Rabu, 7 Mac 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Ahli-ahli UMNO di Rancangan-Rancangan Felda sudah mulai berfikiran positif

Posted: 07 Mar 2012 03:01 PM PST

Di suatu ketika dahulu, apa juga yang dinyatakan oleh UMNO menjadi panduan kepada peneroka-peneroka Felda seolah-olah apa juga yang didatangkan oleh UMNO adalah untuk kebaikan peneroka-peneroka, dan mereka tidak berfikir panjang lagi untuk melabelkan apa juga yang didatangkan oleh Pembangkang sebagai diayah jahat.

Di penghujung tahun 70-an dan di awal tahun 80-an, saya cuba menyedarkan peneroka-peneroka bahawa syarat dan terma yang terkandung didalam Surat Perjanjian (Perjanjian Asal) yang ditandatangani oleh Peneroka Felda dan Felda hanyalah memihak kepada Felda, tetapi peneroka-peneroka mengambil sikap yang sangat negatif terhadap saya.

Saya dicop sebagai pengacau didalam rancangan-rancangan Felda.  Pengurusan Felda pada waktu itu menghalang saya untuk datang ke rancangan-rancangan Felda.  Pintu-pintu gate untuk masuk ke rancangan-rancangan Felda ditutup dan dikunci untuk menghalang kedatangan saya.

Kalaupun dengan cara tersendiri saya dapat saya melepasi pintu-pintu gate yang berkunci itu, saya akan menghadapi "konfrontasi" dengan pihak-pihak pengurusan dan pimpinan UMNO yang berlagak "lebih Felda dan Felda".

Rumah-rumah yang saya kunjungi akan mendapat surat-surat tunjuk sebab kenapa mereka tidak boleh disingkirkan dari rancangan-rancangan Felda kerana mereka dianggap sebagai memecah-belahkan masyarakat Felda kerana mengadakan perbincangan di rumah mereka dengan menjemput saya selaku tetamu.

Saya pergi ke rancangan-rancangan Felda dengan misi yang mudah, iaitu nak menerangkan kepada mereka bahawa isi kandungan Surat Perjanjian yang mereka tandatangani dengan Felda itu merugikan mereka khususnya terma dan syarat yang berkaitan dengan pemberian geran tanah (kebun dan kampong) setelah mereka sudah berjaya membayarkan bayaran titik pulang modal.  Apabila itu berlaku Felda akan mengesyorkan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri supaya dikeluarkan geran (suratan hakmilik) berkaitan kebun mereka secara berkelompok seramai 20 orang atas nama koperasi.

Saya berpendirian bahawa amatlah tidak adil bagi peneroka-peneroka yang sudah berpenat lelah menjayakan kebun masing-masing untuk menerima geran tanah secara berkongsi tetapi tidak atas nama individu. Sungguh malang kerana orang-orang UMNO didalam rancangan-rancangan Felda bersetuju untuk menerima geran tanah secara berkongsi dan mereka menghalang saya dari memasuki rancangan-rancangan Felda.

Dari Kelantan hingga ke Johor dan dari Johor hingga ke Perlis saya mendapat reaksi yang sama daripada peneroka-peneroka yang rata-rata adalah ahli-ahli UMNO.

Bagaimanapun, saya terus berusaha, tidak terasa penat saya kerana saya berkeyakinan bahawa perjuangan yang saya bawakan untuk peneroka-peneroka Felda itu adalah untuk kebaikan mereka dan saya merasakan bahawa didalam lubuk hati mereka sudah tentu mereka mahu memiliki harta didalam rancangan Felda secara bersendirian dan tidak secara berkelompok (seolah-olah mereka disogokkan dengan cara hidup komiun dibawah pemerintahan komunis).

Lama kelamaan perjuangan yang saya bawakan itu mendapat perhatian juga dari peneroka-peneroka walaupun jumlahnya tidak ramai.  Dari jumlah yang kecil itulah timbulnya kesedaran dan akhirnya bertambah jumlah mereka yang mahukan geran secara individu dan tidak secara kelompok.  Diantara mereka yang mulai sedar itu termasuklah juga dari kalangan ahli-ahli UMNO.  Ada diantara mereka cuba menganjurkan perjumpaan-perjumpaan di rumah masing-masing.  Ada yang meneruskan perjuangan itu dan ada yang terhenti kerana tidak sanggup berhadapan dengan ancaman daripada Felda yang memberikan Notis kepada mereka iaitu Notis tunjuk sebab kenapa mereka tidak boleh dibuang sebagai seorang peneroka.

Hampir 400 orang peneroka di seluruh Negara pada waktu itu dipecat sebagai peneroka-peneroka dan sibuklah juga saya membela mereka di Mahkamah dengan mengambil injunksi terhadap Felda, dan mana-mana peneroka yang mengambil tindakan injunksi berjaya kekal sebagai peneroka-peneroka Felda.

Kejayaan-kejayaan itu memberikan rangsangan kepada peneroka-peneroka lain untuk berjuang bersama-sama, dan impak yang paling besar adalah di permulaan tahun 80-an apabila di hampir setiap rancangan Felda kedapatan ahli-ahli UMNO keluar dari UMNO dan menubuhkan cawangan-cawangan PAS dan perjuangan untuk menuntut keadilan di rancangan-rancangan Felda menjadi semakin popular dan mulai disertai oleh ahli-ahli UMNO yang akhirnya menjadi ahli-ahli PAS.

Masalah yang dihadapi oleh peneroka-peneroka pada waktu itu bukan sahaja berhubung dengan tuntutan mendapatkan geran kebun secara individu tetapi juga berhubung dengan pendapatan bulanan mereka yang sangat kecil.  Mereka boleh mengambil barang makanan mengikut had yang ditentukan di kedai-kedai Felda yang dipanggil PNF tetapi pada hari "balance", apa juga yang mereka ambil akan ditolak daripada pendapatan mereka, maka kebanyakan peneroka-peneroka hanya memperolehi duit tunai didalam lingkungan RM10.00 - RM20.00 sahaja sebulan.

Saya memperjuangkan tuntutan supaya pendapatan minima mereka hendaklah dinaikkan kepada tidak kurang dari RM500.00 dengan diberikan kemudahan yang sedia ada di kantin-kantin PNF.

Tuntutan ini menjadi tuntutan yang popular dan semakin ramailah peneroka-peneroka melibatkan diri dengan perjuangan menuntut keadilan untuk mereka.

Isu-isu lain yang diperjuangkan termasuklah isu perwarisan didalam rancangan Felda kerana sistem perwarisan yang ditetapkan didalam rancangan Felda tidak berteraskan kepada Hukum Syarak dan tidak berpandu kepada Kanun Tanah Negara.  Banyak para isteri yang teraniaya apabila mereka diceraikan oleh suami-suami mereka atau suami-suami mereka menikahi isteri kedua.

Potongan yang begitu banyak terbeban keatas pendapatan peneroka-peneroka juga saya bentangkan kepada peneroka-peneroka.  Amatlah tidak wajar bagi setiap peneroka yang terpaksa dipotong dari pendapatan mereka untuk membayar yuran tahunan keahlian UMNO sedangkan bukan semua peneroka Felda itu mahu menjadi ahli UMNO.

Seluruh pembangunan yang berlaku didalam rancangan Felda adalah terbeban kepada masyarakat peneroka dan ini adalah suatu kezaliman melampau yang membezakan pengorbanan masyarakat peneroka berbeza daripada yang terbeban keatas masyarakat kampong di luar rancangan Felda.

Masyarakat kampong di luar rancangan Felda diberikan berbagai-bagai subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan sedangkan apa juga untuk pembangunan didalam rancangan Felda ditanggung sendiri oleh peneroka-peneroka.

Setelah peristiwa Lubok Merbau bilamana saya menuntut supaya kematian yang berlaku di rancangan itu semasa berlangsungnya Pilihanraya Kecil Padang Terap saya mulai dipantau oleh pihak Special Branch dengan lebih dekat, kerap dan serius.  Saya sentiasa diganggu oleh mereka.  Rumah saya mulai dipantau.  Sekejap-sekejap ada saja pihak-pihak yang saya tidak kenali mengambil gambar foto rumah saya dan pejabat saya.

Kemudian saya dipanggil ke Istana Pahang di Kuala Lumpur dimana saya dimaklumkan bahawa pihak Kerajaan akan menahan saya dibawah ISA jika saya tidak berhenti "memecahkan keharmonian masyarakat peneroka Felda".

Saya juga dikunjungi beberapa kali oleh Pegawai Turus Felda iaitu Dato Yeop Maidin dan akhirnya saya dipanggilnya untuk menemui Menteri Besar Pahang berhubung dengan Konvensyen Peneroka-Peneroka Felda yang bakal diadakan di Markas PAS di Sungai Gau Temerloh supaya Konvensyen itu dapat dibatalkan.

Segala persediaan untuk Konvensyen itu telah disiapkan dengan rapi, dan PAS Kawasan Temerloh telah membuat persediaan untuk menerima 5000 orang peneroka-peneroka dari seluruh Negara menyertai Konvensyen itu.

Seminggu lagi sebelum berlangsungnya Konvensyen itu saya telah ditahan dibawah ISA dan merengkok didalam Kem Tahanan Kemunting selama 1 tahun 2 bulan sebelum saya dibuang daerah ke Melaka Tengah untuk tempoh 2 tahun.

Walaupun saya dikenakan berbagai-bagai tekanan oleh pihak Kerajaan, saya bergembira kerana semasa saya berada didalam tahanan ISA, Kerajaan mengumumkan bahawa peneroka-peneroka akan diberikan hakmilik individu setelah mereka berjaya membayarkan BK dan CAC mereka.  Itu adalah satu kemenangan bagi peneroka-peneroka Felda dan kemenangan peribadi kepada saya yang tidak henti-henti memperjuangkan isu itu walaupun saya terpaksa membayar dengan harga yang mahal iaitu tahan di bawah ISA dan kemudiannya dibuang daerah.

Senario di rancangan-rancangan Felda kini sudah banyak berubah.  Didalam rancangan-rancangan Felda kini sudah tertubuh cawangan-cawangan PAS dan ditempat-tempat Parti Keadilan Rakyat bergerak banyak pula ranting-ranting PKR ditubuhkan.

Rata-rata UMNO masih kuat didalam rancangan-rancangan Felda, tetapi ahli-ahli UMNO pada hari ini sudah banyak berubah.  Mereka tidak lagi berfikiran sempit menerima apa saja yang dicanangkan oleh Felda dan pimpinan UMNO.

Betul memang betul bahawa peneroka-peneroka masih lagi tergolong kepada "fixed deposit" UMNO/BN.  Tetapi fixed deposit ini sudah mudah cair.

Mereka tidak mudah menerima apa yang dikehendaki keatas mereka jika apa yang dikehendaki itu bertentangan dengan kepentingan mereka.

Ramai juga diantara mereka kini mengerjakan tanaman semula tanah kebun mereka secara bersendirian kerana dengan berbuat demikian mereka dapat mengelakkan daripada hutang yang sangat besar yang dikenakan oleh Felda.

Ramai pula yang sanggup menyaman Felda berhubung dengan manipulasi peratusan perahan KPG yang dipermainkan oleh Felda, mereka juga terlibat dengan tuntutan lebihan pendapatan yang tidak dikembalikan oleh Felda terhadap mereka.

Kini jumlah tuntutan yang dibawakan oleh peneroka-peneroka Felda termasuk dari kalangan ahli-ahli UMNO sudah menjangkau lebih dari RM2 billion.

Ahli-ahli UMNO tidak semudah dulu menerima apa saja yang disajikan oleh Felda dan JKKR terhadap mereka.  Isu jualan kayu getah yang rendah dibawah pengelolaan Felda dan JKKR khususnya di kebanyakan rancangan Felda di Negeri Sembilan mendapat tentangan daripada ahli-ahli UMNO, dan mereka sanggup melantik peguam-peguam Pakatan Rakyat untuk mewakili mereka didalam usaha mereka mendapatkan harga yang lebih wajar dan adil.

Isu wang cess dan mpob menjadi hangat dari kalangan peneroka-peneroka Felda khususnya dari kalangan ahli-ahli UMNO kerana di sesetengah rancangan Felda peneroka-peneroka menerima wang cess dan mpob manakala di rancangan-rancangan lain mereka tidak menerima bayaran itu.

Isu jalan ladang yang semakin hari semakin rosak tetapi tidak diperbaiki oleh Felda menjadi rungutan ahli-ahli UMNO kerana pendapatan bulanan mereka dipotong oleh Felda namun Felda tidak memperbaiki keadaan jalan-jalan ladang didalam kebun-kebun mereka dan jalan-jalan yang buruk itu amat menyukarkan mereka membawa keluar hasil-hasil sawit mereka.

Ada yang terlibat dengan potongan baja dan racun tetapi bekalan baja dan racun tidak dihantar kepada mereka, kesemua isu-isu ini bukanlah isu yang remeh-temeh, dan inilah diantara perkara-perkara yang bakal menggugat kedudukan "fixed deposit" UMNO/BN dirancangan Felda.

Untuk mengatasi keluhan peneroka-peneroka ini terutamanya didalam rancangan-rancangan yang bergelora dengan ketidakpuasan hati, Kerajaan UMNO/BN membuat berbagai-bagai bayaran sebagai imbuhan kepada peneroka-peneroka dan sesetengah bayaran yang mereka terima itu tidak mempunyai "kepala" yang sah; umpanya bayaran wang cess.  Kalau mereka sudah menyerahkan tanaman semula mereka kepada Felda, maka wang cess untuk tanaman semula itu sudah dibayar kepada Felda dan apa yang perlu supaya wang itu dipotong dari kos pembangunan untuk mengurangkan hutang peneroka-peneroka tersebut; maka wang cess apa lagi yang hendak dibayar kepada peneroka-peneroka itu.

Ini adalah satu manipulasi yang jijik.  Setelah menerima "wang cess" rupa-rupanya wang itu dikategorikan sebagai hutang dan peneroka-peneroka terpaksa pula membayar semacam BK kepada Felda setiap bulan.

Perkara-perkara sebegini tidaklah dapat diterima dengan baik oleh peneroka-peneroka apatah lagi dari kalangan anak-anak peneroka itu yang sudah mempunyai pendidikan yang baik dan tinggi yang turut mempersoalkan amalan seumpama itu dan ini mengurangkan lagi pengaruh UMNO di kalangan peneroka-peneroka.

Didalam situasi ini, ramai  dari kalangan ahli-ahli UMNO di rancangan-rancangan Felda memilih untuk mengundang pihak Pembangkang memberikan penjelasan alternatif dan akhirnya mereka terlibat dengan tuntutan-tuntutan untuk keadilan dan tidak kurang pula dari kalangan mereka akhirnya menyertai Pakatan Rakyat dan pergerakan seumpama ini berlaku di mana-mana tetapi berlaku dengan lebih khususnya di Negeri Sembilan.

Perkembangan dikalangan ahli-ahli UMNO yang sudah membuka minda mereka ini adalah trend baru di rancangan-rancangan Felda, dan selagi masalah-masalah yang menghempap peneroka-peneroka Felda tidak dapat diatasi oleh Felda dan UMNO/BN, maka apa juga usaha dari Felda dan UMNO/BN untuk menyekat pengaruh Pakatan Rakyat tidak akan berjaya.

Kepada peneroka-peneroka Felda dari kalangan ahli-ahli UMNO saya ucapkan SELAMAT DATANG KEPADA DUNIA PERJUANGAN demi memertabatkan Peneroka-Peneroka sebagai Tuan Tanah dan bukan sebagai kuli kepada Felda.

Tiada ulasan: