Isnin, 26 Mac 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Undang-Undang Adat bagi tanah adat Orang Asal di Sabah adalah lebih kukuh dari peruntukan undang-undang - Dato Kong Hong Ming.

Posted: 26 Mar 2012 08:49 PM PDT

Tanah Adat di Negeri Sabah menurut undang-undang:

Dato Kong Hong Ming, Ketua Parti Keadilan Rakyat Cabang Tawau telah menghuraikan undang-undang mengenai tanah adat Orang Asal di Sabah sebagai amalan dan tidak bergantung kepada undang-undang bertulis tetapi amalan yang diamalkan oleh Orang Asal di Sabah.

Sebagai seorang peguam, Dato Kong telah memperjuangkan hak tanah Orang Asal Sabah dan telah memenangkan kes-kes tanah Orang Asal sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

"Tanah Adat bukanlah perkara baru," kata Dato Kong semasa bercakap dihadapan penduduk-penduduk Kg Tambisan didalam kawasan Parlimen Tawau pada 24hb Mac lalu, "Tanah Adat tidak bergantung kepada undang-undang bertulis tetapi amalan Orang Asal yang diamalkan mereka sejak datuk moyang mereka."

Mengikut Dato Kong, apabila wujud manusia, maka wujud Tanah Adat, "Kita lahir disitu, kita buka hutan, kita huni kawasan itu, kita hidup dan kita mati disitu.  Cara kehidupan itulah yang dikatakan Tanah Adat."

Didalam Perlembagaan Malaysia Perkara 160 memperuntukkan Tanah Orang Asal, "Dan kita gunakan adat tempatan untuk pergi ke Mahkamah."

Untuk ditetapkan sebagai Tanah Adat mesti wujud 3 syarat:

1.  Orang yang menuntut itu mestilah Orang Asal, dan Orang Asal itu bermaksud "Tuan Rumah di Negeri ini." Kalau pendatang dari Indonesia atau Filipina, umpamanya, bukanlah Orang Asal.  Sekarang ini orang asing sudah boleh mengundi, taktik BN di Sabah kini telah digunakan di Semenanjung, dan Orang Asal di Semenanjung sudah tidak dihormati lagi, Tanah Adat Orang Asal di Semenanjung telah diketepikan oleh UMNO/BN.

2. Tanah yang dituntut itu bukanlah tanah yang bergeran atau tanah rezab untuk penggunaan awam.  Tanah itu mestilah tanah kosong.  Sebelum datangnya British dulu, tanah-tanah ini sudah didiami oleh Orang Asal, paling lama kini sudah didiami 13 generasi, kebanyakannya 6 hingga 8 generasi, ada juga 5 generasi, bahkan sebelum adanya kerajaan Orang Asal sudah berada di sana.

3.  Tanah itu mestilah diusahakan oleh Orang Asal.  Tanah itu dikerjakan dan sekurang-kurangnya ada 50 pokok sudah ditanam diatas tanah itu, dan jenis pokoknya tidak ditentukan; 50 batang pisang pun sudah memadai; ada rumah didirikan diatas tanah itu, dan tanaman itu hendaklah ditanam memadai dengan 3 tahun sahaja.

Tanah adat adalah lebih kuat dari tanah geran.  Jika tanah adat diceroboh atau sudah dikeluarkan geran kepada mana-mana syarikat, geran itu boleh dibatalkan, dan keputusan ini terkandung didalam keputusan Mahkamah Persekutuan.

Dato Kong juga menyentuh mengenai tanah didalam Rancangan Felda.  Semasa Dato Harris Salleh menjadi Ketua Menteri Sabah, beliau telah menjemput Felda membuka tanah di Sabah dengan syarat tidak kurang 20,000 orang peneroka ditempatkan didalam Rancangan Felda di Sabah.

Tetapi setelah pertukaran Kerajaan Berjaya kerajaan-kerajaan BN selepas itu tidak menghormati penetapan oleh Harris Salleh.  Kini 306,000 ekar tanah di Sabah telah dimajukan oleh Felda tetapi rakyat Sabah tidak diambil untuk menjadi peneroka.  Setakat ini hanya wujud 3000 orang sahaja peneroka di Sabah, tanah-tanah yang dimajukan oleh Felda dijadikan Felda Plantation dan tidak ada peneroka dimasukkan kedalam tanah-tanah itu.

Rakyat Sabah menuntut supaya tanah-tanah di Felda Plantation ini dimasukkan peneroka-peneroka untuk mengatasi masalah kelaparan tanah oleh petani-petani di Sabah, dan rakyat Sabah sekali-kali tidak bersetuju tanah Felda Plantation di Sabah ini diserahkan kepada Felda Global Ventures untuk disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: