasnya Selangor.

Kejayaan dicapai Selangor ini berlaku ketika media BN terus-terusan memburuk-burukkan kerajaan negeri Selangor dalam media mereka.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua Dato' Bandar dan Yang di-Pertua (YDP) pihak berkuasa tempatan serta pegawai mereka dan berharap mereka akan terus berusaha bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berjalan dengan baik," kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sebanyak 354 indikator digunakan dalam Sistem Star Rating bagi Pihak Berkuasa Tempatan  berdasarkan 4 bidang utama iaitu pengurusan, perkhidmatan-perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti.

Sistem ini – yang bermula pada 2008 atas saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan – juga menggunakan borang soal selidik daripada responden yang terdiri daripada penduduk (70%), peniaga (20%) dan NGO (10%).

Sistem Star Rating bagi Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun 2010/2011 ini, tiada satu pun pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang berjaya mendapat taraf 5 bintang.


Sumber: Harakahdaily

Tiada ulasan: