The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Kunjungan semula ke Felda Lubok Merbau Posted: 18 Mar 2012 06:55 AM PDT Jam 2.30 petang 14hb Mac 2012, saya kembali berkunjung ke Felda Lubok Merbau. Sesuatu yang ingin saya lihat adalah pintu gate yang terletak di kawasan sempadan Felda Lubok Merbau itu. Pada tahun 1985, apabila saya sampai di pintu gate itu, kereta saya telah ditahan dan tidak dibenarkan masuk. Pegawai Felda yang menjaga di pintu gate itu berulang kali menyatakan bahawa beliau menerima arahan dari pihak atasan tidak membenarkan saya masuk ke Felda Lubok Merbau. Saya semacam dihalau dengan kasarnya. Dan pintu gate itu ditutup rapat. Saya terpaksa berpusing ke belakang, dan saya merancang untuk tidak mengalah dan saya akan masuk juga ke Felda Lubok Merbau dengan apa cara sekalipun. Beberapa jauh dari Felda Lubok Merbau itu saya terlihat Bendera PAS terpacak dihalaman sesebuah rumah. Saya berhenti di rumah itu dan dapat bertemu dengan tuan rumahnya. Dia adalah seorang ahli PAS, lantas saya memohon kerjasamanya untuk meminjamkan kepada saya seluar-baju kerjanya dan seliparnya serta topi kerjanya. Setelah saya memakai pakaian itu, saya memohon untuk meminjangkan kepada saya motosikalnya. Tidak ada sebab dia tidak beri setelah dia mendengar cerita dari saya dan saya juga meninggalkan kereta sayta di rumahnya. Dengan menyamar sebagai seorang petani, saya menaiki motosikal pinjaman itu menghampiri semula pintu gate Felda Lubok Merbau. Langsung saya tidak ditanyakan dengan apa-apa, pintu gate dibuka dan saya masuk ke Felda Lubok Merbau, dan saya merayau-rayau mencari rumah Sdr Ibrahim, seorang anggota PAS. Saya bertemu rumahnya dan memperkenalkan diri saya. Saya menukarkan semula pakaian pinjaman itu dengan pakaian saya yang saya bawa didalam beg plastik. Saya berbincang dengan Ibrahim bahawa saya berhajat untuk mengadakan ceramah di Felda Lubok Merbau malam itu. Pada mulanya Ibrahim menyatakan bahawa sukar nak diadakan ceramah kerana di Felda Lubok Merbau itu tidak ada ahli PAS, dan kalau diadakan juga tidak ada sesiapa pun yang akan hadir. Tetapi diatas desakan saya, Ibrahim bersetuju mengadakan ceramah kelompok di dalam rumahnya. Dia pinta izin keluar seketika dan apabila dia kembali ke rumah tersebut dia membawa seorang anak muda; anak muda itu adalah seorang kakitangan Felda yang bersimpati dengan perjuangan PAS. Setelah berbincang dengan anak muda itu, dia keluar dan hampir 2 jam selepas itu dia kembali semula ke rumah Ibrahim. Dia menyatakan bahawa dia sudah membuat lebih kurang 300 surat jemputan dan dia sudah edarkan kepada peneroka-peneroka. Pada malam itu kami adakan ceramah kelompok di rumah Ibrahim. Hampir 30 orang menghadiri ceramah itu, dan tidak ada penceramah lain selain dari diri saya seorang. Tak sampai 30 minit saya berceramah mengenai isu-isu di rancangan Felda, tiba-tiba rumah Ibrahim sudah dihujani dengan kayu, batu dan tanah keras. Saya terpaksalah berhentikan ceramah saya itu untuk mengelakkan serangan lebih ganas keatas rumah Ibrahim. Walau bagaimanapun, hampir kesemua yang hadir pada malam itu mengisi borang keahlian PAS, termasuk seorang Bendahari UMNO Cawangan. Tidak lama selepas itu berlaku kematian kepada Wakil Rakyat BN kawasan Padang Terap; PAS menyertai PRK itu dan saya ditugaskan oleh Ustaz Fadhil Nor supaya mengetuai Markas PAS di Felda Lubok Merbau. Kami mendirikan Markas PAS di rumah Sdr Azraie, dan puluhan petugas-petugas ditempatkan di rumah Azraie. Pengalaman berkempen di Lubok Merbau terlalu amat pahit yang pernah saya lalui. Semua poster-poster PAS hanya dapat bertahan selama 5 minit sahaja sebelum dikoyakkan oleh petugas-petugas UMNO yang betul-betul ganas. Petugas-petugas UMNO menunggu kami menaikkan poster PAS, dan apabila kami selesai, mereka akan bertanya kami, "Dah siap?" dan apabila kami jawab siap, mereka terus mengoyakkan poster-poster kami dihadapan kami dan terus membakar poster-poster itu. Terkadangnya, apabila kami mahu menampalkan poster, petugas-petugas UMNO akan datang menghampiri kami, dan mencabar kami untuk bertumbuk. Mereka datang dengan bilangan yang ramai berbanding kami yang hanya dalam jumlah yang kecil. Bahkan semasa kami menampal poster, petugas-petugas UMNO datang dengan motosikal secara lajunya dan jika kami tidak mengelak pasti kami dilanggar mereka. Demikianlah setiap hari semasa kami menjalankan kempen di Felda Lubok Merbau itu sehinggalah kepada suatu hari Dato Najib Tun Razak mengadakan ceramah di Balai Raya yang tidak jauh dari Markas PAS, dan beberapa orang kami bertugas menjaga poster-poster, kemudian kami terdengar jeritan bahawa petugas-petugas kami dipukul. Dari Markas kami bergegas ke tempat kejadian, dan beberapa orang petugas-petugas PAS sudah tergolek dengan darah mengalir ke tubuh badan mereka. Kami bawa kesemua yang cedera itu ke Markas PAS dan menghantar mereka ke Hospital, dan salah seorang dari yang cedera Ust Othman Talib telah meninggal dunia sebelum sempat dihantar ke Hospital. Pada 14hb Mac 2012 saya pergi ke rumah Azraie, rumah Ibrahim dan rumah Pak Su. Kami berpeluk-pelukan, mengeluarkan air mata mengenangkan peristiwa berdarah di Felda Lubok Merbau. Saya mengeluarkan dua buah buku iaitu Peritiwa Bergambar Berdarah Felda Lubok Merbau dan Peristiwa Berdarah Felda Lubok Merbau. Kedua-dua buah buku itu diharamkan oleh Kerajaan dan tidak lama kemudian saya ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Apabila saya menjejak kaki semula ke Felda Lubok Merbau, banyaklah perkara yang saya ingin tanyakan kepada sahabat-sahabat yang masih ada. Sebahagian dari rakan-rakan saya itu sudah meninggal dunia, termasuklah abang kepada Sdr Azraie, beliau juga mendapat luka yang agak parah di mukanya. Bersama-sama dengan pimpinan PKR Padang Terap yang diketuai oleh Sdr Zamri serta wanita PKR Pusat yang diketuai oleh Sdri Romlah dan rombongan saya terdiri daripada Rebin Birham, Man Kadir (Pak Jabit) dan Kak Hendon, kami melawat rumah ke rumah menyampaikan risalah-risalah; dan kami juga berkunjung ke kawasan kedai dan minum bersama-sama dengan anak-anak muda yang berkumpul dengan ramainya di kawasan kedai itu. Pada malamnya kami mengadakan ceramah di rumah AJK PKR Cabang Padang Terap di rumah Sdr Mustafa. Cukup berbeza dengan keadaan 1985 dulu, ceramah itu dihadiri oleh begitu ramai peneroka-peneroka dan anak-anak muda. Sepanjang ceramah itu tidak ada gangguan serius berlaku walaupun ada juga limparan mercun dari jarak jauh dilakukan. Menurut kata petugas-petugas PAS dan PKR di Lubok Merbau, kejadian-kejadian berat seperti berlaku pada tahun 1985 itu sudah tidak berlaku lagi. Lagi pun, Pembangkang sudah mengumpulkan kekuatan di kawasan Felda itu, dan melihat kepada sokongan di kawasan DUN yang ditandingi oleh PKR itu, harapan adalah cerah bagi kawasan DUN itu ditawan oleh PKR. Kawasan Parlimen Padang Terap adalah dibawah PAS. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan